Khairul adalah seorang lelaki yang berusia 26 tahun.
Dia sudah berkahwin dengan seorang wanita bernama Norhidayatul dan memiliki
seorang anak perempuan berusia 1 tahun 4 bulan.
Pada setiap hari minggu,
Khairul sering membawa isteri dan anaknya bersiar-siar. Khairul tinggal di
sebuah pangsapuri di sekitar kawasan Subang yang bersempadan dengan Paya Jaras,
Sungai Buloh. Walaupun hidup dalam keadaan yang sederhana dan tidak mewah,
kehidupan mereka bertiga tetap bahagia dengan kemewahan kasih sayang.
Memandangkan hari ini
adalah cuti hujung minggu, Norhidayatul telah mengajak Khairul untuk keluar
bersiar-siar di sekitar kawasan Batu Caves untuk melihat pemandangan gua batu
kapur. Khairul bersetuju dengan ajakan isterinya itu dan menetapkan selepas
waktu Asar sebagai penanda aras untuk mereka keluar.
Usai menunaikan sembahyang
Asar, Khairul, isteri dan anaknya menyiapkan diri untuk keluar beriadah ke Batu
Caves. Khairul menyarungkan sehelai seluar jeans Levi’s yang dibelinya sempena
bonus tahunan. Jika tiada bonus tahunan, mungkin Khairul akan membeli jeans
Levi’s tiruan sahaja yang mudah diperolehi di uptown, downtown, car boot sale dan laman Instagram.
Usai bersiap, Khairul
menyiapkan pula anaknya ketika isterinya sedang sibuk berdandan di hadapan
cermin. Tugas menyiapkan anak bukanlah tugas isteri seorang sahaja. Sebagai ketua
keluarga, seorang suami mestilah sering bertolak ansur dalam hal sebegini.
Rumah tangga tanpa tolak ansur ibarat sebuah lori treler tanpa sistem brek.
Mudah tergelongsor dan terbabas walaupun sekecil-kecil kesilapan.
Setelah semuanya selesai,
mereka bertiga menaiki sebuah kereta berjenama negara yang megah menyusur di
jalan raya. Bukannya tidak mampu memilik kereta buatan Jepun yang
berteknologikan variable valve timing and
lift electronic control, namun Khairul mahu menyahut seruan mantan Perdana
Menteri, Tun Dr. Mahathir yang bersungguh-sungguh mahu rakyatnya merealisasikan
Wawasan 2020. Salah satu daripada cara merealisasikannya adalah dengan memandu
kereta berjenama negara.
Apa yang digambarkan
tentang Wawasan 2020 melalui poster pada zaman persekolahan dahulu adalah
mengarut. Imej seperti kereta terbang melalui celah bangunan berkembar KLCC,
landasan keretapi setinggi bangunan 22 tingkat, manusia terapung ketika
melintas jalan dan lembu memakai baju kalis peluru adalah mengarut sama sekali.
Ia langsung tidak pernah disebutkan oleh Tun Dr. Mahathir.
Setelah yakin dengan
kondisi dan prestasi keretanya, Khairul memakai tali pinggang keledar dan
memandu dengan penuh tertib. Setiap kali berniat untuk membelok pada simpang,
signal kereta Khairul akan bernyala. Ia bukanlah suatu teknologi yang paling
canggih, sebaliknya Khairul tidak pernah lupa untuk memberikan isyarat sebelum
membelok.
Andai sebuah kenderaan itu
berjaya dibangunkan dengan teknologi membaca minda dan niat manusia, maka ia
bukanlah satu kejayaan. Ia adalah suatu musibah. Andaikan seorang penjahat
memandu sebuah treler yang dicuri. Ketika dikejar sebuah kereta polis, penjahat
itu terfikir agar polis yang mengejarnya itu segera mati. Maka, treler yang
dipasang dengan teknologi membaca minda itu akan berpusing dan melanggar kereta
polis tersebut. Bukankah teknologi itu bersifat kejam jika disalah guna?
Setelah beberapa minit
memandu, Khairul menyedari yang cuaca mula bertukar. Langit yang tadinya cerah
beransur gelap dengan awan mendung berarak pantas. Kedengaran kilat juga sabung-menyabung.
Hujan akan turun dengan lebat berdasarkan kehitaman awan yang berarak.
Jangkaan Khairul nyata
tidak meleset apabila awan mendung memuntahkan air yang mencurah-curah
membasahi bumi. Maka, berselerakan sang penunggang motosikal mencari tempat
berteduh demi menyelamatkan smart phone masing-masing.
