"Kita akan memberikan yang terbaik pada rakyat. Di kampung yang mundur, kerajaan akan bina satu klinik yang cukup lengkap peralatan untuk kegunaan penduduk kampung tanpa perlu lagi pergi ke bandar. Di sekolah, kerajaan akan memberikan kelengkapan dan keselesaan pada murid-murid, pelajar dan tenaga pengajar. Dan untuk anak muda pula, kerajaan akan membina satu padang futsal untuk anak muda melakukan aktiviti sukan supaya lebih ramai pemuda harapan bangsa menjadi lebih kompetitif. Semua ini untuk rakyat !"
Timbalan Perdana Menteri melaung garang menerangkan manifesto yang dijanjikan kerajaan di atas pentas. Penduduk kampung, penyokong parti berlambangkan Tukul dan Bintang mengangguk kepala tersenyum lebar mendengar manifesto yang diucapkan itu. Masing-masing berbisik sesama sendiri mengenangkan jika manifesto itu menjadi kenyataan.
Dan di pihak pembangkang yang menghadiri kempen parti berlambangkan Tukul dan Bintang itu pula hanya mencebik muka. Jika dihitung manifesto ini sudah banyak kali diucapkan ahli kerajaan namun ianya tetap sekadar manifesto janji-janji Melayu. Kata ahli politik pembangkang, pihak kerajaan hanya menabur kata-kata manis pada orang kampung, hanya sekadar meraih undi, dan bila memenangi pilihanraya, janji-janji itu akan menghilang bersama bayang-bayang wakil rakyat.
"Pihak kerajaan juga akan selalu bekerjasama bersama pihak polis dan akan telus memerangi rasuah di kalangan pemimpin. Tiada diskriminasi di antara orang atas dan bawah kerana apa yang kami lakukan, kerajaan lakukan, semua adalah untuk rakyat. Kami bekerja untuk rakyat ! Rakyat adalah bos !" Laung Timbalan Perdana Menteri lagi "Kami, kerajaan bukan hanya menjual omong-omong kosong ! Berdirinya kami semua di sini, di atas pentas ini adalah untuk anda semua ! Masa depan negara anda tentukan !"
Berapa VVIP dan wakil rakyat yang duduk di atas kerusi, di belakang Timbalan Perdana Menteri yang sedang melaungkan kata-kata semangat untuk meraih undi, mengangguk sesama sendiri. Berpuas hati dengan ucapan Timbalan Perdana Menteri.
"Ah sudahlah ! Sudah bertahun-tahun kami dengar janji-janji kosong itu tapi sampai sekarang tidak menampakkan apa-apa hasil !!"
Satu suara menjerit lantang. Lebih lantang daripada suara Timbalan Perdana Menteri yang berdiri di atas pentas. Akibat suaranya lantang dan jelas, kesemua mata yang berada di situ memandang ke arah sekumpulan pemuda yang tidak jauh di belakang. Mungkin dalam 30 orang dalam kumpulan itu.
Keadaan menjadi tegang dan panas bilamana anggota polis dan penyokong parti Tukul dan Bintang menghalang kumpulan itu dari terus menghampiri orang ramai di bawah pentas. Sekelip mata, keadaan yang tadinya aman, hanya suara Timbalan Perdana Menteri yang memecah memasuki gegendang rakyat, kini bertukar menjadi kacau-bilau.
Melihatkan keadaan yang haru-biru itu, anggota polis dan pengawal keselamatan peribadi lantas memberi perlindungan kepada Timbalan Perdana Menteri dan beberapa orang penting. Beberapa orang pemuda dari kumpulan itu yang berjaya meloloskan diri dari kepungan anggota polis dan penyokong parti, merabat naik ke atas pentas.
Bam Bam Bam Bam !!
Tidak sempat Timbalan Perdana Menteri bersama orang-orangnya turun dari pentas, bunyi tembakan mencelah di dalam kekacauan itu. Keadaan menjadi senyap seperti Malaikat melintas. Semua yang berada di situ, di bawah pentas dan di atas pantas, baik penyokong parti dan kumpulan pemuda, mencari-cari apa sebenarnya yang terjadi. Siapa yang melepaskan tembakan dan mengapa ?
