Showing posts with label Cerita orang dewasa. Show all posts
Showing posts with label Cerita orang dewasa. Show all posts

Monday, April 25, 2016

Hujung Nyawa

Entah mengapa pagi ini Amir merasa tidak sedap badan. Bukan. Bukan hendak demam atau jatuh sakit, badannya terasa lain seperti mana hari-hari lepas lantas mempengaruhi hatinya. Hatinya terasa tidak tenteram. Berkecamuk. Bagaikan urat-urat yang mengalir darah di dalamnya, terus ke hatinya tersumbat, tidak sempurna pengaliran darah itu.
     Dari hati, perasaan yang terlahir di hati itu lantas di bawa ke otak sehingga fikirannya kacau. Akalnya tidak dapat memproses rasa itu sekaligus menjadikan kerja yang dilakukannya kacau-bilau. Umpama sektul daging yang bergerak, hanya jasadnya yang berdiri melakukan kerja namun roh dan fikirannya terbang melayang dibawa perasaan itu.
     Melihatkan keadaan rakan sekerjanya itu, Azmi, rakan sekerja Amir bertanyakan apa yang difikirkan Amir. Mana mungkin Azmi tidak perasan akan perubahan diri rakan sekerjanya itu, diminta lengkuas, Amir beri bawang merah. Diminta papan pemotong daging, Amir hulur buah tomato. Kerjanya sedikit terganggu dek kerana tingkah-laku Amir.
     Seperti kebiasaan jika ditanya hal peribadi atau apa yang difikirkan sehingga menggangu kerjanya sebagai pembantu chef, Amir lebih suka mengatakan “tiada apa-apa, semuanya beres” sambil memberikan senyuman palsu yang jelas menampakkan menyorokkan sesuatu. Dan itu membuatkan Azmi tidak memiliki pilihan lain selain, berhenti bertanya lalu mengangguk memberi kata putus “kalau ada masalah, kongsi. Mungkin aku tak boleh tolong tapi aku pendengar yang baik”
     Amir mengangguk tersenyum tiap kali mendengar kalimat itu.
     Handphone di dalam poket seluar Amir bergetar panjang menandakan panggilan masuk. Dikeluarkan handphone itu dari poket dan melihat nama bapa mertuanya di skrin. Setelah meminta izin daripada Azmi untuk menjawab panggilan, Amir bergegas keluar dari ruang dapur hotel. Amir menyelinap di celah-celah tubuh rakan sekerjanya yang sibuk melakukan kerja lain.
     Tiba di luar, pintu belakang keluar-masuk untuk pekerja, panggilan itu terputus. 2 panggilan tidak berjawab di kaca skrin. Kedua-duanya daripada panggilan orang yang sama. Daripada bapa mertuanya. Amir membuatkan panggilan kepada bapa mertuanya. Amir rasa tidak sedap badan.
     Tidak menunggu lama, panggilan itu terjawab. Bapa mertuanya memberitahu berita yang membuatkan seluruh urat sendi terasa tidak berfungsi, masa seolah-olah terhenti dan airmata mengalir di pipi. Amir terjelepuk di atas lantai di belakang itu.
     20 minit berlalu pergi. 20 minit masa yang diperlukan Amir untuk menjawab panggilan itu agak terlalu lama. Azmi tidak senang duduk. Banyak kerja yang perlu dibereskan oleh mereka. Sudah puas dia bertanya kepada yang lain - melihat Amir atau tidak, namun soalan itu hanya mampu dibalas dengan gelengan kepala atau menjongket bahu oleh rakan sekerja yang lain. masing-masing tidak mempunyai jawapan untuk soalan itu.
     Azmi melangkah keluar dari ruang dapur. Mencari di mana Amir berada. Tiba di muka pintu, didapati Amir terduduk bersandarkan dinding bangunan. Terduduk berteleku dengan airmata deras mengalir di pipi.
     “Kenapa?” Azmi memegang bahu Amir yang diam tidak berkutik. Sedikit pun tidak endahkan kedatangan Azmi.
     Amir tidak membalas pertanyaan Azmi. Sebaliknya dia menarik lutut rapat ke dada, meletakkan kedua-dua tangan di atas lutut dan menekupkan muka di lengan. Menghabiskan sisa tangisan semahu-mahunya. Bahu terhenjut-henjut menahan sendu.
     Azmi yang masih keliru dengan keadaan Amir, mendiamkan diri. Tidak bertanya apa-apa. Azmi mengambil tempat duduk di sebelah Amir.
     “Amir, aku tak tahu apa masalah kau. Kau tak nak kongsi masalah kau dengan aku” Azmi membuka bicara setelah tangis Amir agak reda. Memegang bahu Amir. Kuat. “Kita berkawan dah lama, Mir. Kalau kau ada masalah, kalau aku boleh tolong, aku tolong”
     Amir mengangkat muka memandang Azmi “Bini aku meninggal”
     3 patah perkataan itu keluar daripada mulut Amir. 3 patah perkataan yang membuatkan masa seolah-olah berhenti terdetik. 3 patah perkataan yang membuatkan Azmi terpana akibat jantung tidak berdenyut dengan kadar degupan yang betul. 3 patah perkataan itu juga membuatkan Azmi kehilangan kata-kata tidak tahu memberi reaksi apa-apa.
     Dipandang wajah Amir dalam-dalam. Sungguh. Kehilangan itu memang menyakitkan. Kehilangan atau ditinggalkan itu membuatkan hari-hari yang berlalu menjadi kosong. Terasa tidak bermakna walaupun ramai orang di sekeliling menemani dalam kehidupan setiap hari. Azmi mengerti rasa itu.

