“Jihad memerangi nafsu adalah jihad yang terbesar. Ia adalah
jihad ke jalan yang diredai Allah,”
Kata-kata Ustaz Najib
dalam kuliah maghrib semalam terngiang-ngiang dalam kepala otak aku yang
berjambul. Bagai diganggu sepanjang masa dengan kata-kata tersebut. Dari pagi
lagi sejak bangun tidur aku terfikir-fikir tentangnya. Juga wajah tenang Ustaz Najib
sewaktu menyampaikan kuliah.
Semalam aku ke surau
selepas kali terakhir menziarahinya pada bulan Ramadhan yang lalu. Tiba-tiba
rasa tergerak hati untuk ke surau. Kebetulan tiada apa-apa yang hendak dibuat
di rumah selepas tiba awal dari pejabat. Hendak layan drama tipikal jam tujuh
rasa menyampah.
Rasa tenang menyinggah
jiwa sebaik aku mengangkat wuduk. Dingin air kolah surau menggigit sampai ke
temulang. Mungkin kedinginan yang penuh dengan barakah kerana ia berada di
tempat beribadat.
Jadinya, kebetulan juga
kedatangan aku ke surau sewaktu hari Ustaz Najib menyampaikan kuliah maghrib. Tak
pernah langsung aku tahu menahu tentang jadual kuliah maghrib Ustaz Najib
selama ini jika tidak diberitahu Abang Zahid, ahli jawatankuasa surau.
“Eloklah kau datang surau
hari ni, ada kuliah maghrib Ustaz Najib. Simpan dalam reminder kau, setiap
Isnin dan Rabu ada kuliah Ustaz Najib,” bahu aku ditepuk-tepuk mesra oleh Abang
Zahid yang tak pernah tidak tersenyum walaupun terpijak tahi cicak selepas
berwuduk.
Ustaz Najib memang
dikenali dalam kalangan penduduk setempat sebagai seorang guru agama yang
berpengaruh. Masih muda, belum mencecah tiga puluh lagi usianya. Siang harinya
mengajar di sebuah sekolah agama, malamnya memberi kuliah di surau dan masjid
berhampiran. Ceramah dan kuliahnya ringkas tetapi sangat melekat di hati. Tidak
ada berkias-kias dan jenaka keterlaluan.
Ustaz Najib khabarnya
pernah dilamar sebuah stesen televisyen swasta untuk mengelolakan sebuah slot
kuliah namun ditolaknya dengan berhemah. Alasannya, enggan bergelar ustaz
selebriti, cukup sekadar memberi bimbingan kepada masyarakat setempat. Lagipun,
masih ramai longgokan ustaz dari program realiti tv yang berpotensi untuk
mengelolakan slot tersebut. Sangatlah sederhana bagi aku Ustaz Najib ini.
Kuliah maghrib malam itu
bertajuk Nafsu. Banyak isu yang dikupas Ustaz Najib sepanjang kuliahnya yang
tidak sampai setengah jam itu. Memang rasa tidak puas mendengar kuliahnya yang
dicemburui masa itu. Aku harap dapat datang lagi ke surau untuk kuliah maghrib
yang seterusnya.
*****
Sudah dua minggu aku tidak
ke surau. Apa tidaknya, balik kerja pun sudah lepas waktu maghrib. Sampai saja
di rumah sudah jam sembilan lebih. Surau pun sudah bergelap. Kecewa juga aku
sebenarnya. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja terlalu banyak tugasan yang perlu
diselesaikan segera.
Kata Ustaz Najib dalam
kuliah terdahulu di bulan Ramadhan yang pernah aku dengar, kerja juga adalah
satu ibadat. Maka, laksanakan kerja dengan ikhlas sebagaimana keikhlasan kita
dalam beribadat kepada Allah. Jadi, bekerja keras bukanlah nafsu untuk
mendapatkan wang lebih semata-mata seperti anggapan kebanyakan orang yang gemar
berdialog seperti “Bangla pun cutilah hari minggu,”
Tapi aku tetap kecewa
kerana tidak dapat menghadiri kuliah maghrib Ustaz Najib.
Keesokan harinya, aku
lihat ada surat di atas meja. Perlahan-lahan aku buka sampulnya. Perasaan bimbang
dan teruja bercampur aduk. Perjalanan bisnes syarikat sangat baik ketika ini,
tak mungkin ini surat diberhentikan kerja.
Aku hanya mampu tersenyum
membaca isi kandungan surat tersebut. Nyata, ia adalah perkhabaran gembira. Aku
dinaikkan pangkat dan akan ditukar ke pejabat cawangan yang terletak hanya 20
kilometer dari rumah mak abah di kampung. Lekas-lekas aku telefon mak untuk
sampaikan berita ini. Aku juga ucap terima kasih kepada bos, Encik Muhyiddin.
Tempoh masa diberi sebulan
untuk aku menyiapkan diri sebelum bertukar ke sana. Terlalu banyak perkara dan
urusan yang perlu diselesaikan dalam tempoh sebulan itu. Maka, setiap hari aku
terpaksa pulang ke rumah dengan menyalakan lampu kereta sambil minum kopi
segera.