"Telefon ambulans ! Ambulans !!" Salah seorang pengawal keselamatan peribadi yang memberi perlindungan kepada Timbalan Perdana Menteri menjerit lantang.
Orang ramai yang masih terkejut dengan bunyi tembakan, memandang ke arah pengawal keselamatan peribadi itu. Di lantai, sekujur tubuh terlentang. Merah darah mengalir dari tubuh itu dan pengawal keselamatan peribadi itu cuba menekan luka dari tubuh itu untuk menghentikan pendarahan.
"Tuan Timbalan !" Wakil rakyat berseru kuat. Terus diterpa tubuh kaku itu dan digoncangnya berkali-kali.
Tidak sanggup mengeluarkan suara, dengan wajah yang dipenuhi sesalan kerana gagal memberikan perlindungan terbaik, pengawal keselamatan peribadi yang berada di sisi Timbalan Perdana Menteri hanya menggelengkan kepalanya beberapa kali memberikan isyarat kepada wakil rakyat yang nadi Timbalan Perdana Menteri sudah terhenti. Sudah mati.
Wakil rakyat yang melihat akan gelengan kepala itu, memahami keadaan yang terjadi kepada Timbalan Perdana Menteri, hanya mampu meraung tangis yang panjang.
***
Di dalam pejabatnya, Perdana Menteri sedang bermesyuarat bersama kroni-kroni seangkatan dengannya. Masing-masing melahirkan rasa tidak berpuas hati kepada Timbalan Perdana Menteri yang tidak sekufu dengan mereka. Bagi mereka, para menteri, mereka menyifatkan Timbalan Perdana Menteri adalah seorang bodoh kerana memperjuangkan hak rakyat. Mana mungkin seorang menteri bekerja untuk rakyat, padahal sepatutnya rakyat yang bekerah tenaga dan ahli menteri yang menikmati hasil.
Masing-masing bimbang akan dengan kedudukan dan jawatan masing-masing kerana jika mereka tidak memusnahkan Timbalan Perdana Menteri pada masa sekarang, pasti dirinya akan menjadi batu penghalang untuk mereka di kemudian hari. Ini kerana Timbalan Perdana Menteri adalah seorang yang telus dan berani melawan bahaya menghadapi segala kemungkinan.
"Tuan Menteri, pada pendapat saya, seeloknya kita hapuskan Timbalan Perdana Menteri. Ini kerana jika parti ini melucutkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri, pasti nanti akan menimbulkan masalah kepada kita dan parti kita. Timbalan Perdana Menteri banyak tahu rahsia parti kita dan jika kita membiarkan dia hidup, melucutkan jawatannya, saya pasti dia akan membongkarkan satu persatu rahsia parti kita dan rakyat akan kehilangan kepercaya kepada kita dan jentera parti. Dan kedudukan kita pasti terjejas" Salah seorang menteri memberi cadangan.
Enam pasang mata yang berada di dalam bilik itu mengangguk setuju. Namun Perdana Menteri yang duduk hujung meja hanya mendiamkan diri, memutar-mutarkan pen ditangannya berkali-kali berfikir panjang.
"Saya setuju cadangan itu, Tuan Presiden. Saya bimbang jika Timbalan Perdana Menteri menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti, dia akan mengeluarkan fail-fail lama yang berkaitan dengan kita semua. Apa yang saya tahu, Timbalan Perdana Menteri itu seorang yang telus demi rakyat. Lagipun apa yang satu, dia bukan dari kalangan kita, dia orang mantan Perdana Menteri" Menteri di sebelah Perdana Menteri menyokong cadangan rakan seangkatan dengannya.
"Kerja gila ! Siapa nak melakukannya ?" Bentak salah seorang menteri.
