Showing posts with label tarbiyah. Show all posts
Showing posts with label tarbiyah. Show all posts

Thursday, February 11, 2016

Jihad Memerangi Nafsu

“Jihad memerangi nafsu adalah jihad yang terbesar. Ia adalah jihad ke jalan yang diredai Allah,”

Kata-kata Ustaz Najib dalam kuliah maghrib semalam terngiang-ngiang dalam kepala otak aku yang berjambul. Bagai diganggu sepanjang masa dengan kata-kata tersebut. Dari pagi lagi sejak bangun tidur aku terfikir-fikir tentangnya. Juga wajah tenang Ustaz Najib sewaktu menyampaikan kuliah.

Semalam aku ke surau selepas kali terakhir menziarahinya pada bulan Ramadhan yang lalu. Tiba-tiba rasa tergerak hati untuk ke surau. Kebetulan tiada apa-apa yang hendak dibuat di rumah selepas tiba awal dari pejabat. Hendak layan drama tipikal jam tujuh rasa menyampah.

Rasa tenang menyinggah jiwa sebaik aku mengangkat wuduk. Dingin air kolah surau menggigit sampai ke temulang. Mungkin kedinginan yang penuh dengan barakah kerana ia berada di tempat beribadat.

Jadinya, kebetulan juga kedatangan aku ke surau sewaktu hari Ustaz Najib menyampaikan kuliah maghrib. Tak pernah langsung aku tahu menahu tentang jadual kuliah maghrib Ustaz Najib selama ini jika tidak diberitahu Abang Zahid, ahli jawatankuasa surau.

“Eloklah kau datang surau hari ni, ada kuliah maghrib Ustaz Najib. Simpan dalam reminder kau, setiap Isnin dan Rabu ada kuliah Ustaz Najib,” bahu aku ditepuk-tepuk mesra oleh Abang Zahid yang tak pernah tidak tersenyum walaupun terpijak tahi cicak selepas berwuduk.

Ustaz Najib memang dikenali dalam kalangan penduduk setempat sebagai seorang guru agama yang berpengaruh. Masih muda, belum mencecah tiga puluh lagi usianya. Siang harinya mengajar di sebuah sekolah agama, malamnya memberi kuliah di surau dan masjid berhampiran. Ceramah dan kuliahnya ringkas tetapi sangat melekat di hati. Tidak ada berkias-kias dan jenaka keterlaluan.

Ustaz Najib khabarnya pernah dilamar sebuah stesen televisyen swasta untuk mengelolakan sebuah slot kuliah namun ditolaknya dengan berhemah. Alasannya, enggan bergelar ustaz selebriti, cukup sekadar memberi bimbingan kepada masyarakat setempat. Lagipun, masih ramai longgokan ustaz dari program realiti tv yang berpotensi untuk mengelolakan slot tersebut. Sangatlah sederhana bagi aku Ustaz Najib ini.

Kuliah maghrib malam itu bertajuk Nafsu. Banyak isu yang dikupas Ustaz Najib sepanjang kuliahnya yang tidak sampai setengah jam itu. Memang rasa tidak puas mendengar kuliahnya yang dicemburui masa itu. Aku harap dapat datang lagi ke surau untuk kuliah maghrib yang seterusnya.

*****

Sudah dua minggu aku tidak ke surau. Apa tidaknya, balik kerja pun sudah lepas waktu maghrib. Sampai saja di rumah sudah jam sembilan lebih. Surau pun sudah bergelap. Kecewa juga aku sebenarnya. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja terlalu banyak tugasan yang perlu diselesaikan segera.

Kata Ustaz Najib dalam kuliah terdahulu di bulan Ramadhan yang pernah aku dengar, kerja juga adalah satu ibadat. Maka, laksanakan kerja dengan ikhlas sebagaimana keikhlasan kita dalam beribadat kepada Allah. Jadi, bekerja keras bukanlah nafsu untuk mendapatkan wang lebih semata-mata seperti anggapan kebanyakan orang yang gemar berdialog seperti “Bangla pun cutilah hari minggu,”

Tapi aku tetap kecewa kerana tidak dapat menghadiri kuliah maghrib Ustaz Najib.
Keesokan harinya, aku lihat ada surat di atas meja. Perlahan-lahan aku buka sampulnya. Perasaan bimbang dan teruja bercampur aduk. Perjalanan bisnes syarikat sangat baik ketika ini, tak mungkin ini surat diberhentikan kerja.

Aku hanya mampu tersenyum membaca isi kandungan surat tersebut. Nyata, ia adalah perkhabaran gembira. Aku dinaikkan pangkat dan akan ditukar ke pejabat cawangan yang terletak hanya 20 kilometer dari rumah mak abah di kampung. Lekas-lekas aku telefon mak untuk sampaikan berita ini. Aku juga ucap terima kasih kepada bos, Encik Muhyiddin.

Tempoh masa diberi sebulan untuk aku menyiapkan diri sebelum bertukar ke sana. Terlalu banyak perkara dan urusan yang perlu diselesaikan dalam tempoh sebulan itu. Maka, setiap hari aku terpaksa pulang ke rumah dengan menyalakan lampu kereta sambil minum kopi segera.

Kuliah maghrib Ustaz Najib memang aku tak dapat nak hadiri langsung.

Aku jumpa dengan Abang Zahid sebelum pindah ke kampung dan minta dia sampaikan salam kepada Ustaz Najib. Abang Zahid seperti biasa, angguk dan senyum sambil ucap Insyaallah. Semoga Ustaz Najib masih ingat aku walaupun hanya sekali datang ke kuliah maghribnya.

*****

Sudah enam bulan aku ditukarkan ke cawangan baru ini. Rasa tenang dan selesa dapat berkerja di kampung. Lebih-lebih lagi dapat tinggal bersama mak abah. Dapat juga aku tengok-tengokkan makan pakai mereka walaupun kedua-duanya masih sihat.

Rutin aku di kampung tidaklah sesibuk seperti di bandar. Kerja pun tak pernah pulang malam. Sempat lagi untuk bermain bola di padang selepas balik kerja. Dapat juga bagi berpeluh badan. Kalau tak main bola, dapat juga tolong mak siram pokok atau sapu sampah di halaman rumah.

Waktu maghrib aku akan ke surau dengan abah. Abah bilal di masjid. Nanti apa pula kata orang kampung kalau aku tidak ke masjid dengan abah. Tapi, itu mulut orang. Kita tak boleh tutup mulut orang walaupun jauh lebih kecil dari mulut tempayan. Aku ke surau bukan kerana abah seorang bilal. Aku ke surau sebab aku mahu ke surau. Bukan juga untuk update status check-in di Facebook.

Di kampung hanya ada sekali-sekala sahaja kuliah maghrib. Tidak ada ditetapkan jadualnya. Jika ada sebarang kuliah dari penceramah luar akan diberitahu dalam masa terdekat. Biasanya, ada tazkirah ringkas. Haji Khairi yang akan bacakan. Selepas tazkirah, ada yang mengaji, ada yang merokok sambil borak-borak di anjung surau dan ada balik rumah makan nasi kemudian datang semula ke surau.

Aku biasanya akan tunggu sahaja di surau sebab abah memang akan balik selepas solat Isyak. Kadang-kadang aku mengaji, kadang-kadang aku berborak dengan Mat Sabu, pemuda kampung sebaya aku. Perkara yang paling bernafsu aku buat di surau adalah melihat Siti Rosmah yang bertelekung sambil berjalan tersipu masuk ke ruang solat wanita. Anak Lebai Anwar ini memang cantik, umur 23 tahun.

Mungkin aku gagal memerangi nafsu untuk tidak melihat mahupun menjeling sipi terhadap Siti Rosmah. Ah, rindu pula pada kuliah Ustaz Najib.

Bila aku balik ke rumah, aku tengok Mak dan Adik Rara sedang ralit menonton televisyen. Mungkin ada rancangan baru kerana sebelum ini mereka tidak pernah aku lihat sekhusyuk itu menonton televisyen sampai aku acah-acah buat bunyi ketuk periuk nasi pun buat tak tahu.

“Amboi, tengok apa tu? Sampai tak perasan kita dengan abah dah sampai rumah. Kita orang nak makan nasi ni,”

“Dah siap semua kat bawah tudung saji tu,”

Tak pernah lagi terjadi bila aku balik ke rumah semua dah siap terhidang. Biasanya hanya lauk yang terhidang, nasi masih dalam periuk. Bila aku dan abah sampai barulah Rara ambilkan nasi dalam periuk letak ke dalam pinggan. Aku pergi jenguk ke ruang tamu untuk tengok rancangan apa yang berhantu sangat itu.

“Program apa pula ni, Rara?” tanya aku.

“Program baru ni, along. Macam Pencetus Ummah dan Imam Muda tu juga. Tapi nama dia Penjalin Ukhwah,” jawab Rara dengan sedikitpun kepala tidak terkalih dari televisyen. Mak juga begitu.

Aku pun berlalu ke meja makan kembali untuk bersama abah. Sempat juga aku alihkan pandangan ke televisyen sekali lalu. Eh, aku pandang ke televisyen sekali lagi. Aku amati betul-betul wajah figura yang terpapar di skrin itu. Macam kenal. Handsome orangnya.

“Haa, ni ha mak, nilah peserta yang Rara cakap tu! Handsome kan?” tempik Rara kepada mak yang mengangguk-angguk tanpa mempedulikan aku.

