Showing posts with label dialog rakyat. Show all posts
Showing posts with label dialog rakyat. Show all posts

Tuesday, December 15, 2015

365 Hari Memburu Janji

Saya singsingkan sedikit tirai di jendela. Jauh memandang ke arah timur. Melihat percik-percik cahaya sang suria pagi yang pertama untuk tahun ini. Masih sama cerahnya seperti tahun-tahun terdahulu. Menyapa dunia dengan selembut bahangnya pada hari ini – Khamis, 1 Januari 2015. Syukurlah, masih mampu saya menikmati vitamin E yang percuma ini.

Lalu saya melangut tinggi. Dongak memandang dada langit yang kian berdendang kecerahan. Pagi yang terlalu indah untuk ditinggalkan. Jika saya mampu, ingin saya hentikan putaran waktu sekarang juga. Agar keindahan ini tidak akan terginjak. Agar keindahan ini tidak terkhianati oleh janji-janji.

Tapi saya tidak mampu. Dan bumi semakin hangat.

Manusia berlumba-lumba mengejar kepastian dalam gumpalan cabaran yang semakin kronik. Konflik-konflik meditasi menyelinap di setiap lorong kehidupan tanpa ada rasa simpati. Dalam sedar atau tidak, luluh jua keringat yang tidak berpatutan dengan upah yang diterima. Yang gendut, terus gendut dan yang kerempeng terus kerempeng.

Semput dan gagap.

Dalam sedu, saya mendaki denai perjalanan yang tidak berbukit dan berpuncak. Rata dan sekata. Tapi terlalu perit untuk ditempuhi. Tiada hentian rehat untuk melepaskan hatta sedehem batuk. Masa yang terlalu jaguh untuk kita tewaskan. Paksalah juga diri untuk menuruti agar tidak tertinggalkan yang mustahak.

Kadangkala, langkah hanya sedikit terlewat. Barangkali setapak dua. Tapi terlalu jauh ditinggalkan. Dari setapak dua itu, kelewatannya sampai berskala seribu langkah. Makin dikejar, makin sakit. Tidak dikejar, juga sakit.

Saya perhatikan ulas buah harapan yang masih berbaki ini. Seakan sudah lemau dimamah waktu. Elokkah lagi untuk saya jamah agar esok hari tidak kelaparan? Perut sudah kenyang sebenarnya. Menjamah janji-janji manis, manifesto mega jaya, dan provokasi lantang kosong. Terlalu sarat dengan semua itu. Mahu saja saya jeluakkan semua isi perut ini.

Satu berganjak dua. Dua berganjak tiga. Tiga, empat, lima dan seterusnya. Sudahnya, sampai ke tiga puluh satu. Januari mahu ucap selamat tinggal dengan lambaian yang penuh jerih. Pergilah, wahai sayang Januari. Ada rezeki, panjang umur kita ketemu lagi. Doa-doalah kepada Illahi.

Saya masih melangkah ketika Februari datang. Katanya, bulan cinta, bulan romantis. Saya lihat, manusia masih berlumba-lumba. Mengejar cinta atau ditinggalkan cinta sehingga tiada masa untuk menoleh langsung. Tiada! Tiada bulan cinta dan romantis. Tiada! Semua bulan sama sahaja. Manusia terus berlumba-lumba lalu gila kerana ditabur janji dusta.

Cinta sudah lenyap.

Mac menyapa tanpa salam perkenalan. Dalam gerung hati yang lunak menjerit kesakitan sampai tak terluah suara. Saya menggerumuk memandang hutan batu yang kian bersemak-samun ini. Langit tak terlihat lagi aura impian. Hanya menggermang pada dinding kedustaan. Belakang badan sarat dengan beban helah yang digalas.

Wahai janji, usah berdalih lagi. Saat melangkah ke sempadan April, saya sedar yang langkah ini semakin kejauhan walaupun telah digesitkan berkali ganda kudrat. Semakin laju, semakin ditinggalkan. Celakalah keseluruhannya bila Mei menjemput April yang bagai tidak terkalih ia berlalu.