Keadaan menjadi tegang apabila Perdana Menteri tidak memberikan jawapan. Hanya mendiamkan diri, memutar-mutar pen di tangannya. Masing-masing ada pendiriannya, ada yang bersetuju dengan cadangan itu dan ada pula yang membantah cadangan itu, tidak berani menanggung risiko untuk mengambil nyawa diberikan Tuhan.
"Baiklah. Kau, telefon 'Mafia Hukum'" Perdana Menteri menunding jarinya kepada menteri di hujung meja "Beritahu 'Mafia Hukum' Timbalan Perdana Menteri akan berkempen untuk parti di Kampung Selamat, 12/04/2032, jam 8.30 malam"
Perdana Menteri diam sejenak sebelum menyambung "Beritahu 'Mafia Hukum', wujudkan satu kumpulan 'pembangkang' dan penembak, suruh kumpulan 'pembangkang' itu membuat kacau semasa Timbalan Perdana Menteri sedang berucap dan bila keadaan menjadi kacau-bilau, itulah masa yang sesuai untuk mencabut nyawanya"
"Tapi macam mana pula dengan kumpulan 'pembakang' jika mereka ditangkap polis ?" Menteri yang tidak bersetuju dengan cadangan itu mengemukakan soalan.
"Itu hal mudah, kawan. Ketua polis bersama kita dan tiada bukti kumpulan 'pembangkang' yang melepaskan tembakan" Perdana Menteri jawab ringkas. Pen di tangan diputar-putar di celah-celah jari.
Tuesday, December 1, 2015
Saturday, November 21, 2015
Aiskrim Itu
Di persisiran pantai, angin menyapa lembut di wajah Sukri. Rambutnya yang agak panjang berikal, terhuyung-hayang disapa mesra angin. Deruan ombak menghempas gigi pantai dan dingin aiskrim di tangannya menyedarkan Sukri dari terus mengelamun jauh menanti belahan hati yang masih lagi tidak tiba.
Di pantai itu, Faezah, belahan hati Sukri menyuruhnya datang ke situ - tempat di mana mereka berjumpa untuk kali pertama. Kata Faezah sebentar tadi, di dalam telefon, ada perkara yang perlu mereka bincangkan. Fikir Sukri, mungkin Faezah merindui dirinya sebagaimana dirinya merindui Faezah.
Sukri tiba lebih awal di pantai itu seperti dijanjikan. Bersama aiskrim Sundea Mcd untuk Faezah. Sukri tahu, masih segar di dalam ingatannya saat pertama kali di pantai ini, Faezah mengaku yang dirinya seorang pecinta aiskrim Sundea Mcd.
24 minit menanti, Sukri membunuh waktu dengan mengimbau kenangan lalu. Kenangan yang pertama kali bertemu Faezah sehingga ke akhir-akhir ini. Akhir-akhir ini sepertinya Faezah selalu mengelak jika diajak berjumpa, mesej tidak dibalas, panggilan tidak dijawab. Bagai orang perlarian diburu pihak berkuasa gayanya.
"Maaf lambat"
Suara itu mengejutkan Sukri dari lamunan. Sukri menoleh ke belakang, melihat Faezah dengan wajah tidak ceria. Tiada senyuman di bibir seperti mana ketika mereka bertemu dahulu. Wajahnya serius.
"Aiskrim Sundea ?" Kata Sukri sambil menghulur cawan plastik berisi aiskrim Sundea perisa strawberi.
"Tak apa. Sekejap je ni" 5 perkataan dibalas Faezah. 5 perkatan yang mampu membuatkan hati kecil Sukri dirodok-rodok sembilu.
"Apa yang penting sangat sampai tak boleh duduk, makan aiskrim dengan saya ?" Sukri bertanya. Nada suara dikawal sebaik mungkin. Tidak mahu meninggi suara atau sebenarnya merajuk pelawaannya ditolak Faezah.
"Saya rasa kita patut berpisah"
Bagai halilintar membunuh Syaitan, bagaikan kereta hancur yang terlibat dalam kemalangan maut, bagaikan cermin berkecai musnah dihentak ke lantai hati Sukri ketika itu. Terdiam tidak terkata. Mati kata.