Lalu, aku terus ke meja makan bersama abah. Sepanjang malam itu aku tersenyum sambil terbayang-bayang wajah Ustaz Najib yang sedang memberikan kuliah sambil berkata ;
“Jihad memerangi nafsu adalah jihad yang terbesar. Ia adalah jihad ke jalan yang diredai Allah,”


Sebelum tidur, aku berdoa agar Ustaz Najib menang dalam rancangan realiti tv Penjalin Ukhwah dan datang ke kampung aku untuk memberikan kuliah maghrib di surau. Nafsu aku untuk tidur juga sudah sampai, semoga tidak mimpikan Ustaz Najib mahupun Siti Rosmah malam ini.

Friday, January 15, 2016

Kembara Irdigan Hervic

“Apakah jasa kamu yang terbesar kepada negara ini?” tanya Raja Purabawi Zuvev kepada putera sulungnya, Irdigan Hevric.

Lidah Irdigan Hevric kaku. Kelu tanpa sepatah jawapan. Dia hanya tertunduk menyembah lantai Istana de Aifilosque Jupatar yang terbina dari marmar bersadur emas 916 karat itu. Berkilaunya lantai marmar itu hingga membias jelas wajah Irdigan Hevric yang sugul itu.

Semenjak datuknya, Raja Klovac Chlorofil mangkat dia telah diangkat menjadi pemangku raja secara automatik sementelah ayahandanya ditabal menjadi raja di negara Xhorfiguestrimo. Jika di negeri-negeri Melayu bersekutu, taraf Irdigan Hevric adalah sama seperti seorang Tengku Mahkota.

Apa yang mendukacitakan ayahandanya, Irdigan Hevric gagal menjadi seorang pemangku raja yang boleh dijadikan tauladan oleh rakyat jelata. Dia gemar berfoya-foya dengan dayang istana, mengembalikan sistem gundik yang telah lama dihapuskan, menyeleweng wang rakyat dan sebagainya. Irdigan Hevric menggunakan kuasa dan pangkatnya untuk kesenangan sendiri. Mujurlah Raja Purabawi Zuvev lekas menghidu apa yang telah dilakukan itu.

“Kenapa kau diam wahai anakanda? Katakan padaku, katakan apa yang telah engkau sumbangkan kepada negara ini?” tempelak Raja Purabawi Zuvev.

Irdigan Hevric masih membisu. Hanya gelengan kecil yang bersaiz mikro yang terlihat. Itupun jika diteropong menggunakan mikroskop makmal sains sekolah bantuan penuh kerajaan. Benar, tiada apa-apa sumbangan yang dilakukan oleh Irdigan Hevric sepanjang ditabal menjadi pemangku raja Xhorfiguestrimo. Apa yang dia sumbangkan hanyalah perlakuan yang sumbang sahaja. Tidak lebih dari itu.

“Ayahanda berikan peluang kedua kepada engkau wahai Irdigan! Tetapi, dengan syarat,” nyaring suara Raja Purabawi Zuvev berkata sambil mencekak pinggang. Janggutnya yang memutih kelihat bersinar dibias cahaya emas dari lantai marmar.

“Apa syaratnya, ayahanda?” barulah Irdigan Hevric berani mendongak sebaik mendengar titah ayahandanya itu. Wajahnya yang persis John Travolta itu beransur ceria. Irdigan sanggup terima apa jua syaratnya asalkan dia tidak dilucut dari takhta pemangku raja. Jika kehilangan takhta, maka hilanglah juga segala kenikmatan yang dikecapinya selama ini.

“Engkau mesti berjanji akan berubah dan menjadi pemangku raja yang mampu memberikan tauladan baik-baik kepada rakyat jelata,” Raja Purabawi Zuvev merapati putera sulungnya itu.

“Baik!” lekas dibalas oleh Irdigan Hevric.

“Aku belum habis cakap lagi, bahalol!” tempik Raja Purabawi Zuvev tatkala langkahnya dihentikan sebaik hidung mereka hampir bertemu. Irdigan Hevric sekali lagi menyembah lantai.

“Sebelum itu, engkau perlu mengembara ke serata dunia. Mengenali budaya dan peradaban di setiap negara yang engkau singgah. Dan yang paling penting, engkau perlu mencari negara yang terdapat kaum wanita yang paling berani. Faham?” titah Raja Purabawi Zuvev.

“Baik, ayahanda!” Irdigan Hevric mengangguk bersetuju walaupun dirasakan syarat itu agak berat baginya. Bukan mudah untuk mencari negara yang memiliki kaum wanita yang berani. Apakah terdapat negara yang mempunyai bala tentera yang majoritinya kaum wanita? Pasukan polis unit tindakan khas yang dikepalai oleh wanita? Atau pasukan ragbi wanita yang lebih hebat daripada pasukan All Black?

Hampir tiga malam Irdigan memikirkan tentang hal tersebut sehingga lenanya pun kerap terganggu. Mujurlah negara Xhorfiguestrimo kaya dengan buah kopi. Dapatlah juga dia menghilang mengantuk.

Maka, hari yang ditetapkan untuk Irdigan Hevric mengembara ke seluruh dunia mencari negara yang memiliki kaum wanita paling berani pun tiba. Raja Purabawi Zuvev telah menyediakan bekalan yang selengkapnya kepada anakandanya itu.

Sebuah pesawat tempur Sukhoi yang telah diubahsuai menjadi pesawat peribadi, kad kredit berjumlah 2.6 bilion US Dollar, beberapa bungkus mi segera, serbuk kopi halus, air penawar yang dibacakan 30 cerita sebelum tidur, persalinan lengkap dari pakaian tidur hinggalah pakaian untuk berjogging, kamera GoPro keluaran terbaru, set GPS yang menggunakan rakaman suara Adele, telefon bimbit dwi simkad, modem wifi mudah alih, power bank Pineng 100000 mAh, dan sebagainya.

Maka berlepaslah Irdigan Hevric meninggalkan negara Xhorfiguestrimo dengan semangat yang berkobar-kobar. Ketika pesawatnya sudahnya membelah awan, Raja Purabawi Zuvev dan seluruh rakyat jelata masih lagi melambai. Macamlah orang dalam pesawat boleh nampak.

Negara pertama yang disinggahi oleh Irdigan Hevric tidaklah diketahui namanya. Namun dapat dilihat rakyat jelata di sana banyak yang bertubuh gempal. Baik lelaki mahupun wanita, kebanyakannya memakai jubah. Ada juga wanita yang menutup wajah mereka. Hanya kelihat sepasang mata yang dicalit celak tebal.

Dia menetap di situ beberapa hari untuk mengkaji tahap keberanian kaum wanita di situ. Dapat dilihat Irdigan Hevric, bahawa wanita di situ tidak dibenarkan memandu di jalan raya, majoriti menjadi suri rumah, memasak roti yang berbakul-bakul setiap hari dan gemar memaki hamun pembantu rumah.

Irdigan Hevric berpendapat, kaum wanita di negara ini bukan jenis berani. Beberapa fakta menjadikan Irdigan Hevric begitu yakin dengan keputusannya itu. Wanita di negara ini takut untuk menunjukkan wajah atau mungkin budaya mereka, takut untuk memandu dan takut untuk menguruskan rumah tangga secara sendirian. Sudahlah jadi suri rumah, tapi masih nak pakai khidmat pembantu rumah. Belum pernah dilihat perkara seumpama itu berlaku di negara Xhorfiguestrimo.

Jadi, Irdigan Hevric mengambil keputusan untuk mengembara ke negara lain pula. Enjin Sukhoi dipanaskan selama setengah jam sebelum terbang membelah awan.

Dia tiba di sebuah negara yang rakyatnya berkulit gelap dan majoriti bertubuh kurus. Suhu di sana agak panas, tidak banyak pohon menghijau yang tumbuh. Debu-debu tanah berterbangan saat Irdigan Hevric mendaratkan pesawatnya.

Tidak banyak yang dapat dipelajari Irdigana Hevric di negara tersebut melainkan terpaksa memberikan mereka dengan stok makanan yang dia ada. Kasihan melihat rakyat jelata di negara tersebut yang macam tidak cukup makan. Kaum wanita pula lebih banyak mengendong anak kecil ke sana ke mari bagai tiada arah tuju. Bagi Irdigan Hevric, itu bukanlah sesuatu yang berani.

Justeru, dia mengambil keputusan untuk keluar dari negara tersebut. Sempat juga Irdigan Hevric menghantar pesanan ringkas kepada ayahandanya agar memberikan sedikit sumbangan kepada negara miskin ini sebelum berlalu.

Pesawat Sukhoi membelah awan lagi.

Kini, dia tiba pula di sebuah negara yang beriklim sejuk. Dilihatnya salji sedang turun di negara tersebut. Orang ramai memakai pakaian yang tebal-tebal untuk mengurangkan kesejukan dan risiko mati akibat darah membeku. Irdigan Hevric tenang sahaja memakai kemeja nipis yang telah dipasang dengan cip dan komponen pemanas. Hanya perlu dicas selama 3 jam dan boleh digunakan untuk tempoh 3 hari.