Hujan semakin lebat
disertai dengan angin ribut yang menerbangkan daun-daun kering. Tidak lupa juga
bahan-bahan buangan seperti plastik makanan ringan, roti, polisterin nasi
bungkus, kertas pembalut roti john, surat khabar, kotak rokok seludup,
bungkusan air ikat tepi yang masih bertali dan sebagainya. Angin ribut membawa
petanda jelas yang kesedaran masyarakat kita terhadap kebersihan alam sekitar masih
di tahap monyet.
Kesan daripada angin ribut
dan hujan lebat yang berlaku itu, keadaan trafik mula sesak dan bergerak
perlahan. Semua pemandu menyalakan lampu kenderaan masing-masing dan memandu
dengan penuh berhati-hati. Terdapat juga segelintir pemandu yang tidak
menyalakan lampu. Samada mereka terlupa atau degil. Sekiranya degil, maka
mereka tidak sepatutnya berada di atas jalan raya ketika ini. Sebaiknya, mereka
harus ditempatkan ke dalam sebuah kandang, diberi makan dedak dan dibelai
sehingga jinak, kemudian barulah dilepaskan semula ke jalan raya.
Dalam sekelip mata, jalan
raya menjadi sesak akibat beberapa bahagian jalan yang tidak rata dinaiki air.
Semua kenderaan memperlahankan kenderaan sebaik melintasi kawasan yang dinaiki
air. Dibimbangi ada lubang yang terlindung di sebalik air bertakung itu lalu
tayar kenderaan akan terjerumus sekaligus mengakibatkan perjalanan menjadi
semakin tidak lancar.
Khairul mengeluh sambil
membebel. Dia menyalahkan sistem perparitan yang lemah adalah punca utama jalan
raya mudah dinaiki air. Benar apa yang dikatakan Khairul itu. Di tebing jalan,
kelihatan longkang dan parit yang dipenuhi air melimpah sehingga ke jalan raya.
Kemungkinannya ada dua. Yang pertama, longkang tersumbat. Yang kedua, sistem
perparitan yang bangang.
Jika longkang tersumbat,
maka rakyat akan dipersalahkan. Jika sistem perparitan tersumbat, rakyat juga
yang dipersalahkan kerana asyik sibuk turun berdemo dan berhimpun mendesak
pemimpin sedia ada digulingkan atau mempertahankan maruah sebuah bangsa
misalnya. Akhirnya, isu sistem perparitan tidak juga selesai walau siapapun
yang memerintah.
Apa gunanya air percuma
jika air hujan pun tidak mampu dialirkan dengan baik? Apa gunanya slogan yang
mantap jika longkang yang terbina macam setan?
Setelah lebih daripada
sepuluh kali melalui kawasan yang dinaiki air, mereka tiba di kawasan Batu
Caves. Memandangkan keadaan trafik yang sesak, mereka tiba hanya selepas satu
jam tiga puluh minit menempuhi ranjau di jalan raya. Jika dalam keadaan trafik
yang lancar, ia hanya memakan masa kira-kira setengah jam.
Khairul pantas merumuskan
sistem perparitan adalah punca mengapa jalan raya menjadi sesak. Begitulah
pintarnya Khairul berfikir. Dia tidak menyalahkan hujan lebat yang turun kerana
jika sistem perparitan dibuat dengan cemerlang tanpa sepuluh sen pun rasuah
dalam urusan mendapatkan tender projek, permasalahan ini tidak akan berlaku.
Bukankah hujan itu suatu
rahmat? Hanya kita sahaja sebagai manusia yang bertanggungjawab mengubahnya
menjadi malapetaka.
Disebabkan hujan yang
masih belum berhenti, Khairul hanya mampu membawa isteri dan anaknya melihat
gua batu kapur di Batu Caves dari bahu jalan. Kelihatan juga sebuah patung
besar yang menjadi mercu tanda ia adalah tempat beribadat buat penganut agama
Hindu.
Khairul berasa kagum
dengan binaan patung tersebut yang kelihatan teguh. Namun, rasa kagumnya adalah
terhadap binaan, bukan pada anutan agama tersebut. Inilah perkara yang sering
menimbulkan kontroversi dalam masyarakat kita. Sedikit pujian terhadap agama
lain terus dituduh sesat. Sedikit kritikan terhadap agamawan terus sahaja
dilabel munafik.
Amboi, macam dia seorang
sahaja yang mahu masuk ke syurga.
Setelah beberapa minit
beriadah mata melihat gua batu kapur, Khairul mula terasa lapar. Dia mengajak
isterinya untuk mencari kedai makan bagi mengisi perut yang lapar. Beberapa
cadangan diajukan dan isterinya membalas dengan jawapan yang paling sukar di
dunia – “Ikutlah,”.
