Monday, August 10, 2015

Dialog Rakyat : Abas dan Bangladesh

Dialog Rakyat : Abas dan Bangladesh

Abas melihat lampu amaran paras minyak pada skrin keretanya sudah bernyala. Dia perlu singgah ke petrol pam berdekatan untuk mengisi minyak buat meneruskan perjalanannya. Abas berhenti di sebuah petrol pam di bawah naungan syarikat gergasi dari negara Belanda. Seorang pekerja Bangladesh sudah bersiap siaga untuk memberikan servis kepada Abas. Pekerja itu bernama Brahmen berdasarkan name tag yang dipakainya. 

Brahmen memakai t-shirt berwarna merah-kuning seperti bendera negeri Selangor dan berlogokan cengkerang siput. Dia memasukkan bajunya ke dalam seluar slack berwarna hitam dan dipadankan dengan sepasang sepatu kulit yang sudah kusam warnanya. Namun, Brahmen tetap tersenyum mesra menyambut pelanggan tiba. Tiada riak ketat pada wajahnya atau masam mencuka seperti seorang yang tertekan. Dia kelihatan gembira dengan tugasnya di stesen minyak itu. Abas keluar dari keretanya dan disambut oleh Brahmen.

Brahmen          : Berapa ringgit, incik?
Abas                : Hah, kasi penuhlah baiya.
Brahmen          : Baik incik. Mau kuning punya ka hijau punya?
Abas                : Kuning sudahlah baiya, pakai minyak mahal pun tak boleh laju juga.
Brahmen          : Apa pasal tara boleh laju? Ini hijau punya minyak banyak bagus, bukan?
Abas                : Iya, memang bagus baiya, tapi kalau saya bawa laju nanti kena saman. Faham?
Brahmen          : Ooo.. itu macam ka incik? Saya tara tau juga, bicycle juga kayuh pergi kerja.
Abas                : You sudah berapa tahun kerja ini Malaysia, baiya?
Brahmen          : Sudah lima tahun, incik. ( sambil menunjukkan isyarat lima jari )
Abas                : Lama juga laa… tak mau balik Bangladesh dah ke?
Brahmen          : Sudah balik incik. Duduk sana sikijap datang balik sini.
Abas                : Kenapa datang balik? Sana kerja takde ke?
Brahmen          : Ada incik, tapi gaji kicik juga. Lagi sini kerja gaji banyak, OT banyak.
Abas                : You sudah lama kerja Malaysia pun masih pelat lah baiya.
Brahmen          : Tapi incik paham juga kan?
Abas            : Memangla faham, tapi you kena hilangkan pelat lah kalau sudah lama kerja. Kena belajar Bahasa Malaysia yang betul.
Brahmen          : Takpa, incik. Nanti you juga kena belajar bahasa Bangladesh.
Abas                : Eh, kenapa aku pula kena belajar bahasa Bangladesh.
Brahmen        : Iyalah incik, nanti lagi sikit tahun saya punya orang kampung lagi 1.5 juta mau datang sini Malaysia juga. Itu menteri sudah kasi tau. Kita semua kerja kuat-kuat, buat OT banyak-banyak,  kongsi duit semua, boleh beli ini Malaysia lah incik!

Pulp! Bunyi nozel ditendang tanda minyak yang diisi ke dalam tangki kereta sudah berada pada paras penuh. Brahmen menarik keluar nozel berwarna kuning tersebut dan meletakkannya kembali pada tempat diambil. Abas menghulurkan sekeping not seratus ringgit dan Brahmen mengembalikan baki sebanyak dua puluh lima ringgit. Abas menghidupkan enjin keretanya dan terus memecut laju ke destinasi yang dituju. Hatinya berontak, “Ah, pergi mamposlah kena saman speed trap pun!“

Saturday, August 8, 2015

Razali Pergi Dating

Hari itu sungguh indah, seindah pagi yang nyaman dan burung pun turut menyanyi riang, Razali bangun tidur dengan penuh bersemangat. Hari itu, Razali ada fisrt date dengan makwe yang dikenali hasil dari "People Nearby" di dalam Wechat. Cantik paras rupanya, body pun boleh tahan sedap, rambut pun tidak berkaler warna kuning, sejuk mata memandang. Razali sudah berkira-kira, jika pertemuan pertama ini menjadi seperti yang dirancang, Razali mahu menjalinkan hubungan yang serius bersama makwe itu.

Di waktu umur yang meningkat senja, kadang-kadang Razali menjadi down juga bila melepak bersama rakan-rakannya yang lain. Rakan-rakannya sudah banyak yang mendirikan rumahtangga dan paling kurang pun sudah ada makwe dan tunang tetapi Razali masih lagi bergerak secara solo. Tiada makwe.

"Macam mana dengan rupa aku, Faizal ? Sejuk tak mata yang memandang ?" Soal Razali yang berdiri mengadap rakan serumahnya, Faizal.

Faizal yang sedang ralit membaca surat khabar Utusan "UMNO Penyelamat Melayu" hanya memandang Razali atas bawah. Kepalanya digelengkan beberapa kali.

