Showing posts with label Cinta Tidak Kesampaian. Show all posts
Showing posts with label Cinta Tidak Kesampaian. Show all posts

Tuesday, March 8, 2016

Say Hi, Twitter

Zaim tersenyum. Lebar. E-mail yang baru diterimanya sebentar tadi masih lagi terpapar di skrin laptop miliknya.

Bagaikan dirasuk dek syaitan, mungkin terlalu gembira akan berita itu, dibaca e-mail itu sekali lagi. Ulang. Ulang. Ulang dan terus ulang membacanya. 

"Tahniah. Sukacita dimaklumkan certot anda telah terpilih untuk menjadi salah satu daripada 40 certot di dalam ANTOLOGI CERTOT: bla bla bla bla bla dan bla lagi. Maka, bergembiralah anda semua (216 yang lain tidak berjaya)"

Setelah merasa yakin yang dia tidak bermimpi atau berhalusinasi, dengan pantas e-mail itu di-screenshot.

"Berita menggembirakan macam ni patut dikongsi, tidak patut dibiarkan lama-lama di dalam laptop" Zaim bercakap sendirian sepertimana watak orang baik di dalam sinetron Indo mahu menentang kejahatan.

Tetikus laptop digerakkan ke Twitter. Laman sosial yang mana twitpemes-nya gemar bash orang dan membincangkan hal-hal yang remeh seperti kaler tudung dan gincu.

Dengan senyuman yang melebar serupa keldai digigit kutu babi, Zaim memuat naik gambar e-mail yang sudah di-screenshot itu beserta sedikit kata-kata meminta pujian.

"Ok, gais. Korang boleh ucapkan tahniah pada aku sekarang. Ya, sekarang !"

Sengaja dia meletakkan tanda seru di akhir ayat supaya nampak lebih tegas dan garang. Ya, lelaki harus memiliki sifat tegas dan garang kerana jika kedua-dua sifat itu diadun sebati bersama sedikit kasih sayang, ciri-ciri ketua keluarga akan jelas kelihatan.

Tidak sampai 5 minit e-mail itu di-tweetpic, 5 notifications diterima. 

@MadNuar "@ZaimRamli  Payung ikan bakar laa tanda meraikan, woi ?"

@Alifdalya "@MadNuar @ZaimRamli Peh. Ada makan-makan tak ada kee ?"

@GadesSepi "@ZaimRamli Nak buku freeeeeeeeee"

@BudaxHotComel "@ZaimRamli T4hn14h 4w4k. N4n71 j4ng4n lup4 b4g1 173w buku fr33 s14p 74nd4 74ng4n. H3w h3w h3w"

@Emma "@ZaimRami Tahniah awak. Nanti buku tu dah keluar, jangan lupa saya :-)"

Zaim geleng kepala membaca satu-persatu tweet diterima. 5 notifications diterima namun hanya satu sahaja yang menyedapkan hatinya. 4 yang lain hanya mendatangkan kemarahan dan ke-bankrap-an.

@ZaimRamli "@Emma Terima kasih, Emma. Bagi alamat please. Nanti saya titipkan buku ni bersama sedikit kasih sayang :-)"

@Emma "@ZaimRamli Wahhh. Dapat buku free ke ni ?"

@ZaimRamli "@Emma Opkos laa. Kan awak juga yang beri saya semangat suruh masuk kontes ni. Jadi, awak anggap laa ini sebagai habuan kita bersama :-)"

@Emma "@ZaimRamli Amboi. Saya bagi semangat jee, tak buat apa-apa pun :-)"

@ZaimRamli "@Emma Ingatlah. Disebalik kejayaan seorang lelaki, adanya wanita di sisi :-)"

@Emma "@ZaimRamli Eh, masa bila pulak saya ada di sisi ?"

@ZaimRamli "@Emma Tidak perlu jasad awak berada di sisi. Cukuplah kata-kata, semangat dan roh awak bersama saya. Gittew"

@Emma "ZaimRamli Hahahaha. Ni pickupline ke apa ni ? Kalau pickupline, terus-terang saya kabor, tak sampai ni. Tak sampai. Cuba lagi. Hahaha"

@ZaimRamli "@Emma Kakaka. Tak apa laa kalau pickupline ni tak sampai pun, yang penting awak dah pun selamat sampai mendarat ke dalam lubuk hati saya paling dalam :-)"

@Emma "@ZaimRamli KAHKAHKAHKAHKAH. Check DM"

Sekali lagi Zaim tersenyum serupa keldai digigit kutu babi. Butang 'Messages' ditekan.

"Hi hi hi" Zaim gelak perlahan seperti orang jahat dalam sinetron Indo berjaya melakukan perkara terkutuk. Nombor telefon di ruang mesej ditekan 'save'.

Thursday, March 3, 2016

Pickupline Untuk Mariam

Roslan berbaring di atas tilamnya yang kusam dan berbau. Dengan mata memandang ke syiling, tangan kirinya diletakkan di atas dahi sepertimana kebanyakkan orang memikirkan masalah atau mengalami kemurungan berpanjangan yang mengganggu kehidupan. Lagu Gone With The Sin nyanyian Ville Valo vokalis kumpulan H.I.M yang dimainkan di iPod miliknya sedikit pun tidak mampu menenangkan jiwanya yang tidak tenang itu.
     Malam itu Roslan terasa sunyi. Rasa kosong. Bagaikan hatinya tidak berfungsi dengan baik ketika itu. Ya, perasaan itu tidak bagus. Jadi, untuk membunuh rasa itu dia harus berbual dengan seseorang supaya dia dapat menikmati kehidupan dalam senyuman sementara menunggu esok pagi.
     Dengan keadaan masih lagi berbaring, iPhone 4s miliknya dicapai. Butang Phone ditekan. Nama Siti Mariam Jamilah dicari. Setelah merasa yakin yang crush-nya masih belum tidur, pantas ditekan nama itu. Selang beberapa saat, panggilan itu dijawab.
     “Hai” Roslan memulakan perbualan.
     “Hai jugak” Balas suara dihujung talian.
     “Buat apa ?”
     “Tak buat apa-apa..tengah bernafas sambil bercakap dengan awak je. Awak ?”
     Roslan tergelak mendengar jawapan crush-nya sebelum menjawab “Saya pun tak buat apa-apa..tengah call awak je. Her her her”
     “Pandai awak balas ya” Jawab Siti Mariam Jamilah sebelum ikut ketawa kecil di talian.

     Perbualan senyap seketika seolah-olah malaikat melintas di tengah-tengah talian. Sunyi sepi dari sebarang kata.