Tanpa sedikit pun perasaan bersalah terpancar di wajah, dengan nada tegas, Sukri terfikir bagaimana Faezah mendapat kekuatan untuk mengungkapkan kalimah keramat sekaligus mampu meretak hati tidak tersisa itu. Berpisah.
Berbeza dengan Faezah yang dahulu, ketika mula-mula bertemu, Faezah yang kini berdiri di hadapannya seolah-seolah mendapat kekuatan dan semangat entah dari mana datangnya. Sepertinya bukan Faezah yang dahulu.
"Saya tak faham" Sukri berkata lembut. Keliru.
"Saya tak boleh nak teruskan hubungan dengan awak" Balas Faezah. Matanya memandang ke arah pantai "Awak tak pernah nak berubah. 3 tahun kita kenal tapi awak masih lagi dengan hidup macam ni. Langsung tak ada perubahan. Serius, saya tak nampak hala tuju hubungan kita kalau kita teruskan"
"Maksud awak, saya tak pernah serius ?"
"Bukan tak serius. Masalahnya awak langsung tak nak cuba memperbaiki kehidupan awak menjadi lebih baik" Balas Faezah "Saya orang perempuan bukan gilakan harta tapi kalau boleh saya inginkan kehidupan yang selesa. Cuba awak terangkan, dengan gaji awak sebagai pekerja kilang, dengan motor Yanaha Sukan awak, macam mana awak nak menyara kehidupan kita bila sudah berkahwin. Ok, jangankan sudah kahwin, nak masuk meminang saya pun, saya rasa 3 4 kali juga awak berfikir. Dalam mana hubungan, kasih sayang memang perlu tapi perlu juga diselarikan dengan duit. Kasih sayang tak mampu beli beras tau, awak"
"Awak janganlah berkecil hati. Berpisah kita bukan terus bermasam muka, tidak bertegur sapa, kita masih boleh berhubung seperti biasa. Awak anggap ini pengajaran untuk awak majukan diri, kuatkan hati. Bila tibanya saat itu, awak dah selesa, saya pasti ada untuk awak" Tambah Faezah lagi.
Tidak terbalas Sukri dengan hujah-hujah yang dilafazkan Faezah. Oksigen yang ditarik masuk ke dalam paru-paru terasa berat, seberat untuknya menerima tamparan dan hakikat yang baru didengari dari mulut Faezah sendiri.
Aiskrim Sundea ditangannya tidak lagi terasa sejuk seperti tadi.
"Awak jaga diri. Awak doakan semoga kita bertemu lagi" Ujar Faezah berlalu pergi.
Dengan berat hati, nafas sesak menyelubungi diri, Sukri hanya mampu membiarkan Faezah yang kini mula memegang status bekas belahan hatinya mengatur langkah pergi.
Dihujung pandangan, Faezah masuk ke dalam kereta Audi TT sebelum berlalu pergi tanpa menoleh ke belakang lagi.
Doakan semoga kita bertemu lagi. Terngiang-ngiang kata-kata itu di telinga Sukri. Setiap pertemuan ada perpisahan adalah sesuatu yang pasti dan setiap perpisahan pasti bertemu kembali adalah sesuatu yang jarang terjadi. Dan perpisahan itu selalunya berakhir tanpa kerelaan hati.
Obama
Semalam saya jumpa dengan Obama. Sudah lama saya tak
berjumpa dengannya. Obama masih sama seperti dahulu, saat pertama kali saya
berjumpa dengannya. Saya sangat gembira dapat bertemu kembali dengan Obama.
Saya bawa Obama ke
sebuah kedai mamak dan duduk di meja yang paling hujung di bahagian kaki lima
bangunan. Memang sudah kebiasaan, saya akan duduk di situ setiap kali datang ke
kedai mamak ini.
