Showing posts with label patriotisme. Show all posts
Showing posts with label patriotisme. Show all posts

Thursday, February 11, 2016

Jihad Memerangi Nafsu

“Jihad memerangi nafsu adalah jihad yang terbesar. Ia adalah jihad ke jalan yang diredai Allah,”

Kata-kata Ustaz Najib dalam kuliah maghrib semalam terngiang-ngiang dalam kepala otak aku yang berjambul. Bagai diganggu sepanjang masa dengan kata-kata tersebut. Dari pagi lagi sejak bangun tidur aku terfikir-fikir tentangnya. Juga wajah tenang Ustaz Najib sewaktu menyampaikan kuliah.

Semalam aku ke surau selepas kali terakhir menziarahinya pada bulan Ramadhan yang lalu. Tiba-tiba rasa tergerak hati untuk ke surau. Kebetulan tiada apa-apa yang hendak dibuat di rumah selepas tiba awal dari pejabat. Hendak layan drama tipikal jam tujuh rasa menyampah.

Rasa tenang menyinggah jiwa sebaik aku mengangkat wuduk. Dingin air kolah surau menggigit sampai ke temulang. Mungkin kedinginan yang penuh dengan barakah kerana ia berada di tempat beribadat.

Jadinya, kebetulan juga kedatangan aku ke surau sewaktu hari Ustaz Najib menyampaikan kuliah maghrib. Tak pernah langsung aku tahu menahu tentang jadual kuliah maghrib Ustaz Najib selama ini jika tidak diberitahu Abang Zahid, ahli jawatankuasa surau.

“Eloklah kau datang surau hari ni, ada kuliah maghrib Ustaz Najib. Simpan dalam reminder kau, setiap Isnin dan Rabu ada kuliah Ustaz Najib,” bahu aku ditepuk-tepuk mesra oleh Abang Zahid yang tak pernah tidak tersenyum walaupun terpijak tahi cicak selepas berwuduk.

Ustaz Najib memang dikenali dalam kalangan penduduk setempat sebagai seorang guru agama yang berpengaruh. Masih muda, belum mencecah tiga puluh lagi usianya. Siang harinya mengajar di sebuah sekolah agama, malamnya memberi kuliah di surau dan masjid berhampiran. Ceramah dan kuliahnya ringkas tetapi sangat melekat di hati. Tidak ada berkias-kias dan jenaka keterlaluan.

Ustaz Najib khabarnya pernah dilamar sebuah stesen televisyen swasta untuk mengelolakan sebuah slot kuliah namun ditolaknya dengan berhemah. Alasannya, enggan bergelar ustaz selebriti, cukup sekadar memberi bimbingan kepada masyarakat setempat. Lagipun, masih ramai longgokan ustaz dari program realiti tv yang berpotensi untuk mengelolakan slot tersebut. Sangatlah sederhana bagi aku Ustaz Najib ini.

Kuliah maghrib malam itu bertajuk Nafsu. Banyak isu yang dikupas Ustaz Najib sepanjang kuliahnya yang tidak sampai setengah jam itu. Memang rasa tidak puas mendengar kuliahnya yang dicemburui masa itu. Aku harap dapat datang lagi ke surau untuk kuliah maghrib yang seterusnya.

*****

Sudah dua minggu aku tidak ke surau. Apa tidaknya, balik kerja pun sudah lepas waktu maghrib. Sampai saja di rumah sudah jam sembilan lebih. Surau pun sudah bergelap. Kecewa juga aku sebenarnya. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja terlalu banyak tugasan yang perlu diselesaikan segera.

Kata Ustaz Najib dalam kuliah terdahulu di bulan Ramadhan yang pernah aku dengar, kerja juga adalah satu ibadat. Maka, laksanakan kerja dengan ikhlas sebagaimana keikhlasan kita dalam beribadat kepada Allah. Jadi, bekerja keras bukanlah nafsu untuk mendapatkan wang lebih semata-mata seperti anggapan kebanyakan orang yang gemar berdialog seperti “Bangla pun cutilah hari minggu,”

Tapi aku tetap kecewa kerana tidak dapat menghadiri kuliah maghrib Ustaz Najib.
Keesokan harinya, aku lihat ada surat di atas meja. Perlahan-lahan aku buka sampulnya. Perasaan bimbang dan teruja bercampur aduk. Perjalanan bisnes syarikat sangat baik ketika ini, tak mungkin ini surat diberhentikan kerja.