Irdigan Hevric menetap di situ selama seminggu kerana mahu bermain salji yang hanya boleh ditemui di taman tema nasional Xhorfiguestrimo berhampiran istana. Taman tema yang dibina oleh ayahandanya tanpa mengenakan sebarang bayaran untuk rakyat jelata berseronok. Hanya perlu menandatangani surat akur janji untuk tidak membuang sampah, merokok dan beromen di dalam taman tema, kemudian sudah boleh masuk. Jika ingkar, akan disenarai hitam dan ditarik subsidi serbuk kopi halus selama 3 bulan hukumannya.

Musim salji yang melanda, membuatkan Irdigan hevric sukar untuk mengkaji tentang kaum wanita di negara tersebut. Mereka lebih gemar terperap di rumah sambil makan bijirin dan menonton rancangan realiti tv. 

Apa yang jelas kelihatan, kaum wanita di negara tersebut gemar berfesyen. Walaupun musim salji, mereka mengenakan busana baju sejuk berjenama mewah sambil mengusung tas tangan. Selain itu, mereka juga gemar mendandan rambut. Irdigan Hevric pernah berjumpa dengan wanita yang sama sebanyak 3 kali sepanjang tempoh seminggu itu. Sebanyak 3 kali jugalah gaya dan warna rambut wanita itu berubah.

Sekali lagi Irdigan Hevric kecewa kerana masih belum berjumpa dengan kaum wanita yang benar-benar berani. Selepas, membersihkan salji degil yang melekat di cermin pesawatnya, Irdigan hevric pun berlalu.

Dia tiba di sebuah negara yang pada petanya kelihatan seperti sebuah pulau yang luas. Irdigan Hevric tiba pada waktu pagi dan dapat meihat dengan jelas suasana matahari terbit. Sungguh indah pemandangan pada waktu itu. Lekas-lekas dia mengambil gambar selfie berlatar belakang matahari terbit untuk dijadikan kenangan.

Rakyat di sini kebanyakannya bermata sepet. Tidak seperti kartun di komik-komik yang tejual, semuanya bermata buntang. Mungkin pelukis komik di sini enggan mengindentitikan mata sepet dalam karya mereka.

Agak sukar juga untuk Irdigan Hevric berkomunikasi di sini kerana majoriti rakyatnya hanya tahu berbahasa tempatan. Negaranya kelihatan sungguh maju dan sistematik. Pengangkutan awam yang sangat efisyen serta penduduk yang berjalan sama laju dengan keretapi.

Kaum wanita di sini boleh tahan cantik bagi Irdigan, namun mereka kelihatan terlalu obses terhadap kerjaya masing-masing. Seolah tiada masa untuk berborak kosong. Sukar untuk Irdigan mentafsir.

Hanya sesekali, terdengar erangan yang maha menggoda dari suara wanita di sini. Macam biasa didengar sewaktu zaman remaja melalui klip video di telefon bimbit nokia daun miliknya dahulu. Lekas-lekas Irdigan Hevric mengetuk lutut.

Tidak banyak yang dapat dikaji oleh Irdigan Hevric sepanjang berada di sini melainkan sebuah negara maju yang sistematik dan teratur. Mungkin boleh dijadikan contoh untuk membangunkan Xhorfiguestrimo kelak.

Pesawat Sukhoi meninggalkan erangan wanita yang maha menggoda. Irdigan Hevric menendalikannya sambil mengetuk lutut.

Kini, dia tiba di sebuah negara yang beriklim khatulistiwa. Dapat dilihat dengan jelas terdapat sebuah bangunan berkembar yang ada kolam air pancut di hadapannya. Orang ramai berpusu-pusu keluar masuk di situ. Ada sebuah kompleks membeli-belah.

Sukar untuk Irdigan Hevric menangkap imej penduduk di sini. Mereka terdiri dari pelbagai rupa. Ada yang sawo matang, putih dan gelap. Yang mata bundar, sepet dan buntang. Mungkin ini adalah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum. Ia sangat menarik perhatian Irdigan Hevric.

Tiba-tiba, dilihat berpusu-pusu wanita dalam kumpulan yang ramai keluara dari sebuah bangunan menuju ke sebuah kawasan terbuka. Terdapat beberapa orang kameraman yang turut berlari mengusung perakam video mereka. Mungkin ada liputan berita khusus di sini. Irdigan Hevric menghampiri kumpulan tersebut.

Dia memerhatikan setiap tindakan wanita di situ dan terpaku dek keberanian mereka. Belum pernah dilihatnya di semua negara yang telah dia singgah. Malah, di Xhorfiguestrimo juga belum pernah berlaku perkara seumpama ini. Tidak sia-sia dia singgah ke negara ini. Irdigan Hevric sangat gembira dengan penemuan ini. Sempat dia merakam beberapa keping gambar perbuatan kumpulan wanita tersebut.

Lantas, dia berlari menuju ke pesawat Sukhoi. Tanpa ragu, dia terus menghidupkan enjit pesawat untuk pulang ke Xhorfiguestrimo. Irdigan Hevric sangat yakin, dia telah menemui sebuah negara yang memilik kaum wanita paling berani. Dia mahu bertemu dengan ayahanda dan memberitahu hal ini.

“Ayahanda! Aku sudah berjumpa dengan apa yang dicari,” jerit Irdigan Hevric sebaik tiba di istana. Hampir bersembur air kopi yang diminum oleh Raja Purabawi Zuvev kerana terkejut akan kepulangan anakandanya itu.

“Tunjukkan padaku buktinya,” titah Raja Purabawi.
Maka, telefon bimbit dikeluarkan untuk menunjukkan bukti kepada ayahandanya. Terbeliak biji mata Raja Purabawi Zuvev melihatnya. Kagum atau jelak barangkali.

Beberapa saat kemudian, Raja Purabawi Zuvev pengsan apabila Irdigan Hevric menunjukkan sekeping gambar seorang ibu yang sedang selfie sambil menyusukan anaknya.

Perlahan, Permaisuri Raja yang juga bonda Irdigan Hevric menghampirinya dan berbisik.

“Anakanda, ini bukan berani. Ini feujisgvxoiequesbev!” kata si bonda sambil mencarut dalam bahasa klasik Xhorfiguestrimo.

Friday, January 1, 2016

Selamat Tahun Baru JAIP

“Macam mana dengan malam ni, awak free ?”

Butang send Jamali tekan. Tidak menunggu lama, iPhone-nya berbunyi menerima pesanan diterima.

“Jadi. Awak ambil saya dekat bus stop, tempat biasa, pukul 10 malam. Boleh ?”

Jamali tersenyum. Dibalas “Ok”

                                                                                           ***

Tepat seperti mana yang dijanjikan, Jamali tiba di bus stop dengan kereta Viva miliknya. Kereta Viva yang dibeli secara hutang di mana di bahagian luarnya sudah banyak diubahsuai mengikut selera anak muda kini – sticker ‘Budak Nuckal di bahagian luar pintu pemandu, spoiler tinggi melangit di bahagian bumbung belakang, tayar depan dan belakang senget terkeluar dari kedudukan asal seperti baru lepas mengalami kemalangan dilanggar motor Honda c70.

Sudah puas emaknya, makcik Rokiah melarang Jamali berbuat demikian – menghias kereta seperti orang hilang pedoman sekaligus menghabiskan duit, namun seperti anak muda yang lain, demi kepuasan diri sendiri, tetap juga Jamali melakukan ubahsuai sedikit demi sedikit. Kata makcik Rokiah, daripada menghabiskan duit untuk mengubahsuai kereta yang belum habis dibayar bukanlah tindakan yang bernas kerana kereta itu bukan lagi miliknya 100%. Kereta itu masih lagi milik pihak dari bank.

Kata makcik Rokiah lagi, daripada berhabis duit untuk benda yang belum pasti ada baiknya simpan duit itu untuk perkara yang sudah pasti. Misalnya duit itu digunakan untuk bayar bulanan kereta itu supaya cepat habis dari berhutang, atau menyimpan untuk keperluan lain tetapi anak muda seperti Jamali yang baru pegang stereng, nasihat itu tidak sempat masuk ke telinga kanan keluar di telinga kiri.

“Sorry lambat, bagi makan kucing tadi. Kucing seekor tu tak nak makan, jadi terpaksalah saya pujuk dia makan. Nak pujuk dia makan pun ambil masa setengah jam, tu pasal lambat” Zila memberi penjelasan sebaik masuk ke dalam perut kereta. Punggung dilabuhkan di tempat duduk penumpang.

Jamali tersenyum. Tidak berminat hendak mengambil tahu apa alasan yang diberikan Zila. Sepanjang 3 tahun mengenali Zila, dia sudah lali dengan perangai Zila. Jika dibilang dengan jari, boleh dibilang berapa kali Zila menepati masa. Dan selebihnya tiap kali berjumpa, pasti akan disusuli dengan alasan datang lambat – beri kucing makan, cari handphone, cari kunci rumah dan pilih pakaian yang sesuai.

“Kita nak pergi mana ?” Zila bertanya di saat kereta Viva dipandu Jamali meluncur di jalanraya.

“Awak dah makan ?” Soalan dibalas soalan. Stereng kereta dikawal dengan menggunakan siku manakala tangan Jamali membakar rokok di bibir.

“Belum lagi. saya bercadang tak nak makan. Saya sedang menjalani diet” Balas Zila sambil melihatkan wajahnya di cermin kecil sebesar tapak tangan.