                                                                                             ***
Kereta bergerak laju menyelusuri jalan raya. Jalanraya ketika itu tidak sesak dengan kenderaan yang dipandu manusia bermacam ragam. Manusia yang terlalu jenis mementing diri dan memiliki kereta bukannya atas dasar keperluan, namun lebih kepada sikap ingin menunjuk harta akibat terkena penyakit ‘nak pakai kereta’.
     Amir sedikit tenang. Memandang jalanraya lurus ke depan dan sesekali meramas kuat jarinya sehingga tulang-tulang jari berlaga lalu menghasilkan bunyi Klekak-Kluk-Klekak-Kluk. Semenjak memulakan perjalanan sebentar tadi, tiada sepatah kata yang keluar daripada mulutnya. Hanya diam mematungkan diri bagai jasad tiada roh di dalam.
     Azmi di kerusi pemandu kemas mengawal stereng. Lepas satu kenderaan di hadapan dipotong, dua buah kenderaan lagi dipotong sekaligus. Sama seperti Amir, dia juga mendiamkan diri. Hanya bunyi air-cond dan enjin yang menemani perjalanan mereka ketika itu.
     Perjalanan yang menegangkan perasaan itu terasa berat. Terasa lambat untuk tiba ke destinasi.
     Handphone Amir berbunyi. Amir menjawab panggilan daripada bapa mertuanya. Tidak banyak perkataan yang dicakapkan Amir. Sesekali kedengaran ‘ermm’ dan ‘okay’ sepanjang perbualan dan perbualan itu tamat bagaikan tali tergantung. Tiada kata penutup seperti kebiasaan mengakhiri perbualan.
     Tidak lama, handphone Amir berbunyi lagi. Kali ini buka daripada bapa mertuanya. Ini panggilan daripada bos tempat kerjanya. Amir menjawab panggilan namun tiada sepatah perkataan keluar daripada mulutnya. Seperti bapa mertuanya sebentar tadi, dia menamatkan panggilan itu begitu saja. Bezanya kali ini, tiada langsung sepatah suara dari mulutnya.
     “Kita keluar ni kau tak beritahu Azhar?” Amir menoleh ke arah Azmi di sebelah.
     Azmi tersenyum. Matanya masih memandang tegak di hadapan “Kalau beritahu, kau rasa dia beri izin tak kita balik? Okay, mungkin dia izinkan kau balik tapi aku rasa dia tak akan benarkan aku balik teman kau”
     “Apa yang kau buat ni akan menyusahkan kau. Kau tahulah dia tu macam mana..silap nanti kau kena buang kerja”
     “Aku lebih rela kena buang kerja daripada aku biarkan kau balik seorang. Dengan keadaan kau macam ni, aku tak rasa pun kau boleh memandu kereta dengan tenang” Azmi tersenyum memandang sekilas Amir disebelah “Kita ni berkawan dah lama, Mir. Kalau benda macam ni aku tak boleh nak titikberatkan sebagai seorang berkawan, apa gunanya kita berkawan. Aku susah dulu kau tolong aku, jadi, sebelum nyawa dicabut malaikat, aku rasa dah sampai masa aku tolong kau”
     Amir diam memerhatikan treler membawa balak di hadapan. Sungguh. Dia terharu dengan kalimat dikatak Azmi sehingga dia kehilangan kata. Benar kata Azmi, jika disuruh memandu kereta sendirian ketika ini, mustahil dia mampu melakukan. Bahkan jika disuruh menyebutkan urutan ABC pun rasakan tidak mampu dia membicarakan dengan sempurna. Otaknya benar-benar lumpuh dek terkesan khabar buruk itu.
     Isterinya mengalami pendarahan teruk di wad bersalin sekaligus meragut kedua-dua nyawa. Isteri dan anak yang dikandung gagal diselamatkan. Impianya menjadi ayah dan melihat darah dagingnya membesar terkubur sama sekali. Sesuatu yang langsung tidak pernah terdetik di hati kecilnya.
     Ah, perancangan Tuhan kita tidak akan pernah tahu sama sekali.
     Tiba di sebelah treler membawa balak, entah langit ingin menduga, salah satu rantai gergasi membaluti kayu balak itu terputus. Kejadian itu berlaku sekelip mata, bagai desingan peluru. Azmi tidak sempat mengelak dan berbuat apa-apa, kereta yang dinaiki mereka melanggar kayu balak yang terlebih dahulu jatuh ke atas jalanraya sebelum kereta itu dihempap balak bertalu-talu.
     Serta-merta keadaan menjadi kacau bilau. Beberapa kereta lain sempat memberhentia kenderaan masing-masing dan keluar melihat keadaan yang berlaku. Sesetengah pemandu lain berlari ke arah kereta dinaiki Azmi dan Amir yang remuk teruk dicelah-celah timbunan balak.
     Amir bermandi darah. Tubuhnya terasa tidak berfungsi. Kaki tangan terasa tiada. Rasa sakit yang teramat menutupi segala fungsi tubuh badan. Bahkan untuk mengerakkan jari tangan juga seperti hilang keupayaan untuk berbuat demikian.
     Amir melihat Azmi disebelah.  Rakannya disebelah diam tidak berkutik dengan darah menyelaputi hampir seluruh wajahnya. Luka-luka di wajah hampir menghilankang wajah sebenar Azmi. Dipanggil nama Azmi dengan suara bergetar berkali-kali namun tubuh Azmi tetap membeku. Tiada reaksi daripada kawan baiknya itu. Sudah pengsan atau dijemput Tuhan sahabatnya itu?
     “Oh Tuhan. Aku tidak boleh mati sekarang. Ada perkara yang perlu aku lakukan. Anak dan isteri aku sedang menanti, perlu aku kuburkan mereka, membacakan surah-surah yang Engkau untuk mereka di sana” Amir merintih dalam kesakitan.
     Sakit teramat. Airmatanya berlinangan sekali lagi.
     “Amir, dengarkan aku. Kamu tidak perlu lagi menadahkan tangan membacakan surah-surah untuk anak dan isterimu, kerana orang-orang lain juga nanti akan melakukan perkara yang sama untuk kamu. Sudah sampai masanya untuk kamu berehat”
     “Kau siapa? Kau di mana? Tolong aku…aku tak boleh….mati sekarang. Anak….isteri aku tunggu aku” Amir bertanya dalam rintih. Suaranya sekat-sekat di hujung kerongkong.
     “Aku bukan siapa-siapa. Sama seperti kamu, makhluk Tuhan seperti kamu” Suara itu membalas “Amir. Ketahuilah, apabila sudah tibanya masa yang dijanjikan Tuhan kepada kamu, kamu tidak boleh mempercepatkan atau melambatkan walau sesaat. Sesungguhnya janji Tuhan itu pasti. Lagi pula, bukankah kamu katakan anak dan isteri kamu sedang menunggu kamu? Menunggu kamu di alam abadi, Amir. Bukannya di dunia yang tidak pernah berkekalan ini. Dan bukankah kamu dan isteri kamu pernah berjanji ingin sehidup semati? Inilah janji Tuhan. Tuhan memperkenankan doa kamu semasa kamu melafazkan kalimat itu di majlis akad nikah itu dahulu”
     Amir teresak-esak menahan tangis. Rasa sakit bagaikan dilibas beribu pedang di tubuhnya kian tidak terasa.
     “Amir. Ucapkan dua kalimah syahadah dan pejamlah mata. Biarkan Malaikat melakukan kerja. Tidak usahlah kamu melawan apa yang sudah ditetapkan Tuhan lagi. Mari, ikut aku mengucapkan dua kalimah syahadah. Ash-hadu an-la-ilaha illa-llah wa ash-hadu anna muhammada rrosulu llah”
     Amir mengikut suara itu mengucapkan dua kalimah syahadah dengan memandang wajah Azmi yang berlumuran darah sebelum matanya terkantup rapat.



Thursday, March 3, 2016

Pickupline Untuk Mariam

Roslan berbaring di atas tilamnya yang kusam dan berbau. Dengan mata memandang ke syiling, tangan kirinya diletakkan di atas dahi sepertimana kebanyakkan orang memikirkan masalah atau mengalami kemurungan berpanjangan yang mengganggu kehidupan. Lagu Gone With The Sin nyanyian Ville Valo vokalis kumpulan H.I.M yang dimainkan di iPod miliknya sedikit pun tidak mampu menenangkan jiwanya yang tidak tenang itu.
     Malam itu Roslan terasa sunyi. Rasa kosong. Bagaikan hatinya tidak berfungsi dengan baik ketika itu. Ya, perasaan itu tidak bagus. Jadi, untuk membunuh rasa itu dia harus berbual dengan seseorang supaya dia dapat menikmati kehidupan dalam senyuman sementara menunggu esok pagi.
     Dengan keadaan masih lagi berbaring, iPhone 4s miliknya dicapai. Butang Phone ditekan. Nama Siti Mariam Jamilah dicari. Setelah merasa yakin yang crush-nya masih belum tidur, pantas ditekan nama itu. Selang beberapa saat, panggilan itu dijawab.
     “Hai” Roslan memulakan perbualan.
     “Hai jugak” Balas suara dihujung talian.
     “Buat apa ?”
     “Tak buat apa-apa..tengah bernafas sambil bercakap dengan awak je. Awak ?”
     Roslan tergelak mendengar jawapan crush-nya sebelum menjawab “Saya pun tak buat apa-apa..tengah call awak je. Her her her”
     “Pandai awak balas ya” Jawab Siti Mariam Jamilah sebelum ikut ketawa kecil di talian.

     Perbualan senyap seketika seolah-olah malaikat melintas di tengah-tengah talian. Sunyi sepi dari sebarang kata.

     “Saya mengganggu awak ke ni ?” Roslan bertanya.
     “Eh…tak ada laa. Saya baru lepas tengok movie je. Err…macam mana cuaca kat sana ?”
     “Cuaca kat sini okay je. Bulan masih lagi dipagari bintang-bintang yang berselerak di dada langit dan tiada tanda-tanda yang hujan akan mengganggu bintang dari terus menyinarkan dirinya”
     “Amboi. Jawapan macam pensyair baru lepas kecewa dengan dunia” Siti Mariam Jamilah terkekeh ketawa “Awak dalam mood menulis puisi ke ni ? Lain macam je malam ni. Hahaha”
     Roslan turut ketawa. Entah mengapa dia begitu selesa mendengar crush-nya ketawa riang.                  Mungkin benarlah kata pujangga mengatakan ‘cinta itu selalu membuatkan yang celik menjadi buta dan yang buta menjadi celik’.
     “Awak sana okay ?” Tanya Roslan.
     “Kat sini okay je. Pungguk di sini masih seperti biasa. Di atas dahan pohon yang tua, pungguk masih rindu dan menanti bulan jatuh ke riba” Siti Mariam Jamilah cuba bermain tarik tali. Dia ketawa kecil di hujung sana.
     Roslan ketawa “Boleh tahan sedap jugak ayat awak ni. Saya membuat andaian, mungkin kita patut menjadi pasangan kekasih supaya hidup kita saling melengkapi di antara satu sama lain dan menjadi pasangan serasi seperti Brad Pitt dan Angelina Jolie dalam cerita Mr. & Mrs. Smith. Hahaha”
     Siti Mariam Jamilah tergelak besar mendengar jawapan Roslan. Kata-kata yang didengari dari mulut Roslan itu benar-benar berjaya mengusik ulu hatinya lantas membuat dia ketawa tidak kering gusi “Pandai la awak”.

     Keadaan kembali senyap. Hanya kedengaran nafas di antara kedua-duanya.