Aku hanya mampu tersenyum membaca isi kandungan surat tersebut. Nyata, ia adalah perkhabaran gembira. Aku dinaikkan pangkat dan akan ditukar ke pejabat cawangan yang terletak hanya 20 kilometer dari rumah mak abah di kampung. Lekas-lekas aku telefon mak untuk sampaikan berita ini. Aku juga ucap terima kasih kepada bos, Encik Muhyiddin.

Tempoh masa diberi sebulan untuk aku menyiapkan diri sebelum bertukar ke sana. Terlalu banyak perkara dan urusan yang perlu diselesaikan dalam tempoh sebulan itu. Maka, setiap hari aku terpaksa pulang ke rumah dengan menyalakan lampu kereta sambil minum kopi segera.

Kuliah maghrib Ustaz Najib memang aku tak dapat nak hadiri langsung.

Aku jumpa dengan Abang Zahid sebelum pindah ke kampung dan minta dia sampaikan salam kepada Ustaz Najib. Abang Zahid seperti biasa, angguk dan senyum sambil ucap Insyaallah. Semoga Ustaz Najib masih ingat aku walaupun hanya sekali datang ke kuliah maghribnya.

*****

Sudah enam bulan aku ditukarkan ke cawangan baru ini. Rasa tenang dan selesa dapat berkerja di kampung. Lebih-lebih lagi dapat tinggal bersama mak abah. Dapat juga aku tengok-tengokkan makan pakai mereka walaupun kedua-duanya masih sihat.

Rutin aku di kampung tidaklah sesibuk seperti di bandar. Kerja pun tak pernah pulang malam. Sempat lagi untuk bermain bola di padang selepas balik kerja. Dapat juga bagi berpeluh badan. Kalau tak main bola, dapat juga tolong mak siram pokok atau sapu sampah di halaman rumah.

Waktu maghrib aku akan ke surau dengan abah. Abah bilal di masjid. Nanti apa pula kata orang kampung kalau aku tidak ke masjid dengan abah. Tapi, itu mulut orang. Kita tak boleh tutup mulut orang walaupun jauh lebih kecil dari mulut tempayan. Aku ke surau bukan kerana abah seorang bilal. Aku ke surau sebab aku mahu ke surau. Bukan juga untuk update status check-in di Facebook.

Di kampung hanya ada sekali-sekala sahaja kuliah maghrib. Tidak ada ditetapkan jadualnya. Jika ada sebarang kuliah dari penceramah luar akan diberitahu dalam masa terdekat. Biasanya, ada tazkirah ringkas. Haji Khairi yang akan bacakan. Selepas tazkirah, ada yang mengaji, ada yang merokok sambil borak-borak di anjung surau dan ada balik rumah makan nasi kemudian datang semula ke surau.

Aku biasanya akan tunggu sahaja di surau sebab abah memang akan balik selepas solat Isyak. Kadang-kadang aku mengaji, kadang-kadang aku berborak dengan Mat Sabu, pemuda kampung sebaya aku. Perkara yang paling bernafsu aku buat di surau adalah melihat Siti Rosmah yang bertelekung sambil berjalan tersipu masuk ke ruang solat wanita. Anak Lebai Anwar ini memang cantik, umur 23 tahun.

Mungkin aku gagal memerangi nafsu untuk tidak melihat mahupun menjeling sipi terhadap Siti Rosmah. Ah, rindu pula pada kuliah Ustaz Najib.

Bila aku balik ke rumah, aku tengok Mak dan Adik Rara sedang ralit menonton televisyen. Mungkin ada rancangan baru kerana sebelum ini mereka tidak pernah aku lihat sekhusyuk itu menonton televisyen sampai aku acah-acah buat bunyi ketuk periuk nasi pun buat tak tahu.

“Amboi, tengok apa tu? Sampai tak perasan kita dengan abah dah sampai rumah. Kita orang nak makan nasi ni,”

“Dah siap semua kat bawah tudung saji tu,”

Tak pernah lagi terjadi bila aku balik ke rumah semua dah siap terhidang. Biasanya hanya lauk yang terhidang, nasi masih dalam periuk. Bila aku dan abah sampai barulah Rara ambilkan nasi dalam periuk letak ke dalam pinggan. Aku pergi jenguk ke ruang tamu untuk tengok rancangan apa yang berhantu sangat itu.

“Program apa pula ni, Rara?” tanya aku.

“Program baru ni, along. Macam Pencetus Ummah dan Imam Muda tu juga. Tapi nama dia Penjalin Ukhwah,” jawab Rara dengan sedikitpun kepala tidak terkalih dari televisyen. Mak juga begitu.

Aku pun berlalu ke meja makan kembali untuk bersama abah. Sempat juga aku alihkan pandangan ke televisyen sekali lalu. Eh, aku pandang ke televisyen sekali lagi. Aku amati betul-betul wajah figura yang terpapar di skrin itu. Macam kenal. Handsome orangnya.