Jarum saat terus setia berputar seperti paksi yang menuruti kejadian siang dan malam. Angan, impian, doa, harapan juga turut berputar sama. Tinggal lagi, hendak diterjemahkan menjadi lukisan realiti yang saya sendiri tidak pasti bila, di mana dan bagaimana. Sudahnya, kalendar menginjak Jun. Dosa-dosa terus giat terkumpul dalam gerombongan bahu kiri.

Bila saya pejamkan mata, saya terdengar bunyi angin yang maha merdu. Damainya memeluk tubuh yang kian gering beralaskan harapan. Adakah ini petanda makbulnya doa-doa saya sepanjang perjalanan ini? Seperti enggan membuka kelopak mata. Bimbang dek kedamaian ini akan mati.

Tapi, saya perlu terus melihat dunia.

Lalu, dibuka perlahan-lahan mata. Ah, terus sahaja Julai menerpa. Dalam siksa, saya gagahi jua. Memburu janji-janji yang pernah dilaung. Mengejar impian yang pernah dihamparkan dahulu. Jerihnya kaki ini hendak melangkah lagi dalam kecelakaan sakti.

Saya terjerongok bila melihat papan iklan yang memaparkan si tua bongkak berpakaian segak. Iklannya menempel janji-janji lama. Yang saya buru sejak Januari lalu. Kini, sudah Ogos. Janjinya masih tak terungkai. Manakan si bongkak tahu saya sedang gering. Saya makan ikan kering, dia makan daging.

Jadilah saya manusia yang kebuluran harapan ditanam hidup-hidup oleh janji si tua bongkak berpakaian segak.

September menjelma. Saya seakan mahu mengalah. Sembilan purnama terpaksa berjinjit-jinjit untuk meneruskan hidup. Bernafas pun mengah, bernyawa pun semput. Tinggal lagi hendak bercerai dengan badan sahaja. Bagai menapak dalam lubuk jerung yang lapar.

Dalam keluh saya yang semakin menggeru, Oktober tiba. Maka, sesal saya masih belum berkesudahan. Bila papan iklan diturunkan, kemudian diganti dengan yang baru ia kian menggermang saya. Iklan baharu, janji baharu dan kedustaan baharu.

Warna putih ternampak hitam, merah ternampak hitam, biru ternampak hitam, hijau ternampak hitam dan semuanya ternampak hitam. Zulmat. Hitam dengan janji-janji dusta kamu. Lalu, November tiba dengan awan hitam yang memberikan harapan hujan.

Lenjun bermandikan hujan. Saya harap setiap titis kerasnya melunturkan janji-janji dusta.

Bayu Disember menyapa keras. Menggigit tubuh dengan kedinginan hingga ke temulang. Meliatkan urat-urat dan otot-otot yang selama ini berpanji memandu pergerakan saya. Sedingin harapan yang semakin tipis. Saya termenung melihat matahari pagi bulan Disember. Kaku dan tidak berganjak sehingga cahaya menipis jauh di barat. Senipis impian yang mega ketika Januari lalu.

365 hari melangkah, memburu janji-janji dusta. Yang saya dapat hanya lelah. Keringat tak terkira tenatnya. Tipisnya harapan untuk mengharap lagi. Juga impian yang sudah bertranformasikan mimpi. Sekadar mimpi. Lekaslah saya bangkit menggali lubang sedalamnya. Menguburkan semua janji dusta, harapan dan impian. Saya semadikan ke dalam tanah yang menangis kecewa.

Untuk si tua bongkak berpakaian segak, lurutkan suit mewahmu. Melangkahlah bersama manusia-manusia yang menderita dek janji dustamu. Nikmatilah angin kecelakaan yang engkau hembuskan bersama impian dahulu. Berhentilah menghambur slogan harapan. Undur dan pergi sahaja jauh-jauh.