     “Errr..awak dah makan ?” Siti Mariam Jamilah mencari topik perbualan.
     “Dah. Saya dah makan tadi. Makan nasi minyak…mak saya masak. Awak ?
     “Ouhh. Resepi nasi minyak apa ya ? Errr….maksud saya, bahan-bahan nak buat nasi minyak tu ?” Siti Mariam Jamilah bertanya lagi. Soalan Roslan diabaikan.
     “Entahlah. Saya tak pernah kaji pula pasal resepi nasi minyak tu. Yang saya tahu kalau nak buat nasi minyak cukuplah dengan hanya kita berdua, awak dan saya naik di atas pelamin…nanti ada laa orang masak nasi minyak. Hahahaha” Roslan jawab yakin.
     “Kahkahkahkah. Macam setan” Siti Mariam Jamilah ketawa bagai orang gila.

Thursday, February 11, 2016

Jihad Memerangi Nafsu

“Jihad memerangi nafsu adalah jihad yang terbesar. Ia adalah jihad ke jalan yang diredai Allah,”

Kata-kata Ustaz Najib dalam kuliah maghrib semalam terngiang-ngiang dalam kepala otak aku yang berjambul. Bagai diganggu sepanjang masa dengan kata-kata tersebut. Dari pagi lagi sejak bangun tidur aku terfikir-fikir tentangnya. Juga wajah tenang Ustaz Najib sewaktu menyampaikan kuliah.

Semalam aku ke surau selepas kali terakhir menziarahinya pada bulan Ramadhan yang lalu. Tiba-tiba rasa tergerak hati untuk ke surau. Kebetulan tiada apa-apa yang hendak dibuat di rumah selepas tiba awal dari pejabat. Hendak layan drama tipikal jam tujuh rasa menyampah.

Rasa tenang menyinggah jiwa sebaik aku mengangkat wuduk. Dingin air kolah surau menggigit sampai ke temulang. Mungkin kedinginan yang penuh dengan barakah kerana ia berada di tempat beribadat.

Jadinya, kebetulan juga kedatangan aku ke surau sewaktu hari Ustaz Najib menyampaikan kuliah maghrib. Tak pernah langsung aku tahu menahu tentang jadual kuliah maghrib Ustaz Najib selama ini jika tidak diberitahu Abang Zahid, ahli jawatankuasa surau.

“Eloklah kau datang surau hari ni, ada kuliah maghrib Ustaz Najib. Simpan dalam reminder kau, setiap Isnin dan Rabu ada kuliah Ustaz Najib,” bahu aku ditepuk-tepuk mesra oleh Abang Zahid yang tak pernah tidak tersenyum walaupun terpijak tahi cicak selepas berwuduk.

Ustaz Najib memang dikenali dalam kalangan penduduk setempat sebagai seorang guru agama yang berpengaruh. Masih muda, belum mencecah tiga puluh lagi usianya. Siang harinya mengajar di sebuah sekolah agama, malamnya memberi kuliah di surau dan masjid berhampiran. Ceramah dan kuliahnya ringkas tetapi sangat melekat di hati. Tidak ada berkias-kias dan jenaka keterlaluan.

Ustaz Najib khabarnya pernah dilamar sebuah stesen televisyen swasta untuk mengelolakan sebuah slot kuliah namun ditolaknya dengan berhemah. Alasannya, enggan bergelar ustaz selebriti, cukup sekadar memberi bimbingan kepada masyarakat setempat. Lagipun, masih ramai longgokan ustaz dari program realiti tv yang berpotensi untuk mengelolakan slot tersebut. Sangatlah sederhana bagi aku Ustaz Najib ini.

Kuliah maghrib malam itu bertajuk Nafsu. Banyak isu yang dikupas Ustaz Najib sepanjang kuliahnya yang tidak sampai setengah jam itu. Memang rasa tidak puas mendengar kuliahnya yang dicemburui masa itu. Aku harap dapat datang lagi ke surau untuk kuliah maghrib yang seterusnya.

*****

Sudah dua minggu aku tidak ke surau. Apa tidaknya, balik kerja pun sudah lepas waktu maghrib. Sampai saja di rumah sudah jam sembilan lebih. Surau pun sudah bergelap. Kecewa juga aku sebenarnya. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja terlalu banyak tugasan yang perlu diselesaikan segera.

Kata Ustaz Najib dalam kuliah terdahulu di bulan Ramadhan yang pernah aku dengar, kerja juga adalah satu ibadat. Maka, laksanakan kerja dengan ikhlas sebagaimana keikhlasan kita dalam beribadat kepada Allah. Jadi, bekerja keras bukanlah nafsu untuk mendapatkan wang lebih semata-mata seperti anggapan kebanyakan orang yang gemar berdialog seperti “Bangla pun cutilah hari minggu,”

Tapi aku tetap kecewa kerana tidak dapat menghadiri kuliah maghrib Ustaz Najib.
Keesokan harinya, aku lihat ada surat di atas meja. Perlahan-lahan aku buka sampulnya. Perasaan bimbang dan teruja bercampur aduk. Perjalanan bisnes syarikat sangat baik ketika ini, tak mungkin ini surat diberhentikan kerja.

Aku hanya mampu tersenyum membaca isi kandungan surat tersebut. Nyata, ia adalah perkhabaran gembira. Aku dinaikkan pangkat dan akan ditukar ke pejabat cawangan yang terletak hanya 20 kilometer dari rumah mak abah di kampung. Lekas-lekas aku telefon mak untuk sampaikan berita ini. Aku juga ucap terima kasih kepada bos, Encik Muhyiddin.

Tempoh masa diberi sebulan untuk aku menyiapkan diri sebelum bertukar ke sana. Terlalu banyak perkara dan urusan yang perlu diselesaikan dalam tempoh sebulan itu. Maka, setiap hari aku terpaksa pulang ke rumah dengan menyalakan lampu kereta sambil minum kopi segera.

Kuliah maghrib Ustaz Najib memang aku tak dapat nak hadiri langsung.

Aku jumpa dengan Abang Zahid sebelum pindah ke kampung dan minta dia sampaikan salam kepada Ustaz Najib. Abang Zahid seperti biasa, angguk dan senyum sambil ucap Insyaallah. Semoga Ustaz Najib masih ingat aku walaupun hanya sekali datang ke kuliah maghribnya.

*****

Sudah enam bulan aku ditukarkan ke cawangan baru ini. Rasa tenang dan selesa dapat berkerja di kampung. Lebih-lebih lagi dapat tinggal bersama mak abah. Dapat juga aku tengok-tengokkan makan pakai mereka walaupun kedua-duanya masih sihat.

Rutin aku di kampung tidaklah sesibuk seperti di bandar. Kerja pun tak pernah pulang malam. Sempat lagi untuk bermain bola di padang selepas balik kerja. Dapat juga bagi berpeluh badan. Kalau tak main bola, dapat juga tolong mak siram pokok atau sapu sampah di halaman rumah.

Waktu maghrib aku akan ke surau dengan abah. Abah bilal di masjid. Nanti apa pula kata orang kampung kalau aku tidak ke masjid dengan abah. Tapi, itu mulut orang. Kita tak boleh tutup mulut orang walaupun jauh lebih kecil dari mulut tempayan. Aku ke surau bukan kerana abah seorang bilal. Aku ke surau sebab aku mahu ke surau. Bukan juga untuk update status check-in di Facebook.

Di kampung hanya ada sekali-sekala sahaja kuliah maghrib. Tidak ada ditetapkan jadualnya. Jika ada sebarang kuliah dari penceramah luar akan diberitahu dalam masa terdekat. Biasanya, ada tazkirah ringkas. Haji Khairi yang akan bacakan. Selepas tazkirah, ada yang mengaji, ada yang merokok sambil borak-borak di anjung surau dan ada balik rumah makan nasi kemudian datang semula ke surau.

Aku biasanya akan tunggu sahaja di surau sebab abah memang akan balik selepas solat Isyak. Kadang-kadang aku mengaji, kadang-kadang aku berborak dengan Mat Sabu, pemuda kampung sebaya aku. Perkara yang paling bernafsu aku buat di surau adalah melihat Siti Rosmah yang bertelekung sambil berjalan tersipu masuk ke ruang solat wanita. Anak Lebai Anwar ini memang cantik, umur 23 tahun.

Mungkin aku gagal memerangi nafsu untuk tidak melihat mahupun menjeling sipi terhadap Siti Rosmah. Ah, rindu pula pada kuliah Ustaz Najib.

Bila aku balik ke rumah, aku tengok Mak dan Adik Rara sedang ralit menonton televisyen. Mungkin ada rancangan baru kerana sebelum ini mereka tidak pernah aku lihat sekhusyuk itu menonton televisyen sampai aku acah-acah buat bunyi ketuk periuk nasi pun buat tak tahu.

“Amboi, tengok apa tu? Sampai tak perasan kita dengan abah dah sampai rumah. Kita orang nak makan nasi ni,”

“Dah siap semua kat bawah tudung saji tu,”

Tak pernah lagi terjadi bila aku balik ke rumah semua dah siap terhidang. Biasanya hanya lauk yang terhidang, nasi masih dalam periuk. Bila aku dan abah sampai barulah Rara ambilkan nasi dalam periuk letak ke dalam pinggan. Aku pergi jenguk ke ruang tamu untuk tengok rancangan apa yang berhantu sangat itu.