Bibir atas dan bawah Zila kemam bagi meratakan gincu merah yang dipakai. Setelah merasa yakin dengan wajahnya – mengangguk kepala beberapa kali, cermin itu disisip masuk ke dalam beg tangannya.

“Saya belum makan. Awak teman saya makan ok ?”

“Ok” Balas Zila.

                                                                                             ***

“Lepas ni kita pergi Taman Kerang nak ? Tengok bunga api” Ajak Zila. Pinggan kosong yang tadi dipenuhi dengan nasi goreng kampung ditolak ke tepi. Air tembikai gelas besar ditarik. Dikacau air tembikai dari permukaan gelas hingga permukaan air bagi sebati.

Jamali yang bersandar di kerusi tidak membalas. Dikeluarkan sebatang rokok U2 dari kotaknya dan diketuk-ketuk hujung puntung rokok itu supaya lebih padat. Bagi seorang perokok seperti Jamali, tidak menghisap rokok selepas makan samalah seperti berkahwin tetapi tidak bersetubuh. Terasa tidak lengkap. Rasa rugi kerana kehilangan salah satu rasa nikmat hidup.

“Lepas tengok bunga api ?” Tanya Jamali. Asap rokok dihembus ke udara. Langsung tidak mempedulikan manusia di sekeliling.

“Up to you” Zila senyum.

Jamali balas senyuman Zila.

Jamali mengangkat tangan. Tinggi. Membuat isyarat menyuruh kira. Tuan kedai yang faham isyarat itu pantas menghampiri meja diduduki Jamali. Kalkulator ditekan berkali-kali sehingga menghasilkan bunyi Tuk-Tuk-Tuk-Tuk.

“Rm26.50”

Jamali hulur duit tanpa sembarang rungutan. Biarpun harga itu tidak masuk akal – 2 nasi goreng kampung, 1 air tembikai gelas besar dan secawan nescafe, Jamali tidak mempertikaikan harga itu. Jamali berpegang kuat pada pepatah pujangga ‘Hal makan jangan kedekut kerana apa yang dimakan itu untuk diri sendiri’ dan yang lebih penting lagi, di hadapannya Zila yang dicintai. Tidak bagus memberikan impak yang buruk kepada orang dicintai bagi mengelakkan dituduh kedekut.

Dari Tanjung Lumpur, Jamali memandu kereta menuju ke Taman Kerang untuk menyaksikan pertunjukkan bunga api. Keadaan lalu lintas sesak dipenuhi kenderaan. Mat rempit membonceng makwe mencelah-celah menunjuk kehebatan mengawal motorsikal. Makwe di belakang kecut perut memikirkan nyawa yang bakal melayang.

Malam Tahun Baru tidak pernah sepi. Biarpun ramai masyarakat mengeluh tentang kenaikan kos sara hidup, wang tidak cukup untuk belanja hidup, mereka inilah yang akan berhabis wang untuk kebanyakkan perkara yang sia-sia. Untuk keluar ke bandar sahaja sudah memerlukan rm40 untuk mengisi minyak kereta. Makan untuk 2 orang rm30, jika satu keluarga 5 atau 6 orang mungkin memerlukan rm100. Itu baru dari segi kewangan, jika diolah dari segi masa dan tenaga, ianya sangatlah perkara yang sia-sia kerana tujuannya hanya mahu menonton bunga api. Ya, hanya bunga api !

Jamali tenang memandu. Di bahagian tempat duduk penumpang, Zila menyanyi kecil mengikut lagu dari corong radio. Sesekali jalanraya itu dihiasi dengan bunyi hon yang bersahutan.

                                                                                         ***

“Saya nak bilik paling murah”

“Kebetulan tuah encik. Masih ada kosong satu bilik murah berharga  rm120. Jika encik berminat boleh serahkan kad pengenalan sekali dengan wang perlu dibayar”

Jamali mengeluarkan dompet dan membuat pembayaran. Dompet kulit buaya tiruan miliknya diletakkan di atas meja kaunter sementara pekerja hotel bernama Faizal – nama yang tertera di name tag di bahagian di dada uniform, menekan-nekan papan kekunci komputer.

Sesekali Jamali menoleh ke belakang melihat Zila duduk di atas sofa di ruang lobi. Sengaja Jamali menyuruh Zila menunggu di situ supaya tidak menimbulkan syak wasangka dan yang paling penting, orang tidak nampak mereka berdua masuk ke dalam hotel dalam masa yang sama.

“Ini kadnya, encik Jamali. Encik Jamali hanya perlukan masuk kad ini ke dalam kotak sistem di luar pintu bagi membolehkan encik masuk ke dalam bilik. Atau jika ada sebarang masalah, encik Jamali boleh merujuk kepada saya di sini” Pekerja bernama Faizal menyerahkan kad pas masuk kepada Jamali sebelum menyambung “Seorang je ke ?”

“Haah. Saya seorang. Terima kasih, ya” Ujar Jamali beredar pergi. Tidak mahu berlama-lama membuang masa kerana dia ada misi yang harus diselesaikan.

Jamali melintas di ruangan lobi. Di atas sofa empuk, Zila memandang wajah Jamali dan Jamali mengenyit mata tanda urusan sudah selesai. Handphone di dalam poket Jamali keluarkan. Langkah diteruskan ke bilik yang dituju dan dia akan menunggu kedatangan Zila di dalam bilik itu.

“Tingkat satu. Bilik no 32”

Jamali tekan send.

Zila senyum sambil mengatur langkah sebaik menerima pesanan Jamali. Sengaja dia berpura-pura menekan-nekan skrin handphone untuk mengaburi mata yang memandang – rambutnya jatuh menutup sebahagian wajahnya supaya wajahnya tidak dicam.

Di dalam bilik bernombor 32, Jamali sudah siap menyarung tuala pada tubuhnya bagi memudahkan kerja. Pakaian yang dipakai tadi dicampak di atas katil. Tidak menunggu lama, pintu bilik diketuk perlahan. Pantas, Jamali membuka pintu.

“Amboi, siap bertuala” Zila senyum menggigit bibir.

Tidak mahu membuang masa, atas dorongan bisikan Syaitan dilaknat Tuhan, pantas Jemali menarik tangan Zila masuk ke dalam bilik. Tubuh mantap Zila direbahkan di atas katil. Segenap inci tubuh Zila dijelajahi Jamali. Dari bibir bertemu bibir, turun ke leher dan terhenti di dada.

Pakaian dipakai Zila satu persatu Jamali lucut dari tubuh. Kain selimut diganti menutupi separuh tubuh Zila. Dan erangan nafas Zila menyelubungi segenap ruang bilik. Sejuk aircond tidak memberi kesan pada kedua-dua tubuh anak Adam dan Hawa mencari kepuasan dorongan nafsu.

Sedang Jamali dan Zila mencari kepuasan di lautan asmara yang masih lagi tidak berpenghujung, pintu bilik diketuk bertalu-talu. Jamali kaget. Zila cuak. Jamali pandang Zila dan Zila pandang Jamali. Degupan jantung seolah-olah berhenti.

Untuk pasangan yang belum ada ikatan sah, jika ada orang yang mengetuk pintu bilik hotel bukanlah satu gurauan. Ia lebih kepada satu malapetaka. Jika tidak percaya, tanyalah soalan ini kepada sesiapa yang pernah melakukan kerja terkutuk ini, pasti mereka memberikan jawapan yang serupa.

Siapa ?

Persoalan yang bermain di kedua-dua minda.

Pintu diketuk lagi. Kali ini lebih kencang.

Zila capai tuala menutup tubuhnya. Ke hulu ke hilir serupa kucing kehilangan anak. Sekejap kepalanya menjenguk di tingkap. Mencari tempat untuk menyembunyikan diri.

“Mati kita macam ni. Saya dah cakap tadi, check in hotel malam Tahun Baru ni tak selamat” Mata Zila berair.

“Awak menyorok dalam bilik air” Jamali kaget.

Zila yang tidak sempat berfikir akibat ketakutan lantas mengikut cadangan Jamali. Berlari ke dalam bilik dan menguncinya dari dalam tanpa mempedulikan bakal nasibnya sebentar lagi.

Jamali menghampiri pintu mencari-cari lubang kecil yang membolehkan penghuni bilik melihat orang dari luar namun malangnya, pintu bilik itu tidak dilengkapi lubang intai. Untuk mengetahui siapa yang mengetuk pintu biliknya, dia harus membuka pintu itu.

Dengan berat hati, daun pintu dipulas. Jamali hulur kepala di ruangan pintu yang dibuka separuh.

“Maaf menganggu, encik Jamali. Dompet encik tertinggal masa encik buat pembayaran tadi” Faizal tersenyum di muka pintu.

Jamali lepaskan nafas yang menyesakkan dada. Dompet miliknya bertukar tangan. Jika dikutkan hati hendak saja dia memaki hamun pemuda yang bernama Faizal itu namun bila memikirkan yang tujuannya baik – memulangkan dompet kulit buaya tiruan miliknya, dia hanya mampu mengeluh lega. Tidak mampu berkata apa-apa.

“Jika tiada sebarang masalah, saya minta diri dulu. Happy New Year” Faizal cuba beramah.
Jamali mengangguk. Pintu dikatup.

Pintu bilik air Jamali ketuk perlahan-lahan. Wajah Zila muncul di sebalik pintu dengan mata merah berair. Ada kesan airmata yang belum kering di kelopak matanya.