Thursday, September 17, 2015

Dialog Rakyat : Perhimpunan

Warung Kak Saadiah sering menjadi tumpuan penduduk Taman Halilintar Ria berkunjung pada waktu petang untuk menikmati juadah seperti kuih-muih, pisang goreng, roti jala dan air batu campur. Terletak bersebelahan dengan sebuah petrol pam, Kak Saadiah dan pekerjanya menyediakan pelbagai juadah untuk penduduk setempat mengisi perut yang lapar dan menghilangkan dahaga sementelah melalui hari yang berliku.

Seorang guru pencen bernama Cikgu Dino mengambil tempat di baris kedua dari kanan warung. Sememangnya itulah tempat yang akan diduduki Cikgu Dino setiap kali singgah ke warung Kak Saadiah. Lazimnya, Cikgu Dino akan ke situ usai sahaja solat asar berjemaah di masjid berhampiran. Seperti biasa, Cikgu Dino akan memesan roti jala dan cendol campur untuk dinikmati sambil membaca akhbar harian di situ.

Satu persatu helaian akhbar dibelek. Sesekali, Cikgu Dino membetulkan kedudukan kaca matanya yang terlondeh. Sesekali, biji matanya mengecil membaca tulisan yang kadangkala kabur kerana dicetak bertindih. Sesekali, biji matanya terjegil seperti mahu tersembul keluar pabila terbaca laporan berita tentang manusia yang mahu menjadi lebih syaitan daripada syaitan. Kes membuang bayi misalnya.

Tatkala Cikgu Dino sedang leka membaca akhbar, datang dua orang pemuda setempat yang dikenalinya. Kedua-duanya adalah bekas pelajarnya dahulu sewaktu di sekolah menegah - Qusyairi dan Badrul Zaman. Anehnya, Qusyairi dikenali dengan gelaran Kuchai manakala Badrul Zaman digelar Badman. Seorang seperti nama sayuran, seorang seperti nama adiwira.

Mereka mengambil tempat di sebelah meja Cikgu Dino. Sambil menghulurkan tangan mereka mengucapkan ucapan selamat sejahtera dalam bahasa Arab kepada Cikgu Dino. Salam dijawab mesra sambil dan tangan disambut untuk dijabat erat.

Sebaik memesan juadah dan minuman untuk dinikmati, mereka berbual-bual perihal aktiviti yang dilakukan tempoh hari. Cikgu Dino hanya memasang telinga untuk merakam perbualan mereka sambil matanya tegak memandang akhbar.

Kuchai : Semalam aku turun KL. Join perhimpunan baju merah.
Badman : Alah, berapa kerat je yang turun. Ramai lagi masa perhimpunan baju kuning yang aku pergi dulu.
Kuchai : Aku pergi perjuangkan bangsa. Kau?
Badman : Aku perjuangkan negara. Kau punya perhimpunan tu racist!
Kuchai : Pasal apa pula racist? Ini tanah kita, tanah orang Melayu. Kau nak tengok negara kita dijajah bangsa lain?
Badman : Tapi kita semua ni satu bangsa. Bangsa Malaysia!
Kuchai : Ah, kau takkan faham. Jiwa kau dah memang nak membangkang sahaja. Apa yang kerajaan buat semuanya tak betul.
Badman : Kita ada hak untuk bersuara, bukan? Jadi, itu hak aku, suara aku.
Kuchai : Samalah, itu hak aku juga untuk berhimpun semalam. Suara aku.
Badman : Akan datang, aku yakin perhimpunan baju kuning akan lebih power!
Kuchai : Aku pun akan pastikan perhimpunan baju merah lepas ni akan lebih power!