“Program apa pula ni, Rara?” tanya aku.

“Program baru ni, along. Macam Pencetus Ummah dan Imam Muda tu juga. Tapi nama dia Penjalin Ukhwah,” jawab Rara dengan sedikitpun kepala tidak terkalih dari televisyen. Mak juga begitu.

Aku pun berlalu ke meja makan kembali untuk bersama abah. Sempat juga aku alihkan pandangan ke televisyen sekali lalu. Eh, aku pandang ke televisyen sekali lagi. Aku amati betul-betul wajah figura yang terpapar di skrin itu. Macam kenal. Handsome orangnya.

“Haa, ni ha mak, nilah peserta yang Rara cakap tu! Handsome kan?” tempik Rara kepada mak yang mengangguk-angguk tanpa mempedulikan aku.

Lalu, aku terus ke meja makan bersama abah. Sepanjang malam itu aku tersenyum sambil terbayang-bayang wajah Ustaz Najib yang sedang memberikan kuliah sambil berkata ;
“Jihad memerangi nafsu adalah jihad yang terbesar. Ia adalah jihad ke jalan yang diredai Allah,”


Sebelum tidur, aku berdoa agar Ustaz Najib menang dalam rancangan realiti tv Penjalin Ukhwah dan datang ke kampung aku untuk memberikan kuliah maghrib di surau. Nafsu aku untuk tidur juga sudah sampai, semoga tidak mimpikan Ustaz Najib mahupun Siti Rosmah malam ini.

Friday, January 15, 2016

Kembara Irdigan Hervic

“Apakah jasa kamu yang terbesar kepada negara ini?” tanya Raja Purabawi Zuvev kepada putera sulungnya, Irdigan Hevric.

Lidah Irdigan Hevric kaku. Kelu tanpa sepatah jawapan. Dia hanya tertunduk menyembah lantai Istana de Aifilosque Jupatar yang terbina dari marmar bersadur emas 916 karat itu. Berkilaunya lantai marmar itu hingga membias jelas wajah Irdigan Hevric yang sugul itu.

Semenjak datuknya, Raja Klovac Chlorofil mangkat dia telah diangkat menjadi pemangku raja secara automatik sementelah ayahandanya ditabal menjadi raja di negara Xhorfiguestrimo. Jika di negeri-negeri Melayu bersekutu, taraf Irdigan Hevric adalah sama seperti seorang Tengku Mahkota.

Apa yang mendukacitakan ayahandanya, Irdigan Hevric gagal menjadi seorang pemangku raja yang boleh dijadikan tauladan oleh rakyat jelata. Dia gemar berfoya-foya dengan dayang istana, mengembalikan sistem gundik yang telah lama dihapuskan, menyeleweng wang rakyat dan sebagainya. Irdigan Hevric menggunakan kuasa dan pangkatnya untuk kesenangan sendiri. Mujurlah Raja Purabawi Zuvev lekas menghidu apa yang telah dilakukan itu.

“Kenapa kau diam wahai anakanda? Katakan padaku, katakan apa yang telah engkau sumbangkan kepada negara ini?” tempelak Raja Purabawi Zuvev.

Irdigan Hevric masih membisu. Hanya gelengan kecil yang bersaiz mikro yang terlihat. Itupun jika diteropong menggunakan mikroskop makmal sains sekolah bantuan penuh kerajaan. Benar, tiada apa-apa sumbangan yang dilakukan oleh Irdigan Hevric sepanjang ditabal menjadi pemangku raja Xhorfiguestrimo. Apa yang dia sumbangkan hanyalah perlakuan yang sumbang sahaja. Tidak lebih dari itu.

“Ayahanda berikan peluang kedua kepada engkau wahai Irdigan! Tetapi, dengan syarat,” nyaring suara Raja Purabawi Zuvev berkata sambil mencekak pinggang. Janggutnya yang memutih kelihat bersinar dibias cahaya emas dari lantai marmar.

“Apa syaratnya, ayahanda?” barulah Irdigan Hevric berani mendongak sebaik mendengar titah ayahandanya itu. Wajahnya yang persis John Travolta itu beransur ceria. Irdigan sanggup terima apa jua syaratnya asalkan dia tidak dilucut dari takhta pemangku raja. Jika kehilangan takhta, maka hilanglah juga segala kenikmatan yang dikecapinya selama ini.

“Engkau mesti berjanji akan berubah dan menjadi pemangku raja yang mampu memberikan tauladan baik-baik kepada rakyat jelata,” Raja Purabawi Zuvev merapati putera sulungnya itu.

“Baik!” lekas dibalas oleh Irdigan Hevric.

“Aku belum habis cakap lagi, bahalol!” tempik Raja Purabawi Zuvev tatkala langkahnya dihentikan sebaik hidung mereka hampir bertemu. Irdigan Hevric sekali lagi menyembah lantai.

“Sebelum itu, engkau perlu mengembara ke serata dunia. Mengenali budaya dan peradaban di setiap negara yang engkau singgah. Dan yang paling penting, engkau perlu mencari negara yang terdapat kaum wanita yang paling berani. Faham?” titah Raja Purabawi Zuvev.

“Baik, ayahanda!” Irdigan Hevric mengangguk bersetuju walaupun dirasakan syarat itu agak berat baginya. Bukan mudah untuk mencari negara yang memiliki kaum wanita yang berani. Apakah terdapat negara yang mempunyai bala tentera yang majoritinya kaum wanita? Pasukan polis unit tindakan khas yang dikepalai oleh wanita? Atau pasukan ragbi wanita yang lebih hebat daripada pasukan All Black?

Hampir tiga malam Irdigan memikirkan tentang hal tersebut sehingga lenanya pun kerap terganggu. Mujurlah negara Xhorfiguestrimo kaya dengan buah kopi. Dapatlah juga dia menghilang mengantuk.

Maka, hari yang ditetapkan untuk Irdigan Hevric mengembara ke seluruh dunia mencari negara yang memiliki kaum wanita paling berani pun tiba. Raja Purabawi Zuvev telah menyediakan bekalan yang selengkapnya kepada anakandanya itu.

Sebuah pesawat tempur Sukhoi yang telah diubahsuai menjadi pesawat peribadi, kad kredit berjumlah 2.6 bilion US Dollar, beberapa bungkus mi segera, serbuk kopi halus, air penawar yang dibacakan 30 cerita sebelum tidur, persalinan lengkap dari pakaian tidur hinggalah pakaian untuk berjogging, kamera GoPro keluaran terbaru, set GPS yang menggunakan rakaman suara Adele, telefon bimbit dwi simkad, modem wifi mudah alih, power bank Pineng 100000 mAh, dan sebagainya.

Maka berlepaslah Irdigan Hevric meninggalkan negara Xhorfiguestrimo dengan semangat yang berkobar-kobar. Ketika pesawatnya sudahnya membelah awan, Raja Purabawi Zuvev dan seluruh rakyat jelata masih lagi melambai. Macamlah orang dalam pesawat boleh nampak.

Negara pertama yang disinggahi oleh Irdigan Hevric tidaklah diketahui namanya. Namun dapat dilihat rakyat jelata di sana banyak yang bertubuh gempal. Baik lelaki mahupun wanita, kebanyakannya memakai jubah. Ada juga wanita yang menutup wajah mereka. Hanya kelihat sepasang mata yang dicalit celak tebal.

Dia menetap di situ beberapa hari untuk mengkaji tahap keberanian kaum wanita di situ. Dapat dilihat Irdigan Hevric, bahawa wanita di situ tidak dibenarkan memandu di jalan raya, majoriti menjadi suri rumah, memasak roti yang berbakul-bakul setiap hari dan gemar memaki hamun pembantu rumah.

Irdigan Hevric berpendapat, kaum wanita di negara ini bukan jenis berani. Beberapa fakta menjadikan Irdigan Hevric begitu yakin dengan keputusannya itu. Wanita di negara ini takut untuk menunjukkan wajah atau mungkin budaya mereka, takut untuk memandu dan takut untuk menguruskan rumah tangga secara sendirian. Sudahlah jadi suri rumah, tapi masih nak pakai khidmat pembantu rumah. Belum pernah dilihat perkara seumpama itu berlaku di negara Xhorfiguestrimo.

Jadi, Irdigan Hevric mengambil keputusan untuk mengembara ke negara lain pula. Enjin Sukhoi dipanaskan selama setengah jam sebelum terbang membelah awan.

Dia tiba di sebuah negara yang rakyatnya berkulit gelap dan majoriti bertubuh kurus. Suhu di sana agak panas, tidak banyak pohon menghijau yang tumbuh. Debu-debu tanah berterbangan saat Irdigan Hevric mendaratkan pesawatnya.

