Monday, September 5, 2016

Tentang Sakit

Pagi itu engkau terjaga pukul 3.21 pagi. Seluruh badan engkau, engkau rasa panas. Engkau letakkan belakang tapak tangan engkau pada dahi kemudiannya di leher, panas. Urat sendi kau terasa lenguh.      

     Engkau rasa hendak kencing tetapi badan kau tiada kekuatan untuk bangun pergi tandas. 
Engkau hanya boleh terbaring tidak berdaya. Memandang syiling rumah dengan mata separuh terkatup. Engkau mengantuk dan engkau terasa hendak kencing tetapi engkau tiada kekuatan untuk bergerak.

     Saat itu, ketika engkau memandang syiling rumah dengan harapan Tuhan kurniakan engkau sedikit kekuatan untuk engkau bergerak, engkau mula terfikir itu semua balasan Tuhan. Engkau fikir, ini kifarah untuk dosa-dosa yang pernah engkau lakukan. Engkau mula menyesal dengan diri engkau.

     Engkau mula terfikir yang selama kau menggunakan duit tidak halal untuk makanan yang menjadi darah daging engkau. Engkau mula mengingati muka-muka yang pernah engkau khianati, yang engkau tikam belakang. 

     Sungguh. Sakit membuatkan engkau rasa menyesal dan menyesal adalah satu perasaan yang paling celaka di dalam dunia.

     Dalam rasa sakit dan hendak kencing, engkau berdoa pada Tuhan agar segera disembuhkan dari rasa sakit ini agar engkau boleh menjalani kehidupan seperti biasa dan jauh dalam hati engkau, engkau pasang niat untuk berubah menjadi lebih baik. Engkau mula berjanji, mahu melakukan kebaikkan, mendekatkan diri kepada Tuhan atau apa-apa saja yang asalkan yang baik-baik belaka.

     Namun engkau lupa yang Tuhan itu Maha Mengetahui. Tuhan tahu yang engkau hanya ingat dan berdoa kepadaNya ketika engkau sakit menahan derita. Apabila engkau sihat, semua kata-kata hati engkau, engkau lupa. Kata-kata engkau hilang bagaikan kabus pagi dibaham sinar mentari.

     Tuhan tidak kejam. Tuhan tidak zalim. Tuhan kirimkan rasa sakit itu sebagai peringatan untuk engkau bahawa hidup ini tidak lama. Dan Tuhan panjangkan rasa sakit pada engkau kerana engkau sering lupa dengan kata hati engkau untuk menjadi lebih baik.

No comments:

Post a Comment