Di ruang tamu, Sahak khusyuk menaip di komputer ribanya. Jari-jemarinya
lincah bergerak di atas papan kekunci seperti pasangan kekasih menari tarian
samba. Penat jarinya menaip, Sahak berhenti sejenak mengambil nafas dengan
membakar sebatang nikotin sekaligus memberi ruang kepada otaknya untuk terus
mencari idea.
Minatnya Sahak terhadap penulisan memang tidak dapat
dinafikan oleh kawan-kawannya. Beri saja pen dan kertas jika tiada komputer
riba, pasti kertas itu akan dipenuhi dengan lukisan orang lidi dan ayat-ayat
falsafah yang entah dari mana Sahak petik. Dan menurut dari sumber yang boleh
dipercayai, Sahak pernah mengatakan "Aku rela ke penjara asalkan ada pen
dan kertas bersama aku dan yang paling penting sekali, aku boleh keluar masuk
penjara bila masa aku suka". Punyalah Sahak taksub pada penulisan.
Akan tetapi, sudah menjadi lumrah manusia. Ada baik ada
buruknya, ada kacak ada hodohnya, begitu jugalah dengan Sahak. Walaupun
penulisan Sahak agak bagus dan kadang-kadang agak acah-acah "deep",
syarikat penerbitan buku tidak pernah menerima karya-karya milik Sahak. Bukan
sekali, bukan dua kali, tetapi sudah banyak kali Sahak hantar karyanya ke pihak
penerbitan namun jawapan yang diterimanya semua menghampakan. Tiada satu pun
pihak penerbitan yang berminat pada karyanya. Dan perkara ini membuatkan Sahak
menjadi down teruk.
"Kali ni kau nak hantar manuskrip kau kat syarikat
mana pulak, Sahak ?" Mahadi, rakan serumahnya menegur.
Sahak yang asyik menaip sambil kadang-kala menghembus asap
rokok berbentuk O sebesar kereta kancil, berpura-pura tidak mendengar soalan
Mahadi. Tangannya terus ligat menaip.
"Kau buat laa pekak. Esok lusa jadi pekak betul baru
tau" Mahadi bersuara lagi.
Sahak tersengih memandang Mahadi. Ditariknya nafas
dalam-dalam serupa kanak-kanak kecil hendak mengaku kesalahan selepas
memecahkan pasu bunga. Lama masa yang diambil Sahak untuk menjawab soalan
Mahadi.
"Hmmmmm, aku tak yakin laa dengan penulisan aku.
Sebelum ni dah banyak kali aku hantar tapi semua kena rejek" Jawab Sahak.
Rokok jenama U2 ditenyeh ke bekas abu rokok.
"Alaaa. Manuskrip kena rejek tu perkara biasa, lagipun
nak cipta nama dalam bidang penulisan ni bukan macam mengeja ABC. Dan setahu
aku, manuskrip kena rejek ni bukan kau seorang je yang kena. Penulis yang dah
ada buku pun kadang-kadang manuskrip dia kena rejek. Jadi, kau buat rileks je
laa " Mahadi jawab gaya-gaya CEO syarikat penerbitan buku.
"Aku rasa malas dah nak hantar karya aku ke mana-mana
syarikat penerbitan. Cukuplah aku menulis dalam blog, meroyan dalam Twitter,
buat status sedap sikit dalam Pesbuk. Kalau nak tulis novel pun, aku tulis je
dalam Wattpad. Sesiapa pun boleh membaca. Percuma" Sahak jawab sambil lewa
serupa orang baru putus cinta. Langsung tak bersemangat.
Mahadi geleng kepala. Kesal dengan sikap Sahak yang cepat
berputus asa. Mudah mengalah dan langsung tidak memiliki darah pahlawan seperti
Datuk Najib yang kental dan selalu maju ke hadapan walaupun beribu kata-kata
makian yang mendatang. Tidak mencontohi pemimpin.
“Nasib baik kau tak lahir sebelum Merdeka” Mahadi berkata dengan tenang.
“Pulak dah. Apa kena mengena aku dengan Merdeka ?”