"Baju cantik, seluar kemas tak ada bulu kucing melekat tapi itulah, rambut tu sikat laa sikit. Ni kalau aku yang jadi makwe kau ajak dating tu, aku terajang je kau tanpa rasa ragu-ragu kalau tengok keadaan kau macam ni" Faizal jawab jujur.

"Hmmmm, tu pasal aku tanya kau tu. Kau rasa aku patut sikat rambut belah tepi ke belah tengah ?" Razali bertanya lagi seperti orang dungu.

"Kau sikat je rambut kau macam mana pun, kalau makwe tu suka kat kau, kau tak ada rambut pun tetap dia suka. Tapi aku rasa elok kau sikat rambut belah tepi, nampak jujur sikit" Faizal jawab tenang seperti Dr. Love baru dapat ijazah tak bertauliah.

Minyak rambut dilumur sebati pada tangan. Seperti gaya model dalam iklan anti kelemumur, Razali menlumurkan minyak rambut pada rambutnya. Kemudian rambutnya disikat menjadi belah tepi seperti yang dicadangkan Faizal. Garis belah tepi nampak lurus tiada bengkok-bengkok. Kemas.

"Amacam ? Kau tengok rupa aku sekarang ni ada rasa nak mencintai aku dalam diam tak ?" Razali tersengih-sengih memandang Faizal.

Faizal mengucap panjang.

                                                                                          ***

Razali kucar-kucir berlari-lari anak menuju ke destinasi yang dijanjikan. Sesungguhnya terlambat 30 minit pada pertemuan pertama adalah satu malapetaka bagi sesiapa yang pernah mencari cinta. Dan perkara ini boleh memberikan tanggapan yang buruk terhadap dirinya.

Razali akui, masalah tidak menepati masa bukan dia sahaja yang mengalaminya. Baik dari sektor kerajaan dan swasta, penoreh getah juga kadang-kala banyak mengalami masalah tidak menepati biasa.

"Maaf, saya terlewat. Saya dah keluar rumah awal tadi tapi disebabkan jalan jam teruk, saya terperangkap dalam jam. Ada kemalangan kot, tu pasal jalan jam" Razali berikan penerangan supaya makwe yang baru dikenalinya di dalam Wechat dapat membuang tanggapan yang buruk terhadapnya.

"Tak apalah. Saya dah biasa" Ringkas dan bersahaja respon makwe tersebut.

Terpukul dengan kata-kata makwe itu, Razali terdiam. Memberi masa dan ruang jika makwe berkecil hati adalah langkah yang terbaik. Razali akan ingat pesanan Faizal itu sampai bila-bila.

Masa terus berlalu.

"Jom, saya bawa awak pergi makan Mekdi di Teluk Cempedak ?" Razali cuba membunuh kesunyian.

"Boleh juga. Awak parking kereta dekat mana ?" Makwe tersebut bangun dari tempat duduknya. Punggungnya dikipas-kipas dengan tangan membuang segala daun kering yang melekat pada seluarnya. Terasa penat sejak dari tadi duduk di atas rumput tanpa melakukan apa-apa.

"Eh, saya mana ada kereta. Saya datang ni pun naik bas Rapid je. Saya nak bawa awak pergi Teluk Cempedak ni pun naik bas Rapid je laaa" Razali jawab sambil tersengih.

"Ouhhhh" Makwe tersebut mengangguk hampa.

Selepasa pertemuan pertama itu, makwe tersebut terus block Razali di dalam Wechat.

Tuesday, August 4, 2015

Bercakap Dengan Orang Tua

"Woi Daniel Haikal Mustaqim, mari laaa minum air dulu woi ?!" Pak Hitam menjerit lantang.

Daniel Haikal Mustaqim yang sedang menunggang motor Suzuki Cup-nya kucar-kacir mencari siapa gerangan memanggil namanya. Kepalanya ditoleh ke kiri ke kanan serupa kepala kura-kura baru keluar dari cengkerang.

"Sini woi, sini !"

Di seberang jalan, Daniel Haikal Mustaqim melihat Pak Hitam sedang melepak secara solo. Dari jauh Pak Hitam mengangkat tangan memanggilnya. Dengan senyuman melebar ke telinga, Daniel Haikal Mustaqim menuju ke Pak Hitam.

Pak Hitam dengan kedai makan Janda Maimunah memang berpisah tiada. Boleh dikatakan kedai makan Janda Maimunah ni rumah ketiga Pak Hitam selepas rumahnya yang pertama dan rumah kedua di masjid.

Mengikut cakap-cakap belakang orang Kampung Cekenik, Pak Hitam ni sebenarnya ada menaruh perasaan yang mendalam pada Janda Maimunah tetapi bimbang dikatakan "Orang Tua Biang Keladi", Pak Hitam simpankan sahaja perasaan hendak melamar Janda Maimunah itu dalam hatinya sendiri. Mencintai dalam diam.