Obama enggan orang lain
menyedari kehadirannya di situ. Jadi, dia tunggu sebentar di luar sementara
menunggu pesanan sampai. Seorang pekerja mamak membawakan saya nasi putih dan
ayam tandoori. Juga sepiring kuah kari kosong.
Saya tahu, Obama tak
suka makan nasi. Jadi saya belanja dia makan ayam tandoori sahaja. Saya panggil
Obama sebaik makanan itu tiba. Obama datang dengan wajah yang jelas tidak
bermaya.
Saya berikan ayam
tandoori kepada Obama. Perlahan-lahan ayam tandoori itu dikunyahnya. Tidak seperti
sebelum-sebelum ini, Obama sangat berselera setiap kali memakan ayam tandoori. Risau
juga saya melihat keadaan Obama.
Wajahnya nampak sangat
lesu. Mungkin terlalu letih kerana terlalu sibuk dengan aktiviti hariannya. Saya
menggosok belakang badan Obama. Mungkin boleh bantu dia keluarkan angin dalam
badan.
Kulitnya yang gelap itu
nampak pucat dan terasa panas ketika disentuh. Saya syak Obama diserang demam
panas. Mungkin tidak biasa dengan keadaan cuaca di Malaysia sekarang ini. Sekejap
panas terik, sekejap hujan lebat. Jangankan manusia, anjing pun boleh demam
jika cuaca tidak menentu.
Saya hulurkan segelas
air suam kepada Obama untuk dihirup. Ketika demam, kita perlu minum air yang
banyak supaya kepanasan dalam badan akan lekas terhidrat samada melalui peluh
mahupun air kencing.
Saya seluk poket
seluar. Ada dua biji panadol. Saya hulurkan kepada Obama. Namun, Obama tidak
mahu. Mungkin Obama tidak suka makan ubat. Saya fikir, Obama lebih suka merawat
sakit menggunakan herba ataupun kaedah hemopati. Saya kasihan melihat keadaan
Obama yang tidak bermaya.
Jika sebelum ini, Obama
sangat cergas. Setiap kali berjumpa, Obama tidak akan duduk diam. Pasti ada
sahaja keletahnya yang mencuit hati. Tetapi, hari ini sungguh berbeza. Mungkin juga
faktor usia yang membuatkan Obama cepat letih dan tidak bermaya.
Saya memicit kepala
Obama. Kemudian, Obama meletakkan kepalanya di atas paha saya. Meminta untuk
dipicit lagi barangkali. Saya meletakkan minyak angin ke kepala Obama, kemudian
memicit dengan lebih kuat. Obama kelihatan terpejam matanya. Pasti sudah berasa
lega sedikit dengan urutan saya itu.
Saya lihat seorang
pekerja kedai mamak datang meluru ke arah saya. Saya menggerakkan paha menyuruh
Obama lekas bangun dan berlalu supaya tiada siapa yang menyedari kehadirannya
di situ. Pekerja kedai mamak itu kelihatan sedang marah.
“Hoi orang gila! Saya
kasi makan, you makan sorang-sorang
saja sudahlah. Jangan bawa itu anjing datang makan sekali. Nanti saya kena
samak satu kedai kalau ada orang kasi viral gambar you dengan anjing makan dekat sini dalam itu Facebook!”
Saya lihat Obama sudah
pergi jauh dari situ. Mungkin merajuk. Saya sambung makan nasi putih, baki ayam
tandoori dan kuah kari. Kemudian, saya ucap terima kasih kepada pekerja kedai
mamak tadi. Saya harap esok Jabatan Agama datang sini dan samak satu kedai.
Monday, November 16, 2015
Runtuhnya Cinta Di Kota Paris
Dua
hari yang lalu, kita dikejutkan dengan serangan militan di Kota Paris. Dilaporkan
sekurang-kurangnya 130 orang maut dek serangan pengebom berani mati ini. Ada juga
yang melaporkan lebih 180 angka terkorban dan ada yang melaporkan lebih 200
mangsa maut. Entahlah mana satu yang betul, saya pun tak tahu.