“Siapa tadi ?” Tanya Zila.

“Budak kerja hotel ni. Dia pulangkan dompet saya ni” Balas Jamali sambil menunjukkan dompet kulit buaya tiruan miliknya.

Dompet di tangan dicampak ke atas katil. Tubuh Zila ditarik rapat. Dirangkul dalam pelukkan. Leher  Zila kembali dijelajah.

“Stop it. Saya tak ada mood. Bedebar tak hilang lagi ni” Zila cuba melepaskan diri dari pelukkan Jamali.

Jamali tidak mengendahkan Zila. Tubuh Zila dibaluti kain tuala dibaringkan ke atas tilam empuk – tilam yang entah berapa ramai manusia yang bergelimpangan di atasnya.

Sedang Zila menikmati nikmat yang berikan Jamali, pintu bilik sekali lagi diketuk. Sekali lagi wajah Zila berubah kaget namun tidak sekaget tadi. Berbeza dengan Jamali, riak wajahnya bersahaja. Sedikit senyuman terukir di bibirnya memandang Zila yang ditindih.

“Kejap saya tengok menda budak tu nak lagi. Ada-ada je dia” Jamali bangun mengena tuala pada tubuhnya.

Di atas katil, Zila hanya memerhati Jamali menghampiri pintu.

Daun pintu Jamali genggam kemas. Tanpa fikir panjang, Jamali kuak luas pintu bilik.

“Assalamualaikum. Kami dari Jabatan Agama Islam Pahang. Kami menerima aduan yang kononnya encik bersekedudukan bersama perempuan yang bukan muhrim. Jika encik tidak keberatan, boleh encik memberi kerjasama untuk kami memeriksa keadaan di dalam bilik ini ?”

Pandangan Jamali kabur. Putih. Kelabu. Hitam. Pitam.

Tuesday, December 15, 2015

365 Hari Memburu Janji

Saya singsingkan sedikit tirai di jendela. Jauh memandang ke arah timur. Melihat percik-percik cahaya sang suria pagi yang pertama untuk tahun ini. Masih sama cerahnya seperti tahun-tahun terdahulu. Menyapa dunia dengan selembut bahangnya pada hari ini – Khamis, 1 Januari 2015. Syukurlah, masih mampu saya menikmati vitamin E yang percuma ini.

Lalu saya melangut tinggi. Dongak memandang dada langit yang kian berdendang kecerahan. Pagi yang terlalu indah untuk ditinggalkan. Jika saya mampu, ingin saya hentikan putaran waktu sekarang juga. Agar keindahan ini tidak akan terginjak. Agar keindahan ini tidak terkhianati oleh janji-janji.

Tapi saya tidak mampu. Dan bumi semakin hangat.

Manusia berlumba-lumba mengejar kepastian dalam gumpalan cabaran yang semakin kronik. Konflik-konflik meditasi menyelinap di setiap lorong kehidupan tanpa ada rasa simpati. Dalam sedar atau tidak, luluh jua keringat yang tidak berpatutan dengan upah yang diterima. Yang gendut, terus gendut dan yang kerempeng terus kerempeng.

Semput dan gagap.

Dalam sedu, saya mendaki denai perjalanan yang tidak berbukit dan berpuncak. Rata dan sekata. Tapi terlalu perit untuk ditempuhi. Tiada hentian rehat untuk melepaskan hatta sedehem batuk. Masa yang terlalu jaguh untuk kita tewaskan. Paksalah juga diri untuk menuruti agar tidak tertinggalkan yang mustahak.

Kadangkala, langkah hanya sedikit terlewat. Barangkali setapak dua. Tapi terlalu jauh ditinggalkan. Dari setapak dua itu, kelewatannya sampai berskala seribu langkah. Makin dikejar, makin sakit. Tidak dikejar, juga sakit.

Saya perhatikan ulas buah harapan yang masih berbaki ini. Seakan sudah lemau dimamah waktu. Elokkah lagi untuk saya jamah agar esok hari tidak kelaparan? Perut sudah kenyang sebenarnya. Menjamah janji-janji manis, manifesto mega jaya, dan provokasi lantang kosong. Terlalu sarat dengan semua itu. Mahu saja saya jeluakkan semua isi perut ini.

Satu berganjak dua. Dua berganjak tiga. Tiga, empat, lima dan seterusnya. Sudahnya, sampai ke tiga puluh satu. Januari mahu ucap selamat tinggal dengan lambaian yang penuh jerih. Pergilah, wahai sayang Januari. Ada rezeki, panjang umur kita ketemu lagi. Doa-doalah kepada Illahi.

Saya masih melangkah ketika Februari datang. Katanya, bulan cinta, bulan romantis. Saya lihat, manusia masih berlumba-lumba. Mengejar cinta atau ditinggalkan cinta sehingga tiada masa untuk menoleh langsung. Tiada! Tiada bulan cinta dan romantis. Tiada! Semua bulan sama sahaja. Manusia terus berlumba-lumba lalu gila kerana ditabur janji dusta.

Cinta sudah lenyap.

Mac menyapa tanpa salam perkenalan. Dalam gerung hati yang lunak menjerit kesakitan sampai tak terluah suara. Saya menggerumuk memandang hutan batu yang kian bersemak-samun ini. Langit tak terlihat lagi aura impian. Hanya menggermang pada dinding kedustaan. Belakang badan sarat dengan beban helah yang digalas.

Wahai janji, usah berdalih lagi. Saat melangkah ke sempadan April, saya sedar yang langkah ini semakin kejauhan walaupun telah digesitkan berkali ganda kudrat. Semakin laju, semakin ditinggalkan. Celakalah keseluruhannya bila Mei menjemput April yang bagai tidak terkalih ia berlalu.

Jarum saat terus setia berputar seperti paksi yang menuruti kejadian siang dan malam. Angan, impian, doa, harapan juga turut berputar sama. Tinggal lagi, hendak diterjemahkan menjadi lukisan realiti yang saya sendiri tidak pasti bila, di mana dan bagaimana. Sudahnya, kalendar menginjak Jun. Dosa-dosa terus giat terkumpul dalam gerombongan bahu kiri.

Bila saya pejamkan mata, saya terdengar bunyi angin yang maha merdu. Damainya memeluk tubuh yang kian gering beralaskan harapan. Adakah ini petanda makbulnya doa-doa saya sepanjang perjalanan ini? Seperti enggan membuka kelopak mata. Bimbang dek kedamaian ini akan mati.

Tapi, saya perlu terus melihat dunia.

Lalu, dibuka perlahan-lahan mata. Ah, terus sahaja Julai menerpa. Dalam siksa, saya gagahi jua. Memburu janji-janji yang pernah dilaung. Mengejar impian yang pernah dihamparkan dahulu. Jerihnya kaki ini hendak melangkah lagi dalam kecelakaan sakti.

Saya terjerongok bila melihat papan iklan yang memaparkan si tua bongkak berpakaian segak. Iklannya menempel janji-janji lama. Yang saya buru sejak Januari lalu. Kini, sudah Ogos. Janjinya masih tak terungkai. Manakan si bongkak tahu saya sedang gering. Saya makan ikan kering, dia makan daging.

Jadilah saya manusia yang kebuluran harapan ditanam hidup-hidup oleh janji si tua bongkak berpakaian segak.

September menjelma. Saya seakan mahu mengalah. Sembilan purnama terpaksa berjinjit-jinjit untuk meneruskan hidup. Bernafas pun mengah, bernyawa pun semput. Tinggal lagi hendak bercerai dengan badan sahaja. Bagai menapak dalam lubuk jerung yang lapar.

Dalam keluh saya yang semakin menggeru, Oktober tiba. Maka, sesal saya masih belum berkesudahan. Bila papan iklan diturunkan, kemudian diganti dengan yang baru ia kian menggermang saya. Iklan baharu, janji baharu dan kedustaan baharu.

Warna putih ternampak hitam, merah ternampak hitam, biru ternampak hitam, hijau ternampak hitam dan semuanya ternampak hitam. Zulmat. Hitam dengan janji-janji dusta kamu. Lalu, November tiba dengan awan hitam yang memberikan harapan hujan.

Lenjun bermandikan hujan. Saya harap setiap titis kerasnya melunturkan janji-janji dusta.

Bayu Disember menyapa keras. Menggigit tubuh dengan kedinginan hingga ke temulang. Meliatkan urat-urat dan otot-otot yang selama ini berpanji memandu pergerakan saya. Sedingin harapan yang semakin tipis. Saya termenung melihat matahari pagi bulan Disember. Kaku dan tidak berganjak sehingga cahaya menipis jauh di barat. Senipis impian yang mega ketika Januari lalu.

365 hari melangkah, memburu janji-janji dusta. Yang saya dapat hanya lelah. Keringat tak terkira tenatnya. Tipisnya harapan untuk mengharap lagi. Juga impian yang sudah bertranformasikan mimpi. Sekadar mimpi. Lekaslah saya bangkit menggali lubang sedalamnya. Menguburkan semua janji dusta, harapan dan impian. Saya semadikan ke dalam tanah yang menangis kecewa.

Untuk si tua bongkak berpakaian segak, lurutkan suit mewahmu. Melangkahlah bersama manusia-manusia yang menderita dek janji dustamu. Nikmatilah angin kecelakaan yang engkau hembuskan bersama impian dahulu. Berhentilah menghambur slogan harapan. Undur dan pergi sahaja jauh-jauh.