Tidak banyak yang dapat dipelajari Irdigana Hevric di negara tersebut melainkan terpaksa memberikan mereka dengan stok makanan yang dia ada. Kasihan melihat rakyat jelata di negara tersebut yang macam tidak cukup makan. Kaum wanita pula lebih banyak mengendong anak kecil ke sana ke mari bagai tiada arah tuju. Bagi Irdigan Hevric, itu bukanlah sesuatu yang berani.

Justeru, dia mengambil keputusan untuk keluar dari negara tersebut. Sempat juga Irdigan Hevric menghantar pesanan ringkas kepada ayahandanya agar memberikan sedikit sumbangan kepada negara miskin ini sebelum berlalu.

Pesawat Sukhoi membelah awan lagi.

Kini, dia tiba pula di sebuah negara yang beriklim sejuk. Dilihatnya salji sedang turun di negara tersebut. Orang ramai memakai pakaian yang tebal-tebal untuk mengurangkan kesejukan dan risiko mati akibat darah membeku. Irdigan Hevric tenang sahaja memakai kemeja nipis yang telah dipasang dengan cip dan komponen pemanas. Hanya perlu dicas selama 3 jam dan boleh digunakan untuk tempoh 3 hari.

Irdigan Hevric menetap di situ selama seminggu kerana mahu bermain salji yang hanya boleh ditemui di taman tema nasional Xhorfiguestrimo berhampiran istana. Taman tema yang dibina oleh ayahandanya tanpa mengenakan sebarang bayaran untuk rakyat jelata berseronok. Hanya perlu menandatangani surat akur janji untuk tidak membuang sampah, merokok dan beromen di dalam taman tema, kemudian sudah boleh masuk. Jika ingkar, akan disenarai hitam dan ditarik subsidi serbuk kopi halus selama 3 bulan hukumannya.

Musim salji yang melanda, membuatkan Irdigan hevric sukar untuk mengkaji tentang kaum wanita di negara tersebut. Mereka lebih gemar terperap di rumah sambil makan bijirin dan menonton rancangan realiti tv. 

Apa yang jelas kelihatan, kaum wanita di negara tersebut gemar berfesyen. Walaupun musim salji, mereka mengenakan busana baju sejuk berjenama mewah sambil mengusung tas tangan. Selain itu, mereka juga gemar mendandan rambut. Irdigan Hevric pernah berjumpa dengan wanita yang sama sebanyak 3 kali sepanjang tempoh seminggu itu. Sebanyak 3 kali jugalah gaya dan warna rambut wanita itu berubah.

Sekali lagi Irdigan Hevric kecewa kerana masih belum berjumpa dengan kaum wanita yang benar-benar berani. Selepas, membersihkan salji degil yang melekat di cermin pesawatnya, Irdigan hevric pun berlalu.

Dia tiba di sebuah negara yang pada petanya kelihatan seperti sebuah pulau yang luas. Irdigan Hevric tiba pada waktu pagi dan dapat meihat dengan jelas suasana matahari terbit. Sungguh indah pemandangan pada waktu itu. Lekas-lekas dia mengambil gambar selfie berlatar belakang matahari terbit untuk dijadikan kenangan.

Rakyat di sini kebanyakannya bermata sepet. Tidak seperti kartun di komik-komik yang tejual, semuanya bermata buntang. Mungkin pelukis komik di sini enggan mengindentitikan mata sepet dalam karya mereka.

Agak sukar juga untuk Irdigan Hevric berkomunikasi di sini kerana majoriti rakyatnya hanya tahu berbahasa tempatan. Negaranya kelihatan sungguh maju dan sistematik. Pengangkutan awam yang sangat efisyen serta penduduk yang berjalan sama laju dengan keretapi.

Kaum wanita di sini boleh tahan cantik bagi Irdigan, namun mereka kelihatan terlalu obses terhadap kerjaya masing-masing. Seolah tiada masa untuk berborak kosong. Sukar untuk Irdigan mentafsir.

Hanya sesekali, terdengar erangan yang maha menggoda dari suara wanita di sini. Macam biasa didengar sewaktu zaman remaja melalui klip video di telefon bimbit nokia daun miliknya dahulu. Lekas-lekas Irdigan Hevric mengetuk lutut.

Tidak banyak yang dapat dikaji oleh Irdigan Hevric sepanjang berada di sini melainkan sebuah negara maju yang sistematik dan teratur. Mungkin boleh dijadikan contoh untuk membangunkan Xhorfiguestrimo kelak.

Pesawat Sukhoi meninggalkan erangan wanita yang maha menggoda. Irdigan Hevric menendalikannya sambil mengetuk lutut.

Kini, dia tiba di sebuah negara yang beriklim khatulistiwa. Dapat dilihat dengan jelas terdapat sebuah bangunan berkembar yang ada kolam air pancut di hadapannya. Orang ramai berpusu-pusu keluar masuk di situ. Ada sebuah kompleks membeli-belah.

Sukar untuk Irdigan Hevric menangkap imej penduduk di sini. Mereka terdiri dari pelbagai rupa. Ada yang sawo matang, putih dan gelap. Yang mata bundar, sepet dan buntang. Mungkin ini adalah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum. Ia sangat menarik perhatian Irdigan Hevric.

Tiba-tiba, dilihat berpusu-pusu wanita dalam kumpulan yang ramai keluara dari sebuah bangunan menuju ke sebuah kawasan terbuka. Terdapat beberapa orang kameraman yang turut berlari mengusung perakam video mereka. Mungkin ada liputan berita khusus di sini. Irdigan Hevric menghampiri kumpulan tersebut.

Dia memerhatikan setiap tindakan wanita di situ dan terpaku dek keberanian mereka. Belum pernah dilihatnya di semua negara yang telah dia singgah. Malah, di Xhorfiguestrimo juga belum pernah berlaku perkara seumpama ini. Tidak sia-sia dia singgah ke negara ini. Irdigan Hevric sangat gembira dengan penemuan ini. Sempat dia merakam beberapa keping gambar perbuatan kumpulan wanita tersebut.

Lantas, dia berlari menuju ke pesawat Sukhoi. Tanpa ragu, dia terus menghidupkan enjit pesawat untuk pulang ke Xhorfiguestrimo. Irdigan Hevric sangat yakin, dia telah menemui sebuah negara yang memilik kaum wanita paling berani. Dia mahu bertemu dengan ayahanda dan memberitahu hal ini.

“Ayahanda! Aku sudah berjumpa dengan apa yang dicari,” jerit Irdigan Hevric sebaik tiba di istana. Hampir bersembur air kopi yang diminum oleh Raja Purabawi Zuvev kerana terkejut akan kepulangan anakandanya itu.

“Tunjukkan padaku buktinya,” titah Raja Purabawi.
Maka, telefon bimbit dikeluarkan untuk menunjukkan bukti kepada ayahandanya. Terbeliak biji mata Raja Purabawi Zuvev melihatnya. Kagum atau jelak barangkali.

Beberapa saat kemudian, Raja Purabawi Zuvev pengsan apabila Irdigan Hevric menunjukkan sekeping gambar seorang ibu yang sedang selfie sambil menyusukan anaknya.

Perlahan, Permaisuri Raja yang juga bonda Irdigan Hevric menghampirinya dan berbisik.

“Anakanda, ini bukan berani. Ini feujisgvxoiequesbev!” kata si bonda sambil mencarut dalam bahasa klasik Xhorfiguestrimo.

Wednesday, January 13, 2016

Bila Larut Malam

Bila larut malam,
(Tarakucha…cha, tarakucha… cha,)
Suasana sepi,
(Tarakucha…cha, tarakucha… cha,)
Tiada pun insan,
(Tarakucha…cha, tarakucha… cha,)
Yang kulihat lagi,
(Tarakucha…cha, tarakucha… cha,)

Kelopak mata kian berat untuk terus dibuka. Cahaya dari televisyen yang menayangkan filem hitam putih kian kabur. Sudah lebih sepuluh kali Odah menguap. Sudah ke tahap maksima rasa mengantuknya. Mungkin perlu beradu sekarang juga. Namun, suaminya masih belum tiba di rumah. Kerja lebih masa mencari lebih wang demi anak sulung yang sudah lima bulan dikandung Odah.

Beep!

Bunyi pesanan masuk menyegarkan sedikit ruangan kornea Odah yang kian sarat.

“Abang lambat lagi ni, ada kerja yang belum setel. Odah tidurlah dulu,”

Skrin telefon bimbit kembali gelap dituruti keluhan hampa Odah. Alat kawalan jauh televisyen dicapai malas lalu ditekan butang switch off. Terasa tegang urat betis Odah saat melangkah masuk ke bilik. Implikasi normal buat ibu mengandung. Bukan kerja mudah membawa jasad yang menumpang di tubuh.