Media
ni bukan boleh percaya sangat, ye dak? Pasal nasi goreng menteri pun boleh
putar belit lagi beritanya.
Kota
Paris sememangnya terkenal sebagai kota cinta, kota romantis dan kota kasih
sayang. Itu adalah simbolik kepada keindahan Menara Eiffel barangkali. Mengapa tidak
kita mengidentitikan Menara KLCC sebagai lambang kasih sayang? Atau Menara
Taming Sari di Melaka sebagai tugu cinta?
Tidak
ada yang mustahil dalam dunia moden hari ini. Malah, jika mahu kita boleh
menjadikan menara kawalan trafik udara di KLIA sebagai simbolik kasih sayang
sekaligus menaikkan taraf bandar Sepang sebagai Kota Cinta di Malaysia. Bukan sekadar
bandar litar lumba mahupun lapangan terbang.
Adakah
militan yang menyerang Kota Paris ini semuanya dari golongan yang kehilangan
cinta?
Iya,
manusia yang mengganas dan mencederakan manusia lain adalah manusia yang tiada
rasa cinta. Sama seperti yang dilakukan oleh kumpulan militan tersebut. Jika mereka
memiliki sekelumit perasaan cinta pasti mereka sendiri tidak sanggup mengebom
diri sendiri dan mencederakan orang lain.
Bukankah
cinta itu terlalu sinonim dengan kasih sayang? Justeru, kasih sayang apakah
yang sanggup menyakiti orang lain hatta sekecil-kecil kesakitan.
Kesannya,
dunia semakin bergolak akibat hilangnya nilai cinta dan kasih sayang. Seterusnya,
manusia akan hidup dengan perasaan saling membenci dan jiwa yang
sakit-menyakiti. Jadi, di mana kesudahannya? Apakah kita mengharapkan
kemunculan seorang adiwira cinta untuk menyelamatkan permasalahan global ini?
Walaupun
jarak antara Kota Paris dan Kota Ibu Kota ( Sepotong lirik daripada lagu Def
Gab C – Ibu Kota Cinta ) adalah sangat jauh dan hanya boleh dijejaki dengan
menaiki pesawat, ia tetap medatangkan implikasi kepada rakyat Malaysia. Implikasi
yang meruncing sebenarnya jika tidak ditangani secara serius dan berhemah.
Sebaik
sahaja berita mengenai Kota Paris diserang pengganas, media-media di Malaysia
terus tidak berhenti mengemas kini berita mengenainya. Beberapa gambar serangan
juga tersebar dalam masa yang singkat. Ketika Patrice Evra sedang mengawal bola
dan mahu membuat hantaran, ketika itulah kedengaran bunyi bom sedang meletup.
Di
Malaysia, kita mungkin biasa mendengar bunyi letupan ketika di stadium. Ketika Safiq
Rahim sedang menggelecek rumput di atas padang, kemudian dia melakukan hantaran
yang mengelirukan Safee Sali dan juga rakan-rakan yang lain. Akibat melakukan
hantaran tanpa rasa kasih sayang, seorang penonton di stadium berang lalu
melontar sebutir mercun bola lalu ia meletup dan bergema di keseluruhan
stadium.
Namun,
kejadian yang berlaku itu mungkin dianggap perkara biasa bagi sesetengah
daripada kita. Sebenarnya, ia adalah permasalahan cinta yang sangat kronik. Cinta
apakah yang hendak dibuktikan dengan sebutir mercun bola? Cinta kepala hotak
kau berjambul!
Atas
dasar mahu menunjukkan sokongan terhadap Paris, Facebook telah menganjurkan
kempen menukar gambar profil dengan berlatar belakang bendera Perancis. Ia mendapat
sambutan yang menggalakkan berserta hashtag
#PrayForParis. Seperti yang pernah saya tekankan sebelum ini, berdoa pada
zaman teknologi ini adalah seperti mudahnya berhashtag.