Saturday, November 21, 2015

Obama

Semalam saya jumpa dengan Obama. Sudah lama saya tak berjumpa dengannya. Obama masih sama seperti dahulu, saat pertama kali saya berjumpa dengannya. Saya sangat gembira dapat bertemu kembali dengan Obama.

Saya bawa Obama ke sebuah kedai mamak dan duduk di meja yang paling hujung di bahagian kaki lima bangunan. Memang sudah kebiasaan, saya akan duduk di situ setiap kali datang ke kedai mamak ini.

Obama enggan orang lain menyedari kehadirannya di situ. Jadi, dia tunggu sebentar di luar sementara menunggu pesanan sampai. Seorang pekerja mamak membawakan saya nasi putih dan ayam tandoori. Juga sepiring kuah kari kosong.

Saya tahu, Obama tak suka makan nasi. Jadi saya belanja dia makan ayam tandoori sahaja. Saya panggil Obama sebaik makanan itu tiba. Obama datang dengan wajah yang jelas tidak bermaya.

Saya berikan ayam tandoori kepada Obama. Perlahan-lahan ayam tandoori itu dikunyahnya. Tidak seperti sebelum-sebelum ini, Obama sangat berselera setiap kali memakan ayam tandoori. Risau juga saya melihat keadaan Obama.

Wajahnya nampak sangat lesu. Mungkin terlalu letih kerana terlalu sibuk dengan aktiviti hariannya. Saya menggosok belakang badan Obama. Mungkin boleh bantu dia keluarkan angin dalam badan.

Kulitnya yang gelap itu nampak pucat dan terasa panas ketika disentuh. Saya syak Obama diserang demam panas. Mungkin tidak biasa dengan keadaan cuaca di Malaysia sekarang ini. Sekejap panas terik, sekejap hujan lebat. Jangankan manusia, anjing pun boleh demam jika cuaca tidak menentu.

Saya hulurkan segelas air suam kepada Obama untuk dihirup. Ketika demam, kita perlu minum air yang banyak supaya kepanasan dalam badan akan lekas terhidrat samada melalui peluh mahupun air kencing.

Saya seluk poket seluar. Ada dua biji panadol. Saya hulurkan kepada Obama. Namun, Obama tidak mahu. Mungkin Obama tidak suka makan ubat. Saya fikir, Obama lebih suka merawat sakit menggunakan herba ataupun kaedah hemopati. Saya kasihan melihat keadaan Obama yang tidak bermaya.

Jika sebelum ini, Obama sangat cergas. Setiap kali berjumpa, Obama tidak akan duduk diam. Pasti ada sahaja keletahnya yang mencuit hati. Tetapi, hari ini sungguh berbeza. Mungkin juga faktor usia yang membuatkan Obama cepat letih dan tidak bermaya.

Saya memicit kepala Obama. Kemudian, Obama meletakkan kepalanya di atas paha saya. Meminta untuk dipicit lagi barangkali. Saya meletakkan minyak angin ke kepala Obama, kemudian memicit dengan lebih kuat. Obama kelihatan terpejam matanya. Pasti sudah berasa lega sedikit dengan urutan saya itu.

Saya lihat seorang pekerja kedai mamak datang meluru ke arah saya. Saya menggerakkan paha menyuruh Obama lekas bangun dan berlalu supaya tiada siapa yang menyedari kehadirannya di situ. Pekerja kedai mamak itu kelihatan sedang marah.

“Hoi orang gila! Saya kasi makan, you makan sorang-sorang saja sudahlah. Jangan bawa itu anjing datang makan sekali. Nanti saya kena samak satu kedai kalau ada orang kasi viral gambar you dengan anjing makan dekat sini dalam itu Facebook!”

Saya lihat Obama sudah pergi jauh dari situ. Mungkin merajuk. Saya sambung makan nasi putih, baki ayam tandoori dan kuah kari. Kemudian, saya ucap terima kasih kepada pekerja kedai mamak tadi. Saya harap esok Jabatan Agama datang sini dan samak satu kedai.




Friday, October 30, 2015

Bercakap Tidak Sedarkan Diri

Botol plastik jenama Coke Cola yang siap tercacak batang betik di muncungnya Rahim tolak ke tepi. Asap tembakau yang ditarik dari botol Coke itu sehingga memenuhi ruang paru-paru dihembus keluar perlahan-lahan. Matanya sepet kemerah-merahan. Akalnya hilang ditelan bersama kenikmatan tembakau yang sudah bertukar menjadi abu.

Johari yang duduk di hadapan Rahim hanya memerhati kelakuan Rahim. Johari tidak berminat dengan apa tembakau itu walaupun dipelawa Rahim berkali-kali. Walaupum Johari seorang perokok namun jauh di dalam hatinya masih boleh membezakan yang mana yang baik dan mana yang buruk.

Biar pun ganja itu lebih kurang samanya seperti rokok namun di sisi undang-undang negara, ianya tetap menjadi kesalahan jika memiliki ataupun menghisapnya. Ke tepikan soal cukai, haram atau apa-apa pendapat, di dalam negara yang ada undang-undang berkanun, yang salah tetap salah walaupun ada suara yang cuba menidakkannya dan cuba menghalalkannya.

"Kau tak nak rasa ke ?" Soal Rahim. Botol Coke yang ditolak ke tepi dicapai semula lalu dihulurkan kepada Johari.

Johari menggeleng "Mak aku marah"

"Kalau kau tak bagi tahu mak kau, mak kau tak akan tahu kau hisap ganja" Balas Rahim tersengih-sengih. Entah apa yang mencuit hatinya sendiri Johari tidak tahu.

"Allah is watching" Balas Johari tanpa ragu-ragu.

Terdiam terus Rahim dari berkata-kata. Benar, sepandai mana pun kita menipu dan menyembunyikan sesuatu, kita tidak boleh lari dari pandangan Tuhan dan malaikat mencatat segala amalan yang dilakukan untuk bekalan hari akhirat kemudian hari.

"Macam mana dengan kerja kau ? Itu hari cakap nak berhenti" Rahim mengalih topik perbualan. Botol Coke masih lagi tangannya.

"Entahlah. Aku nak cakap pun susah. Aku ingat tak jadi nak berhenti, kerja je dulu mana yang patut"

"Tapi sampai bila kau nak kerja situ ? Kerja tu bukan ada masa depan. Kalau sekarang ni bolehlah kau nak kerja situ, nanti bila kau dah tua, tak kan kau nak kerja tu lagi ?" Tembakau di dalam 'dapur' dibakar Rahim lalu disedut dalam-dalam "Kerja kau tu tak ada masa depan. Suka atau tak, kau kena keluar dari zon selesa ni, Joe. Jangan terlampau selesa sangat dengan apa yang kau ada sekarang ni kelak nanti kau sendiri yang menyesal"

"Cakap memang senang, Rahim. Nak merealisasikan apa yang kita cakap tu bukan semudah macam kita fikirkan" Balas Johari "Kau rasa kalau aku tak buat kerja yang aku buat ni, kerja apa yang aku boleh buat dengan kelulusan aku sekarang ?"

"Dalam hidup ni ada banyak jalan terlintas di depan mata selagi kita masih bernafas. Bezanya cuma kita pandai hargai peluang yang ada di depan mata tu atau tidak je. Kau kena keluar dari zon selesa ni kalau kau tak nak hidup kau mendatar tak ada naik turun. Jangan ingat kalau kita tak buat apa yang kita buat sekarang ni, kita mati. Silap besar kalau kita fikir macam tu, Joe"

Johari diam. Apa yang dikatakan oleh Rahim difikir dalam-dalam. Benar seperti apa yang dikatakan Rahim, hidupnya kebelakangan ini agak mendatar. Tiada cabaran yang ditempuhi kerana kehidupan seharian tidak banyak berfikir.

Pernah juga Johari terfikir yang dirinya hanya seketul daging yang hanya hidup untuk memberi kesenangan pada orang lain. Bangun pagi pergi kerja, cukup masa balik ke rumah dan masanya banyak dihabiskan di tempat kerja berbanding masa untuk diri sendiri.

Waktu bekerja pula 12 jam. Cuti hari Khamis dan untuk meminta cuti di tempat kerjanya bukanlah perkara yang mudah kerana perlu berhadapan dengan bos dan perlu tunjuk sebab. Jika tiada surat tunjuk sebab, gaji Johari akan dipotong sebanyak 3 hari.

Namun walaupun rasa tidak puas hati itu kadang-kala sudah capai kemuncak, Johari masih bertahan bekerja di situ kerana bukan mudah untuk memiliki apa yang dimilikinya sekarang. Gaji yang memuaskan hati dan tiada tekanan di tempat kerja seperti kebanyakkan orang lain. Kerana itu Johari bertahan.

"Kau boleh berniaga sendiri, Joe. Berniaga pasar malam macam aku ni. Sekurang-kurangnya kau ada masa untuk diri kau sendiri dan berniaga ni boleh membuatkan kau berusaha lebih gigih. Kau akan rasa tu sebagai cabaran untuk menaikkan semangat hidup kau" Kata Rahim lagi "Berapa gaji kau sebulan dan berapa kau boleh menyimpan sebulan ?"