     “Saya mengganggu awak ke ni ?” Roslan bertanya.
     “Eh…tak ada laa. Saya baru lepas tengok movie je. Err…macam mana cuaca kat sana ?”
     “Cuaca kat sini okay je. Bulan masih lagi dipagari bintang-bintang yang berselerak di dada langit dan tiada tanda-tanda yang hujan akan mengganggu bintang dari terus menyinarkan dirinya”
     “Amboi. Jawapan macam pensyair baru lepas kecewa dengan dunia” Siti Mariam Jamilah terkekeh ketawa “Awak dalam mood menulis puisi ke ni ? Lain macam je malam ni. Hahaha”
     Roslan turut ketawa. Entah mengapa dia begitu selesa mendengar crush-nya ketawa riang.                  Mungkin benarlah kata pujangga mengatakan ‘cinta itu selalu membuatkan yang celik menjadi buta dan yang buta menjadi celik’.
     “Awak sana okay ?” Tanya Roslan.
     “Kat sini okay je. Pungguk di sini masih seperti biasa. Di atas dahan pohon yang tua, pungguk masih rindu dan menanti bulan jatuh ke riba” Siti Mariam Jamilah cuba bermain tarik tali. Dia ketawa kecil di hujung sana.
     Roslan ketawa “Boleh tahan sedap jugak ayat awak ni. Saya membuat andaian, mungkin kita patut menjadi pasangan kekasih supaya hidup kita saling melengkapi di antara satu sama lain dan menjadi pasangan serasi seperti Brad Pitt dan Angelina Jolie dalam cerita Mr. & Mrs. Smith. Hahaha”
     Siti Mariam Jamilah tergelak besar mendengar jawapan Roslan. Kata-kata yang didengari dari mulut Roslan itu benar-benar berjaya mengusik ulu hatinya lantas membuat dia ketawa tidak kering gusi “Pandai la awak”.

     Keadaan kembali senyap. Hanya kedengaran nafas di antara kedua-duanya.

     “Errr..awak dah makan ?” Siti Mariam Jamilah mencari topik perbualan.
     “Dah. Saya dah makan tadi. Makan nasi minyak…mak saya masak. Awak ?
     “Ouhh. Resepi nasi minyak apa ya ? Errr….maksud saya, bahan-bahan nak buat nasi minyak tu ?” Siti Mariam Jamilah bertanya lagi. Soalan Roslan diabaikan.
     “Entahlah. Saya tak pernah kaji pula pasal resepi nasi minyak tu. Yang saya tahu kalau nak buat nasi minyak cukuplah dengan hanya kita berdua, awak dan saya naik di atas pelamin…nanti ada laa orang masak nasi minyak. Hahahaha” Roslan jawab yakin.
     “Kahkahkahkah. Macam setan” Siti Mariam Jamilah ketawa bagai orang gila.

Friday, January 1, 2016

Azhar Si Luncai

Berkerut-kerut dahi Azhar membaca artikel di salah satu blog termuka Malaysia. Blog yang mencecah ribuan pengikut itu tidak pernah lekang dari dikunjungi orang yang dipenuhi dengan sifat ingin tahu melampau dan sebaik selesai membaca, 8 daripada 10 dari mereka akan menekan butang Share. Baik hal politik, bola sepak, artis kahwin Datuk, artis bercerai, semua ada di dalam blog itu. Semuanya hal hangat yang pembaca mahu berada di dalam blog itu.

Azhar jika tiada kerja mahupun ada kerja, masa kerjanya banyak dihabiskan dengan membaca blog itu. Selesai membaca, dia akan menekan butang Share untuk dikongsi ke laman Facebook miliknya.

 “Kau buat apa, Azhar ?”

“Tak adalah. Aku baca artikel pasal budak kena culik tadi. Dalam artikel tu siap ada rakaman suara budak perempuan tu minta tolong. Dia kabor penculik tu nak jual dia. Kesian doh.” Jawab Azhar tanpa mengalihkan pandangan dari skrin komputer.

Razak, rakan sekerja Azhar menggeleng kepala melihat akan hal itu. Diperhatikan separuh dari ruang meja Azhar bertimbun dengan fail-fail yang belum siap dikerjakan.  Jika dicampur dengan fail yang kini berada di tangannya, ruang meja kerja Azhar pasti membusut tinggi.

Jauh di dalam sudut hati Razak, terfikir juga apa pegangan hidup rakan sekerja itu. Datang kerja sekadar datang kerja. Punch card pukul 8 pagi, keluar rehat pukul 9 pagi hingga kadang kala berlarutan pukul 11 pagi, masuk kerja dan keluar rehat pukul 1 hingga pukul 2 petang dan selepas itu menghadap laman sosial atau sesawang menunggu waktu pulang.

Kerja bertimbun tidak dikerjakan. Bila pihak atasan mahukan kertas kerja barulah Azhar kucar-kacir meminta belas simpati rakan-rakan untuk menolongnya. Dan orang yang paling banyak melakukan kerja itu semestinya Razak. Atas dasar simpati, terpaksalah Razak menolong menyiapkan kerja itu walaupun mulut menghambur seribu makian.

“Kerja ni bila nak buat ? Bertimbun dah macam Gunung Everest dah aku tengok kerja kau ni” Razak bercakap perlahan bagi mengelakkan didengari pengampu orang atasan. Sengaja dia berdiri di meja kerja meja Azhar sambil membelek-belak fail di tangan supaya nampak berbincang tentang kerja bersama Azhar.

“Nantilah aku buat. Orang atas bukan nak sekarang pun” Jawab Azhar selamba. Masih lagi mengadap skrin komputer.

Razak menoleh ke skrin komputer kerja Azhar. Tertampang artikel bertajuk ‘Tolong Aku..Diorang Nak Jual Aku’.Artikel mengenai kisah seorang remaja perempuan diculik. Razak tidak dapat membaca lebih lanjut kerana tulisan yang lain agak kecil dan menyukarnya unruk membaca isi penting.

“Kau baca menda ini pun bukan boleh siap kerja kau tu” Razak mengeluh. Jika diikutkan hati, berbakul kata-kata makian mahu dilemparkan kepada Azhar.

“Orang tengah susah ni. Sebagai rakyat yang prihatin dengan masyarakat sekeliling, masa inilah kita perlu menolong. Apa gunanya kita hidup dilengkapi dengan teknologi canggih tapi perkara kecil macam ni pun kita tak boleh nak buat ?” Kerusi dipusingkan Azhar menghadap Razak.

“Ya. Memang orang tengah susah..tapi kau kena faham, Azhar. Sebelum kau tolong orang, ada baiknya kau tolong diri kau sendiri. Kau tolong orang tak beragak ni, Azhar. Tolong  sampai kerja kau sendiri pun tak siap. Apa cerita ?”

“Aku buat ni untuk pahala akhirat. Kerja yang bertimbun ni semua kerja dunia, kerja sementara” Balas Azhar “Nanti bila kita mati, bekalan ni kita bawa ke hari pembalasan nanti, Razak. Kau ingat ni Razak, bila kita mati nanti kita akan ditanya apa yang kita lakukan di atas dunia ni”

Razak diam. Tidak mahu bertikam lidah dengan Azhar, bimbang nanti perbualan melarat kepada hal yang tidak sepatutnya. Ini bukan kali pertama Razak bertikam lidah dengan Azhar bahkan sudah muak dia dengan perangai rakan sekerjanya itu.

Jika bertikam lidah, cepat saja Azhar masukkan unsur agama ke dalam perdebatan itu agar mengusai perdebatan itu. Bekalan akhirat, hari ini hari orang lain esok hari kita dan berbagai alasan lagi membuatkan Razak sudah jemu mendengarnya.