“Haa, ni ha mak, nilah peserta yang Rara cakap tu! Handsome kan?” tempik Rara kepada mak yang mengangguk-angguk tanpa mempedulikan aku.

Lalu, aku terus ke meja makan bersama abah. Sepanjang malam itu aku tersenyum sambil terbayang-bayang wajah Ustaz Najib yang sedang memberikan kuliah sambil berkata ;
“Jihad memerangi nafsu adalah jihad yang terbesar. Ia adalah jihad ke jalan yang diredai Allah,”


Sebelum tidur, aku berdoa agar Ustaz Najib menang dalam rancangan realiti tv Penjalin Ukhwah dan datang ke kampung aku untuk memberikan kuliah maghrib di surau. Nafsu aku untuk tidur juga sudah sampai, semoga tidak mimpikan Ustaz Najib mahupun Siti Rosmah malam ini.

Tuesday, December 15, 2015

365 Hari Memburu Janji

Saya singsingkan sedikit tirai di jendela. Jauh memandang ke arah timur. Melihat percik-percik cahaya sang suria pagi yang pertama untuk tahun ini. Masih sama cerahnya seperti tahun-tahun terdahulu. Menyapa dunia dengan selembut bahangnya pada hari ini – Khamis, 1 Januari 2015. Syukurlah, masih mampu saya menikmati vitamin E yang percuma ini.

Lalu saya melangut tinggi. Dongak memandang dada langit yang kian berdendang kecerahan. Pagi yang terlalu indah untuk ditinggalkan. Jika saya mampu, ingin saya hentikan putaran waktu sekarang juga. Agar keindahan ini tidak akan terginjak. Agar keindahan ini tidak terkhianati oleh janji-janji.

Tapi saya tidak mampu. Dan bumi semakin hangat.

Manusia berlumba-lumba mengejar kepastian dalam gumpalan cabaran yang semakin kronik. Konflik-konflik meditasi menyelinap di setiap lorong kehidupan tanpa ada rasa simpati. Dalam sedar atau tidak, luluh jua keringat yang tidak berpatutan dengan upah yang diterima. Yang gendut, terus gendut dan yang kerempeng terus kerempeng.

Semput dan gagap.

Dalam sedu, saya mendaki denai perjalanan yang tidak berbukit dan berpuncak. Rata dan sekata. Tapi terlalu perit untuk ditempuhi. Tiada hentian rehat untuk melepaskan hatta sedehem batuk. Masa yang terlalu jaguh untuk kita tewaskan. Paksalah juga diri untuk menuruti agar tidak tertinggalkan yang mustahak.

Kadangkala, langkah hanya sedikit terlewat. Barangkali setapak dua. Tapi terlalu jauh ditinggalkan. Dari setapak dua itu, kelewatannya sampai berskala seribu langkah. Makin dikejar, makin sakit. Tidak dikejar, juga sakit.

Saya perhatikan ulas buah harapan yang masih berbaki ini. Seakan sudah lemau dimamah waktu. Elokkah lagi untuk saya jamah agar esok hari tidak kelaparan? Perut sudah kenyang sebenarnya. Menjamah janji-janji manis, manifesto mega jaya, dan provokasi lantang kosong. Terlalu sarat dengan semua itu. Mahu saja saya jeluakkan semua isi perut ini.

Satu berganjak dua. Dua berganjak tiga. Tiga, empat, lima dan seterusnya. Sudahnya, sampai ke tiga puluh satu. Januari mahu ucap selamat tinggal dengan lambaian yang penuh jerih. Pergilah, wahai sayang Januari. Ada rezeki, panjang umur kita ketemu lagi. Doa-doalah kepada Illahi.

Saya masih melangkah ketika Februari datang. Katanya, bulan cinta, bulan romantis. Saya lihat, manusia masih berlumba-lumba. Mengejar cinta atau ditinggalkan cinta sehingga tiada masa untuk menoleh langsung. Tiada! Tiada bulan cinta dan romantis. Tiada! Semua bulan sama sahaja. Manusia terus berlumba-lumba lalu gila kerana ditabur janji dusta.

Cinta sudah lenyap.

Mac menyapa tanpa salam perkenalan. Dalam gerung hati yang lunak menjerit kesakitan sampai tak terluah suara. Saya menggerumuk memandang hutan batu yang kian bersemak-samun ini. Langit tak terlihat lagi aura impian. Hanya menggermang pada dinding kedustaan. Belakang badan sarat dengan beban helah yang digalas.

