Hari ini adalah
hari Isnin. Kebiasaannya pada hari Isnin, umat manusia akan dilanda penyakit
kemalasan Monday Syndrome. Sindrom
ini tidak mengira bangsa, agama, negara, keturunan, jenis darah, saiz cuping
telinga, kadar kelebatan bulu dada, bentuk kuku dan sebagainya. Ia mampu
menjangkiti sesiapa sahaja baik yang muda atau yang tua namun jauh sekali untuk
yang sudah meninggal dunia. Walaubagaimanapun, sindrom ini bukanlah satu
penyakit kronik yang sedang dikaji oleh saintis-saintis seluruh dunia.
Di pejabat-pejabat kerajaan, masalah
kelewatan yang mencatatkan kes tertinggi adalah pada hari Isnin. Perkara ini
mungkin berkecuali bagi negeri-negeri yang mengamalkan cuti pada hari Jumaat
dan Sabtu. Mereka mungkin boleh menggunakan perkataan Sunday Syndrome, namun ia tidaklah sebegtitu popular. Justeru,
kupasan yang lebih menarik untuk dibincangkan adalah berkaitan hari Isnin, hari
permulaan kita bekerja secara mudahnya.
Fakrul Ramzi adalah seorang pekerja
yang memulakan kerja pada hari Isnin selepas bercuti pada hujung minggu. Beliau
bekerja makan gaji sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat pembinaan
terunggul di Kuala Lumpur. Memegang jawatan sebagai seorang eksekutif bukanlah
sesuatu tugas yang mudah. Banyak tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan
kepada Fakrul Ramzi.
Sebagai seorang manusia biasa yang
berbangsa Melayu, Fakrul Ramzi juga tidak lari daripada sindrom hari Isnin.
Sehari sebelumnya, Fakrul Ramzi telah keluar dating bersama kekasihnya yang tercinta, Nurul Zulaikha. Mereka
menghabiskan waktu seharian bersama dengan aktiviti-aktiviti sosial seperti
menonton wayang, membeli-belah, minum air batu campur di tepi tasik dan
sebagainya.
Oleh hal demikian, Fakrul Ramzi
merasakan sangat malas untuk memulakan kerja pada pagi Isnin ini. Jiwa dan
mindanya masih dikuasai detik-detik indah bersama kekasihnya semalam. Senyuman
manis Nurul Zulaikha masih terbayang di mata Fakrul Ramzi, suara manja masih
terngiang-ngiang di telinga. Fakrul Ramzi hampir terbabas melanggar pembahagi
jalan ketika memandu ke tempat kerja kerana asyik memikirkan tentang peristiwa
semalam.
Sampai sahaja di pejabat, hanya ada
17 saat sahaja untuk Fakrul Ramzi tidak dicas lewat oleh majikannya. Perkara
ini sudah biasa baginya pada setiap hari Isnin. Entah mengapa, pada hari lain
Fakrul Ramzi akan tiba di antara 5 ke 10 minit lebih awal. Itulah magisnya hari
Isnin dalam tamadun umat manusia pada masa kini. Selesai sahaja semuanya,
Fakrul Ramzi terus ke biliknya sambil menegur teman-teman yang diselisih dengan
ucapan “ Selamat Pagi “ yang agak malas bunyinya.
Di atas meja Fakrul Ramzi masih
banyak kerja yang perlu disiapkan. Ada kerja yang masih tertangguh akibat
beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan. Ada juga kerja yang baru sahaja
diberi oleh pihak atasan. Dan ada juga kerja yang tidak sepatutnya dibuat
olehnya. Namun begitulah lumrah kehidupan, yang diatas akan pijak yang di
baawah, yang di bawah akan pijak yang lagi bawah. Siapa yang bawah sekali akan
mati dipijak.
Jam 10 pagi, Fakrul Ramzi perlu
menghadiri satu mesyuarat bersama beberapa pegawai atasan. Selepas selesai
mesyuarat, dia perlu berjumpa pula dengan seorang client syarikat pada waktu makan tengah hari. Kemudian, Fakrul
Ramzi perlu memberikan briefing pula
kepada pekerja-pekerja yang di bawah seliaannya berkenaan beberapa projek
baharu. Sejam sebelum waktu pulang, dia perlu menyiapkan laporan penuh yang
perlu dihantar dengan kadar segera.
Fakrul Ramzi berasa amat letih pada
hari itu. Sudahlah hari Isnin, banyak pula kerja yang perlu diselesaikan.