"Kau nak pergi mana ni, Daniel Haikal Mustaqim ? Laju semacam je kau tunggang tenggiling tu" Kata Pak Hitam setelah Daniel Haikal Mustaqim duduk semeja dengannya.

"Pergi kait buah sawit laaa, Pak Hitam oii. Tak kan nak pergi main golf pulak" Daniel Haikal Mustaqim cuba bersarkastik. Tangannya diangkat tinggi memanggil Janda Maimunah.

"Nescafe o panas satu, kak" Jerit Daniel Haikal Mustaqim.

Di sebalik rak tempat letak makanan, Janda Maimunah menjengukkan kepalanya. Dianggukkan kepalanya berkali-kali tanda faham setelah menerima order dari Daniel Haikal Mustaqim. Tangannya laju mencapai itu dan ini membuat order.

"Banyak ke buah sawit di ladang kau wahai Daniel Haikal Mustaqim ? Tak nak upah orang kait ke ?" Pak Hitam bertanya secara tiba-tiba.

Daniel Haikal Mustaqim mengambil masa lama untuk menjawab soalan Pak Hitam. Rokok daun kepunyaan Pak Hitam diambil lalu digulung tanpa minta kebenaran daripada tuan rokok. Selesai rokok digulung, diletakkan rokok daun itu ke mulutnya tanpa dicucuh. Nampak macam Jai KL Gangster sikit-sikit.

"Banyak tu tak adalah tapi boleh laa nak buat hidup. Kalau saya upah orang berapa sen sangat saya dapat, Pak Hitam ? Zaman sekarang ni barang semua mahal, taraf hidup dah tinggi. Bukan macam zaman Pak Hitam dulu. Zaman Pak HItam dulu lain, makan ubi kayu pun boleh masuk meminang anak dara orang. Zaman sekarang ni kalau saya tak buat menda kerja saya buat ni, mati saya kebulur. Pak Hitam oii" Daniel Haikal Mustaqim jawab panjang lebar dan kemas.

Pak Hitam menjeling tajam. Dicicip air kopi yang masih lagi berasap ke mulut. Seteguk. Dua teguk.

"Hmmmm. Nampaknya kau ni nak memperkotak-katikkan zaman aku, Daniel Haikal Mustaqim" Pak Hitam jawab pendek. Ada nada tidak puas hati di dalamnya.

"Zaman aku dulu lagi susah dari zaman sekarang ni, Daniel Haikal Mustaqim oii. Zaman aku sebelum merdeka setiap hari aku bangun pagi pergi menentang komunis. Menentang penjajah tu bukan perkara senang. Kalau kena tangkap, kena minum sabun sampai berbuih mulut. Tak bernasib baik, kena bunuh gitu je. Hidup kena tindas dengan penjajah ni penat" Tambah Pak Hitam lagi.

Terasa mula bosan dengan rokok daun yang masih belum dicucuh dan air nescafe-nya yang belum lagi sampai, Daniel Haikal Mustaqim membakar hujung rokok daun-nya. Asap rokok berperisa cengkih ditarik dalam sehingga memenuhi paru-paru.

"Ginilah Pak Hitam. Saya tanya Pak Hitam satu soalan, antara kena ditindas dengan penjajah bangsa asing dan ditindas, ditipu dengan pemimpin bangsa sendiri, mana lagi baran ?" Daniel Haikal Mustaqim mengangkat sebelah keningnya persis Ziana Zain.

"Macam cilaka" Pak Hitam maki.

"Kah kah kah kah kah"

Mereka berdua pun ketawa riang.

Monday, August 3, 2015

Hari Isnin Yang Pundek




Hari ini adalah hari Isnin. Kebiasaannya pada hari Isnin, umat manusia akan dilanda penyakit kemalasan Monday Syndrome. Sindrom ini tidak mengira bangsa, agama, negara, keturunan, jenis darah, saiz cuping telinga, kadar kelebatan bulu dada, bentuk kuku dan sebagainya. Ia mampu menjangkiti sesiapa sahaja baik yang muda atau yang tua namun jauh sekali untuk yang sudah meninggal dunia. Walaubagaimanapun, sindrom ini bukanlah satu penyakit kronik yang sedang dikaji oleh saintis-saintis seluruh dunia.

            Di pejabat-pejabat kerajaan, masalah kelewatan yang mencatatkan kes tertinggi adalah pada hari Isnin. Perkara ini mungkin berkecuali bagi negeri-negeri yang mengamalkan cuti pada hari Jumaat dan Sabtu. Mereka mungkin boleh menggunakan perkataan Sunday Syndrome, namun ia tidaklah sebegtitu popular. Justeru, kupasan yang lebih menarik untuk dibincangkan adalah berkaitan hari Isnin, hari permulaan kita bekerja secara mudahnya.

            Fakrul Ramzi adalah seorang pekerja yang memulakan kerja pada hari Isnin selepas bercuti pada hujung minggu. Beliau bekerja makan gaji sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat pembinaan terunggul di Kuala Lumpur. Memegang jawatan sebagai seorang eksekutif bukanlah sesuatu tugas yang mudah. Banyak tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan kepada Fakrul Ramzi.