Kuliah maghrib Ustaz Najib
memang aku tak dapat nak hadiri langsung.
Aku jumpa dengan Abang
Zahid sebelum pindah ke kampung dan minta dia sampaikan salam kepada Ustaz
Najib. Abang Zahid seperti biasa, angguk dan senyum sambil ucap Insyaallah. Semoga
Ustaz Najib masih ingat aku walaupun hanya sekali datang ke kuliah maghribnya.
*****
Sudah enam bulan aku
ditukarkan ke cawangan baru ini. Rasa tenang dan selesa dapat berkerja di
kampung. Lebih-lebih lagi dapat tinggal bersama mak abah. Dapat juga aku
tengok-tengokkan makan pakai mereka walaupun kedua-duanya masih sihat.
Rutin aku di kampung
tidaklah sesibuk seperti di bandar. Kerja pun tak pernah pulang malam. Sempat lagi
untuk bermain bola di padang selepas balik kerja. Dapat juga bagi berpeluh
badan. Kalau tak main bola, dapat juga tolong mak siram pokok atau sapu sampah
di halaman rumah.
Waktu maghrib aku akan ke
surau dengan abah. Abah bilal di masjid. Nanti apa pula kata orang kampung
kalau aku tidak ke masjid dengan abah. Tapi, itu mulut orang. Kita tak boleh
tutup mulut orang walaupun jauh lebih kecil dari mulut tempayan. Aku ke surau
bukan kerana abah seorang bilal. Aku ke surau sebab aku mahu ke surau. Bukan juga untuk update status check-in di Facebook.
Di kampung hanya ada
sekali-sekala sahaja kuliah maghrib. Tidak ada ditetapkan jadualnya. Jika ada
sebarang kuliah dari penceramah luar akan diberitahu dalam masa terdekat. Biasanya,
ada tazkirah ringkas. Haji Khairi yang akan bacakan. Selepas tazkirah, ada yang
mengaji, ada yang merokok sambil borak-borak di anjung surau dan ada balik
rumah makan nasi kemudian datang semula ke surau.
Aku biasanya akan tunggu
sahaja di surau sebab abah memang akan balik selepas solat Isyak. Kadang-kadang
aku mengaji, kadang-kadang aku berborak dengan Mat Sabu, pemuda kampung sebaya
aku. Perkara yang paling bernafsu aku buat di surau adalah melihat Siti Rosmah
yang bertelekung sambil berjalan tersipu masuk ke ruang solat wanita. Anak Lebai
Anwar ini memang cantik, umur 23 tahun.
Mungkin aku gagal
memerangi nafsu untuk tidak melihat mahupun menjeling sipi terhadap Siti
Rosmah. Ah, rindu pula pada kuliah Ustaz Najib.
Bila aku balik ke rumah,
aku tengok Mak dan Adik Rara sedang ralit menonton televisyen. Mungkin ada
rancangan baru kerana sebelum ini mereka tidak pernah aku lihat sekhusyuk itu
menonton televisyen sampai aku acah-acah buat bunyi ketuk periuk nasi pun buat
tak tahu.
“Amboi, tengok apa tu? Sampai
tak perasan kita dengan abah dah sampai rumah. Kita orang nak makan nasi ni,”
“Dah siap semua kat bawah
tudung saji tu,”
Tak pernah lagi terjadi
bila aku balik ke rumah semua dah siap terhidang. Biasanya hanya lauk yang
terhidang, nasi masih dalam periuk. Bila aku dan abah sampai barulah Rara
ambilkan nasi dalam periuk letak ke dalam pinggan. Aku pergi jenguk ke ruang
tamu untuk tengok rancangan apa yang berhantu sangat itu.
“Program apa pula ni,
Rara?” tanya aku.
“Program baru ni, along. Macam
Pencetus Ummah dan Imam Muda tu juga. Tapi nama dia Penjalin Ukhwah,” jawab
Rara dengan sedikitpun kepala tidak terkalih dari televisyen. Mak juga begitu.
Aku pun berlalu ke meja
makan kembali untuk bersama abah. Sempat juga aku alihkan pandangan ke
televisyen sekali lalu. Eh, aku pandang ke televisyen sekali lagi. Aku amati
betul-betul wajah figura yang terpapar di skrin itu. Macam kenal. Handsome orangnya.
“Haa, ni ha mak, nilah peserta
yang Rara cakap tu! Handsome kan?” tempik Rara kepada mak yang
mengangguk-angguk tanpa mempedulikan aku.
Lalu, aku terus ke meja
makan bersama abah. Sepanjang malam itu aku tersenyum sambil terbayang-bayang
wajah Ustaz Najib yang sedang memberikan kuliah sambil berkata ;
“Jihad memerangi nafsu adalah jihad yang terbesar. Ia adalah
jihad ke jalan yang diredai Allah,”
Sebelum tidur, aku berdoa
agar Ustaz Najib menang dalam rancangan realiti tv Penjalin Ukhwah dan datang
ke kampung aku untuk memberikan kuliah maghrib di surau. Nafsu aku untuk tidur
juga sudah sampai, semoga tidak mimpikan Ustaz Najib mahupun Siti Rosmah malam ini.
No comments:
Post a Comment