Akibat kesibukan itu, Fakrul Ramzi tidak sempat menghubungi Nurul Zulaikha
untuk bertanyakan khabar. Namun, Nurul Zulaikha memahami. Dia bukanlah jenis
wanita yang suka merajuk tidak tentu pasal akibat perkara-perkara yang remeh.
Nurul Zulaikha seorang wanita yang cool pada
pandangan Fakrul Ramzi.
Dalam perjalanan pulang ke rumah,
Fakrul Ramzi singgah di sebuah gerai kuih-muih. Dia membeli beberapa ketul kuih
karipap untuk dimakan apabila tiba di rumah nanti. Kata seorang kawan, makan
juga mampu mengurangkan stress. Namun, mengambil makanan secara berlebihan juga
mampu mendatangkan stress yang teruk. Iya, siapa yang tidak stress jika berat
badan naik mendadak seperti seekor kerbau bunting akibat makan terlalu banyak?
Siapa ?
Fakrul Ramzi tiba di rumah dengan
selamat. Dia membuka kemeja yang dipakainya kemudian membancuh air kopi segera.
Dia membawa bersama kuih karipap yang dibelinya tadi ke balkoni rumah
apartmentnya. Angin senja meniup lembut membangkitkat aroma kopi yang sarat
dengan kafein itu. Bau karipap juga menusuk segenap deria dan nafsu Fakrul
Ramzi. Ah, nikmatnya.
Fakrul Ramzi menghirup kopi segera
dengan mata yang sengaja dipejamkan. Kemudian, dia mengunyah karipap yang
dibelinya tadi. Dalam beberapa saat, seketul karipap telah lesap ditelan oleh
Fakrul Ramzi. Kemudian, dia menyuap pula karipap yang kedua. Air kopi segera
dihirupnya lagi dengan cara yang serupa seperti tadi. Ah, nikmatnya dunia.
Kemudian, Fakrul Ramzi mengeluarkan
sebatang rokok Marlboro dan mencucuhnya. Berkepul-kepul asap dihembuskan ke
udara yang kemudiannya ditiup angin senja lalu menipiskan ozon bumi yang
semakin menipis. Tiada rasa bersalah di raut wajahnya. Kandungin nikotin dan
kafein menjadikan Fakrul Ramzi bagai terkhayal dalam dunia yang penuh dengan
angan-angan dan tipu daya muslihat. Juga musibat.
Ketika rokok sudah hampir separuh
dibakar, Fakrul Ramzi mencapai smartphone.
Seharian juga dia tidak membuka laman-laman sosial seperti Facebook,
Twitter dan Whatsapp. Kesibukan menghalangnya. Namun Fakrul Ramzi reda, kerja
adalah ibadah. Dia telah diamanahkan oleh majikannya untuk melaksanankan ibadah
itu.
Fakrul Ramzi membuka aplikasi
Facebook untuk melihat apa yang berlaku pada hari ini. Sebaik sahaja berjaya
dibuka, satu link yang dikongsi oleh
seorang rakan sekolahnya terpapar pada garis masa. Link itu bertajuk “ Menteri Nyanyi UMNO Budak Baik “. Fakrul Ramzi
membuka link tersebut dan menonton
video yang berdurasi 34 saat itu. “Gampang! Menyesal aku buka.” Bisik Fakrul
Ramzi di dalam hati dan serentak itu dia terus menutup aplikasi Facebook.
Fakrul Ramzi kemudian membuka pula
aplikasi Twitter yang lebih pantas tersebar berita-berita baharu. Dia berharap
agar tidak bertemu lagi dengan link video tadi. Sebaik berjaya aplikasi Twitter
dibuka, keluar pula satu link yang di
retweet oleh seorang pengikutnya, “
@astroawani – RM 2.6 bilion didakwa dalam akaun Najib dari dana penderma, bukan
1 MDB – SPRM bit/ly/10ZugTs.pic.twitter.com/ “. “Babi!” maki Fakrul Ramzi dalam
bahasa yang ringkas tapi cukup padat.
Air kopi yang tadi pahit berlemak
sudah tidak sedap, karipap yang tadi lazat sudah masuk angin. Fakrul Ramzi
meninggalkan semua itu di balkoni. Dia mencapai tuala dan segera mandi. Selesai
sahaja sembahyang maghrib, Fakrul Ramzi membuka Playstation 3 dan bermain
permainan FIFA 15 sehinggalah mengantuk. Dia kemudian masuk tidur untuk
menunggu hari Selasa mendatang. Selamat tinggal hari Isnin yang pundek.
No comments:
Post a Comment