Razak bukanlah manusia yang liberal berfikiran haluan kiri, tetapi mengaitkan hal agama dengan keadaan sekeliling cuma menunjukkan bertapa ceteknya tahap pemikiran seseorang padahal di setiap kejadian itu sudah terang-terangan ada tangan yang melakukannya. Baling batu dan sorok tangan.

“Terpulanglah pada kau, Azhar. Cuma aku nak minta kau jangan percaya sangat dengan perkara macam ni, kelak nanti kau yang menyesal. Lagipun apa yang kau baca ni cuma blogpsot, ia ditulis bermacam orang, bukannya laman rasmi berita.” Razak berhenti kata sebelum menyambung “Hal culik ni janganlah kita pandai-pandai buat spekulasi. Kita ada polis yang buat kerja”

“Nak harapkan polis, polis pun bukan buat kerja” Balas Azhar.

“Tak elok cakap macam tu. Kita ni penjawat awam je, kita tak tahu macam mana kerja polis” Razak kemaskan fail di tangan “Lagi satu hal, elok kita belajar daripada sejarah. Ambil contoh kes Villa Nabila dulu. Kau tengok apa keputusan kes itu”

“ Ni lain, Razak. Ni siap ada rakaman suara lagi minta tolong ni, kalau kau tak percaya kau boleh dengar sendiri rakaman suara ni” Tetikus komputer Azhar gerak ke kiri ke kanan.

Belum sempat dia menekan rakaman suara itu Razak terlebih dahulu bersuara.

“Tak apa laa, Azhar. Aku pun nak buat kerja ni, nanti bertangguh pula kerja aku nanti. Ni fail kau ni” Razak letakkan fail di atas meja Azhar dan berlalu pergi meninggalkan Azhar terkulat-kulat .

                                                                                           ***

“Macam gampang. Bangang punya manusia !” Azhar memaki hamun di hadapan komputer kerjanya. Suaranya perlahan namun cukup jelas didengari hingga ke hujung meja Razak.

Tidak berpuas hati dengan berita yang dibaca itu, Azhar buka laman sosial Facebook-nya. Rata-rata pengguna Facebook turut berkongsi hal yang sama seperti berita yang dibaca. Garis masa Facebook-nya menjadi sibuk dengan kata-kata berbaur makian dari kawan-kawannya yang dahulu berkongsi rasa sedih.

Razak menghampiri meja kerja Azhar. Seperti kebiasaannya, di tangannya memegang fail-fail yang berhubung kait dengan Azhar. Tidak pernah dia ke meja itu dengan tangan kosong melenggang, dia ke meja itu atas dasar melakukan kerja semata-mata. Jika hendak bergosip, Razak lebih gemar berkongsi rasa bersama Kak Minah Murai yang mana beritanya lebih pantas daripada mana-mana laman portal.

“Apahal ni muka macam ayam berak kapur ? Angin kentut tak lepas ke apa ni ?” Razak cuba berjenaka.

Lama keadaan senyap tidak berjawab, seolah-olah Malaikat melintas sebelum Azhar menjawab “Kau ingat pasal kes kehilangan budak minggu lepas ? Yang siap ada rakaman suara tu ?”

“Haah. Ingat. Kenapa ? Dah jumpa ?” Razak teruja. Sesungguhnya Razak tidak mengikuti perkembangan kes ini, dia tiada masa untuk itu atau dalam erti kata lainnya, dia tidak berminat.

“Jumpa tu memang dah jumpa tapi punca dia macam cilaka. Aku rasa penulis novel pun tak boleh fikr plot twist macam ni” Jawab Azhar. Tetikus komputer digerak ke kiri ke kanan.

“Pulakk..apahal ?”

“Sebenarnya dia lari ikut pakwe dia. Cilaka, satu Malaysia kena tipu. Perangai serupa Najib masa isu 1MDB. 2.6 billion dikaitakan dengan IMDB. SPRM buat siasatan. Last-last sekali polis cakap 2.6 billion tu orang kasi derma. ” Bentak Azhar “Budak yang hilang ni boleh laa bagi dia borang keahlian UMNO. Bangang dia pun dah lebih kurang sama dah ni”

“Kahkahkahkahkahkah ! Bangang !” Razak ketawa bagai orang gila “Aku rasa kau pun patut dapat borang keahlian UMNO tu sebab kau pun termasuk dalam kategori bangang tu. Percaya bulat-bulat semua menda. Kahkahkahkah”

Razak ketawa lagi. Kali ini lebih besar ketawanya sehingga rakan-rakan sekerja yang lain mengangkat kepala dari celah-celah meja masing-masing – memberi isyarat ‘Kenapa ? Apa yang kelakar ?”

Wajah Azhar merah padam disindir sedemikian. Mahu tidak mahu, terpaksa dia menerima kutukan dan gelakkan Razak dengan penuh ketidakrelaan. Hendak bertikam lidah dia sudah mati modal kerana segala-galanya sudah terang Razak berada di pihak yang benar.

“Ni..fail minggu lepas yang aku beri kau tu dah siap ? Bos nak sekarang” Tanya Razak dengan tawa yang masih tersisa.

Wajah Azhar berubah kaget. Pucat lesi. Dengan berat seperti sebutir emas berada di kerongkongnya, Azhar menjawab “Belum wei”

“Kahkahkahkah. Mampuslah kau, Azhar. Masak laa kau kena maki karang” Razak ketawa lagi. kali ini lebih besar gelaknya seolah-olah mengejek.

Selamat Tahun Baru JAIP

“Macam mana dengan malam ni, awak free ?”

Butang send Jamali tekan. Tidak menunggu lama, iPhone-nya berbunyi menerima pesanan diterima.

“Jadi. Awak ambil saya dekat bus stop, tempat biasa, pukul 10 malam. Boleh ?”

Jamali tersenyum. Dibalas “Ok”

                                                                                           ***

Tepat seperti mana yang dijanjikan, Jamali tiba di bus stop dengan kereta Viva miliknya. Kereta Viva yang dibeli secara hutang di mana di bahagian luarnya sudah banyak diubahsuai mengikut selera anak muda kini – sticker ‘Budak Nuckal di bahagian luar pintu pemandu, spoiler tinggi melangit di bahagian bumbung belakang, tayar depan dan belakang senget terkeluar dari kedudukan asal seperti baru lepas mengalami kemalangan dilanggar motor Honda c70.

Sudah puas emaknya, makcik Rokiah melarang Jamali berbuat demikian – menghias kereta seperti orang hilang pedoman sekaligus menghabiskan duit, namun seperti anak muda yang lain, demi kepuasan diri sendiri, tetap juga Jamali melakukan ubahsuai sedikit demi sedikit. Kata makcik Rokiah, daripada menghabiskan duit untuk mengubahsuai kereta yang belum habis dibayar bukanlah tindakan yang bernas kerana kereta itu bukan lagi miliknya 100%. Kereta itu masih lagi milik pihak dari bank.