“Iyalah. Kalau kau lahir masa sebelum Merdeka, mesti negara
kita lambat mencapai Kemerdekaan sebab orang macam kau ni laaa. Baru ada
halangan sikit dah putus asa, ada masalah sikit terus tak berusaha gigih”
"Masalah orang kita ni, belum buat lagi dah nak rasa
down. Kau kena tahu ni, Sahak. Menulis ni macam berniaga juga, penulis atau
peniaga mesti kena ada perasaan optimis, kena berani main dengan risiko. Aku
tengok ramai je penulis luar sana terlebih syok sendiri, perasan karya bagus
tapi tak adalah bagus sangat sebenarnya. Kalau dia orang ada perasaan itu, kau
pun patut kena ada perasaan tu. Baru kau boleh pergi jauh." Mahadi cuba
menyedapkan hati Sahak. Padahal Mahadi bukanlah seorang pembaca buku yang
bagus, masanya banyak dihabiskan dengan menonton rancangan Pondok-Pondok yang
dihoskan oleh Pak Nil.
"Kita ni dijadikan Tuhan dengan rasa dan perasaan yang
berbeza-beza. Tak semua orang suka membaca di blog atau mana-mana laman sosial.
Ada sesetengah orang, mereka lebih gemar membaca buku, bau kertas buku tu
sendiri kadangkala boleh mengkhayalkan pembaca. Boleh membawa pembaca
menghayati setiap ayat yang ditulis penulis" Mahadi sambung lagi.
Sahak terdiam. Otaknya ligat berfikir menghadam kata-kata
Mahadi. Sesungguhnya Sahak terkejut dengan kata-kata semangat yang diberikan
oleh Mahadi, tidak pernah Sahak menyangka Mahadi mampu memberikan kata-kata
semangat yang bernas dan membina. Jarang sekali Mahadi mampu memberikan
kata-kata semangat begini. Setahun ada 365 hari, namun kata-kata yang boleh
diterima pakai dari mulut Mahadi hanya 2 hari saja. Itupun hanya ketika Mahadi
sedang lalok.
Mengambil iktibar dari buah pendapat Mahadi yang kerjanya
bergelumang dengan habuk besi, minyak gris dan tidak mempunyai pelajaran tinggi,
Sahak sebulat suara bersetuju dengan satu kata pujangga ‘ Jangan melihat siapa
yang berkata tetapi dengarlah apa yang dikata’
“Ni aku nak cakap sikit ni. Tadi aku tengok dalam Twitter,
Terfaktab nak cari manuskrip kisah-kisah kegagalan. Tak kisah laa cerpen atau
esei, yang penting dia nak manuskrip. Kau mengarang lepas tu kau cuba laa
hantar, mana tahu ada jodoh. Hihihi” Kata Mahadi dengan keningnya sedikit
terangkat. Skrin iPhone miliknya ditalakan tepat kepada muka Sahak.
Mata Sahak mengecil membaca satu persatu butiran di dalam
gambar yang tertera pada iPhone Mahadi. Keningnya berkerut melihat gambar
seorang perempuan gemuk duduk menangis bersandarkan sebuah meja diperbuat
daripada batu, gayanya seperti orang lapar yang sedang menunggu makanan dan di
bawah gambar itu, tulisan kecil menerangkan sedikit info. Ayat paling akhir
membuatkan hati Sahak berkutik ‘Mereka kata aku gagalis, kerana masih menulis
bait-bait cinta yang kau kalis’
“Gagalis ?” Sahak bertanya.
“Ya. Gagalis bro, gagalis. Kau karang laa cerita pasal
manuskrip kau yang gagal tu. Pasal manuskrip kau tak diterima tu pun boleh
dijadikan cerita juga tu” Mahadi beri cadangan. Ibu jari dijempul naik
menunjukkan isyarat bagus.
Sahak diam. Otaknya ligat mencari idea hendak mengarang
cerita. Mengikut dari gambar dalam iPhone Mahadi sebentar tadi, manuskrip yang
hendak dihantar tidaklah terlalu rumit. Hanya berkisarkan tentang kegagalan.
Tidak kira walau apa pun jenis kegagalan. Dan manuskrip itu harus panjangnya
1500-2500 patah perkataan. Tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang, dan ianya
tidak menjadi masalah kepada dirinya.
Menulis cerita pendek bukanlah menjadi satu masalah baginya
kerana sebelum ini Sahak sudah lali bermain dengan kata-kata, pernah dulu dia
menaip sehingga berpuluh ribu patah perkataan. Jadi, setakat 2500 patah
perkataan dia cuma pejam mata. Sahak senyum sendiri. Riak sikit-sikit.