            Sebagai seorang manusia biasa yang berbangsa Melayu, Fakrul Ramzi juga tidak lari daripada sindrom hari Isnin. Sehari sebelumnya, Fakrul Ramzi telah keluar dating bersama kekasihnya yang tercinta, Nurul Zulaikha. Mereka menghabiskan waktu seharian bersama dengan aktiviti-aktiviti sosial seperti menonton wayang, membeli-belah, minum air batu campur di tepi tasik dan sebagainya.

            Oleh hal demikian, Fakrul Ramzi merasakan sangat malas untuk memulakan kerja pada pagi Isnin ini. Jiwa dan mindanya masih dikuasai detik-detik indah bersama kekasihnya semalam. Senyuman manis Nurul Zulaikha masih terbayang di mata Fakrul Ramzi, suara manja masih terngiang-ngiang di telinga. Fakrul Ramzi hampir terbabas melanggar pembahagi jalan ketika memandu ke tempat kerja kerana asyik memikirkan tentang peristiwa semalam.

            Sampai sahaja di pejabat, hanya ada 17 saat sahaja untuk Fakrul Ramzi tidak dicas lewat oleh majikannya. Perkara ini sudah biasa baginya pada setiap hari Isnin. Entah mengapa, pada hari lain Fakrul Ramzi akan tiba di antara 5 ke 10 minit lebih awal. Itulah magisnya hari Isnin dalam tamadun umat manusia pada masa kini. Selesai sahaja semuanya, Fakrul Ramzi terus ke biliknya sambil menegur teman-teman yang diselisih dengan ucapan “ Selamat Pagi “ yang agak malas bunyinya.

            Di atas meja Fakrul Ramzi masih banyak kerja yang perlu disiapkan. Ada kerja yang masih tertangguh akibat beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan. Ada juga kerja yang baru sahaja diberi oleh pihak atasan. Dan ada juga kerja yang tidak sepatutnya dibuat olehnya. Namun begitulah lumrah kehidupan, yang diatas akan pijak yang di baawah, yang di bawah akan pijak yang lagi bawah. Siapa yang bawah sekali akan mati dipijak.

            Jam 10 pagi, Fakrul Ramzi perlu menghadiri satu mesyuarat bersama beberapa pegawai atasan. Selepas selesai mesyuarat, dia perlu berjumpa pula dengan seorang client syarikat pada waktu makan tengah hari. Kemudian, Fakrul Ramzi perlu memberikan briefing pula kepada pekerja-pekerja yang di bawah seliaannya berkenaan beberapa projek baharu. Sejam sebelum waktu pulang, dia perlu menyiapkan laporan penuh yang perlu dihantar dengan kadar segera.

            Fakrul Ramzi berasa amat letih pada hari itu. Sudahlah hari Isnin, banyak pula kerja yang perlu diselesaikan. Akibat kesibukan itu, Fakrul Ramzi tidak sempat menghubungi Nurul Zulaikha untuk bertanyakan khabar. Namun, Nurul Zulaikha memahami. Dia bukanlah jenis wanita yang suka merajuk tidak tentu pasal akibat perkara-perkara yang remeh. Nurul Zulaikha seorang wanita yang cool pada pandangan Fakrul Ramzi.

            Dalam perjalanan pulang ke rumah, Fakrul Ramzi singgah di sebuah gerai kuih-muih. Dia membeli beberapa ketul kuih karipap untuk dimakan apabila tiba di rumah nanti. Kata seorang kawan, makan juga mampu mengurangkan stress. Namun, mengambil makanan secara berlebihan juga mampu mendatangkan stress yang teruk. Iya, siapa yang tidak stress jika berat badan naik mendadak seperti seekor kerbau bunting akibat makan terlalu banyak? Siapa ?

            Fakrul Ramzi tiba di rumah dengan selamat. Dia membuka kemeja yang dipakainya kemudian membancuh air kopi segera. Dia membawa bersama kuih karipap yang dibelinya tadi ke balkoni rumah apartmentnya. Angin senja meniup lembut membangkitkat aroma kopi yang sarat dengan kafein itu. Bau karipap juga menusuk segenap deria dan nafsu Fakrul Ramzi. Ah, nikmatnya.

            Fakrul Ramzi menghirup kopi segera dengan mata yang sengaja dipejamkan. Kemudian, dia mengunyah karipap yang dibelinya tadi. Dalam beberapa saat, seketul karipap telah lesap ditelan oleh Fakrul Ramzi. Kemudian, dia menyuap pula karipap yang kedua. Air kopi segera dihirupnya lagi dengan cara yang serupa seperti tadi. Ah, nikmatnya dunia.