Mereka berdua terus berdebat mengenai perhinpunan yang telah mereka sertai. Pelbagai isu dibahaskan dan diulas. Beberapa fakta juga cuba diputar belitkan untuk memenangi debat masing-masing. Cikgu Dino tidak mahu perkara ini terus berlarutan sehingga menimbulnya konflik. Lantas, dia bangun dari kerusinya dan menuju ke arah mereka berdua. Matanya menikam kedua-dua wajah yang pernah menjadi anak didiknya dahulu.

"Hebat kamu berdua ni. Rajin sertai perhimpunan. Tak sangka juga saya. Masa sekolah dahulu, muka kamu berdualah yang paling kerap ditangkap kerana ponteng perhimpunan sekolah. Kamu masih ingat? Ditangkap menyorok di dalam stor dengan asap rokok yang berkepuk. Kemudian, dirotan di khalayak ramai sewaktu perhimpunan. Jadi, sekarang kamu sudah berubah? Turun sertai perhimpunan untuk menebus kesilapan kamu dahulu yang suka memonteng perhimpunan? Begitu?"

Soal Cikgu Dino nyata membuatkan mereka membisu seribu bahasa. Wajah tertunduk menyembah bumi. Baik Kuchai mahupun Badman, keduanya tidak terlawan dengan kata-kata bekas guru mereka itu.

"Sudahlah, daripada kamu bertekak isu perhimpunan, bangsa dan negara lebih baik kamu ikut saya ke tanah perkuburan sekejap lagi. Bersihkan tanah kubur lebih besar jasanya daripada kamu terpekik melolong di perhimpunan kuning dan merah tu. Takkan nak harapkan ahli kubur pula yang bersihkan? Lagipun, kalau-kalau ada tempat pembiakan nyamuk di situ, dapat juga kita hapuskan sekaligus menghapuskan pembiakan aedes yang membawa kepada wabak denggi. Bukankah itu dikira sebagai satu sumbangan juga?" ujar Cikgu Dino lagi.

Nasihat yang diberikan Cikgu Dino itu diterima mereka dengan hati terbuka. Sebaik selesai menikmati juadah petang di warung Kak Saadiah, mereka menyertai Cikgu Dino membersihkan tanah perkuburan. Benar, perjuangan kita sebagai rakyat bukanlah sekadar berhimpun membawa sepanduk dan melaungkan slogan semata-mata. Perjuangan kita adalah memastikan bumi yang dipinjam ini terus makmur dan harmoni. Sumbangan kita bukanlah sekadar memberikan derma wang ringgit atau harta, malah menjaga keseimbangan organisasi di muka bumi.

Bukankah membunuh nyamuk aedes itu seribu kali lebih baik daripada membunuh hati sahabat kita yang berlainan bangsa, agama dan fikrah politiknya?

"Terima kasih, Cikgu Dino!"

Tuesday, September 15, 2015

Aduan Rakyat : Jerebu

Pada hari ini (14/09/2015), Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicatatkan di beberapa bandar utama sekitar negara menunjukkan paras yang tidak sihat. Daerah Banting, mencatatkan IPU yang tertinggi dengan bacaan 175. Pelabuhan Klang mencatatkan bacaan 171 dan Port Dickson pula mencatatkan bacaan 168.

Umum menyedari, masalah jerebu yang melanda Malaysia keika ini adalah berpunca daripada pembakaran hutan secara terbuka yang dibuat secara besar-besaran di negara jiran, Indonesia.

Sebagai jiran yang baik hati, kita bukan sahaja mengizinkan rakyat mereka untuk datang mencari rezeki di negara kita samada secara haram ataupun halal, malah turut mengizinkan udara tidak sihat datang ke negara kita. Tidak cukupkah lagi dengan asap rokok kretek yang diseludup dari Indonesia mencemarkan udara di negara kita? Tidak cukupkah lagi bau rambut wanita Indonesia yang menggunakan syampu bawang membacinkan udara di negara kita?

Mungkin Andik Vermansyah ada jawapannya.