Wahai janji, usah berdalih lagi. Saat melangkah ke sempadan April, saya sedar yang langkah ini semakin kejauhan walaupun telah digesitkan berkali ganda kudrat. Semakin laju, semakin ditinggalkan. Celakalah keseluruhannya bila Mei menjemput April yang bagai tidak terkalih ia berlalu.

Jarum saat terus setia berputar seperti paksi yang menuruti kejadian siang dan malam. Angan, impian, doa, harapan juga turut berputar sama. Tinggal lagi, hendak diterjemahkan menjadi lukisan realiti yang saya sendiri tidak pasti bila, di mana dan bagaimana. Sudahnya, kalendar menginjak Jun. Dosa-dosa terus giat terkumpul dalam gerombongan bahu kiri.

Bila saya pejamkan mata, saya terdengar bunyi angin yang maha merdu. Damainya memeluk tubuh yang kian gering beralaskan harapan. Adakah ini petanda makbulnya doa-doa saya sepanjang perjalanan ini? Seperti enggan membuka kelopak mata. Bimbang dek kedamaian ini akan mati.

Tapi, saya perlu terus melihat dunia.

Lalu, dibuka perlahan-lahan mata. Ah, terus sahaja Julai menerpa. Dalam siksa, saya gagahi jua. Memburu janji-janji yang pernah dilaung. Mengejar impian yang pernah dihamparkan dahulu. Jerihnya kaki ini hendak melangkah lagi dalam kecelakaan sakti.

Saya terjerongok bila melihat papan iklan yang memaparkan si tua bongkak berpakaian segak. Iklannya menempel janji-janji lama. Yang saya buru sejak Januari lalu. Kini, sudah Ogos. Janjinya masih tak terungkai. Manakan si bongkak tahu saya sedang gering. Saya makan ikan kering, dia makan daging.

Jadilah saya manusia yang kebuluran harapan ditanam hidup-hidup oleh janji si tua bongkak berpakaian segak.

September menjelma. Saya seakan mahu mengalah. Sembilan purnama terpaksa berjinjit-jinjit untuk meneruskan hidup. Bernafas pun mengah, bernyawa pun semput. Tinggal lagi hendak bercerai dengan badan sahaja. Bagai menapak dalam lubuk jerung yang lapar.

Dalam keluh saya yang semakin menggeru, Oktober tiba. Maka, sesal saya masih belum berkesudahan. Bila papan iklan diturunkan, kemudian diganti dengan yang baru ia kian menggermang saya. Iklan baharu, janji baharu dan kedustaan baharu.

Warna putih ternampak hitam, merah ternampak hitam, biru ternampak hitam, hijau ternampak hitam dan semuanya ternampak hitam. Zulmat. Hitam dengan janji-janji dusta kamu. Lalu, November tiba dengan awan hitam yang memberikan harapan hujan.

Lenjun bermandikan hujan. Saya harap setiap titis kerasnya melunturkan janji-janji dusta.

Bayu Disember menyapa keras. Menggigit tubuh dengan kedinginan hingga ke temulang. Meliatkan urat-urat dan otot-otot yang selama ini berpanji memandu pergerakan saya. Sedingin harapan yang semakin tipis. Saya termenung melihat matahari pagi bulan Disember. Kaku dan tidak berganjak sehingga cahaya menipis jauh di barat. Senipis impian yang mega ketika Januari lalu.

365 hari melangkah, memburu janji-janji dusta. Yang saya dapat hanya lelah. Keringat tak terkira tenatnya. Tipisnya harapan untuk mengharap lagi. Juga impian yang sudah bertranformasikan mimpi. Sekadar mimpi. Lekaslah saya bangkit menggali lubang sedalamnya. Menguburkan semua janji dusta, harapan dan impian. Saya semadikan ke dalam tanah yang menangis kecewa.

Untuk si tua bongkak berpakaian segak, lurutkan suit mewahmu. Melangkahlah bersama manusia-manusia yang menderita dek janji dustamu. Nikmatilah angin kecelakaan yang engkau hembuskan bersama impian dahulu. Berhentilah menghambur slogan harapan. Undur dan pergi sahaja jauh-jauh.





Saturday, November 21, 2015

Obama

Semalam saya jumpa dengan Obama. Sudah lama saya tak berjumpa dengannya. Obama masih sama seperti dahulu, saat pertama kali saya berjumpa dengannya. Saya sangat gembira dapat bertemu kembali dengan Obama.

Saya bawa Obama ke sebuah kedai mamak dan duduk di meja yang paling hujung di bahagian kaki lima bangunan. Memang sudah kebiasaan, saya akan duduk di situ setiap kali datang ke kedai mamak ini.