Kata makcik Rokiah lagi, daripada berhabis duit untuk benda yang belum pasti ada baiknya simpan duit itu untuk perkara yang sudah pasti. Misalnya duit itu digunakan untuk bayar bulanan kereta itu supaya cepat habis dari berhutang, atau menyimpan untuk keperluan lain tetapi anak muda seperti Jamali yang baru pegang stereng, nasihat itu tidak sempat masuk ke telinga kanan keluar di telinga kiri.

“Sorry lambat, bagi makan kucing tadi. Kucing seekor tu tak nak makan, jadi terpaksalah saya pujuk dia makan. Nak pujuk dia makan pun ambil masa setengah jam, tu pasal lambat” Zila memberi penjelasan sebaik masuk ke dalam perut kereta. Punggung dilabuhkan di tempat duduk penumpang.

Jamali tersenyum. Tidak berminat hendak mengambil tahu apa alasan yang diberikan Zila. Sepanjang 3 tahun mengenali Zila, dia sudah lali dengan perangai Zila. Jika dibilang dengan jari, boleh dibilang berapa kali Zila menepati masa. Dan selebihnya tiap kali berjumpa, pasti akan disusuli dengan alasan datang lambat – beri kucing makan, cari handphone, cari kunci rumah dan pilih pakaian yang sesuai.

“Kita nak pergi mana ?” Zila bertanya di saat kereta Viva dipandu Jamali meluncur di jalanraya.

“Awak dah makan ?” Soalan dibalas soalan. Stereng kereta dikawal dengan menggunakan siku manakala tangan Jamali membakar rokok di bibir.

“Belum lagi. saya bercadang tak nak makan. Saya sedang menjalani diet” Balas Zila sambil melihatkan wajahnya di cermin kecil sebesar tapak tangan.

Bibir atas dan bawah Zila kemam bagi meratakan gincu merah yang dipakai. Setelah merasa yakin dengan wajahnya – mengangguk kepala beberapa kali, cermin itu disisip masuk ke dalam beg tangannya.

“Saya belum makan. Awak teman saya makan ok ?”

“Ok” Balas Zila.

                                                                                             ***

“Lepas ni kita pergi Taman Kerang nak ? Tengok bunga api” Ajak Zila. Pinggan kosong yang tadi dipenuhi dengan nasi goreng kampung ditolak ke tepi. Air tembikai gelas besar ditarik. Dikacau air tembikai dari permukaan gelas hingga permukaan air bagi sebati.

Jamali yang bersandar di kerusi tidak membalas. Dikeluarkan sebatang rokok U2 dari kotaknya dan diketuk-ketuk hujung puntung rokok itu supaya lebih padat. Bagi seorang perokok seperti Jamali, tidak menghisap rokok selepas makan samalah seperti berkahwin tetapi tidak bersetubuh. Terasa tidak lengkap. Rasa rugi kerana kehilangan salah satu rasa nikmat hidup.

“Lepas tengok bunga api ?” Tanya Jamali. Asap rokok dihembus ke udara. Langsung tidak mempedulikan manusia di sekeliling.

“Up to you” Zila senyum.

Jamali balas senyuman Zila.

Jamali mengangkat tangan. Tinggi. Membuat isyarat menyuruh kira. Tuan kedai yang faham isyarat itu pantas menghampiri meja diduduki Jamali. Kalkulator ditekan berkali-kali sehingga menghasilkan bunyi Tuk-Tuk-Tuk-Tuk.

“Rm26.50”

Jamali hulur duit tanpa sembarang rungutan. Biarpun harga itu tidak masuk akal – 2 nasi goreng kampung, 1 air tembikai gelas besar dan secawan nescafe, Jamali tidak mempertikaikan harga itu. Jamali berpegang kuat pada pepatah pujangga ‘Hal makan jangan kedekut kerana apa yang dimakan itu untuk diri sendiri’ dan yang lebih penting lagi, di hadapannya Zila yang dicintai. Tidak bagus memberikan impak yang buruk kepada orang dicintai bagi mengelakkan dituduh kedekut.

Dari Tanjung Lumpur, Jamali memandu kereta menuju ke Taman Kerang untuk menyaksikan pertunjukkan bunga api. Keadaan lalu lintas sesak dipenuhi kenderaan. Mat rempit membonceng makwe mencelah-celah menunjuk kehebatan mengawal motorsikal. Makwe di belakang kecut perut memikirkan nyawa yang bakal melayang.

Malam Tahun Baru tidak pernah sepi. Biarpun ramai masyarakat mengeluh tentang kenaikan kos sara hidup, wang tidak cukup untuk belanja hidup, mereka inilah yang akan berhabis wang untuk kebanyakkan perkara yang sia-sia. Untuk keluar ke bandar sahaja sudah memerlukan rm40 untuk mengisi minyak kereta. Makan untuk 2 orang rm30, jika satu keluarga 5 atau 6 orang mungkin memerlukan rm100. Itu baru dari segi kewangan, jika diolah dari segi masa dan tenaga, ianya sangatlah perkara yang sia-sia kerana tujuannya hanya mahu menonton bunga api. Ya, hanya bunga api !

Jamali tenang memandu. Di bahagian tempat duduk penumpang, Zila menyanyi kecil mengikut lagu dari corong radio. Sesekali jalanraya itu dihiasi dengan bunyi hon yang bersahutan.

                                                                                         ***

“Saya nak bilik paling murah”

“Kebetulan tuah encik. Masih ada kosong satu bilik murah berharga  rm120. Jika encik berminat boleh serahkan kad pengenalan sekali dengan wang perlu dibayar”

Jamali mengeluarkan dompet dan membuat pembayaran. Dompet kulit buaya tiruan miliknya diletakkan di atas meja kaunter sementara pekerja hotel bernama Faizal – nama yang tertera di name tag di bahagian di dada uniform, menekan-nekan papan kekunci komputer.

Sesekali Jamali menoleh ke belakang melihat Zila duduk di atas sofa di ruang lobi. Sengaja Jamali menyuruh Zila menunggu di situ supaya tidak menimbulkan syak wasangka dan yang paling penting, orang tidak nampak mereka berdua masuk ke dalam hotel dalam masa yang sama.

“Ini kadnya, encik Jamali. Encik Jamali hanya perlukan masuk kad ini ke dalam kotak sistem di luar pintu bagi membolehkan encik masuk ke dalam bilik. Atau jika ada sebarang masalah, encik Jamali boleh merujuk kepada saya di sini” Pekerja bernama Faizal menyerahkan kad pas masuk kepada Jamali sebelum menyambung “Seorang je ke ?”

“Haah. Saya seorang. Terima kasih, ya” Ujar Jamali beredar pergi. Tidak mahu berlama-lama membuang masa kerana dia ada misi yang harus diselesaikan.

Jamali melintas di ruangan lobi. Di atas sofa empuk, Zila memandang wajah Jamali dan Jamali mengenyit mata tanda urusan sudah selesai. Handphone di dalam poket Jamali keluarkan. Langkah diteruskan ke bilik yang dituju dan dia akan menunggu kedatangan Zila di dalam bilik itu.

“Tingkat satu. Bilik no 32”

Jamali tekan send.