            Kemudian, Fakrul Ramzi mengeluarkan sebatang rokok Marlboro dan mencucuhnya. Berkepul-kepul asap dihembuskan ke udara yang kemudiannya ditiup angin senja lalu menipiskan ozon bumi yang semakin menipis. Tiada rasa bersalah di raut wajahnya. Kandungin nikotin dan kafein menjadikan Fakrul Ramzi bagai terkhayal dalam dunia yang penuh dengan angan-angan dan tipu daya muslihat. Juga musibat.

            Ketika rokok sudah hampir separuh dibakar, Fakrul Ramzi mencapai smartphone. Seharian juga dia tidak membuka laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Whatsapp. Kesibukan menghalangnya. Namun Fakrul Ramzi reda, kerja adalah ibadah. Dia telah diamanahkan oleh majikannya untuk melaksanankan ibadah itu.

            Fakrul Ramzi membuka aplikasi Facebook untuk melihat apa yang berlaku pada hari ini. Sebaik sahaja berjaya dibuka, satu link yang dikongsi oleh seorang rakan sekolahnya terpapar pada garis masa. Link itu bertajuk “ Menteri Nyanyi UMNO Budak Baik “. Fakrul Ramzi membuka link tersebut dan menonton video yang berdurasi 34 saat itu. “Gampang! Menyesal aku buka.” Bisik Fakrul Ramzi di dalam hati dan serentak itu dia terus menutup aplikasi Facebook.

            Fakrul Ramzi kemudian membuka pula aplikasi Twitter yang lebih pantas tersebar berita-berita baharu. Dia berharap agar tidak bertemu lagi dengan link video tadi. Sebaik berjaya aplikasi Twitter dibuka, keluar pula satu link yang di retweet oleh seorang pengikutnya, “ @astroawani – RM 2.6 bilion didakwa dalam akaun Najib dari dana penderma, bukan 1 MDB – SPRM bit/ly/10ZugTs.pic.twitter.com/ “. “Babi!” maki Fakrul Ramzi dalam bahasa yang ringkas tapi cukup padat.

            Air kopi yang tadi pahit berlemak sudah tidak sedap, karipap yang tadi lazat sudah masuk angin. Fakrul Ramzi meninggalkan semua itu di balkoni. Dia mencapai tuala dan segera mandi. Selesai sahaja sembahyang maghrib, Fakrul Ramzi membuka Playstation 3 dan bermain permainan FIFA 15 sehinggalah mengantuk. Dia kemudian masuk tidur untuk menunggu hari Selasa mendatang. Selamat tinggal hari Isnin yang pundek.

Surat Terbuka Untuk Datuk Najib

Assalamualaikum Datuk Najib yang kacak, Perdana Menteri Malaysia yang peramah dan berjiwa rakyat, apa kabor ? Saya sebagai pemuda harapan bangsa dan kutu-kutu berwawasan yang lain berharap Datuk Najib selalu berada dalam keadaan sihat dan baik-baik selalu. Semoga Datuk Najib menjaga kesihatan diri supaya terus dapat memimpin negara Malaysia ke arah yang lebih padu dan jitu dan juga dapat merealisasikan Wawasan 2020 yang bakal tiba tidak lama lagi.

Oh ya, sebelum itu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Najib kerana semenjak dua menjak ni nama Datuk Najib sering bermain di laman sosial berikutan isu politik Malaysia yang kucar-kacir. Bermula isu 1MDB, kejatuhan nilai ringgit, rombakan kabinet sekaligus pemecatan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yasin, nama Datuk Najib terus bermain dibibir rakyat. Tahniah sekali lagi saya ucapkan.

Tujuan saya mengutus surat ini bukanlah hendak mempertikaikan isu politik negara kerana saya tahu, saya belum cukup handal untuk bercakap tentang urusan negara. Ketepikan soal politik dan masalah negara yang lain dan mari kita bercakap tentang piramid.

Begini ceritanya,

Mengikut cerita zaman dahulu kala, sesebuah piramid melambangkan kemegahan dan kemasyhuran sebuah negara di tangan seorang pemimpin. Dengan rupanya yang berbentuk tiga segi, batu konkrit menghiasi luaran piramid dan tajam di bucunya, piramid sangat sesuai untuk dijadikan tugu sempena memperingati jasa dan kuasa seorang pemimpin negara.

Ambil contoh ketika zaman kegemilangan Mahathir, beliau sendiri tidak teragak-agak untuk membina Menara KLCC dan bangunan berkembar berbentuk jagung untuk memperingati jasa beliau semasa zaman pemerintahannya. Errrr, Apa Nama.....Apa Nama....Apa Nama bangunan berkembar berbentuk jagung itu saya sudah lupa, Petronas barangkali.

Dan perkara serupa di Johor, TMJ bijak memberi ruang kepada pelabur untuk membina Lego Land dan dengan adanya Lego Land di Johor, sedikit sebanyak ia membantu menaikkan Bangsa Johor di mata dunia.