Tik… Tik… Tik…

Sudah lebih sebulan pili di bilik air kebocoran. Walaupun hanya minor, tiadalah kesempatan masa untuk Omar membaikinya dek kesibukan kerja. Keluar pagi ketika lampu jalan masih bernyala dan pulang pun masih lagi bernyala lampu jalan. Odah membuka pili air dengan keluhan hampa sekali lagi.

Wajahnya yang bujur sireh dirembes air dan disapukan pencuci muka yang khabarnya mampu menghilangkan 99.9% bakteria. Hanya 0.1 % lagi bakteria yang gagal dinyahkan. Mungkin saintis syarikat perlu membuat penyelidikan yang lebih mendalam untuk mengatasinya.

Usai membilas wajah, Odah menggosok gigi. Dilihat wajahnya di cermin dengan keluhan hampa yang masih belum hilang. Odah berkumur membilas ubat gigi yang telah digosok rapi tadi. Dia meludah ke dalam sinki. Merah!

“Ya Allah! Darah apa ni?” pekik Odah.

Digosok-gosok matanya kerana tidak percaya dengan apa yang diludahkan tadi. Warna merah bertukar putih. Syukurlah, itu hanya lamunan Odah sahaja. Bibirnya mengetap rapat dalam kalimah istighfar yang diucap cemas.

Odah terus berwudhuk meredakan kembali rasa kurang selesa yang melanda. Mungkin dia sendiri yang terlalu kepenatan. Siang harinya bekerja. Pulang ke rumah, suami tiada. Tidak seperti di awal perkahwinan dia dengan Omar dahulu. Jarang sekali Omar pulang lewat sebegini. Namun, semenjak berbadan dua, Omar sering kerja lebih masa. Persiapan harta untuk menyambut cahaya mata.

Perasaan Odah berbolak-balik. Perkahwinan tidaklah sepanjang masa seronok. Ada ketika, ujian itu datang dalam bentuk yang tidak terzahir. Odah pasrah dalam keluhan hampa yang terus menemani malam sepinya. Perutnya diusap lembut. Moga anak ini menjadi insan berguna di sebalik pengorbanan kedua ibu bapanya.

Odah melempiaskan diri ke atas tilam. Suis lampu sudah dipadamnya tadi. Selimut ditarik hingga ke pangkal leher. Dalam gelap, Odah termenung sendirian. Otaknya lekas membawa babak-babak kenangan manis bersama Omar.

Saat mula-mula mereka kenal. Temu janji kali pertama yang sarat dengan rasa malu-malu dan senyum sipu. Kali pertama dibawa Omar berjumpa dengan kedua orang tuanya. Saat hari ibu Omar menyarungkan cincin pertunangan di jari manisnya. Saat Omat mengucup dahinya ketika upacara membatalkan wuhdhuk. Juga hari pertama dia disahkan mengandung oleh seorang doktor swasta berbangsa India. Semua itu datang serentak ke dalam kotak imbas kembali Odah.

Prang!

Odah bergegas ke dapur. Bunyi kaca pecah datangnya dari situ. Mungkin gelas, mungkin juga pinggan. Dalam degup jantung yang kencang, Odah membuka suis lampu. Dilihatnya berselerakan kaca di atas lantai. Gelas jernih yang dibeli di Ikea pada awal perkahwinan terhempas jatuh. Siapa pula yang jatuhkannya. Odah kaget. Kaku tubuhnya melihat tingkap dapur yang sedikit terbuka. Ada sesuatu yang tidak kena.

Meow! Si comel Tompok benar-benar membuatkan Odah cemas. Kucing berbaka Parsi itu berlari ke arah Odah dan menggesek-gesek kepalanya di betis Odah. “Hisy! Buat orang terkejut je! Bertuah punya Tompok!” marah Odah sambil memulas telinga Tompok. 

Tompok yang dimarahi setia sahaja menemani Odah yang membersihkan serpihan kaca di lantai. Tidak sedikitpun ia berdendam terhadap tuannya itu. Usai membasuh tangan, Odah terus menuju ke bilik tidur menyambung hasratnya yang tertangguh tadi. Tompok setia menuruti dan dibiarkan sahaja oleh Odah. Sekurang-kurangnya ada juga teman.

Saat Odah berbaring di atas tilam, Tompok di sebelahnya menjilat-jilat bulunya yang lembut itu. Sudah bersih sebenarnya dimandikan Odah petang tadi, tapi itulah  fitrah seekor kucing. 

Odah menggosok-gosok kepala Tompok. Digarukan leher kucing itu sehingga terlentok. Mata Tompok terkatup bagai dilanda keasyikan tak terlawan. Lalu, Odah juga hanyut bersama dalam malam sepi itu. Tidur kedua-dua makhluk yang berbeza fitrah itu atas satu tempat yang sama.

Odah terjaga saat dia mendegar bunyi pagar dibuka dan deruman enjin motosikal milik Omar. Bingkas dia bangun sambil menggosok mata dan meluru ke muka pintu untuk menyambut kepulangan Omar. Sempat Odah mengerling ke arah jam dinding, sudah 2 pagi.

Tangan Omar dikucup mesra dengan penuh rasa cinta. Dari rasa cinta, lahirnya rasa hormat. Omar mengucup dahi isterinya itu. Beg sandang yang dibawanya diletakkan di balik pintu. Omar melabuhkan punggung ke atas sofa sambil mendengus keletihan.

“Abang nak air?”

“Boleh juga,”

“Kopi? Milo?”

“Milo. Kopi nanti tak tidur pula,”

Odah terus ke dapur. Air panas memang sudah tersedia. Tinggal lagi hendak dibancuh sahaja minuman yang diinginkan. Siap membancuh, Odah membawa air kepada Omar yang sedang menonton televisyen siaran sukan antarabangsa.

“Tadi, berdebar juga Odah tau, Abang?”

“Kenapa pula?”

“Bunyi gelas pecah kat dapur, masa tu Odah baru je nak tidur. Odah pergi tengok, rupanya gelas yang kita beli kat Ikea tu jatuh atas lantai,”

“Macam mana boleh jatuh pula?”

“Si Tompok tulah, main apa entah kat situ. Odah pulas telinga dia. Lepas dah kemas, dia ikut Odah masuk bilik. Tu ada tengah tidur atas tilam kita,”

“Tompok? Kan minggu lepas kita hantar balik kampung?”

Mata Odah terbeliak. Jantungnya berdegup kencang. Nafasnya terasa tersekat-sekat. Macam mana dia boleh lupa minggu lepas dia dan Omar hantar Tompok ke kampung sebab adik iparnya teringin nak kahwinkan Tompok dengan kucing betina di sana.

Meow! Tompok mengiau di dalam bilik. Mencari Odah yang hilang di sebelahnya barangkali.

Tarakucha... cha, tarakucha... cha!

Tuesday, December 15, 2015

365 Hari Memburu Janji

Saya singsingkan sedikit tirai di jendela. Jauh memandang ke arah timur. Melihat percik-percik cahaya sang suria pagi yang pertama untuk tahun ini. Masih sama cerahnya seperti tahun-tahun terdahulu. Menyapa dunia dengan selembut bahangnya pada hari ini – Khamis, 1 Januari 2015. Syukurlah, masih mampu saya menikmati vitamin E yang percuma ini.

Lalu saya melangut tinggi. Dongak memandang dada langit yang kian berdendang kecerahan. Pagi yang terlalu indah untuk ditinggalkan. Jika saya mampu, ingin saya hentikan putaran waktu sekarang juga. Agar keindahan ini tidak akan terginjak. Agar keindahan ini tidak terkhianati oleh janji-janji.

Tapi saya tidak mampu. Dan bumi semakin hangat.

Manusia berlumba-lumba mengejar kepastian dalam gumpalan cabaran yang semakin kronik. Konflik-konflik meditasi menyelinap di setiap lorong kehidupan tanpa ada rasa simpati. Dalam sedar atau tidak, luluh jua keringat yang tidak berpatutan dengan upah yang diterima. Yang gendut, terus gendut dan yang kerempeng terus kerempeng.

Semput dan gagap.

Dalam sedu, saya mendaki denai perjalanan yang tidak berbukit dan berpuncak. Rata dan sekata. Tapi terlalu perit untuk ditempuhi. Tiada hentian rehat untuk melepaskan hatta sedehem batuk. Masa yang terlalu jaguh untuk kita tewaskan. Paksalah juga diri untuk menuruti agar tidak tertinggalkan yang mustahak.

Kadangkala, langkah hanya sedikit terlewat. Barangkali setapak dua. Tapi terlalu jauh ditinggalkan. Dari setapak dua itu, kelewatannya sampai berskala seribu langkah. Makin dikejar, makin sakit. Tidak dikejar, juga sakit.