Jawapan yang diberikan itu
sekaligus meletakkan semua beban mencari tempat makan yang menarik terletak di
bahu Khairul. Matanya liar memerhatikan bangunan dan gerai sekeliling.
Ternampak sebuah restoran asam pedas, Khairul terus memberikan isyarat untuk
membelok.
Tiba sahaja di hadapan
restoran tersebut, Khairul berubah fikiran setelah melihat hanya ada tiga orang
pelanggan di dalam kedai tersebut. Dia berpegang teguh kepada prinsip jika
ramai orang, kedai itu sedap dan jika tidak ramai, kedai itu tidak sedap. Tak
pernah terlintas di fikirannya kedai yang ramai pelanggan menggunakan pelaris
dan kedai yang sendu tanpa pelanggan itu sedang diilmu hitamkan.
Maka, Khairul terus
memusingkan keretanya dengan kadar segera untuk mencari kedai makan yang lain.
Dilihatnya banyak restoran mamak di situ, namun seleranya pada masa itu tidak
menginginkan masakan India. Lalu, diteruskan perjalanannya.
Khairul melihat jam di
tangannya. Sudah semakin hampir dengan waktu azan maghrib. Dia memberitahu
isterinya untuk berhenti di sebuah stesen minyak bagi menunaikan kewajipan sebagai
hamba Allah. Sekali lagi jawapan “Ikutlah,” diberikan oleh isterinya. Jelas di
sini bahawa jawapan “Ikutlah,” boleh diguna pakai dalam pelbagai keadaan.
Variasi penggunaannya adalah sangat meluas.
Sebaik tiba di sebuah
stesen minyak sekitar daerah Selayang, azan maghrib berkumandang. Khairul
bergegas menuju ke surau untuk mengambil wudhuk. Ketika ini, terdapat dua orang
umat Islam sudahpun memulakan sembahyang secara berjemaah. Khairul menyertai
mereka ketika rakaat kedua.
Surau yang terdapat pada
sebuah stesen minyak tidaklah sebesar mana dan boleh menampung sehingga 5 atau
6 orang jemaah sekaligus sekiranya safnya disusun dengan betul. Malangnya,
orang yang pertama sembahyang menyusun saf dengan berterabur, maka hanya dapat
menampung tiga orang jemaah sahaja. Beberapa orang lain yang sudah mengambil
wudhuk terpaksa menunggu sehingga ketiga-tiga jemaah ini selesai bersembahyang.
Sebaik selesai urusan
sembahyang. Lelaki yang menjadi imam terus berwirid panjang dengan pelbagai
zikir dibacakan. Usai berwirid selama beberapa minit, barulah lelaki itu
menadah tangan untuk berdoa. Ibarat seorang imam di masjid negeri, dia
membacakan doa yang panjang berjela tanpa mempedulikan orang lain yang sedang
menunggu giliran untuk bersembahyang. Khairul mula berasa serba salah dengan
tindakan imam tersebut.
Lantas, dia mengesot
perlahan-lahan ke belakang dan mengaminkan doa setakat itu sahaja. Khairul
bangun dan keluar dari surau. Dilihatnya muka seorang demi seorang yang sedang
menunggu sudah masam mencuka.
Iya, berwirid dan berzikir
adalah amalan yang sangat mulia. Ia ibarat sebuah bonus yang dianugerahkan oleh
Allah kepada manusia. Doa yang panjang juga adalah bagus agar kita dapat
memohon semua perkara yang kita kehendaki. Namun, melakukannya di sebuah surau
yang bersaiz mini di saat sudah ramai orang sedang menunggu giliran untuk
menunaikan fardhu Maghrib adalah perkara yang tidak patut.
Cukuplah dengan wirid dan
doa yang ringkas. Allah faham dan tahu akan keikhlasan kita. Tidak pula jatuh
hukum berdosa sekiranya doa yang dibacakan selepas solat hanya lapan potong
ayat sahaja. Ampunkan dosaku dan kedua ibu bapaku, ya Allah misalnya.
Lagipun, bukan kita
seorang yang mahu masuk syurga.
Khairul meneruskan
pemanduannya dengan misi mencari kedai makan. Dia teringat akan sebuah kedai
yang menjual soto berhampiran dengan Paya Jaras. Maka, GPS dalam kepalanya
terus menetapkan kedai soto tersebut sebagai destinasi persinggahan.
Setibanya di kedai soto
tersebut, perasaan kecewa menyelubungi Khairul apabila melihat pekerjanya sedang
menggilapkan periuk belanga. Papan tanda “tutup” digantung. Sudah tidak menjadi
rezekinya untuk menikmati soto. Mujurlah, kedai di sebelah masih buka.