Datuk Najib, sebagai anak jati negeri Pahang yang mempunyai wawasan, saya mewakili Belia 4B mencadangkan agar Datuk Najib membina satu piramid bersaiz King di Pekan sebagai tanda kemegahan empayar Datuk Najib. Ya, di kampung Datuk Najib sendiri, bukan di Kuala Lumpur ataupun di Tasik Chini. Dan untuk menjadikan ianya lebih rare dan power, sangat elok jika piramid itu dibina di atas Sungai Pahang.

Untuk menjadikan cadangan saya ini menjadi satu kenyataan, saya cadangkan agar Datuk Najib mengambil saya bertindak sebagai incas dalam usaha pembinaan piramid ini. Datuk Najib hanya perlu keluarkan modal dan saya akan melaksanakannya dengan penuh bergaya.

Jika hendak jimatkan kos pembinaan piramid ini, sangat molek jika tenaga kerja diambil dari kalangan budak hipsters berseluar singkat tergantung yang gemar berkeliaran dalam shopping mall, warga Burma yang baru sahaja mendapat kerakyatan Malaysia, budak lepasan SPM, brader sado dan penyanyi AF yang tersingkir awal.

Dengan libasan ekor pari di atas belakang badan mereka, saya dapat rasakan, mereka yang merangkap sebagai tenaga kerja ini akan melakukan kerja mengangkat batu bata sebesar kereta Kancil dengan penuh berdispilin tanpa sebarang rungutan dan cakap-cakap belakang. Yang mana tak dengar cakap, saya akan paksa mereka minum air sabun. Biar mulut mereka berbuih.

Datuk Najib, dengar terbinanya piramid bersaiz King ini, saya yakin ianya mampu menutup mulut-mulut parti pembangkang yang selama ini hendak menjatuhkan kepimpinan Datuk.

Demikianlah serba sedikit cadangan saya itu, saya harap Datuk Najib dapat mempertimbangkan hal ini sebaik mungkin. Xoxo

                                                                                                                                         Dari Saya,
                                                                                                                                    Baharom Bahari

Tuesday, July 28, 2015

Kempimpinan Diktator Seekor Ketua Monyet.

Di dalam sebuah hutan hujan tropika yang tebal, tinggal sekumpulan monyet dengan populasi antara 70 ke 80 ekor. Tidaklah dapat diketahui berapa jumlah monyet yang tepat kerana sukar untuk mengira bilangan monyet-monyet ini dek perangai mereka yang sering terkinja-kinja tidak tentu pasal.

Adapun sekumpulan monyet ini telah sepakat untuk memilih ketua mereka yang bernama Johnny. Johnny adalah anak kepada ketua monyet beberapa puluh tahun yang lalu, Johnson. Dek kerana berasa terhutang budi oleh jasa yang dilakukan oleh bapanya terhadap tamadun monyet, sekumpulan monyet ini melantik Johnny menjadi ketua mereka.

Johnny telah memilih seekor penolong untuk membantu ia melaksanakan tanggungjawab memimpin monyet-monyet yang lain. Penolong Johnny bernama Bernard yang kadangkala lembam juga dalam melaksanakan tugas. Walaubagaimanapun, kumpulan monyet ini tetap hidup dalam suasana muhibbah di dalam hutan ini.

Pada suatu hari, Johnny telah keluar ke kawasan kumpulan monyet yang lain untuk melawat tapak pembinaan sarang monyet yang dikatakan sangat strategik untuk membina suatu penempatan baharu. Johnny ditemani oleh pasangannya, Rosemary dan Loews, seekor pakar rundingan. Pemergian mereka ini bagaimanapun tidaklah diketahui oleh Bernard.

Johnny sangat berpuas hati dengan lawatan tersebut. Ia berminat untuk menjadikan tapak lawatannya itu sebagai kawasan baharu bagi penempatan baharu buat kumpulan monyet yang dipimpinnya. Johnny meminta Loews berunding dengan pemilik tanah kawasan tersebut, Franklin yang juga merupakan ketua kepada kumpulan monyet yang lain. Mereka berbincang selama beberapa hari dengan urusan secara sulit.

Akhirnya, persetujuan telah diperolehi. Franklin meminta Johnny membayar kawasan tersebut dengan harga sebanyak 300 tandan pisang emas. Johnny bersetuju untuk membayarnya dalam tempoh 14 bulan dan sekiranya gagal berbuat demikian, kebun-kebun pisang milik kumpulannya akan dirampas. Rosemary pula mencadangkan agar Johnny memberitahu kumpulan monyet yang dipimpinnya bahawa harga kawasan tersebut bernilai 400 tandan pisang emas. Johnny mengangguk.

Setelah beberapa hari berurusan, Bernard mula mengesaki ada sesuatu yang tidak kena setelah melihat hasil pisang emas semakin susut namun tiada pulangan yang setimpal. Bernard melantik monyet kanannya, Kelvin untuk menyiasat perkara ini. Kelvin adalah monyet yang sangat licik dalam hal membongkar rahsia monyet lain.