Saya perhatikan ulas buah harapan yang masih berbaki ini. Seakan sudah lemau dimamah waktu. Elokkah lagi untuk saya jamah agar esok hari tidak kelaparan? Perut sudah kenyang sebenarnya. Menjamah janji-janji manis, manifesto mega jaya, dan provokasi lantang kosong. Terlalu sarat dengan semua itu. Mahu saja saya jeluakkan semua isi perut ini.

Satu berganjak dua. Dua berganjak tiga. Tiga, empat, lima dan seterusnya. Sudahnya, sampai ke tiga puluh satu. Januari mahu ucap selamat tinggal dengan lambaian yang penuh jerih. Pergilah, wahai sayang Januari. Ada rezeki, panjang umur kita ketemu lagi. Doa-doalah kepada Illahi.

Saya masih melangkah ketika Februari datang. Katanya, bulan cinta, bulan romantis. Saya lihat, manusia masih berlumba-lumba. Mengejar cinta atau ditinggalkan cinta sehingga tiada masa untuk menoleh langsung. Tiada! Tiada bulan cinta dan romantis. Tiada! Semua bulan sama sahaja. Manusia terus berlumba-lumba lalu gila kerana ditabur janji dusta.

Cinta sudah lenyap.

Mac menyapa tanpa salam perkenalan. Dalam gerung hati yang lunak menjerit kesakitan sampai tak terluah suara. Saya menggerumuk memandang hutan batu yang kian bersemak-samun ini. Langit tak terlihat lagi aura impian. Hanya menggermang pada dinding kedustaan. Belakang badan sarat dengan beban helah yang digalas.

Wahai janji, usah berdalih lagi. Saat melangkah ke sempadan April, saya sedar yang langkah ini semakin kejauhan walaupun telah digesitkan berkali ganda kudrat. Semakin laju, semakin ditinggalkan. Celakalah keseluruhannya bila Mei menjemput April yang bagai tidak terkalih ia berlalu.

Jarum saat terus setia berputar seperti paksi yang menuruti kejadian siang dan malam. Angan, impian, doa, harapan juga turut berputar sama. Tinggal lagi, hendak diterjemahkan menjadi lukisan realiti yang saya sendiri tidak pasti bila, di mana dan bagaimana. Sudahnya, kalendar menginjak Jun. Dosa-dosa terus giat terkumpul dalam gerombongan bahu kiri.

Bila saya pejamkan mata, saya terdengar bunyi angin yang maha merdu. Damainya memeluk tubuh yang kian gering beralaskan harapan. Adakah ini petanda makbulnya doa-doa saya sepanjang perjalanan ini? Seperti enggan membuka kelopak mata. Bimbang dek kedamaian ini akan mati.

Tapi, saya perlu terus melihat dunia.

Lalu, dibuka perlahan-lahan mata. Ah, terus sahaja Julai menerpa. Dalam siksa, saya gagahi jua. Memburu janji-janji yang pernah dilaung. Mengejar impian yang pernah dihamparkan dahulu. Jerihnya kaki ini hendak melangkah lagi dalam kecelakaan sakti.

Saya terjerongok bila melihat papan iklan yang memaparkan si tua bongkak berpakaian segak. Iklannya menempel janji-janji lama. Yang saya buru sejak Januari lalu. Kini, sudah Ogos. Janjinya masih tak terungkai. Manakan si bongkak tahu saya sedang gering. Saya makan ikan kering, dia makan daging.

Jadilah saya manusia yang kebuluran harapan ditanam hidup-hidup oleh janji si tua bongkak berpakaian segak.

September menjelma. Saya seakan mahu mengalah. Sembilan purnama terpaksa berjinjit-jinjit untuk meneruskan hidup. Bernafas pun mengah, bernyawa pun semput. Tinggal lagi hendak bercerai dengan badan sahaja. Bagai menapak dalam lubuk jerung yang lapar.

Dalam keluh saya yang semakin menggeru, Oktober tiba. Maka, sesal saya masih belum berkesudahan. Bila papan iklan diturunkan, kemudian diganti dengan yang baru ia kian menggermang saya. Iklan baharu, janji baharu dan kedustaan baharu.

Warna putih ternampak hitam, merah ternampak hitam, biru ternampak hitam, hijau ternampak hitam dan semuanya ternampak hitam. Zulmat. Hitam dengan janji-janji dusta kamu. Lalu, November tiba dengan awan hitam yang memberikan harapan hujan.

Lenjun bermandikan hujan. Saya harap setiap titis kerasnya melunturkan janji-janji dusta.

Bayu Disember menyapa keras. Menggigit tubuh dengan kedinginan hingga ke temulang. Meliatkan urat-urat dan otot-otot yang selama ini berpanji memandu pergerakan saya. Sedingin harapan yang semakin tipis. Saya termenung melihat matahari pagi bulan Disember. Kaku dan tidak berganjak sehingga cahaya menipis jauh di barat. Senipis impian yang mega ketika Januari lalu.

365 hari melangkah, memburu janji-janji dusta. Yang saya dapat hanya lelah. Keringat tak terkira tenatnya. Tipisnya harapan untuk mengharap lagi. Juga impian yang sudah bertranformasikan mimpi. Sekadar mimpi. Lekaslah saya bangkit menggali lubang sedalamnya. Menguburkan semua janji dusta, harapan dan impian. Saya semadikan ke dalam tanah yang menangis kecewa.

Untuk si tua bongkak berpakaian segak, lurutkan suit mewahmu. Melangkahlah bersama manusia-manusia yang menderita dek janji dustamu. Nikmatilah angin kecelakaan yang engkau hembuskan bersama impian dahulu. Berhentilah menghambur slogan harapan. Undur dan pergi sahaja jauh-jauh.





Saturday, November 21, 2015

Obama

Semalam saya jumpa dengan Obama. Sudah lama saya tak berjumpa dengannya. Obama masih sama seperti dahulu, saat pertama kali saya berjumpa dengannya. Saya sangat gembira dapat bertemu kembali dengan Obama.

Saya bawa Obama ke sebuah kedai mamak dan duduk di meja yang paling hujung di bahagian kaki lima bangunan. Memang sudah kebiasaan, saya akan duduk di situ setiap kali datang ke kedai mamak ini.

Obama enggan orang lain menyedari kehadirannya di situ. Jadi, dia tunggu sebentar di luar sementara menunggu pesanan sampai. Seorang pekerja mamak membawakan saya nasi putih dan ayam tandoori. Juga sepiring kuah kari kosong.

Saya tahu, Obama tak suka makan nasi. Jadi saya belanja dia makan ayam tandoori sahaja. Saya panggil Obama sebaik makanan itu tiba. Obama datang dengan wajah yang jelas tidak bermaya.

Saya berikan ayam tandoori kepada Obama. Perlahan-lahan ayam tandoori itu dikunyahnya. Tidak seperti sebelum-sebelum ini, Obama sangat berselera setiap kali memakan ayam tandoori. Risau juga saya melihat keadaan Obama.

Wajahnya nampak sangat lesu. Mungkin terlalu letih kerana terlalu sibuk dengan aktiviti hariannya. Saya menggosok belakang badan Obama. Mungkin boleh bantu dia keluarkan angin dalam badan.

Kulitnya yang gelap itu nampak pucat dan terasa panas ketika disentuh. Saya syak Obama diserang demam panas. Mungkin tidak biasa dengan keadaan cuaca di Malaysia sekarang ini. Sekejap panas terik, sekejap hujan lebat. Jangankan manusia, anjing pun boleh demam jika cuaca tidak menentu.

Saya hulurkan segelas air suam kepada Obama untuk dihirup. Ketika demam, kita perlu minum air yang banyak supaya kepanasan dalam badan akan lekas terhidrat samada melalui peluh mahupun air kencing.

Saya seluk poket seluar. Ada dua biji panadol. Saya hulurkan kepada Obama. Namun, Obama tidak mahu. Mungkin Obama tidak suka makan ubat. Saya fikir, Obama lebih suka merawat sakit menggunakan herba ataupun kaedah hemopati. Saya kasihan melihat keadaan Obama yang tidak bermaya.

Jika sebelum ini, Obama sangat cergas. Setiap kali berjumpa, Obama tidak akan duduk diam. Pasti ada sahaja keletahnya yang mencuit hati. Tetapi, hari ini sungguh berbeza. Mungkin juga faktor usia yang membuatkan Obama cepat letih dan tidak bermaya.

Saya memicit kepala Obama. Kemudian, Obama meletakkan kepalanya di atas paha saya. Meminta untuk dipicit lagi barangkali. Saya meletakkan minyak angin ke kepala Obama, kemudian memicit dengan lebih kuat. Obama kelihatan terpejam matanya. Pasti sudah berasa lega sedikit dengan urutan saya itu.

Saya lihat seorang pekerja kedai mamak datang meluru ke arah saya. Saya menggerakkan paha menyuruh Obama lekas bangun dan berlalu supaya tiada siapa yang menyedari kehadirannya di situ. Pekerja kedai mamak itu kelihatan sedang marah.