Zila senyum sambil mengatur langkah sebaik menerima pesanan Jamali. Sengaja dia berpura-pura menekan-nekan skrin handphone untuk mengaburi mata yang memandang – rambutnya jatuh menutup sebahagian wajahnya supaya wajahnya tidak dicam.

Di dalam bilik bernombor 32, Jamali sudah siap menyarung tuala pada tubuhnya bagi memudahkan kerja. Pakaian yang dipakai tadi dicampak di atas katil. Tidak menunggu lama, pintu bilik diketuk perlahan. Pantas, Jamali membuka pintu.

“Amboi, siap bertuala” Zila senyum menggigit bibir.

Tidak mahu membuang masa, atas dorongan bisikan Syaitan dilaknat Tuhan, pantas Jemali menarik tangan Zila masuk ke dalam bilik. Tubuh mantap Zila direbahkan di atas katil. Segenap inci tubuh Zila dijelajahi Jamali. Dari bibir bertemu bibir, turun ke leher dan terhenti di dada.

Pakaian dipakai Zila satu persatu Jamali lucut dari tubuh. Kain selimut diganti menutupi separuh tubuh Zila. Dan erangan nafas Zila menyelubungi segenap ruang bilik. Sejuk aircond tidak memberi kesan pada kedua-dua tubuh anak Adam dan Hawa mencari kepuasan dorongan nafsu.

Sedang Jamali dan Zila mencari kepuasan di lautan asmara yang masih lagi tidak berpenghujung, pintu bilik diketuk bertalu-talu. Jamali kaget. Zila cuak. Jamali pandang Zila dan Zila pandang Jamali. Degupan jantung seolah-olah berhenti.

Untuk pasangan yang belum ada ikatan sah, jika ada orang yang mengetuk pintu bilik hotel bukanlah satu gurauan. Ia lebih kepada satu malapetaka. Jika tidak percaya, tanyalah soalan ini kepada sesiapa yang pernah melakukan kerja terkutuk ini, pasti mereka memberikan jawapan yang serupa.

Siapa ?

Persoalan yang bermain di kedua-dua minda.

Pintu diketuk lagi. Kali ini lebih kencang.

Zila capai tuala menutup tubuhnya. Ke hulu ke hilir serupa kucing kehilangan anak. Sekejap kepalanya menjenguk di tingkap. Mencari tempat untuk menyembunyikan diri.

“Mati kita macam ni. Saya dah cakap tadi, check in hotel malam Tahun Baru ni tak selamat” Mata Zila berair.

“Awak menyorok dalam bilik air” Jamali kaget.

Zila yang tidak sempat berfikir akibat ketakutan lantas mengikut cadangan Jamali. Berlari ke dalam bilik dan menguncinya dari dalam tanpa mempedulikan bakal nasibnya sebentar lagi.

Jamali menghampiri pintu mencari-cari lubang kecil yang membolehkan penghuni bilik melihat orang dari luar namun malangnya, pintu bilik itu tidak dilengkapi lubang intai. Untuk mengetahui siapa yang mengetuk pintu biliknya, dia harus membuka pintu itu.

Dengan berat hati, daun pintu dipulas. Jamali hulur kepala di ruangan pintu yang dibuka separuh.

“Maaf menganggu, encik Jamali. Dompet encik tertinggal masa encik buat pembayaran tadi” Faizal tersenyum di muka pintu.

Jamali lepaskan nafas yang menyesakkan dada. Dompet miliknya bertukar tangan. Jika dikutkan hati hendak saja dia memaki hamun pemuda yang bernama Faizal itu namun bila memikirkan yang tujuannya baik – memulangkan dompet kulit buaya tiruan miliknya, dia hanya mampu mengeluh lega. Tidak mampu berkata apa-apa.

“Jika tiada sebarang masalah, saya minta diri dulu. Happy New Year” Faizal cuba beramah.
Jamali mengangguk. Pintu dikatup.

Pintu bilik air Jamali ketuk perlahan-lahan. Wajah Zila muncul di sebalik pintu dengan mata merah berair. Ada kesan airmata yang belum kering di kelopak matanya.

“Siapa tadi ?” Tanya Zila.

“Budak kerja hotel ni. Dia pulangkan dompet saya ni” Balas Jamali sambil menunjukkan dompet kulit buaya tiruan miliknya.

Dompet di tangan dicampak ke atas katil. Tubuh Zila ditarik rapat. Dirangkul dalam pelukkan. Leher  Zila kembali dijelajah.

“Stop it. Saya tak ada mood. Bedebar tak hilang lagi ni” Zila cuba melepaskan diri dari pelukkan Jamali.

Jamali tidak mengendahkan Zila. Tubuh Zila dibaluti kain tuala dibaringkan ke atas tilam empuk – tilam yang entah berapa ramai manusia yang bergelimpangan di atasnya.

Sedang Zila menikmati nikmat yang berikan Jamali, pintu bilik sekali lagi diketuk. Sekali lagi wajah Zila berubah kaget namun tidak sekaget tadi. Berbeza dengan Jamali, riak wajahnya bersahaja. Sedikit senyuman terukir di bibirnya memandang Zila yang ditindih.

“Kejap saya tengok menda budak tu nak lagi. Ada-ada je dia” Jamali bangun mengena tuala pada tubuhnya.

Di atas katil, Zila hanya memerhati Jamali menghampiri pintu.

Daun pintu Jamali genggam kemas. Tanpa fikir panjang, Jamali kuak luas pintu bilik.

“Assalamualaikum. Kami dari Jabatan Agama Islam Pahang. Kami menerima aduan yang kononnya encik bersekedudukan bersama perempuan yang bukan muhrim. Jika encik tidak keberatan, boleh encik memberi kerjasama untuk kami memeriksa keadaan di dalam bilik ini ?”

Pandangan Jamali kabur. Putih. Kelabu. Hitam. Pitam.

Tuesday, November 3, 2015

Tanpa Tajuk

Sedang Alif melakukan kerja seperti hari-hari yang lepas - menyusun kasut, seluar dan baju semenjak dia mula bekerja di kedai menjual pakaian jenama Converse 5 tahun lepas, dia didatangi kawan baiknya, Roslan. Bekerja di kedai Converse ini agak bebas, jika tiada pelanggan ataupun kerja, boleh saja kawan-kawan datang melepak kerana di kedai ini bosnya jarang berada di kedai. Hanya sebulan 2 atau 3 kali bosnya datang melihat-lihat keadaan kedai kerana bosnya cukup mempercayainya.

Roslan pula jika ada kelapangan selalu saja datang bertegek di kedai tempat Alif bekerja. Datangnya kadang-kadang membawa cerita perihal semasa keadaan kampung, kadang-kadang hanya berceloteh tentang kerjaya dan ada masanya pula diajak bersembang tentang hala tuju kehidupan dan ketikanya lagi, hal bentuk badan perempuan menjadi isu dibualkan.