Setelah beberapa minit sahaja menyiasat, Kelvin berjaya membongkar rahsia sulit tersebut apabila melihat Loews sedang bersuka-ria dengan beberapa ekor monyet betina jalang. Di sekeliling Loews terdapat banyak kulit pisang emas yang berteraburan. Kelvin juga menyamar menjadi monyet betina jalang untuk mendengar perbualan Loews dengan Franklin. Maka bergegaslah Kelvin pulang untuk menyampaikan berita itu kepada Bernard.

Bernard menjadi sangat berang dengan hal tersebut. Ia terus memanggil monyet-monyet yang lain untuk mengadakan perhimpunan tergempar. Ketika itu, Johnny dan Rosemary sedang bercuti di sebuah kebun pisang montel yang terletak kira-kira 30 kilometer dari kawasan penempatan mereka. Maka berkumpullah monyet-monyet yang sedang sibuk menguruskan kebun pisang mereka untuk mendengar ucapan Bernard.

Bernard berdiri di atas sebatang dahan pohon tualang dan memberikan ucapannya. Bernard memberitahu monyet-monyet lain supaya menghentikan sebarang aktiviti berkaitan pisang emas. Bernard meminta agar monyet-monyet lain terus memberikan sokongan terhadap Johnny dan mengesyaki bahawa Loews dan Rosemary telah menipu Johnny berkenaan harga kawasan penempatan baharu mereka.

Adapun selepas pulang dari percutiannya, Johnny mengetahui akan hal ini selepas diberitahu oleh seekor monyet yang merupakan perisik rahsianya. Oleh kerana ia adalah perisik rahsia, maka nama monyet ini akan dirahsiakan juga. Jika tidak, bukanlah perisik rahsia namanya sekiranya namanya didedahkan kepada netizen.

Oleh kerana rasa tidak puas hati terhadap Bernard, Johnny telah melakukan kejutan dengan membuat rombakan besar-besaran terhadap tampuk pimpinan kumpulan monyet itu. Kelantangan Bernard akhirnya hanya membawa padah, apabila jawatannya selaku penolong ketua monyet dilucutkan dan diberikan kepada Zealand, bekas monyet tali barut yang acah-acah samseng.

Bernard amat terkejut dengan keputusan Johnny itu. Ia tidak menuduh Johnny menyonglap hasil pisang emas, sebaliknya Bernard mahu agar ketelusan dalam proses jual beli kawasan penempatan baharu yang diuruskan Loews. Namun Johnny tetap berkeras dan menunjukkan penguasaan diktatornya. Di sebalik tirai daun pelepah pisang, Rosemary hanya tersenyum nipis melihat reaksi kecewa Bernard yang dilucutkan jawatan.

Loews pula menghilangkan diri, namun ada maklumat mengatakan yang ia sedang berpeleseran dengan beberapa monyet betina jalang berketurunan Israel di hutan yang lain. Khabarnya, Loews membawa beratus-ratus tandan pisang emas yang dibeli dengan harga murah daripada monyet-monyet etniknya sendiri. Johnny pula merasakan yang dirinya telah berjaya melakukan suatu tindakan yang tepat untuk melantik Zealand sebagai penolong baharu. Zealand tersenyum dan mengenyit mata kepada Rosemary.

Maka dengan perlucutan jawatannya, Bernard pun mengambil keputusan untuk berhijrah ke tempat lain. Ia turut membawa ahli keluarganya dan 4 ekor pengikutnya yang setia termasuk Kelvin. Mereka membina tamadun baharu di tebing sebatang sungai yang airnya mengalir sendu. Sesendu hati Bernard yang amat terluka. 

Loews menghubungi Rosemary selepas mengetahui hal perlucutan jawatan Bernard.  "Hoi, Rosemary. Marilah datang ke tempat aku di Hutan Vegas ni, banyak barang hiasan mewah yang kau boleh beli. Jangan lupa ajak Zealand sekali. Ok, bye. "

Keesokannya, Johnny mendapat surat jemputan dari ketua pemerintah monyet Vegas untuk menghadiri majlis harijadinya. Ia pun berangkat ke sana membawa bersama Rosemary dan Zealand.


"Kau tulis apa dalam surat tu, Zealand?" tanya Rosemary kepada Zealand . "Aku tulis jemputan ke majlis hari jadi untuk ketua, isteri dan penolong," Zealand menjawab. "Kah! Kah! Kah! Kah! Kah! Kah! Kah!" mereka berdua gelak bersama-sama.

Friday, July 24, 2015

Sahak Bukan Superman

Di ruang tamu, Sahak khusyuk menaip di komputer ribanya, jarinya lincah seolah-olah orang sedang asyik menari-nari di atas butang huruf dan nombor. Penat jarinya menaip, Sahak berhenti sejenak mengambil nafas dengan membakar sebatang nikotin sekaligus memberi ruang kepada otaknya untuk terus mencari idea.

Minatnya Sahak terhadap penulisan memang tidak dapat dinafikan oleh kawan-kawannya. Beri saja pen dan kertas jika tiada komputer riba, pasti kertas itu akan dipenuhi dengan lukisan orang lidi dan ayat-ayat falsafah yang entah dari mana Sahak petik. Dan menurut dari sumber yang boleh dipercayai, Sahak pernah mengatakan "Aku rela ke penjara asalkan ada pen dan kertas bersama aku dan yang paling penting sekali, aku boleh keluar masuk penjara bila masa aku suka".