“Hoi orang gila! Saya kasi makan, you makan sorang-sorang saja sudahlah. Jangan bawa itu anjing datang makan sekali. Nanti saya kena samak satu kedai kalau ada orang kasi viral gambar you dengan anjing makan dekat sini dalam itu Facebook!”

Saya lihat Obama sudah pergi jauh dari situ. Mungkin merajuk. Saya sambung makan nasi putih, baki ayam tandoori dan kuah kari. Kemudian, saya ucap terima kasih kepada pekerja kedai mamak tadi. Saya harap esok Jabatan Agama datang sini dan samak satu kedai.




Friday, October 30, 2015

Selamat Hari Jadi, Hussien!

Malam itu, ada program “Burung Hantu” sempena minggu orientasi untuk semua pelajar Tingkatan Satu yang menetap di asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Akar (SMKAA). Mata pelajar akan diikat dengan kain dan dilepaskan di tengah padang bola. Tiada apa-apa yang mampu aku lihat dalam keadaan begitu.

Tangan aku meraba-raba laju mencari objek untuk dipegang. Tiba-tiba aku terasa bagai terpegang suatu objek. Aku cuba memegangnya dengan erat untuk memastikan objek tersebut. Lembut. Aku mengamati kelembutan objek tersebut dengan fikiran yang melayang-layang.

“Woi,” terdengar suara seorang perempuan menjerit sebaik aku memicit objek tersebut untuk kali kedua. Tapi objek itu masih lembut.

Aku yakin, objek yang lembut itu adalah milik perempuan yang menjerit tadi. Mungkin pahanya yang lembut itu dan aku tidak memikirkan abdomen lain yang lebih lembut daripada paha perempuan pada ketika itu. Iya, ketika itu aku berusia 13 tahun, jika sekarang, mungkin lain yang aku fikirkan.

Seorang pengawas asrama bernama Amar datang dan membuka ikatan pada mata aku menandakan sudah tamat malam burung hantu. Aku mencelikkan biji mata untuk melihat siapakah empunya badan yang memiliki abdomen yang lembut itu.

“Hussien!” aku berteriak sebaik melihat sang empunya badan.

“Cis! Kau rupanya Khairul. Tangan macam ketam, nasib baik aku tak lempang,”

Hussien adalah penolong ketua kelas aku untuk Tingkatan 1 Ibnu Sina. Iya, aku seorang ketua tingkatan yang dipilih berdasarkan sistem merit, bukan politik wang mahupun undian sms. Hussien banyak membantu aku dalam urusan seharian di kelas dan sebagai ketua tingkatan yang berkuasa sudah pastinya aku tidak banyak membantu dia. Tugas aku hanya mengarah.
Oh ya, Hussien adalah seorang wanita. Nama sebenarnya Husna. Norhidayatul Husna. Memang aku suka memberi gelaran kepada nama-nama orang di sekeliling aku mengikut apa yang terlintas di fikiran.

*****

“Ini bukan masa untuk kita mencuba lagi. Kita sudah cukup dewasa, cukup matang. Bukan masa untuk bereksperimen lagi tentang perasaan,”

Aku membalas pesanan ringkas yang dihantar oleh kekasih. Berbicara tentang cinta, tentang perasaan dan tentang masa depan. Ini pesanan ringkas yang aku hantar sewaktu awal perhubungan kami terjalin. Saat bulan dan bintang terasa bagai boleh digapai dengan sedikit jengketan. Saat manisnya hempedu yang bersulamkan cinta.

Hubungan kami berjalan dengan lancar dan baik. Setiap hari yang aku lalui padat dengan rasa cinta yang biasa. Iya, cinta yang biasa adalah untuk manusia normal. Jika kita mahu mencari yang agung dan megah dalam cinta itu adalah kesilapan besar kerana cinta itu perkara biasa sahaja. Sifat biasa yang ada dalam jiwa manusia normal.

Aku belajar tentang itu dari kesilapan lalu. Mencari keagungan yang sebenarnya tidak wujud dalam cinta. Mendambakan kemegahan yang tidak pernah termaktub dalam cinta. Hanya manusia yang cuba menjadikan cinta itu luar biasa sehingga ketewasan kerana terlalu mencari keagungan dan kemegahannya.

Masa berlalu bagai terlalu pantas. Aku mengambil keputusan untuk memperkenalkan dia dengan keluarga. Dalam beberapa hari, keluarga aku pula datang ke rumahnya atas tiket ziarah. Kebetulan, ziarah itu berlaku dalam musim raya aidiladha. Maka, tidaklah nampak terlalu jengkel. Dan pertemuan sesingkat itu menjadikan kemesraan itu semakin erat.

“Kamu dah boleh kumpul duit. Dah boleh tu,” pesan abah sebaik tiba di rumah. Pesan yang membuatkan aku terus melangkah lebih yakin dengan perasaan. Mak juga berpesan dengan perkara yang sama. Jadi, keyakinan ini terus bertambah.

Mungkin benar ini yang dinamakan jodoh. Aku tak menyedarinya kerana aku tidak pernah percaya dengan tips-tips yang memberitahu bagaimana untuk mengetahui dia adalah jodoh kita yang sering dikongsi di Facebook. Bagi aku, mudah. Untuk mengetahui jodoh kita, dia akan menjadi isteri kita. Kau akan menikah dan berkahwin dengan dia, itulah jodoh kau. Tak perlu kau nak mengkaji sampai gugur rambut di kepala otak yang berjambul.

Kalau dia tak nak kahwin dengan kau buat penat sahaja kau mengkaji tips bagaimana untuk mengetahui dia jodoh kita, bukan? Rasa macam bangang pun ada juga nanti. Padan muka kau, siapa suruh kau percaya? Kah! Kah! Kah!

Maka, bermulalah episod seterusnya. Dari rombongan merisik, meminang seterusnya bernikah. Segalanya berjalan dengan lancar. Alhamdulillah, syukur padamu ya Allah ketemukan aku dengan dia. Permudahkan perjalanan kami untuk hidup bersama walau kami ini sekecil-kecil hamba yang kadangkala terlalai tentang-Mu.

Sudah dua tahun lebih kami mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang cahaya mata. Kata orang bunting pelamin. Entahlah, iya ke tidak. Aku tak peduli sangat fasal benda-benda macam itu. Syukur sekali lagi kepada Allah, alhamdulillah. Semoga kami akan terus mencintai untuk hari seterusnya sehingga ke hari terakhir dalam hidup .

Aku tidak berjanji untuk membahagiakan isteri sebagaimana yang biasa dilihat dalam cerita-cerita cinta. Kerana membahagiakan isteri itu bukan satu janji, ia adalah tanggungjawab. Sebagai lelaki, suami dan ayah itu tanggungjawab aku terhadap diri sendiri iaitu untuk membahagiakan. Jika gagal, itu maknanya aku gagal terhadap diri sendiri.

Matematiknya cukup mudah, untuk merasa bahagia maka bahagiakan orang lain dahulu. Jika kita sudah membahagiakan orang lain, namun masih belum rasa bahagia, maka segeralah merawat diri di Hospital Bahagia, Tampoi. Kalau bernasib baik, boleh berkawan dengan Kluang Man di situ.

Tak perlu untuk kau meraikan hari jadi dengan memasang belon berwarna-warni di bilik tidur pasangan, menghadiahkan dia dengan barangan yang berharga tiga bulan gaji kau atau membelikan teddy bear yang jauh lebih besar daripada saiz beruang sebenar. Maksud aku tak perlu kau nak buat semua itu untuk mencari kemegahan dan keagungan cinta. Kalau kau nak bagi tak ada masalah, tapi jangan berharap dengan pemberian itu akan menghadirkan cinta luar biasa.

Kalau betul keagungan cinta itu nak datang, bagi hadiah semangkuk laksa pun ia akan datang. Aku tahulah, aku pernah buat.

Justeru, usahlah mencari yang agung dan megah dalam cinta kerana ia akan hadir sendiri tanpa kau sedari. Rasa cinta itu suatu perkara yang biasa maka tak perlu untuk kita mencari yang luar biasa, yang diluar kemampuan kita sebagai manusia biasa. Hadapilah cinta sebagaimana kau menghadapi hari-hari yang biasa kau lalui.

Untuk Hussien, terima kasih kerana pernah menjadi pembantu ketua kelas aku yang baik hati. Juga terima kasih kerana kini kau telah menjadi pembantu aku pula dalam hal menguruskan rumah tangga dan keluarga kita. Semoga kita akan terus menjadi suami isteri yang bahagia seperti manusia-manusia normal yang lain. Semoga cinta kita yang biasa-biasa ini akan terus megah dan agung dengan sendiri.

Selamat hari jadi, Hussien!