Obama enggan orang lain menyedari kehadirannya di situ. Jadi, dia tunggu sebentar di luar sementara menunggu pesanan sampai. Seorang pekerja mamak membawakan saya nasi putih dan ayam tandoori. Juga sepiring kuah kari kosong.

Saya tahu, Obama tak suka makan nasi. Jadi saya belanja dia makan ayam tandoori sahaja. Saya panggil Obama sebaik makanan itu tiba. Obama datang dengan wajah yang jelas tidak bermaya.

Saya berikan ayam tandoori kepada Obama. Perlahan-lahan ayam tandoori itu dikunyahnya. Tidak seperti sebelum-sebelum ini, Obama sangat berselera setiap kali memakan ayam tandoori. Risau juga saya melihat keadaan Obama.

Wajahnya nampak sangat lesu. Mungkin terlalu letih kerana terlalu sibuk dengan aktiviti hariannya. Saya menggosok belakang badan Obama. Mungkin boleh bantu dia keluarkan angin dalam badan.

Kulitnya yang gelap itu nampak pucat dan terasa panas ketika disentuh. Saya syak Obama diserang demam panas. Mungkin tidak biasa dengan keadaan cuaca di Malaysia sekarang ini. Sekejap panas terik, sekejap hujan lebat. Jangankan manusia, anjing pun boleh demam jika cuaca tidak menentu.

Saya hulurkan segelas air suam kepada Obama untuk dihirup. Ketika demam, kita perlu minum air yang banyak supaya kepanasan dalam badan akan lekas terhidrat samada melalui peluh mahupun air kencing.

Saya seluk poket seluar. Ada dua biji panadol. Saya hulurkan kepada Obama. Namun, Obama tidak mahu. Mungkin Obama tidak suka makan ubat. Saya fikir, Obama lebih suka merawat sakit menggunakan herba ataupun kaedah hemopati. Saya kasihan melihat keadaan Obama yang tidak bermaya.

Jika sebelum ini, Obama sangat cergas. Setiap kali berjumpa, Obama tidak akan duduk diam. Pasti ada sahaja keletahnya yang mencuit hati. Tetapi, hari ini sungguh berbeza. Mungkin juga faktor usia yang membuatkan Obama cepat letih dan tidak bermaya.

Saya memicit kepala Obama. Kemudian, Obama meletakkan kepalanya di atas paha saya. Meminta untuk dipicit lagi barangkali. Saya meletakkan minyak angin ke kepala Obama, kemudian memicit dengan lebih kuat. Obama kelihatan terpejam matanya. Pasti sudah berasa lega sedikit dengan urutan saya itu.

Saya lihat seorang pekerja kedai mamak datang meluru ke arah saya. Saya menggerakkan paha menyuruh Obama lekas bangun dan berlalu supaya tiada siapa yang menyedari kehadirannya di situ. Pekerja kedai mamak itu kelihatan sedang marah.

“Hoi orang gila! Saya kasi makan, you makan sorang-sorang saja sudahlah. Jangan bawa itu anjing datang makan sekali. Nanti saya kena samak satu kedai kalau ada orang kasi viral gambar you dengan anjing makan dekat sini dalam itu Facebook!”

Saya lihat Obama sudah pergi jauh dari situ. Mungkin merajuk. Saya sambung makan nasi putih, baki ayam tandoori dan kuah kari. Kemudian, saya ucap terima kasih kepada pekerja kedai mamak tadi. Saya harap esok Jabatan Agama datang sini dan samak satu kedai.




Tuesday, September 15, 2015

Aduan Rakyat : Jerebu

Pada hari ini (14/09/2015), Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicatatkan di beberapa bandar utama sekitar negara menunjukkan paras yang tidak sihat. Daerah Banting, mencatatkan IPU yang tertinggi dengan bacaan 175. Pelabuhan Klang mencatatkan bacaan 171 dan Port Dickson pula mencatatkan bacaan 168.

Umum menyedari, masalah jerebu yang melanda Malaysia keika ini adalah berpunca daripada pembakaran hutan secara terbuka yang dibuat secara besar-besaran di negara jiran, Indonesia.

Sebagai jiran yang baik hati, kita bukan sahaja mengizinkan rakyat mereka untuk datang mencari rezeki di negara kita samada secara haram ataupun halal, malah turut mengizinkan udara tidak sihat datang ke negara kita. Tidak cukupkah lagi dengan asap rokok kretek yang diseludup dari Indonesia mencemarkan udara di negara kita? Tidak cukupkah lagi bau rambut wanita Indonesia yang menggunakan syampu bawang membacinkan udara di negara kita?