Sepanjang musim jerebu ini, elakkan daripada melakukan aktivit dan kegiatan luar seperti senamrobik di taman rekreasi, memancing udang galah di muara sungai, memikat burung tekukur, barbeku sempena majlis reunion, bermain petanque dan sebagainya. Banyakkan minum air masak dan jauhkan meminum todi, air ketum dan tuak.

Kedatangan jerebu yang tidak diundang ini dilihat menimbulkan kemarahan netizen terutamanya di media sosial. Ada yang memaki hamun negara jiran kerana hampir setiap tahun mereka membakar hutan dan setiap tahun jugalah mereka memohon maaf. Tidak kurang juga yang berjenaka mengaitkan jerebu ini dengan kabus seperti di Eropah mahupun Genting Highland.

Kabus adalah kabus, jerebu dalah jerebu. Kabus tidak berbau dan terasa nyaman pabila ia menyentuh tubuh. Jerebu berbau asap dan terasa semput ketika ia melintas hidung.

Tidak kurang juga yang berdoa dengan menggunakan hashtag supaya jerebu yang melanda negara kita ini segera pulih. Begitulah mudahnya kehidupan di zaman urban ini. Berdoa hanya melalui hashtag. Semakin banyak like semakin mustajab doa itu. Mungkin kita perlu mengubah kata-kata pujangga "kenang daku dalam doamu," kepada "kenang daku dalam hashtagmu,".

Memandangkan masalah jerebu ini adalah masalah rakyat, maka saya sempat menebual beberapa orang individu untuk memberikan komen serta pendapat mereka tentang permasalahan ini. Berikut adalah hasil temubual saya bersama mereka ;

"Jerebu ni sampai bila pun takkan selesai kalau Indonesia tak habis-habis nak bakar hutan dia orang tu. Patutlah kena tsunami, suka buat kerosakan kat muka bumi. Bodoh!" ujar Pak Manan, seorang pesara kerajaan yang banyak menghabiskan masanya di kedai kopi. Sebaik memberikan komen, Pak Manan mencucuh sebatang rokok kretek dan menghembuskan asapnya ke udara. Semoga Pak Manan beroleh kedamaian hendaknya.

"Mak Cik pun bengang juga dengan jerebu ni, nak buat kerja luar rumah ni susah. Pokok bunga banyak nak kena siram, sayur-sayuran yang ditanam tu nak kena baja dan gemburkan tanahnya, tu pokok bonsai bukan boleh dibiarkan pucuknya tumbuh nanti tak cantik. Aduh, susahlah jerebu ni," kata Makcik Nelydia sambil menyapu daun kering di halaman rumahnya. Beberapa minit kemudian, dia dilihat menyalakan api untuk membakar daun kering tersebut. Semoga Makcik Nelydia bertemu kebahagiaan hendaknya.

"Jerebu ni boleh diibaratkan seperti musibah. Saya terpaksa mengeluarkan kos yang lebih banyak untuk membelikan pekerja saya dengan mask pelindung hidung. Kalau pekerja saya sakit, lagi susah nanti," kata Encik Douglas, pemilik sebuah kilang memproses bahan kimia yang beroperasi 24 jam.

"Asap vape gua ni buan bahaya pun, der. Takkanlah boleh jadi punca jerebu kot?" ujar seorang remaja hipster yang hanya mahu dikenali sebagai Jinggo Kepala Mancis. Tanpa segan silu, dia menghembuskan asap berperisa buah kedondong sebaik ditemuramah.

"Jerebu ni buat semak hidung gua, doe! Nak lumba haram pun pedih-pedih je rasa mata macam masuk habuk. Nyaris-nyaris gua nak sodok tiang lampu semalam sebab jerebu tebal sangat. Sialllll je an?" kata Shark Sharpawi, seorang mat rempit tegar yang menggunakan motosikal jenis Yamaha 125 ZR. Dia berlalu meninggalkan asap yang pekat daripada ekzos motosikal enjin dua lejang itu.