Tidak
mengapa, kita tinggalkan dahulu isu hashtag
tersebut. Kita berbalik kepada perbincangan asal kita. Dalam sekelip mata,
ramai pengguna Facebook menukar gambar profil mereka demi menunjukkan sokongan
mereka terhadap Kota Paris.
Dan
di sinilah bermulanya perperangan yang sebenar-benarnya.
Ada
yang mengecam tindakan menukar gambar profil terebut dengan menyatakan Perancis
adalah sekutu Yahudi, Perancis adalah pemangkin kebangkitan liberal dan mengapa
tidak menggunakan gambar profil berlatar belakang bendera Palestin sedangkan
mereka diserang hampir setiap hari?
Sambil
memaki hamun dalam bentuk tulisan mereka berhujah dengan pandangan
masing-masing. Golongan agamawan google juga tidak terkecuali dengan berhujah
sambil melampirkan hadis-hadis mana yang patut. Kau bodoh! Kau bangang pergi
sokong Yahudi! Celakalah kau menyokong kafir laktanullah! Sampai begitu sekali?
Jadi,
di mana nilai cinta anda semua? Bergaduh di media sosial sehingga hilai nilai
kasih sayang kita sesama insan?
Oleh
hal yang demikian, menjadikan Kuala Lumpur sebagai Kota Cinta adalah terlalu
mustahil sekiranya anda terus bertelagah tentang perkara-perkara yang tidak
mendatangkan faedah. Cinta bukan sekadar memberikan sekuntum mawar merah dan
sebuah puisi sahaja. Ia lebih daripada itu.
Jika
mampu memupuk semangat kasih sayang sesama kita, mungkin KLCC akan lebih
romantis berbanding Menara Eiffel. Sesungguhnya, suasana romantis itu melahirkan
ketenangan, kedamaian dan keamanan.
Akhir
kata, tidak perlu untuk kita cuba menjadi terlalu pandai di media sosial dengan
mengecam tindakan orang lain yang tidak menjejaskan kehidupan seharian kita. Apabila
kita cuba berlagak seperti orang pandai, kita sebenarnya kelihatan lebih
bangang. Maka, makanlah nasi seperti biasa, dan sebaiknya berhenti sebelum
kenyang. Salam cinta dan kasih sayang daripada saya.
Tegak rumah kerana
sendi,
Runtuh sendi rumah
binasa,
Sendi bangsa ialah
budi,
Runtuh budi runtuhlah
bangsa.
Thursday, November 12, 2015
Nombor Ekor
“Rosli, jom minta nombor ekor nak ?” Pidot mengutarakan
pendapatnya kepada Rosli. Pendapat yang paling bernas pernah dicadangkannya
kepada Rosli.
Rosli yang duduk membaca surat khabar di hadapan Pidot hanya
menjuihkan bibir seperti ungka kelaparan tanda tidak berminat dengan cadangan
Pidot. Baginya meminta nombor ekor adalah satu jalan ke arah perkara syirik.
Sejahat-jahat dirinya, belum pernah terfikir untuk menduakan Tuhan dengan
meminta pertolongan daripada Syaitan laknat. Kelak nanti apabila mati, jasad
tidak diterima Bumi apabila melakukan syirik sebegitu.
Pernah dahulu semasa dia masih kecil, bapanya bercerita yang
orang pernah meminta tolong daripada Syaitan hidupnya tidak akan aman. Kata
bapanya lagi, arwah Pak Karim jiran sebelah rumahnya dahulu matinya tidak
diterima Bumi. Puas dimasukkan jenazah orang tua itu ke dalam liang lahad namun
selang beberapa ketika, jenazah itu muncul kembali di atas dimuntahkan Bumi.
Berita itu menggemparkan kampung sehingga wartawan Mastika datang menemubual
keluarga mangsa.