Hari itu, Roslan berpakaian kemas. Katanya baru pulang dari menghadiri temuduga di sektor kerajaan. Selama ini Roslan hanya berniaga sendiri di pasar malam namun demi mencari kestabilan hidup untuk kemudian hari, Roslan nekad berhenti berniaga kerana berniaga sekarang memerlukan kesabaran yang tinggi kerana mengikut cakap-cakap belakang, kuasa membeli tidak seperti dahulu.

Jika dahulu berniaga di pasar malam boleh memberikan kesenangan hidup namun kini ianya tidak ubah seperti menjerut leher sendiri jika tidak pandai membuat percaturan. Jika barang makanan yang diniagakan boleh saja untuk menampung hidup tetapi jika barang kehendak yang diniagakan bukannya keperluan, agak susah hendak menjual barang itu. Tidak seperti tahun 90an dahulu, berniaga apa saja di pasar malam pasti membawa keuntungan.

Itu kata Roslan yang selalu bersembang dengan peniaga-peniaga lebih lama merangkap otai pasar malam. Alif mempercayai hal itu kerana Roslan sudah cukup lama bercimpung dalam perniagaan pasar malam. Alif yang tidak tahu menahu tentang perniagaan pasar malam hanya mengganggukkan kepalanya mendengar cerita Roslan.

“Tahun ni kau dah 28 tahun kan ?” Roslan mengubah topik dari terus bercerita tentang perniagaan pasar malam. Rasa tidak seronok mula membuak-buak ke dalam dirinya kerana dirinya saja yang berceloteh dan Alif hanya mengangguk kepala tanda mengiyakanya. Perbualan akan menjadi tidak seronok jika hanya sebelah pihak sahaja yang bercerita namun di sebelah pihak lagi hanya mendiamkan diri. Terasa seperti bersembang dengan pokok. Tiada reaksi.

“Haah. Cepat betul masa berlalu” Alif balas pertanyaan Roslan.

“Kau agak bila kau nak kahwin ?”

Alif diam. Alif tidak suka ditanya dengan soalan itu. Baginya soalan itu terlalu sensitif untuk dirinya. Alif percaya hidup ini berlandaskan takdir, Tuhan sudah menetapkan takdir hidup seseorang dan manusia akan terus hidup dengan takdir yang sudah tertulis olehNya. Jika Tuhan tidak menetapkan itu dalam kehidupannya, sekurang-kurang untuk masa sekarang, berusaha sekuat mana pun tidak akan tercapai hasrat itu.

“Entah. Aku tak fikir pun pasal tu” Alif jawab pendek.

“Suka atau tak, kau kena fikir juga pasal tu. Kau buat atau tidak perkara tu belakang kira tapi yang pentingnya hidup kau ada tjuan. Hidup ni kalau setakat hidup saja tak bermakna. Hidup ini menjadi sia-sia sebab tak ada tujuan sebenar untuk hidup, sekadar menjadi seketul daging yang bergerak saja”

“Aku bukan tak berfikir pasal tu tapi buat masa sekarang aku tak nak semakkan kepala aku dengan hal macam tu. Lagipun kau pun tahu, nak cari teman hidup ini bukan semudah mencari baju. Pergi ke kedai macam kau datang ke sini lepas tu tengok yang mana berkenan, bayar” Bidas Alif “Nak cari teman hidup ni susah, Roslan. Nak cari yang betul-betul serasi dengan kita, susah senang ada bersama kita, sependapat dengan kita, aku tak nak nanti aku buat silap di kemudian hari. Kalau dah berkahwin baru nak rasa menyesal tu dah terlambat”

“Kau terlampau banyak sangat berfikir ni, Alif. Kalau kau nak cari yang serasi dengan kau, sependapat dengan kau, aku rasa baik kau berkahwin saja dengan diri kau sendiri. Sepatutnya nak cari teman hidup kena berlawanan dengan sikap kau, barulah kehidupan rumahtangga jadi tak hambar”

Alif senyum mendengar kata-kata Roslan. Entah dari mana Roslan cedok kata-kata berupa nasihat itu tidak diketahui. Hendak dikatakan dari pengalaman sangatlah mustahil kerana Roslan belum mendirikan rumahtangga dan tiada pengalaman dalam memenangi hati budi seorang perempuan.

Belum sempat Alif membalas kenyataan Roslan, sepasang kekasih masuk ke dalam kedai. Alif fikir itu pasangan kekasih kerana pasangan itu masuk ke dalam kedai dengan berpimpin tangan. Mana mungkin seorang abang atau adik lelaki sanggup berjalan beriringan berpegang tangan bersama adik atau kakak perempuannya. Dan jika ada sekalipun keadaan itu, agak sukar dilihat.

Alif berdiri menghormati pelanggan. Perkataan “Hai” Alif cakap dengan jelas. Senyuman diberikan tanda bersedia memberikan bantuan kepada pasangan itu jika perlukan apa-apa sebarang bantuan dan pertanyaan. Dan Roslan masih lagi duduk di kerusi itu. Handphone di dalam poket dikeluarkan dan menekan aplikasi Twitter.

“Tak ada buat sales ke ?!” Tanya pelanggan lelaki dengan nada keras. Perempuan disebelahnya membelek-belek kasut di rak.

“Setakat ini tak ada sales lagi. Harga memang macam yang tertera di barang” Alif tersenyum dengan tangan di belakang. Jika diikutkan hati hendak saja Alif meninggikan suara seperti pelanggan itu namun memikirkan yang dirinya masih normal dan waras, nada suaranya masih dikawal elok. Alif tidak tidak apa puncanya sehingga dirinya ditanya dengan nada suara seperti itu. Atau mungkin suara pelanggan lelaki itu memang begitu, kasar, tinggi dan tegas. Alif cuba bersikap positif.

Pelanggan lelaki hanya mencebikkan mukanya “Huh, orang lain pun berniaga juga tapi boleh saja tawar-menawar”

Alif masih tersenyum. Dipandangnya Roslan yang masih di kerusi dan Roslan juga turut melakukan hal yang sama – memandang Alif. Sambil tersenyum melihat Alif diperli, Roslan menggelengkan kepalanya.

“Saya hanya bekerja saja di sini. Bos sudah tetapkan harga, saya tak boleh buat apa-apa. Lagipun harga mengikut sistem komputer, saya tak boleh tukar harga sesuka hati sebab komputer itu sudah dikunci dengan kata laluan”

“Kau bagi tahu bos kau. Berniaga bukan macam ni, dalam berniaga mesti ada tawar-menawar !” Kata pelanggan lelaki “Kena ada tawar-menawar baru pelanggan datang lagi. Kalau macam ni dia punya berniaga, aku tak rasa pun yang pelanggan akan datang untuk kali kedua !”

Alif diam. Tidak mahu menjawab. Sangkaan Alif meleset. Jika tadi dia cuba bersikap positif terhadap pelanggan lelaki itu, ternyata ianya silap 100%. Pelanggan lelaki itu seorang yang bodoh dan tidak tahu menghormati orang lain. Tidak angin, ribut dan dikacau oleh sesiapa, tiba-tiba saja hendak marah-marah. Atau kemungkinan besar pelanggan lelaki itu cuba menaikkan saham diri sendiri di hadapan perempuan itu.