"Ini semua bala daripada Allah. Mungkin ada perkara yang salah yang kita tak sedaq kita dok buat. Saya rasa eloklah semua rakyat Malaysia minum ayaq 30 juzuk dari pusat tahfiz saya ni. Molekul dalam ayaq ni baguih untuk mengelakkan kita kena penyakit sepanjang musim jerebu ni. Tak mahai aih, sebotoi enam ringgit. Beli dua, kira rega adik-beradik ja, sebelaih ringgit," ujar Ustaz Don Wori sambil mempromosikan produk berasaskan al-Quran yang dijual dengan harga yang tidak berasaskan ajaran al-Quran.

"Saya akan menghantar isteri dan rombongan untuk lawatan kerja ke Indonesia bagi menyelesaikan isu ini. Mungkin akan mengambil masa selama dua atau tiga hari. Perjanjian memorandum akan dibuat oleh isteri saya disana kelak," titah Perdana Menteri sebuah negara yang turut terlibat dalam masalah jerebu ini.

"Kalau tak suka jerebu di Malaysia, pergi pindah negara lain yang tidak jerebu," kata seorang Menteri yang pernah mendapat anugerah dekan semasa di universiti dahulu,

Pokok pangkalnya, sejauh manakah kesedaran kita terhadap jerebu? Adakah anda hanya menyalak ketika ia berlaku disebabkan pembakaran hutan oleh negara jiran sahaja? Adakah anda rakyat yang tidak pernah mencemarkan udara? Adakah anda tidak mengganggu frekuensi di udara dengan talian internet yang sedang anda gunakan untuk membaca laporan ini? Dan adakah anda sedang bernafas dengan nyaman ketika ini di dalam bilik yang dilengkapi dengan pendingin hawa?

Tepuk dada, tanya selera.



Tuesday, August 18, 2015

Dialog Rakyat : Musibah

Tommy dan Hilfiger sedang memancing ikan di sebatang sungai. Beberapa ekor ikan Patin bersaiz sedap dimasak gulai tempoyak berjaya didaratkan. Sambil menunggu ikan yang seterusnya memakan umpan, mereka berbual-bual mengenai musibah yang sedang melanda negara.

Tommy : Banyak juga musibah yang melanda negara sekarang ni, Hilfiger.
Hilfiger : Itulah, aku pun  perasan juga. Kapal terbang hilang, kapal terbang terhempas. Hmm..
Tommy : Kapal minyak pun hilang juga, nasib baik dah jumpa. Bongok punya lanun!
Hilfiger : Agaknya lepas ni kapal apa pula yang dilanda musibah?
Tommy : Mungkin kapal layar orang kaya yang sedang beromen dengan perempuan simpanan di Pulau Langkawi.
Hilfiger : Kah! Kah! Kah!
Tommy : Pasal duit derma 2.6 bilion ni pun kira musibah juga kan?
Hilfiger : Aku rasa musibah juga. Bawa masuk Bangladesh 1.5 juta musibah juga. Ha, lagi?
Tommy : Banyak lagi musibah yang kita tak perasan. Salah satunya teori konspirasi kepada setiap musibah yang berlaku. Mengaitkan kapal terbang dirampas kerana terdapat buah manggis, misalnya. Tak patut betul.
Hilfiger : Juga komen-komen keyboard warrior di Facebook selepas setiap musibah berlaku. Itu pun kira musibah juga. Maknanya, musibah ni berlarutan.
Tommy : Aku bersetuju dengan pendapat kau! ( Memberikan satu tumbukan padu ke udara )
Hilfiger : Ada lagi satu musibah yang kau tak perasan, Tommy.
Tommy : Apa?
Hilfiger : Akademi Fantasia musim baru.

Kring! Bunyi loceng yang dipasang pada hujung joran Tommy berbunyi. Melendut ke bawah batang joran berjenama Seahawk sepanjang enam kaki itu. Setelah bertarung selama 19 minit dengan bantuan mesin berjenama Abu Garcia dengan keupayaan 12+1 ball bearing, seekor ikan Tapah seberat 13 kilogram Berjaya didaratkan.