"Betul apa yang kau cakap tu tapi itulah, bukan senang aku nak dapat apa yang aku dapat sekarang ni. Gaji aku tu tak adalah mahal mana, sebulan boleh dapat rm2500 je dan bolehlah aku menyimpan rm1000 sebulan kalau tak ada masalah dalam bulan tu" Jujur Johari jawab pertanyaan Rahim. Baginya tiada apa yang perlu disembunyikan dan berlaku jujur itu adalah sebaik-baik perbuatan.

Rahim tersedak. Botol Coke yang masih berada di tangannya diletak di tepi. Air meneral berjenama Ice Mountain terus dicapai lalu diteguk laju. Tersedak asap tembakau bukanlah perkara yang menyeronokkan kerana rasa peritnya seperti mahu terkeluar segala isi perut.

"Fak. Mahal jugak gaji kau ! Aku berniaga sebulan pun tak dapat banyak macam tu" Balas Rahim "Errrr, kat tempat kerja kau ada kosong tak ? Nak pakai orang lagi tak ?"

Johari geleng kepala berkali-kali sebelum memberikan Tendangan Pemusnah Zuriat tepat di kelangkang Rahim.

Monday, October 12, 2015

Untuk Tiga Jam

Khairul adalah seorang lelaki yang berusia 26 tahun. Dia sudah berkahwin dengan seorang wanita bernama Norhidayatul dan memiliki seorang anak perempuan berusia 1 tahun 4 bulan.
Pada setiap hari minggu, Khairul sering membawa isteri dan anaknya bersiar-siar. Khairul tinggal di sebuah pangsapuri di sekitar kawasan Subang yang bersempadan dengan Paya Jaras, Sungai Buloh. Walaupun hidup dalam keadaan yang sederhana dan tidak mewah, kehidupan mereka bertiga tetap bahagia dengan kemewahan kasih sayang.
Memandangkan hari ini adalah cuti hujung minggu, Norhidayatul telah mengajak Khairul untuk keluar bersiar-siar di sekitar kawasan Batu Caves untuk melihat pemandangan gua batu kapur. Khairul bersetuju dengan ajakan isterinya itu dan menetapkan selepas waktu Asar sebagai penanda aras untuk mereka keluar.
Usai menunaikan sembahyang Asar, Khairul, isteri dan anaknya menyiapkan diri untuk keluar beriadah ke Batu Caves. Khairul menyarungkan sehelai seluar jeans Levi’s yang dibelinya sempena bonus tahunan. Jika tiada bonus tahunan, mungkin Khairul akan membeli jeans Levi’s tiruan sahaja yang mudah diperolehi di uptown, downtown, car boot sale dan laman Instagram.
Usai bersiap, Khairul menyiapkan pula anaknya ketika isterinya sedang sibuk berdandan di hadapan cermin. Tugas menyiapkan anak bukanlah tugas isteri seorang sahaja. Sebagai ketua keluarga, seorang suami mestilah sering bertolak ansur dalam hal sebegini. Rumah tangga tanpa tolak ansur ibarat sebuah lori treler tanpa sistem brek. Mudah tergelongsor dan terbabas walaupun sekecil-kecil kesilapan.
Setelah semuanya selesai, mereka bertiga menaiki sebuah kereta berjenama negara yang megah menyusur di jalan raya. Bukannya tidak mampu memilik kereta buatan Jepun yang berteknologikan variable valve timing and lift electronic control, namun Khairul mahu menyahut seruan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir yang bersungguh-sungguh mahu rakyatnya merealisasikan Wawasan 2020. Salah satu daripada cara merealisasikannya adalah dengan memandu kereta berjenama negara.
Apa yang digambarkan tentang Wawasan 2020 melalui poster pada zaman persekolahan dahulu adalah mengarut. Imej seperti kereta terbang melalui celah bangunan berkembar KLCC, landasan keretapi setinggi bangunan 22 tingkat, manusia terapung ketika melintas jalan dan lembu memakai baju kalis peluru adalah mengarut sama sekali. Ia langsung tidak pernah disebutkan oleh Tun Dr. Mahathir.
Setelah yakin dengan kondisi dan prestasi keretanya, Khairul memakai tali pinggang keledar dan memandu dengan penuh tertib. Setiap kali berniat untuk membelok pada simpang, signal kereta Khairul akan bernyala. Ia bukanlah suatu teknologi yang paling canggih, sebaliknya Khairul tidak pernah lupa untuk memberikan isyarat sebelum membelok.
Andai sebuah kenderaan itu berjaya dibangunkan dengan teknologi membaca minda dan niat manusia, maka ia bukanlah satu kejayaan. Ia adalah suatu musibah. Andaikan seorang penjahat memandu sebuah treler yang dicuri. Ketika dikejar sebuah kereta polis, penjahat itu terfikir agar polis yang mengejarnya itu segera mati. Maka, treler yang dipasang dengan teknologi membaca minda itu akan berpusing dan melanggar kereta polis tersebut. Bukankah teknologi itu bersifat kejam jika disalah guna?
Setelah beberapa minit memandu, Khairul menyedari yang cuaca mula bertukar. Langit yang tadinya cerah beransur gelap dengan awan mendung berarak pantas. Kedengaran kilat juga sabung-menyabung. Hujan akan turun dengan lebat berdasarkan kehitaman awan yang berarak.
Jangkaan Khairul nyata tidak meleset apabila awan mendung memuntahkan air yang mencurah-curah membasahi bumi. Maka, berselerakan sang penunggang motosikal mencari tempat berteduh demi menyelamatkan smart phone masing-masing.
Hujan semakin lebat disertai dengan angin ribut yang menerbangkan daun-daun kering. Tidak lupa juga bahan-bahan buangan seperti plastik makanan ringan, roti, polisterin nasi bungkus, kertas pembalut roti john, surat khabar, kotak rokok seludup, bungkusan air ikat tepi yang masih bertali dan sebagainya. Angin ribut membawa petanda jelas yang kesedaran masyarakat kita terhadap kebersihan alam sekitar masih di tahap monyet.
Kesan daripada angin ribut dan hujan lebat yang berlaku itu, keadaan trafik mula sesak dan bergerak perlahan. Semua pemandu menyalakan lampu kenderaan masing-masing dan memandu dengan penuh berhati-hati. Terdapat juga segelintir pemandu yang tidak menyalakan lampu. Samada mereka terlupa atau degil. Sekiranya degil, maka mereka tidak sepatutnya berada di atas jalan raya ketika ini. Sebaiknya, mereka harus ditempatkan ke dalam sebuah kandang, diberi makan dedak dan dibelai sehingga jinak, kemudian barulah dilepaskan semula ke jalan raya.
Dalam sekelip mata, jalan raya menjadi sesak akibat beberapa bahagian jalan yang tidak rata dinaiki air. Semua kenderaan memperlahankan kenderaan sebaik melintasi kawasan yang dinaiki air. Dibimbangi ada lubang yang terlindung di sebalik air bertakung itu lalu tayar kenderaan akan terjerumus sekaligus mengakibatkan perjalanan menjadi semakin tidak lancar.
Khairul mengeluh sambil membebel. Dia menyalahkan sistem perparitan yang lemah adalah punca utama jalan raya mudah dinaiki air. Benar apa yang dikatakan Khairul itu. Di tebing jalan, kelihatan longkang dan parit yang dipenuhi air melimpah sehingga ke jalan raya. Kemungkinannya ada dua. Yang pertama, longkang tersumbat. Yang kedua, sistem perparitan yang bangang.
Jika longkang tersumbat, maka rakyat akan dipersalahkan. Jika sistem perparitan tersumbat, rakyat juga yang dipersalahkan kerana asyik sibuk turun berdemo dan berhimpun mendesak pemimpin sedia ada digulingkan atau mempertahankan maruah sebuah bangsa misalnya. Akhirnya, isu sistem perparitan tidak juga selesai walau siapapun yang memerintah.
Apa gunanya air percuma jika air hujan pun tidak mampu dialirkan dengan baik? Apa gunanya slogan yang mantap jika longkang yang terbina macam setan?
Setelah lebih daripada sepuluh kali melalui kawasan yang dinaiki air, mereka tiba di kawasan Batu Caves. Memandangkan keadaan trafik yang sesak, mereka tiba hanya selepas satu jam tiga puluh minit menempuhi ranjau di jalan raya. Jika dalam keadaan trafik yang lancar, ia hanya memakan masa kira-kira setengah jam.
Khairul pantas merumuskan sistem perparitan adalah punca mengapa jalan raya menjadi sesak. Begitulah pintarnya Khairul berfikir. Dia tidak menyalahkan hujan lebat yang turun kerana jika sistem perparitan dibuat dengan cemerlang tanpa sepuluh sen pun rasuah dalam urusan mendapatkan tender projek, permasalahan ini tidak akan berlaku.
Bukankah hujan itu suatu rahmat? Hanya kita sahaja sebagai manusia yang bertanggungjawab mengubahnya menjadi malapetaka.
Disebabkan hujan yang masih belum berhenti, Khairul hanya mampu membawa isteri dan anaknya melihat gua batu kapur di Batu Caves dari bahu jalan. Kelihatan juga sebuah patung besar yang menjadi mercu tanda ia adalah tempat beribadat buat penganut agama Hindu.
