Monday, September 5, 2016

Tentang Perkahwinan

Perkahwinan. Semua orang di atas dunia ini yang sihat dan elok akal fikirannya mahu berkahwin. Begitu juga dengan saya. Namun dalam masa yang sama, jika difikirkan tentang itu, jika soalan itu ditanya kepada saya tidak kena pada waktu dan tempat yang sesuai, entah dari mana datangnya tiba-tiba penyakit sakit kepala akan menyerang kepala saya. 

     Untuk mengambil pendekatan mudah, jika ditanya soalan sebegini, saya akan menjawabnya - tidak ada duit atau belum bersedia kehidupan saya dikawal percintaan. Kamu tahu bagaimana kehidupan dikawal percintaan?

     Okay. Saya terangkan sedikit kepada kamu bagaimana contoh kehidupan dikawal percintaan. Begini contohnya:

     Kamu bangun pagi dan selesai saja mandi, perkara pertama yang perlu kamu lakukan untuk hari itu adalah menghantar ucapan selamat pagi melalui Wasap/Telegram/Mesej atau apa-apa saja kepada teman wanita kamu. Di hujung ucapan pula kamu perlu meletakkam emoji :-) atau emoji love berbentuk kecil untuk menunjukkan yang kamu senang dan sayang akan dirinya. Ya, emoji itu untuk menunjukkan yang kamu selesa dengan hubungan yang kamu jalin itu.

     Sedang kamu berbalas kata cinta dengan teman wanita kamu, kawan kamu menelefon kamu. Dia mengajak kamu keluar, melepak di mana-mana kerana hari itu hari minggu. Kamu okay. Kamu memberitahu teman wanita kamu yang kamu hendak keluar melepak bersama kawan kamu. Teman wanita kamu membalasnya dengan 'Okay :-('.

     Ada simbol :-( di situ. Kamu tidak faham maksudnya kerana kamu seorang lelaki. 

     Kamu pun keluar melepak. Kamu gembira berborak bersama kawan-kawan kamu. Bercerita tentang bola, kereta atau bentuk badan perempuan. Sampai satu ketika, handphone kamu berbunyi menandakan satu mesej diterima. Dihantar oleh teman wanita kamu dan mesesj berbunyi begini 'Awak, saya lapar :-('

     Kamu tidak mengendahkan mesej itu kerana kamu sedar, jika lapar hendaklah pergi makan bukannya beritahu orang. Lagipun kamu sedang melepak dengan kawan-kawan. Nanti apa kata mereka jika melihat kamu bermain handphone sambil melepak bersama kawan-kawan. Pasti tidak sedap mata memandang jika melepak sambil bermain handphone. Sepertinya orang tiada pedoman.

     Kamu terus bersembang dan terus bersembang. Masa pula berlalu bagaikan kelipan mata. Pantas. 4 jam kemudian, setelah selesai kamu berborak dengan kawan-kawan kamu, kamu menghantar mesej kepada teman wanita kamu. Bertanya kepadanya hendak makan apa supaya kamu boleh membelikannya dan menghantar makanan ke rumahnya.

     Namun mesej kamu dibalas dengan kata-kata menyakitkan hati. Teman wanita kamu merajuk kerana menurut kata hati kecilnya, kamu mengabaikannya. Kamu tidak mempedulikannya. Semuanya berpunca kerana kamu tidak membalas mesej laparnya tadi dan kamu mengambil masa 4 jam untuk bertanyakan 'Hendak makan apa? Saya nak belikan untuk awak ni'

     2 hari teman wanita kamu dingin dengan kamu sehinggakan kamu hendak melakukan sesuatu pun tidak boleh fokus kerana terlalu memikirkannya. Lebih memeningkan kepala kamu, habis diselongkar kesalahan-kesalahan lalu yang pernah kamu lakukan terhadap dirinya. Bahkan kesalahan tidak mengucapkan ucapan selamat malam kepadanya pun turut diungkit.

     Begitulah perempuan. Mereka sukar mengingati apa kebaikkan orang lelaki pernah lakukan untuknya. Namun jika ianya satu bentuk penindasan atau kesalahan tidak disengajakan, bahkan kesalahan sekecil zarah, mereka mampu mengingatinya dan kesalahan itu akan kekal di fikirannya untuk diungkit pada masa akan datang.

     Jadi, untuk mengambil semula hatinya sekaligus menyakinkan yang kamu masih mencintai dirinya, kamu bawa teman wanita kamu ke cafe hipster. Juga kamu belikan dia teddy bear sebesar manusia dewasa sebagai hadiah. Kamu terpaksa menyusun bait-bait kata yang sedap-sedap didengar demi mengelakkan hatinya daripada terguris lalu menambahkan lagi rajuknya.

     Malam itu kamu tidur lena kerana hubungan kamu kembali ceria seperti biasa setelah kamu membawanya ke cafe hipster, membelikan teddy bear besar, memuji-memuji kecantikkannya dan menipu diri sendiri. Tetapi tanpa kamu sedar 3 hari akan datang kamu berkelahi lagi dengan teman wanita kamu. Kamu memujuknya lagi, lagi lagi dan lagi tanpa kamu menyedari yang kehidupan kamu telah pun dikawal oleh percintaan.

No comments:

Post a Comment