Monday, August 10, 2015

Dialog Rakyat : Abas dan Bangladesh

Dialog Rakyat : Abas dan Bangladesh

Abas melihat lampu amaran paras minyak pada skrin keretanya sudah bernyala. Dia perlu singgah ke petrol pam berdekatan untuk mengisi minyak buat meneruskan perjalanannya. Abas berhenti di sebuah petrol pam di bawah naungan syarikat gergasi dari negara Belanda. Seorang pekerja Bangladesh sudah bersiap siaga untuk memberikan servis kepada Abas. Pekerja itu bernama Brahmen berdasarkan name tag yang dipakainya. 

Brahmen memakai t-shirt berwarna merah-kuning seperti bendera negeri Selangor dan berlogokan cengkerang siput. Dia memasukkan bajunya ke dalam seluar slack berwarna hitam dan dipadankan dengan sepasang sepatu kulit yang sudah kusam warnanya. Namun, Brahmen tetap tersenyum mesra menyambut pelanggan tiba. Tiada riak ketat pada wajahnya atau masam mencuka seperti seorang yang tertekan. Dia kelihatan gembira dengan tugasnya di stesen minyak itu. Abas keluar dari keretanya dan disambut oleh Brahmen.

Brahmen          : Berapa ringgit, incik?
Abas                : Hah, kasi penuhlah baiya.
Brahmen          : Baik incik. Mau kuning punya ka hijau punya?
Abas                : Kuning sudahlah baiya, pakai minyak mahal pun tak boleh laju juga.
Brahmen          : Apa pasal tara boleh laju? Ini hijau punya minyak banyak bagus, bukan?
Abas                : Iya, memang bagus baiya, tapi kalau saya bawa laju nanti kena saman. Faham?
Brahmen          : Ooo.. itu macam ka incik? Saya tara tau juga, bicycle juga kayuh pergi kerja.
Abas                : You sudah berapa tahun kerja ini Malaysia, baiya?
Brahmen          : Sudah lima tahun, incik. ( sambil menunjukkan isyarat lima jari )
Abas                : Lama juga laa… tak mau balik Bangladesh dah ke?
Brahmen          : Sudah balik incik. Duduk sana sikijap datang balik sini.
Abas                : Kenapa datang balik? Sana kerja takde ke?
Brahmen          : Ada incik, tapi gaji kicik juga. Lagi sini kerja gaji banyak, OT banyak.
Abas                : You sudah lama kerja Malaysia pun masih pelat lah baiya.
Brahmen          : Tapi incik paham juga kan?
Abas            : Memangla faham, tapi you kena hilangkan pelat lah kalau sudah lama kerja. Kena belajar Bahasa Malaysia yang betul.
Brahmen          : Takpa, incik. Nanti you juga kena belajar bahasa Bangladesh.
Abas                : Eh, kenapa aku pula kena belajar bahasa Bangladesh.
Brahmen        : Iyalah incik, nanti lagi sikit tahun saya punya orang kampung lagi 1.5 juta mau datang sini Malaysia juga. Itu menteri sudah kasi tau. Kita semua kerja kuat-kuat, buat OT banyak-banyak,  kongsi duit semua, boleh beli ini Malaysia lah incik!

Pulp! Bunyi nozel ditendang tanda minyak yang diisi ke dalam tangki kereta sudah berada pada paras penuh. Brahmen menarik keluar nozel berwarna kuning tersebut dan meletakkannya kembali pada tempat diambil. Abas menghulurkan sekeping not seratus ringgit dan Brahmen mengembalikan baki sebanyak dua puluh lima ringgit. Abas menghidupkan enjin keretanya dan terus memecut laju ke destinasi yang dituju. Hatinya berontak, “Ah, pergi mamposlah kena saman speed trap pun!“