Showing posts with label Catatan. Show all posts
Showing posts with label Catatan. Show all posts

Tuesday, December 15, 2015

365 Hari Memburu Janji

Saya singsingkan sedikit tirai di jendela. Jauh memandang ke arah timur. Melihat percik-percik cahaya sang suria pagi yang pertama untuk tahun ini. Masih sama cerahnya seperti tahun-tahun terdahulu. Menyapa dunia dengan selembut bahangnya pada hari ini – Khamis, 1 Januari 2015. Syukurlah, masih mampu saya menikmati vitamin E yang percuma ini.

Lalu saya melangut tinggi. Dongak memandang dada langit yang kian berdendang kecerahan. Pagi yang terlalu indah untuk ditinggalkan. Jika saya mampu, ingin saya hentikan putaran waktu sekarang juga. Agar keindahan ini tidak akan terginjak. Agar keindahan ini tidak terkhianati oleh janji-janji.

Tapi saya tidak mampu. Dan bumi semakin hangat.

Manusia berlumba-lumba mengejar kepastian dalam gumpalan cabaran yang semakin kronik. Konflik-konflik meditasi menyelinap di setiap lorong kehidupan tanpa ada rasa simpati. Dalam sedar atau tidak, luluh jua keringat yang tidak berpatutan dengan upah yang diterima. Yang gendut, terus gendut dan yang kerempeng terus kerempeng.

Semput dan gagap.

Dalam sedu, saya mendaki denai perjalanan yang tidak berbukit dan berpuncak. Rata dan sekata. Tapi terlalu perit untuk ditempuhi. Tiada hentian rehat untuk melepaskan hatta sedehem batuk. Masa yang terlalu jaguh untuk kita tewaskan. Paksalah juga diri untuk menuruti agar tidak tertinggalkan yang mustahak.

Kadangkala, langkah hanya sedikit terlewat. Barangkali setapak dua. Tapi terlalu jauh ditinggalkan. Dari setapak dua itu, kelewatannya sampai berskala seribu langkah. Makin dikejar, makin sakit. Tidak dikejar, juga sakit.

Saya perhatikan ulas buah harapan yang masih berbaki ini. Seakan sudah lemau dimamah waktu. Elokkah lagi untuk saya jamah agar esok hari tidak kelaparan? Perut sudah kenyang sebenarnya. Menjamah janji-janji manis, manifesto mega jaya, dan provokasi lantang kosong. Terlalu sarat dengan semua itu. Mahu saja saya jeluakkan semua isi perut ini.

Satu berganjak dua. Dua berganjak tiga. Tiga, empat, lima dan seterusnya. Sudahnya, sampai ke tiga puluh satu. Januari mahu ucap selamat tinggal dengan lambaian yang penuh jerih. Pergilah, wahai sayang Januari. Ada rezeki, panjang umur kita ketemu lagi. Doa-doalah kepada Illahi.

Saya masih melangkah ketika Februari datang. Katanya, bulan cinta, bulan romantis. Saya lihat, manusia masih berlumba-lumba. Mengejar cinta atau ditinggalkan cinta sehingga tiada masa untuk menoleh langsung. Tiada! Tiada bulan cinta dan romantis. Tiada! Semua bulan sama sahaja. Manusia terus berlumba-lumba lalu gila kerana ditabur janji dusta.

Cinta sudah lenyap.

Mac menyapa tanpa salam perkenalan. Dalam gerung hati yang lunak menjerit kesakitan sampai tak terluah suara. Saya menggerumuk memandang hutan batu yang kian bersemak-samun ini. Langit tak terlihat lagi aura impian. Hanya menggermang pada dinding kedustaan. Belakang badan sarat dengan beban helah yang digalas.

Wahai janji, usah berdalih lagi. Saat melangkah ke sempadan April, saya sedar yang langkah ini semakin kejauhan walaupun telah digesitkan berkali ganda kudrat. Semakin laju, semakin ditinggalkan. Celakalah keseluruhannya bila Mei menjemput April yang bagai tidak terkalih ia berlalu.

Jarum saat terus setia berputar seperti paksi yang menuruti kejadian siang dan malam. Angan, impian, doa, harapan juga turut berputar sama. Tinggal lagi, hendak diterjemahkan menjadi lukisan realiti yang saya sendiri tidak pasti bila, di mana dan bagaimana. Sudahnya, kalendar menginjak Jun. Dosa-dosa terus giat terkumpul dalam gerombongan bahu kiri.

Bila saya pejamkan mata, saya terdengar bunyi angin yang maha merdu. Damainya memeluk tubuh yang kian gering beralaskan harapan. Adakah ini petanda makbulnya doa-doa saya sepanjang perjalanan ini? Seperti enggan membuka kelopak mata. Bimbang dek kedamaian ini akan mati.

Tapi, saya perlu terus melihat dunia.

Lalu, dibuka perlahan-lahan mata. Ah, terus sahaja Julai menerpa. Dalam siksa, saya gagahi jua. Memburu janji-janji yang pernah dilaung. Mengejar impian yang pernah dihamparkan dahulu. Jerihnya kaki ini hendak melangkah lagi dalam kecelakaan sakti.

Saya terjerongok bila melihat papan iklan yang memaparkan si tua bongkak berpakaian segak. Iklannya menempel janji-janji lama. Yang saya buru sejak Januari lalu. Kini, sudah Ogos. Janjinya masih tak terungkai. Manakan si bongkak tahu saya sedang gering. Saya makan ikan kering, dia makan daging.