Mungkin Andik Vermansyah ada jawapannya.

Sepanjang musim jerebu ini, elakkan daripada melakukan aktivit dan kegiatan luar seperti senamrobik di taman rekreasi, memancing udang galah di muara sungai, memikat burung tekukur, barbeku sempena majlis reunion, bermain petanque dan sebagainya. Banyakkan minum air masak dan jauhkan meminum todi, air ketum dan tuak.

Kedatangan jerebu yang tidak diundang ini dilihat menimbulkan kemarahan netizen terutamanya di media sosial. Ada yang memaki hamun negara jiran kerana hampir setiap tahun mereka membakar hutan dan setiap tahun jugalah mereka memohon maaf. Tidak kurang juga yang berjenaka mengaitkan jerebu ini dengan kabus seperti di Eropah mahupun Genting Highland.

Kabus adalah kabus, jerebu dalah jerebu. Kabus tidak berbau dan terasa nyaman pabila ia menyentuh tubuh. Jerebu berbau asap dan terasa semput ketika ia melintas hidung.

Tidak kurang juga yang berdoa dengan menggunakan hashtag supaya jerebu yang melanda negara kita ini segera pulih. Begitulah mudahnya kehidupan di zaman urban ini. Berdoa hanya melalui hashtag. Semakin banyak like semakin mustajab doa itu. Mungkin kita perlu mengubah kata-kata pujangga "kenang daku dalam doamu," kepada "kenang daku dalam hashtagmu,".

Memandangkan masalah jerebu ini adalah masalah rakyat, maka saya sempat menebual beberapa orang individu untuk memberikan komen serta pendapat mereka tentang permasalahan ini. Berikut adalah hasil temubual saya bersama mereka ;

"Jerebu ni sampai bila pun takkan selesai kalau Indonesia tak habis-habis nak bakar hutan dia orang tu. Patutlah kena tsunami, suka buat kerosakan kat muka bumi. Bodoh!" ujar Pak Manan, seorang pesara kerajaan yang banyak menghabiskan masanya di kedai kopi. Sebaik memberikan komen, Pak Manan mencucuh sebatang rokok kretek dan menghembuskan asapnya ke udara. Semoga Pak Manan beroleh kedamaian hendaknya.

"Mak Cik pun bengang juga dengan jerebu ni, nak buat kerja luar rumah ni susah. Pokok bunga banyak nak kena siram, sayur-sayuran yang ditanam tu nak kena baja dan gemburkan tanahnya, tu pokok bonsai bukan boleh dibiarkan pucuknya tumbuh nanti tak cantik. Aduh, susahlah jerebu ni," kata Makcik Nelydia sambil menyapu daun kering di halaman rumahnya. Beberapa minit kemudian, dia dilihat menyalakan api untuk membakar daun kering tersebut. Semoga Makcik Nelydia bertemu kebahagiaan hendaknya.

"Jerebu ni boleh diibaratkan seperti musibah. Saya terpaksa mengeluarkan kos yang lebih banyak untuk membelikan pekerja saya dengan mask pelindung hidung. Kalau pekerja saya sakit, lagi susah nanti," kata Encik Douglas, pemilik sebuah kilang memproses bahan kimia yang beroperasi 24 jam.

"Asap vape gua ni buan bahaya pun, der. Takkanlah boleh jadi punca jerebu kot?" ujar seorang remaja hipster yang hanya mahu dikenali sebagai Jinggo Kepala Mancis. Tanpa segan silu, dia menghembuskan asap berperisa buah kedondong sebaik ditemuramah.

"Jerebu ni buat semak hidung gua, doe! Nak lumba haram pun pedih-pedih je rasa mata macam masuk habuk. Nyaris-nyaris gua nak sodok tiang lampu semalam sebab jerebu tebal sangat. Sialllll je an?" kata Shark Sharpawi, seorang mat rempit tegar yang menggunakan motosikal jenis Yamaha 125 ZR. Dia berlalu meninggalkan asap yang pekat daripada ekzos motosikal enjin dua lejang itu.

"Ini semua bala daripada Allah. Mungkin ada perkara yang salah yang kita tak sedaq kita dok buat. Saya rasa eloklah semua rakyat Malaysia minum ayaq 30 juzuk dari pusat tahfiz saya ni. Molekul dalam ayaq ni baguih untuk mengelakkan kita kena penyakit sepanjang musim jerebu ni. Tak mahai aih, sebotoi enam ringgit. Beli dua, kira rega adik-beradik ja, sebelaih ringgit," ujar Ustaz Don Wori sambil mempromosikan produk berasaskan al-Quran yang dijual dengan harga yang tidak berasaskan ajaran al-Quran.