Akan tetapi, sudah menjadi lumrah manusia. Ada baik ada buruknya, ada kacak ada hodohnya, begitu jugalah dengan Sahak. Walaupun penulisan Sahak agak bagus dan agak "deep", Sahak tidak pernah walaupun sekali menghantar karya-karya miliknya ke pihak terbitan buku. Sahak tidak yakin dengan karya-karya yang ditulisnya.

"Sampai bila kau nak menulis untuk diri sendiri, Sahak ?" Mahadi, rakan serumahnya menegur.

Sahak yang asyik menghembus asap rokok berbentuk O terkesima mendengar pertanyaan rakan karibnya. Soalan yang berupa satu pertikaian terhadap sesuatu keputusan.

"Kau jangan salah faham. Maksud aku, bila kau nak hantar karya-karya milik kau ni ke syarikat penerbitan buku ? Bagi orang baca karya kau ? Aku tengok penulisan kau ni boleh pergi jauh ni" Mahadi bersuara lagi, menjelaskan niatnya yang sebenar.

Sahak menarik nafas. Dalam. Lama masa yang diambil untuk menjawab soalan Mahadi.

"Hmmmmm, aku tak yakin dengan penulisan aku" Sahak jawab pendek. Puntung rokok ditenyeh ke bekas abu rokok.

"Apa yang kau tak yakin ? Tatabahasa ? Ayat tak lengkap, berterabur ? Aku baca tengok ok je, tak ada masalah pun"

"Bukan pasal tu. Masalahnya sekarang ni, kat luar sana lagi ramai penulis yang lebih bagus dan power dari aku. Setakat karya aku ni apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan dia orang. Lagi pun aku rasa, aku lebih selesa menulis di blog. Sesiapa pun boleh membaca. Percuma"

"Itulah masalah orang kita ni, belum buat lagi dah rasa down. Kau kena tahu ni, Sahak. Menulis ni macam berniaga juga, penulis atau peniaga mesti kena ada perasaan optimis, kena berani main dengan risiko. Aku tengok ramai je penulis luar sana terlebih syok sendiri, perasan karya bagus tapi tak adalah bagus sangat sebenarnya. Kalau dia orang ada perasaan itu, kau pun patut kena ada perasaan tu. Baru adil. Lagipun kau belum cuba hantar harya kau, mana kau tahu orang tak boleh terima ?" Mahadi berikan pendapat.

"Kita ni dijadikan Tuhan dengan rasa dan perasaan yang berbeza-beza. Tak semua orang suka membaca di blog atau mana-mana laman sosial. Ada sesetengah orang, mereka lebih gemar membaca buku, bau kertas buku tu sendiri kadangkala boleh mengkhayalkan pembaca. Boleh membawa pembaca menghayati setiap ayat yang ditulis penulis" Mahadi sambung lagi.

Sahak terdiam. Sesungguhnya Sahak terkejut dengan pendapat yang diberikan oleh Mahadi, tidak pernah Sahak menyangka yang Mahadi mampu memberikan pendapat yang membina padahal Mahadi bukanlah seorang yang gemar membaca. Hanya kerja bengkel besi dan membaca pula mengikut statik rakyat Malaysia-baca buku bawah 12 buah dalam masa setahun.

"Aku bimbang penulisan aku ni dibayangi penulis-penulis tersohor je, Mahadi. Aku bimbang orang tuduh aku tak ada trademark sendiri dan tiru gaya penulisan orang lain. Benda ni pun kena pandang serius juga, pembaca sekarang bukan bodoh" Sahak meluahkan apa yang terbuku di hati. Wajah Mahadi yang dipenuhi dengan jerawat batu ditenung dalam.

Mahadi senyum. Nyalakan sebatang rokok. Bersembang tanpa ditemani bau nikotin memang menjerutkan perasaan. Mudah mati idea untuk terus bersembang rancak.

"Soal gaya penulisan tu kau tolak je tepi. Kalau dah gaya penulisan kau macam tu, siapa lagi mampu untuk menafikannya ?" Muncung mulut Mahadi hembus asap rokok.

Sahak mengangguk memikirkan ada benarnya kata-kata Mahadi. Seperti Indiana Jones yang baru berjaya mengalahkan musuh dengan libasan cemeti, semangat untuk Sahak terus menulis dan menghantar karyanya ke pihak penerbitan berkobar-kobar bagai api sukan Olimpik. Marak menyala.

"Terima kasih kerana terus bersama aku, Mahadi. Semoga kau terus aman di sana dan selalu dibawah lindungan Tuhan" Sahak bercakap dalam hati sebelum menuju ke bilik air, mengambil wuduk, menunaikan solat sunat dan panjatkan doa agar roh Mahadi dicucuri rahmat.