Khairul berasa kagum dengan binaan patung tersebut yang kelihatan teguh. Namun, rasa kagumnya adalah terhadap binaan, bukan pada anutan agama tersebut. Inilah perkara yang sering menimbulkan kontroversi dalam masyarakat kita. Sedikit pujian terhadap agama lain terus dituduh sesat. Sedikit kritikan terhadap agamawan terus sahaja dilabel munafik.
Amboi, macam dia seorang sahaja yang mahu masuk ke syurga.
Setelah beberapa minit beriadah mata melihat gua batu kapur, Khairul mula terasa lapar. Dia mengajak isterinya untuk mencari kedai makan bagi mengisi perut yang lapar. Beberapa cadangan diajukan dan isterinya membalas dengan jawapan yang paling sukar di dunia – “Ikutlah,”.
Jawapan yang diberikan itu sekaligus meletakkan semua beban mencari tempat makan yang menarik terletak di bahu Khairul. Matanya liar memerhatikan bangunan dan gerai sekeliling. Ternampak sebuah restoran asam pedas, Khairul terus memberikan isyarat untuk membelok.
Tiba sahaja di hadapan restoran tersebut, Khairul berubah fikiran setelah melihat hanya ada tiga orang pelanggan di dalam kedai tersebut. Dia berpegang teguh kepada prinsip jika ramai orang, kedai itu sedap dan jika tidak ramai, kedai itu tidak sedap. Tak pernah terlintas di fikirannya kedai yang ramai pelanggan menggunakan pelaris dan kedai yang sendu tanpa pelanggan itu sedang diilmu hitamkan.
Maka, Khairul terus memusingkan keretanya dengan kadar segera untuk mencari kedai makan yang lain. Dilihatnya banyak restoran mamak di situ, namun seleranya pada masa itu tidak menginginkan masakan India. Lalu, diteruskan perjalanannya.
Khairul melihat jam di tangannya. Sudah semakin hampir dengan waktu azan maghrib. Dia memberitahu isterinya untuk berhenti di sebuah stesen minyak bagi menunaikan kewajipan sebagai hamba Allah. Sekali lagi jawapan “Ikutlah,” diberikan oleh isterinya. Jelas di sini bahawa jawapan “Ikutlah,” boleh diguna pakai dalam pelbagai keadaan. Variasi penggunaannya adalah sangat meluas.
Sebaik tiba di sebuah stesen minyak sekitar daerah Selayang, azan maghrib berkumandang. Khairul bergegas menuju ke surau untuk mengambil wudhuk. Ketika ini, terdapat dua orang umat Islam sudahpun memulakan sembahyang secara berjemaah. Khairul menyertai mereka ketika rakaat kedua.
Surau yang terdapat pada sebuah stesen minyak tidaklah sebesar mana dan boleh menampung sehingga 5 atau 6 orang jemaah sekaligus sekiranya safnya disusun dengan betul. Malangnya, orang yang pertama sembahyang menyusun saf dengan berterabur, maka hanya dapat menampung tiga orang jemaah sahaja. Beberapa orang lain yang sudah mengambil wudhuk terpaksa menunggu sehingga ketiga-tiga jemaah ini selesai bersembahyang.
Sebaik selesai urusan sembahyang. Lelaki yang menjadi imam terus berwirid panjang dengan pelbagai zikir dibacakan. Usai berwirid selama beberapa minit, barulah lelaki itu menadah tangan untuk berdoa. Ibarat seorang imam di masjid negeri, dia membacakan doa yang panjang berjela tanpa mempedulikan orang lain yang sedang menunggu giliran untuk bersembahyang. Khairul mula berasa serba salah dengan tindakan imam tersebut.
Lantas, dia mengesot perlahan-lahan ke belakang dan mengaminkan doa setakat itu sahaja. Khairul bangun dan keluar dari surau. Dilihatnya muka seorang demi seorang yang sedang menunggu sudah masam mencuka.
Iya, berwirid dan berzikir adalah amalan yang sangat mulia. Ia ibarat sebuah bonus yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia. Doa yang panjang juga adalah bagus agar kita dapat memohon semua perkara yang kita kehendaki. Namun, melakukannya di sebuah surau yang bersaiz mini di saat sudah ramai orang sedang menunggu giliran untuk menunaikan fardhu Maghrib adalah perkara yang tidak patut.
Cukuplah dengan wirid dan doa yang ringkas. Allah faham dan tahu akan keikhlasan kita. Tidak pula jatuh hukum berdosa sekiranya doa yang dibacakan selepas solat hanya lapan potong ayat sahaja. Ampunkan dosaku dan kedua ibu bapaku, ya Allah misalnya.
Lagipun, bukan kita seorang yang mahu masuk syurga.
Khairul meneruskan pemanduannya dengan misi mencari kedai makan. Dia teringat akan sebuah kedai yang menjual soto berhampiran dengan Paya Jaras. Maka, GPS dalam kepalanya terus menetapkan kedai soto tersebut sebagai destinasi persinggahan.
Setibanya di kedai soto tersebut, perasaan kecewa menyelubungi Khairul apabila melihat pekerjanya sedang menggilapkan periuk belanga. Papan tanda “tutup” digantung. Sudah tidak menjadi rezekinya untuk menikmati soto. Mujurlah, kedai di sebelah masih buka.
Khairul terus duduk di kerusi sebaik dipelawa duduk oleh pelayan kedai tersebut tanpa rasa was-was. Dia berasa yakin dengan masakan kedai tersebut memandangkan ia terletak bersebelahan dengan sebuah masjid. Pasti makanan yang disediakan adalah suci dan mengikut syariat memandangkan ramai jemaah dari masjid akan mengopi di sini.
Selepas berzikir di masjid usai sembahyang, mereka akan berzikir pula di kedai makan dengan zikir-zikir memaki kerajaan, pembangkang, atlit sukan, artis realiti, pasukan bola sepak negara, penghulu mukim, dan sebagainya.
Khairul memesan burung puyuh masak kicap, telur bungkus, kailan ikan masin dan sate sebanyak sepuluh cucuk untuk dimakan. Kecur air liur dia bila terbayangkan akan kenikmatan meratah daging puyuh masak kicap tersebut. Melalui gambar pada menu, ia kelihatan sungguh menyelerakan.
Sebaik makanan yang dipesan tiba, Khairul membaca doa makan dan diaminkan oleh isteri dan anaknya. Dia mencubit sedikit daging buruh buyuh masak kicap tersebut untuk menilai kesedapannya. Dan markah yang diberikannya terhadap masakan itu adalah 3/10. Khairul pasrah.
Kemudian, dia mengambil sedikit telur bungkus untuk dijamah. Kali ini ada sedikit peningkatan kepada 4/10 namun Khairul masih kecewa. Disuapkan pula sayur kailan ikan masin ke dalam mulutnya. Markah 2/10 diberikan terhadap masakan yang langsung tiada rasa ikan masin itu. Khairul pasrah. Benar-benar pasrah.
Seorang lelaki hadir membawa sepuluh cucuk sate yang dipesan. Memandangkan sate adalah berlainan taukey, maka Khairul harus menyelesaikan bayarannya terlebih dahulu. Dia menghulurkan sekeping not sepuluh ringgit. Pekerja kedai sate itu mengambilnya tanpa memulangkan baki. Ketahuilah akan Khairul bahawa harga secucuk sate ayam di situ adalah RM 1.00.
Khairul hanya tersenyum. Fikirannya tentang kesucian kedai makan yang terletak bersebelahan masjid itu ternyata meleset sama sekali. Mungkin sate di sini lebih keberkatan kerana diperdengarkan dengan bacaan al-Quran dan laungan azan sebelum dibakar. Khairul mendoakan agar si penjual sate tidak diseksa di alam barzakh kelak.
Dalam terpaksa, Khairul dan isteri terpaksa juga menghabiskan makanan yang secara keseluruhan bermarkah 3/10 itu. Dengan sate berharga seringgit secucuk yang lebih rasa serai daripada ayam, mereka tiga beranak berjaya juga menghabiskan makanan tersebut.
Bersyukurlah juga Khairul mereka masih mampu mengunyah makanan sedang ada manusia yang terlantar sakit di hospital hanya mampu makan menggunakan tiub. Namun, yang tidak sedap tetap tidak sedap. Dia membayar harga sebanyak RM 25.00 untuk makanan yang tidak sedap itu.
Komen Khairul adalah mudah untuk semua masakan tersebut. Mereka masak tidak menggunakan jiwa. Hanya kerakusan memegang sudip dan kuali untuk mendapatkan pulangan wang dan keuntungan. Bukankah keuntungan jiwa pelanggan adalah lebih mustahak? Makanan yang lazat akan menenangkan jiwa semua orang. Maka, memasaklah dengan penuh kejiwaan. Usahlah membuka kedai makan jika anda memasak macam orang bangang.
Tidak mahu merungut lagi dan menganggap ia sebagai ketentuan Illahi, Khairul terus memandu pulang ke rumah. Allah menguji kita dalam pelbagai cara samada kita sedari ataupun tidak. Khairul melihat jam di tangan kirinya. Sudah jam 8.10 malam. Bermakna tepat tiga jam dia keluar dari perkarangan rumahnya dengan tujuan beriadah. Selama tiga jam itulah juga dia diuji dengan pelbagai peristiwa.
Setidak-tidaknya, ujian itu membawa Khairul lebih jauh berfikir sekaligus menajamkan akal dan mematangkan fikirannya. Bukankah Allah menguji semua hamba yang dikasihi-Nya?