Sesetengah lelaki akan merasa lebih kool jika meninggikan suara atau berlagak kuat di hadapan perempuan yang disayangi. Dengan membuat demikian, dirinya akan dipandang hebat oleh perempuan itu. Jika tidak percaya, lihat saja orang yang memandu kereta serupa orang gila, pasti akan ada perempuan di bangku penumpang.

Alif memandang Roslan sekali lagi – tertunduk di kerusi sambil menekan-nekan skrin di handphone.

“You…I nak try kasut ni” Perempuan itu menunjukkan kasut yang dipegangnya kepada lelaki itu.

Di dalam hatinya, Alif menyumpah. Bertapa bodohnya perempuan ini, hendak mencuba kasut tapi meminta izin daripada lelaki itu padahal sepatutnya dengan dirinya perempuan itu perlu meminta izin kerana dirinya yang bekerja di kedai itu bukannya lelaki itu. Jadi benarlah ada pepatah Pahang lama mengatakan selama ini, lelaki yang bodoh diciptakan untuk perempuan bodoh.

Alif bersetuju dengan pepatah itu kerana Alif yakin jika kedua-dua manusia itu bercantum di ranjang– memasukan penis ke dalam ovari, ianya mampu menghasilkan genetik yang bebal di masa akan datang. Dan generasi yang bebal ini akan terus hidup dengan memberi hiburan kepada manusia yang lebih celik dan terbuka mindanya. Hiburan dengan mempamerkan kebodohan sendiri.

“Boleh duduk di sana” Jari telunjuk Alif dihalakan di kerusi kosong berhampiran Roslan.

 Roslan yang menyedari akan hal itu, tidak mahu menganggu, terus bangun untuk memberi ruang kepada pasangan itu. Si lelaki duduk di kerusi yang diduduki Roslan dan perempuan itu duduk di kerusi kosong.

Alif dan Roslan tercegat berdiri.

Perempuan itu menanggalkan kasut yang dipakai dan menyarungkan kasut Converse berwarna merah. Selesaikan kedua-dua kakinya memakai kasut dan diikat talinya itu, perempuan itu bangun dan berjalan menuju ke cermin yang boleh memuatkan seorang dewasa.

Dipusing-pusing badannya ke kiri ke kanan ke balakang sebelum dia berdiri betul-betul menghadap cermin. Persis sedang mencuba sepasang gaun pengantin gayanya ketika itu padahal sekarang dia hanya mencuba sepasang kasut Converse buatan China yang berharga tidak lebih RM200.

“Cantik tak you ?” Tanya si perempuan kepada si lelaki. Dan si lelaki tersenyum sambil mengangguk.

“Saiz ok tak ?” Tanya Alif.

“Saiz ok” Balas perempuan itu.

“Jadi, awak nak yang ini ?” Tanya Alif lagi. Roslan sudah keluar kedai, berdiri di depan muka kedai melihat orang lalu-lalang di luar kedai kerana tidak mahu menganggu urusan jual beli itu sekaligus memberi keselesaan pasa pelanggan.

Perempuan itu tidak menjawab. Diduduknya kembali di kerusi kosong dan menanggalkan kasut Converse yang dicubanya itu dan memakai kasut Carlo Rino-nya kembali. Diberikan kasut Converse itu kepada Alif yang masih tercegat berdiri.

“Kalau saya nak beli, saya datang lagi nanti” Kata perempuan itu yang kemudiannya merangkulkan lengan teman lelakinya dan berjalan keluar kedai.

Di dalam kedai, Alif menggeleng kepalanya beberapa kali dan di luar kedai pula, Roslan tersengih-sengih memandang Alif yang sedang menahan baran.

Friday, October 30, 2015

Faizal Sayang Sarimah

Di dalam bilik tidur yang kecil, Faizal berbaring di atas tilam bujangnya. Hanya tilam bersaiz kecil dan tiada katil dibawahnya. Fikirannya menerawang jauh memikirkan belahan hati di selatan tanah air. Sesekali apabila rindu datang bertandang ke dalam sudut hati paling dalam, pesanan Whatsapp akan menjadi pengantara melepaskan rindu yang bertandang.

Sayangnya Faizal pada Sarimah diibaratkan awan yang berteraburan di dada langit. Walaupun awan itu selalu berubah-ubah kedudukannya namun ia tetap setia pada yang satu dan akan terus menemani langit tidak keseorangan. Dan begitulah juga hubungan Faizal dan Sarimah, walaupun kerap kali bergaduh berantakkan, namun bila memikirkan hubungan mereka yang sudah 6 tahun terjalin, cepat saja mereka berbaik-baik.

Namun dalam perhubungan menyulam cinta, sayang dan rindu saja tidak cukup. Sayang dan rindu tidak boleh membeli bawang atau mengisi perut ketika lapar. Dalam perhubungan itu harus disertakan sekali dengan wang untuk mengikat belahan hati kerana jika sayang haruslah mengikat ikatan yang sah dan bukannya terus bercinta tidak kesudahan tiada titik noktah. Dan masalah kewangan terus menjadi kekangan buat Faizal untuk menghalalkan hubungan itu.

Kos perkahwinan sekarang bukanlah perkara yang boleh dibawa bermain. Kalau tidak mahu menimbulkan cakap-cakap belakang orang ramai seeloknya sediakan wang cukup, kelak nanti malu di kemudian hari.

Jika hendak diikutkan hati sendiri, hendak saja cukup dengan sekadar akad nikah dan acara makan-makan yang sederhana namun bila berbincang dengan bakal mak mertua, rancangan itu ditolak mentah-mentah. Bakal mak mertuanya tidak mahu perkahwinan anak perempuannya diadakan secara runcit-runcit kerana Sarimah itu satu-satunya anak perempuan dalam keluarga itu.

Telefon bimbit di sebelah tilam Faizal capai malas. Tangannya laju menekan-nekan punat telefon mencari nama belahan hatinya. Sebaik saja nama 'Sweet heart' muncul di skrin telefon terus saja Faizal menekan butang hijau. Tidak lama, hanya beberapa saat panggilan itu dijawab Sarimah.

"Hello sayang" Lembut dan lunak suara Sarimah menjawab di hujung talian. Suara yang menghuni dan memegang kunci hati Faizal.

"You buat apa ? Busy tak ?" Jawab Faizal dengan keadaan masih lagi terbaring di atas tilam.

"Tak ada busy pun. Tengah tengok tv je tadi. Cerita pasal cinta klise. Kisah seorang lelak yang baru balik dari luar negara setelah 5 tahun belajar di negara orang. Balik untuk mewarisi perniagaan bapa dia dan bapa dia hendak jodohkan dia dengan perempuan kampung yang baik dan berbudi bahasa tapi si lelaki itu ada pilihan sendiri. Dan di sinilah konflik percintaan itu berlaku" Kata Sarimah panjang lebar "Kenapa call ni ? Rindu ke ?"

Di hujung talian, Faizal hanya tersenyum mendengar Sarimah berceloteh itu dan ini. Perkara itu benar-benar mencuit hatinya. Faizal tidak kisah dengan perkara itu kerana Faizal tahu sudah menjadi lumrah perempuan sejak azali, jika perempuan itu banyak bercakap bercerita itu dan ini walaupun ditanya sepatah soalan, itu tandanya perempuan itu menyukai orang itu.