"Saya akan menghantar isteri dan rombongan untuk lawatan kerja ke Indonesia bagi menyelesaikan isu ini. Mungkin akan mengambil masa selama dua atau tiga hari. Perjanjian memorandum akan dibuat oleh isteri saya disana kelak," titah Perdana Menteri sebuah negara yang turut terlibat dalam masalah jerebu ini.

"Kalau tak suka jerebu di Malaysia, pergi pindah negara lain yang tidak jerebu," kata seorang Menteri yang pernah mendapat anugerah dekan semasa di universiti dahulu,

Pokok pangkalnya, sejauh manakah kesedaran kita terhadap jerebu? Adakah anda hanya menyalak ketika ia berlaku disebabkan pembakaran hutan oleh negara jiran sahaja? Adakah anda rakyat yang tidak pernah mencemarkan udara? Adakah anda tidak mengganggu frekuensi di udara dengan talian internet yang sedang anda gunakan untuk membaca laporan ini? Dan adakah anda sedang bernafas dengan nyaman ketika ini di dalam bilik yang dilengkapi dengan pendingin hawa?

Tepuk dada, tanya selera.



Sunday, August 30, 2015

Cerita Rakyat : Merdeka

Tok Hussien berusia 83 tahun. Hari ini dia akan ke rumah anak sulungnya di Kuala Lumpur. Semenjak kematian isterinya, Nek Som, dia tidak lagi menjenguk anak cucunya di sana. Walaupun sudah berusia, kudrat Tok Hussien masih lagi gagah untuk ke sana. Anak saudaranya, Salehuddin akan menghantar Tok Hussien ke sana dengan menaiki kereta.

Anak sulung Tok Hussien bernama Bakar. Dia merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya di sana. Bakar membuka sebuah restoran Nasi Ayam. Resipi yang diwarisi dariapada arwah ibunya. Setiap hari, restoran Bakar akan dikunjungi ramai pelanggan dari pelbagai bangsa. Malah, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah juga pernah singgah makan di restorannya.

Walaupun nama restorannya Nasi Ayam Bakar, namun itu tidak bermakna lauk menu utamanya adalah ayam bakar. Kebiasaannya, lauk ayam di restorannya digoreng ataupun dikukus. Restoran Bakar juga tidak pernah terbakar.

Bakar mempunyai seorang isteri dan tiga orang anak. Kesemua anaknya adalah lelaki yang masing-masing berusia 26 tahun, 23 tahun dan 20 tahun. Anak yang sulung bernama Bakri, yang kedua bernama Fakri dan yang bongsu bernama Zakri. Ketiga-tiga mereka rajin membantu Bakar menguruskan perniagaan, namun gemar bersosial.

Setibanya Tok Hussien di Kuala Lumpur, dia terus singgah ke Restoran Bakar. Ketika itu sudah melepasi waktu Asar. Restoran Bakar akan tutup pada jam 6 petang. Masih ada dua tiga orang pelanggan yang sedang makan. Tok Hussien berpelukan dengan Bakar. Air mata mereka bercucuran seolah-olah sudah sepuluh tahun tidak ketemu. Padahal, Bakar baru sahaja pulang ke kampung pada raya Aidilfitri yang lalu. Itulah kasih sayang dan rindu yang tak terbeli dengan waktu.

Hasrat Tok Hussien untuk bertemu dengan ketiga-tiga orang cucunya tidak kesampaian apabila mereka pulang lebih awal ke rumah untuk membuat persiapan menyambut Hari Kebangsaan. Selepas menutup dan mengemas kedainya, Bakar membawa Tok Hussien pulang ke rumah. Sallehudin pula terus ke Pelabuhan Klang untuk membeli alat ganti kereta terpakai.

Sebaik tiba di rumah Bakar, Zakri sedang menggilap motosikal Rx-Z kepunyaannya. Tok Hussien menegur Zakri yang sedang bersiul-siul riang itu.

"Wah, berkilat motor kamu. Nak ke mana ni Zakri?" Tanya Tok Hussien.

"Malam merdeka ni kan atok, pergi sambut merdeka la. Tengok bunga api kat dataran," balas Zakri penuh semangat.

Tok Hussien hanya menggeleng kecil. Dia kemudiannya masuk ke dalam rumah. Kelihatan Bakri sedang menggosok baju kemeja berwarna-warni. Malah, rambut Bakri juga turut berwarna-warni.

"Amboi, nak ke mana ni Bakri? Rambut pun dah macam ais krim atok tengok," sapa Tok Hussien.