"Hmm.. tapi aku bimbang penulisan aku ni dibayangi
penulis-penulis tersohor je, Mahadi. Aku bimbang orang tuduh aku tak ada
trademark sendiri lepas tu tiru gaya penulisan orang lain. Benda ni pun kena
pandang serius juga, pembaca sekarang bukan bodoh" Sahak meluahkan apa
yang terbuku di hati. Wajah Mahadi yang dipenuhi dengan jerawat batu ditenung
dalam.
Mahadi senyum. Rasa hendak terajang dada Sahak membuak-buak
di dalam hatinya. Mahadi berasa geram dengan alasan yang diberikan Sahak.
Sebatang rokok dinyalakan Mahadi demi mengendurkan perasaan
amarahnya terhadap Sahak. Dan ssungguhnya bersembang tanpa ditemani bau nikotin
memang menjerutkan perasaan. Mudah mati idea untuk terus memanjangkan perbualan
dan bersembang rancak.
"Soal gaya penulisan tu kau tolak je tepi. Kalau dah
gaya penulisan kau macam tu, siapa lagi mampu untuk menafikannya ? Lagi satu
hal, sebelum kita jumpa dengan cahaya yang terang dan menyakitkan mata, kita
terlebih dulu akan mengharungi ribut dan badai. Itu bukan kata-kata aku, itu
kata-kata TMJ – Tuanku Muda Johor" Muncung mulut Mahadi hembus asap rokok.
Sahak mengangguk memikirkan ada benarnya kata-kata Mahadi. Jika
dia tidak mulakan dari sekarang, masakan hendak menunggu jasad bertukar menjadi
jenazah. Jika jasad sudah bertukar menjadi jenazah, semuanya sudah terlambat.
Jangankan hendak menghantar manuskrip, hendak bertaubat pun sudah tidak ada
manfaat.
Seperti Indiana Jones yang baru berjaya mengalahkan musuh
dengan libasan cemeti yang berlatar belakangkan bangunan meletup kuat, semangat
untuk Sahak terus menulis dan menghantar karyanya ke pihak penerbitan
berkobar-kobar bagai api sukan Olimpik. Marak menyala. Sahak merasa dirinya
bagai pahlawan yang baru pulang dari berperang.
“Baik.
Kalau macam tu aku ikut kata kau. Aku cuba buat lepas tu hantar” Sahak jawab
bersemangat. Tangannya digenggam kemas lalu memberikan tumbukan padu ke udara.
Komputer
riba ditarik Sahak dan jari-jemarinya terus ligat menari-nari di atas papan
kekunci.
Mahadi
sudah berkira-kira, jika manuskrip Sahak diterima, Mahadi mahu Sahak belanja
makan Ana Ikan Bakar sebagai upah memberikan kata-kata semangat. Sedang ralit
Sahak menaip, Mahadi melemparkan satu flying kiss dan Sahak membalasnya dengan
jari tengah.
3
bulan kemudian
“Macam
mana dengan manuskrip Gagalis yang kau hantar tu ? Ada berita tak ? Dapat tak
?” Tanya Mahadi bertali arus dengan soalan yang membawa maksud yang sama cuma
struktur ayatnya saja berlainan.
Sahak
yang ketika itu sedang bergelimpangan di hadapan tv, tersenyum memandang
Mahadi. Matanya sedikit berkaca, ada cecair jernih di kelompak mata. Seperti
orang yang terharu memenangi hadiah besar gayanya.
“Hahaha.
Aku dah agak dah kali ni mesti manuskrip kau diterima punya. Tahniah la woi”
Mahadi separuh menjerit. Tangannya ditepuk berkali-kali tanda menumpang gembira
di atas kejayaan rakan baiknya. Tidak disangka-sangka kata-kata membina yang
diberikan 3 bulan lepas berjaya membuahkan hasil.
“Aku
tak dapat laa woi…wuuuu..wuuuuu...kroni-kroni Terfaktab je yang terpilih…wuuu…wuuuu”
Sahak menangis tak berlagu.
Mendengar
sahaja jawapan yang dikeluarkan dari mulut Sahak, Mahadi terus berlari masuk ke
dalam bilik. Tidak berani berikan apa-apa komen dan kata-kata membina.
Dan di
ruang tamu, suara nyanyian Ali XPDC dari kaca tv terus membuatkan air mata
Sahak mengalir laju.
Semarak
impian
Segunung
harap dipulang
Usahlah
diragukan
Keupayaan
diri
Hati
yang membara
Mengikutkan
kata apa
Jaawpannya
di sini
Semangat
kita hilang
No comments:
Post a Comment