Khairul terus duduk di
kerusi sebaik dipelawa duduk oleh pelayan kedai tersebut tanpa rasa was-was. Dia
berasa yakin dengan masakan kedai tersebut memandangkan ia terletak
bersebelahan dengan sebuah masjid. Pasti makanan yang disediakan adalah suci
dan mengikut syariat memandangkan ramai jemaah dari masjid akan mengopi di
sini.
Selepas berzikir di masjid
usai sembahyang, mereka akan berzikir pula di kedai makan dengan zikir-zikir
memaki kerajaan, pembangkang, atlit sukan, artis realiti, pasukan bola sepak
negara, penghulu mukim, dan sebagainya.
Khairul memesan burung
puyuh masak kicap, telur bungkus, kailan ikan masin dan sate sebanyak sepuluh
cucuk untuk dimakan. Kecur air liur dia bila terbayangkan akan kenikmatan
meratah daging puyuh masak kicap tersebut. Melalui gambar pada menu, ia
kelihatan sungguh menyelerakan.
Sebaik makanan yang
dipesan tiba, Khairul membaca doa makan dan diaminkan oleh isteri dan anaknya.
Dia mencubit sedikit daging buruh buyuh masak kicap tersebut untuk menilai
kesedapannya. Dan markah yang diberikannya terhadap masakan itu adalah 3/10.
Khairul pasrah.
Kemudian, dia mengambil sedikit
telur bungkus untuk dijamah. Kali ini ada sedikit peningkatan kepada 4/10 namun
Khairul masih kecewa. Disuapkan pula sayur kailan ikan masin ke dalam mulutnya.
Markah 2/10 diberikan terhadap masakan yang langsung tiada rasa ikan masin itu.
Khairul pasrah. Benar-benar pasrah.
Seorang lelaki hadir
membawa sepuluh cucuk sate yang dipesan. Memandangkan sate adalah berlainan
taukey, maka Khairul harus menyelesaikan bayarannya terlebih dahulu. Dia
menghulurkan sekeping not sepuluh ringgit. Pekerja kedai sate itu mengambilnya
tanpa memulangkan baki. Ketahuilah akan Khairul bahawa harga secucuk sate ayam
di situ adalah RM 1.00.
Khairul hanya tersenyum.
Fikirannya tentang kesucian kedai makan yang terletak bersebelahan masjid itu
ternyata meleset sama sekali. Mungkin sate di sini lebih keberkatan kerana
diperdengarkan dengan bacaan al-Quran dan laungan azan sebelum dibakar. Khairul
mendoakan agar si penjual sate tidak diseksa di alam barzakh kelak.
Dalam terpaksa, Khairul
dan isteri terpaksa juga menghabiskan makanan yang secara keseluruhan bermarkah
3/10 itu. Dengan sate berharga seringgit secucuk yang lebih rasa serai daripada
ayam, mereka tiga beranak berjaya juga menghabiskan makanan tersebut.
Bersyukurlah juga Khairul
mereka masih mampu mengunyah makanan sedang ada manusia yang terlantar sakit di
hospital hanya mampu makan menggunakan tiub. Namun, yang tidak sedap tetap
tidak sedap. Dia membayar harga sebanyak RM 25.00 untuk makanan yang tidak
sedap itu.
Komen Khairul adalah mudah
untuk semua masakan tersebut. Mereka masak tidak menggunakan jiwa. Hanya
kerakusan memegang sudip dan kuali untuk mendapatkan pulangan wang dan
keuntungan. Bukankah keuntungan jiwa pelanggan adalah lebih mustahak? Makanan
yang lazat akan menenangkan jiwa semua orang. Maka, memasaklah dengan penuh
kejiwaan. Usahlah membuka kedai makan jika anda memasak macam orang bangang.
Tidak mahu merungut lagi
dan menganggap ia sebagai ketentuan Illahi, Khairul terus memandu pulang ke
rumah. Allah menguji kita dalam pelbagai cara samada kita sedari ataupun tidak.
Khairul melihat jam di tangan kirinya. Sudah jam 8.10 malam. Bermakna tepat
tiga jam dia keluar dari perkarangan rumahnya dengan tujuan beriadah. Selama
tiga jam itulah juga dia diuji dengan pelbagai peristiwa.
Setidak-tidaknya, ujian
itu membawa Khairul lebih jauh berfikir sekaligus menajamkan akal dan
mematangkan fikirannya. Bukankah Allah menguji semua hamba yang dikasihi-Nya?
No comments:
Post a Comment