Dan jika apabila perempuan itu tidak gemar memanjangkan perbualan, beribu soalan ditanya tetapi hanya sepatah-patah dijawab, potensi untuk si lelaki memenangi hati perempuan itu adalah sangat rendah dan kemungkinan untuk menjalin hubungan ke peringkat lebih serius adalah kosong.

"Setiap hari dan setiap saat i rindukan you selagi you tak menjadi halal buat i. Mana mungkin tiada perasaan rindu padahal rindu itu sudah menjadi penyakit hati yang susah diubati yang serasi dalam diri" Jawab Faizal.

"Hahaha. Amboi...kemain lagi ayat. Kalau setiap hari macam inilah awak layan saya, tak akan pernah saya berhenti mencintai awak. Hihihihi" Ketawa bagai anak kecil diberikan gula-gula Sarimah ketika itu. Lebar senyumannya sehingga terangkat rahang pipi.

"Awak..saya ada sesuatu nak cakap dengan awak ni..berkaitan dengan hubungan kita..."

Hilang terus senyuman di bibir Sarimah mendengar ayat diluahkan Faizal. Sarimah tidak suka akan dengan nada suara Faizal yang agak mendatar seolah-olah orang sedang berputus asa dan ayat "berkaitan dengan hubungan kita" itu.

"Kenapa ? You ada masalah dengan hubungan kita ?" Berat dan payah Sarimah hendak mengungkapkan soalan itu. Liurnya ditelan terasa pahit.

"Ya. You pun tahu kan i sayang you, i sayangkan hubungan ni, kalau boleh i nak jadikan you kekasih halal buat i tapi i ada masalah kewangan. Dan kalau boleh, kalau you tak kisah, boleh tak you tolong i ?"

"Tolong apa tu ?"

"Pinjamkan i rm10 ribu ?"

"You nak buat apa dengan duit banyak tu ? Apa kena mengena hubungan kita dengan duit sebanyak tu ?" Soalan Sarimah bertalu-talu.

"I nak masuk meminang you. Nanti i bayarkan balik hutang tu dengan memberikan you anak yang comel-comel"

"Kahkahkahkah. Macam setan" Sarimah ketawa bagaikan orang gila.

Saturday, August 8, 2015

Razali Pergi Dating

Hari itu sungguh indah, seindah pagi yang nyaman dan burung pun turut menyanyi riang, Razali bangun tidur dengan penuh bersemangat. Hari itu, Razali ada fisrt date dengan makwe yang dikenali hasil dari "People Nearby" di dalam Wechat. Cantik paras rupanya, body pun boleh tahan sedap, rambut pun tidak berkaler warna kuning, sejuk mata memandang. Razali sudah berkira-kira, jika pertemuan pertama ini menjadi seperti yang dirancang, Razali mahu menjalinkan hubungan yang serius bersama makwe itu.

Di waktu umur yang meningkat senja, kadang-kadang Razali menjadi down juga bila melepak bersama rakan-rakannya yang lain. Rakan-rakannya sudah banyak yang mendirikan rumahtangga dan paling kurang pun sudah ada makwe dan tunang tetapi Razali masih lagi bergerak secara solo. Tiada makwe.

"Macam mana dengan rupa aku, Faizal ? Sejuk tak mata yang memandang ?" Soal Razali yang berdiri mengadap rakan serumahnya, Faizal.

Faizal yang sedang ralit membaca surat khabar Utusan "UMNO Penyelamat Melayu" hanya memandang Razali atas bawah. Kepalanya digelengkan beberapa kali.

"Baju cantik, seluar kemas tak ada bulu kucing melekat tapi itulah, rambut tu sikat laa sikit. Ni kalau aku yang jadi makwe kau ajak dating tu, aku terajang je kau tanpa rasa ragu-ragu kalau tengok keadaan kau macam ni" Faizal jawab jujur.

"Hmmmm, tu pasal aku tanya kau tu. Kau rasa aku patut sikat rambut belah tepi ke belah tengah ?" Razali bertanya lagi seperti orang dungu.

"Kau sikat je rambut kau macam mana pun, kalau makwe tu suka kat kau, kau tak ada rambut pun tetap dia suka. Tapi aku rasa elok kau sikat rambut belah tepi, nampak jujur sikit" Faizal jawab tenang seperti Dr. Love baru dapat ijazah tak bertauliah.

Minyak rambut dilumur sebati pada tangan. Seperti gaya model dalam iklan anti kelemumur, Razali menlumurkan minyak rambut pada rambutnya. Kemudian rambutnya disikat menjadi belah tepi seperti yang dicadangkan Faizal. Garis belah tepi nampak lurus tiada bengkok-bengkok. Kemas.

"Amacam ? Kau tengok rupa aku sekarang ni ada rasa nak mencintai aku dalam diam tak ?" Razali tersengih-sengih memandang Faizal.

Faizal mengucap panjang.

                                                                                          ***

Razali kucar-kucir berlari-lari anak menuju ke destinasi yang dijanjikan. Sesungguhnya terlambat 30 minit pada pertemuan pertama adalah satu malapetaka bagi sesiapa yang pernah mencari cinta. Dan perkara ini boleh memberikan tanggapan yang buruk terhadap dirinya.

Razali akui, masalah tidak menepati masa bukan dia sahaja yang mengalaminya. Baik dari sektor kerajaan dan swasta, penoreh getah juga kadang-kala banyak mengalami masalah tidak menepati biasa.

"Maaf, saya terlewat. Saya dah keluar rumah awal tadi tapi disebabkan jalan jam teruk, saya terperangkap dalam jam. Ada kemalangan kot, tu pasal jalan jam" Razali berikan penerangan supaya makwe yang baru dikenalinya di dalam Wechat dapat membuang tanggapan yang buruk terhadapnya.

"Tak apalah. Saya dah biasa" Ringkas dan bersahaja respon makwe tersebut.

Terpukul dengan kata-kata makwe itu, Razali terdiam. Memberi masa dan ruang jika makwe berkecil hati adalah langkah yang terbaik. Razali akan ingat pesanan Faizal itu sampai bila-bila.

Masa terus berlalu.

"Jom, saya bawa awak pergi makan Mekdi di Teluk Cempedak ?" Razali cuba membunuh kesunyian.

"Boleh juga. Awak parking kereta dekat mana ?" Makwe tersebut bangun dari tempat duduknya. Punggungnya dikipas-kipas dengan tangan membuang segala daun kering yang melekat pada seluarnya. Terasa penat sejak dari tadi duduk di atas rumput tanpa melakukan apa-apa.

"Eh, saya mana ada kereta. Saya datang ni pun naik bas Rapid je. Saya nak bawa awak pergi Teluk Cempedak ni pun naik bas Rapid je laaa" Razali jawab sambil tersengih.

"Ouhhhh" Makwe tersebut mengangguk hampa.

Selepasa pertemuan pertama itu, makwe tersebut terus block Razali di dalam Wechat.