Jadilah saya manusia yang kebuluran harapan ditanam hidup-hidup oleh janji si tua bongkak berpakaian segak.

September menjelma. Saya seakan mahu mengalah. Sembilan purnama terpaksa berjinjit-jinjit untuk meneruskan hidup. Bernafas pun mengah, bernyawa pun semput. Tinggal lagi hendak bercerai dengan badan sahaja. Bagai menapak dalam lubuk jerung yang lapar.

Dalam keluh saya yang semakin menggeru, Oktober tiba. Maka, sesal saya masih belum berkesudahan. Bila papan iklan diturunkan, kemudian diganti dengan yang baru ia kian menggermang saya. Iklan baharu, janji baharu dan kedustaan baharu.

Warna putih ternampak hitam, merah ternampak hitam, biru ternampak hitam, hijau ternampak hitam dan semuanya ternampak hitam. Zulmat. Hitam dengan janji-janji dusta kamu. Lalu, November tiba dengan awan hitam yang memberikan harapan hujan.

Lenjun bermandikan hujan. Saya harap setiap titis kerasnya melunturkan janji-janji dusta.

Bayu Disember menyapa keras. Menggigit tubuh dengan kedinginan hingga ke temulang. Meliatkan urat-urat dan otot-otot yang selama ini berpanji memandu pergerakan saya. Sedingin harapan yang semakin tipis. Saya termenung melihat matahari pagi bulan Disember. Kaku dan tidak berganjak sehingga cahaya menipis jauh di barat. Senipis impian yang mega ketika Januari lalu.

365 hari melangkah, memburu janji-janji dusta. Yang saya dapat hanya lelah. Keringat tak terkira tenatnya. Tipisnya harapan untuk mengharap lagi. Juga impian yang sudah bertranformasikan mimpi. Sekadar mimpi. Lekaslah saya bangkit menggali lubang sedalamnya. Menguburkan semua janji dusta, harapan dan impian. Saya semadikan ke dalam tanah yang menangis kecewa.

Untuk si tua bongkak berpakaian segak, lurutkan suit mewahmu. Melangkahlah bersama manusia-manusia yang menderita dek janji dustamu. Nikmatilah angin kecelakaan yang engkau hembuskan bersama impian dahulu. Berhentilah menghambur slogan harapan. Undur dan pergi sahaja jauh-jauh.





Wednesday, June 3, 2015

Kami Dan Janji Melayu

"Macam mana dengan perancangan kita nak pergi pulau ni ? Semua dah stanby duit, cuti dan tenaga ke belaka ?" 

Masa ni tahun 2009, Zaim bertanya bertindak sebagai incas untuk rombongan bercuti ke pulau yang bakal kami pergi nanti. Rombangan bercuti ke pulau ni memang dah lama kami rancangkan, dari awal tahun lagi kami dah bincangkan pasal ni. Mengikut perhitungan hari, minggu, bulan dan tahun, kalau tak ada aral melintang bulan 12 ni kami pergi.

"Aku steady" Jawap Abrar 

"Aku on je" Saya garu leher

"Bereh. Aku tak ada hal" Amir jawab lancar

"Hitam kata korang, hitam jugak laa kata aku" Amy Donut jawab kemas serupa ahli falsafah

"Bagus. Macam ni laa aku nak, lincah dan bersepakat. Lagipun masa kita bujang ni laa nak enjoyy, nanti dah kahwin ada anak bini susah dah kita nak luangkan masa bersama" Panjang lebar Zaim bercakap.

Di kedai mamak, kami berbincang hal-hal apa yang patut kami bincang masa tu. Apa yang patut kami bawa, berapa duit nak kena stanby, mohon cuti awal sikit, semua tu kami berbincang bersama-sama.

Zaim kerja di Klang. Abrar pemandu kapal terbang. Amy Donut kerja jalan-jalan pusing dunia. Amir steady kerja melilau tak tentu hala dan saya kerja memikul pelepah kelapa sawit. Jarang kami dapat mengadakan perbicangan serupa ni sebab masing-masing ada komitmen.

Kalau ikut selera saya, saya nak pergi bercuti kat Pulau Hawaii. Dengar kabor kat Pulau Hawaii ramai makwe yang pakai bikini diperbuat daripada kulit kerang. Teringin juga saya nak pergi tapi memandangkan saya hanya kerja pikul kelapa sawit, saya batalkan niat tu. Pasport pun saya tak ada ni.

Amy Donut dan Abrar kalau boleh nak pergi Pulau Redang je. Jimat katanya. Amir nak Pulau Tioman, nak tengok biawak. Zaim nak pergi Pulau Pangkor. Taste dia orang ni memang saya tak boleh pergi sangat, jenis taste rendah. Langsung tak ada nilai-nilai jati diri.

Setelah berbincang secara runcit-runcit dan bermalas-malasan, kami bersepakat pergi ke Pulau Pangkor. Undi dan perbincangan tamat pada malam itu.

"PANGKOR, KAMI DATANG !" Masing-masing berteriak dalam hati, agaknya.


                                                               ***
Zaim dah berkahwin, dah ada anak seorang. Abrar pun sama pun macam Zaim. Amy Donut dan Amir entah mana pergi agaknya. Perbincangan malam tu jadi sia-sia bilamana sampai je masa nak pergi, mesti ada ahli rombongan yang akan kabor gini "Eh, kita pergi tahun depan je laaaa"