"Malam merdeka ni kan atok. Lepas tengok bunga api di Dataran Merdeka, saya dan kawan-kawan nak ke disko. Ada sambutan merdeka juga di situ," ujar Bakri sambil membetulkan rambutnya yang berwarna-warni itu.

Tok Hussien hanya menggeleng kecil. Dia berlalu ke tingkat atas untuk menukar pakaian. Tiba di tingkat atas, dia melihat Fakri sedang khusyuk membaca buku.

"Rajin cucu atok seorang ni baca buku. Kamu tak keluar sambut merdeka malam ni, Fakri?" Tanya Tok Hussien.

"Malam merdeka ni kan atok, saya tengah baca buku sejarah ni. Malam ni saya nak keluar berdemo supaya Jalur Gemilang digantikan dengan Sang Saka," kata Fakri sambil menunjukkan rupa bendera Sang Saka yang terlukis di buku tersebut.

Tok Hussien menggeleng kecil lagi. Dia terus berlalu ke dalam bilik. Cucu-cucunya dalam bahaya sekarang. Dia berdiri di hadapan cermin selepas membuka bajunya. Perlahan-lahan air matanya menitis menyusuri garis-garis kedut tua di wajahnya.

Selepas waktu makan malam, ketiga-tiga anak Bakar bersiap untuk keluar ke Dataran Merdeka. Masing-masing mempunyai aktiviti dan agenda tersendiri. Tiba-tiba, Tok Hussien rebah. Bakar mengangkat Tok Hussien dan membaringkannya di atas sofa di ruang tamu. Ketiga-tiga cucunya turut berada di situ.

"Ambilkan atok minyak angin, sapukan kat dada atok," pinta Tok Hussien.

Bakri mengambil sebotol minyak angin dan memberikan kepada Fakri. Zakri pula membuka butang kemeja yang dipakai Tok Hussien satu persatu. Mereka bertiga sangat terkejut apabila melihat satu parut sepanjang tujuh inci di dada Tok Hussien. Terdapat juga beberapa kesan parut lain di sekitar badan Tok Hussien.

"Parut apa ni, atok?" Tanya Zakri.

Tok Hussien bangun dan duduk di sofa. Dia menarik nafas panjang sambil mengurut-urut dadanya. Sesekali dia menggentel parut kekal di tubuhnya.

"Ini parut masa atok nak merdekakan Tanah Melayu dulu. Parut berlawan dengan askar Jepun, komunis Bintang Tiga dan askar British. Masa tu, atok muda lagi macam kau orang semua juga. Tapi masa tu semangat berkobar-kobar untuk merdekakan negara. Tak kisah walaupun nyawa atok yang menjadi korban!" Ujar Tok Hussien penuh semangat.

Ketiga-tiga cucunya menundukkan wajah. Mereka mula dihujani rasa bersalah.

"Atok sedih tengok generasi muda macam kamu sekarang. Nak pergi sambut merdeka tapi nak merempit, berdisko dan berdemo. Merdeka apakah kamu? Merdeka bukan sekadar melihat bunga api sahaja, cu. Atok berparut di badan melawan penjajah, kamu berparut di badan kerana merempit? Merdeka apakah kamu?" Sambung Tok Hussien lagi.

"Kamu semua hanya merdeka fizikal sahaja, hakikatnya minda kamu sudah teruk dijajah. Dijajah kuasa luar yang menjanjikan keseronokan. Benar, masa muda masa untuk bergembira. Tapi, bukan begini caranya. Bertaubatlah, cu," kata Tok Hussien lagi.

Ketiga-tiga cucunya bangun menuju ke bilik masing-masing menukar pakaian. Sesungguhnya mereka telah insaf dengan tazkirah ringkas yang diberikan oleh Tok Hussien itu. Kedengaran bunyi air paip dibuka seperti orang sedang mengambil wudhuk. Juga kedengaran kain sejadah dilibas bagi menghilangkan habuk. Tok Hussien hanya tersenyum. Dia bersyukur.

Bakar menghampiri ayahandanya itu. Perlahan dia berbisik ke telinga Tok Hussien.

"Ayah, itu bukan ke parut sebab jatuh basikal masa nak kejar Arwah Mak yang merajuk dulu? Ayah terbabas masuk kebun salak Lebai Leman kan? Masa tu ayah kantoi main kayu tiga dengan janda anak tiga kat kampung,"

"Kah! Kah! Kah! Kamu diam-diam sudahlah,"

Maka mereka dua beranak pun ketawa sakan sambil menikmati hidangan kopi yang diimport khas dari Brazil. Bakri, Fakri dan Zakri masih lagi beribadat dengan khusyuk.