Dan akibatnya teruk wartawan majalah seram terkemuka di
Malaysia itu dihentam oleh keluarga si mangsa dengan menggunakan kayu beluti
namun hasilnya berbaloi kerana jualan majalah pada bulan itu meningkat naik
hasil cerita dari penduduk kampung yang gemar menyedapkan cerita. Sudah menjadi
lumrah manusia, menokok tambah itu bukan setakat elemen sastera seperti
hiperbola dan personafikasi, malah menokok tambah itu adalah bahan penyedap
ketika menganyam cerita. Biar lebih sedap di telinga yang mendengar dan mata
yang membaca.
“Faizul budak kampung sebelah tu dah jadi jutawan sekarang
lepas dia pergi berjumpa dengan Tok Anjang. Dia minta nombor lepas tu nombor
dia tu naik tepat. 6D Rosli, 6D. Kau tahu berapa dapat kalau 6D ?” Pidot kata
lagi sambil menaikkan jarinya menujukkan isyarat 6. Kali ini riak muka berubah,
teruja.
Rosli mengangkat bahu. Bibir dijuihkan lagi. Kali ini lebih
panjang bibir yang dijuihkan itu sehingga boleh disangkut penyangkut baju di
muncung bibir.
“Satu juta ringgit, Li. Satu juta !” Pidot teriak kecil
sehingga air liur bersembur keluar. Jarinya pula dinaikkan semua menunjukkan
sepuluh semuanya.
“Satu juta ?!” Rosli menjerit terkejut. Serta-merta kesemua
mata yang berada di dalam kedai Wak Garip memandang ke arah Rosli.
“Apa yang satu jutanya, Rosli ?” Wak Garip bertanya dari
meja kaunter sambil mungusap misainya yang lebat tercokeng lentik
“Errrrr...tak ada apa-apa, Wak. Tiba-tiba je saya teringat
iklan lemon dulu-dulu tu….alaaa..yang ada lelaki menjerit sejuta lemon tu…”
Rosli tersengih-sengih sambil mengangguk ke arah Pidot.
Wak Garip mengangguk. Surat khabar di tangannya diselak
meneruskan pembacaan yang tadinya tertangguh. Orang-orang tua yang tadinya
berhenti bersembang disebabkan jeritan ‘Satu Juta’ Rosli pula kembali menyambung
bergebang tentang bentuk badan perempuan. Yang mana kuat imannya pula, yang
pernah naik Haji, menyambung naik Haji sekali lagi tetapi kali ini di atas
kertas permainan dam. Keadaan kembali tenang seperti di awal cerita.
“Kau serius ke dapat satu juta ?” Rosli bertanya kepada
Pidot namun kali ini suaranya diperlahankan, bimbang orang-orang disekeliling
mendengar apa yang dibualkan. Wajahnya serius teruja. Pesanan bapanya yang mati
tidak diterima bumi terus hilang di ingatannya. Yang tinggal kini hanyalah
gambar-gambar kertas kepala Agung di dalam mindanya.
Pidot memandang ke kiri ke kanan sebelum mengangguk kepala tanda mengiyakannya.
Begitulah manusia, sesungguhnya manusia ini berevolusi. Baik
dari segi fizikal, mentaliti ataupun emosi. Apa yang dikatakan hari ini mungkin
tidak boleh digunapakai untuk esok hari. Kerana kepingan kertas kepala Agung,
pembangkang politik boleh bersekutu dengan pihak kerajaan.
Sudah hampir 30 tahun Rosli hidup di atas muka bumi ini
namun tidak pernah dia tahu bahawa menikam nombor boleh membuatkan seseorang
itu menjadi jutawan segera. Apa yang diketahuinya, menikam nombor ekor ini
untungnya tidak banyak. Hanya sekitar dua tau tiga ratus saja jika nombor itu
bertuah.
Jika dari dahulu lagi Rosli tahu yang menikam nombor mampu
mengubah hidup, nescaya lahir saja ke dunia terus saja dia pergi menikam nombor
dengan keadaan merangkak. Siapa tidak mahu menjadi jutawan apatah lagi dengan
semudah menikam nombor, tidak perlu berusaha gigih. Hanya bermodalkan nombor
yang dipilih dan sekeping wang kertas satu ringgit dan menikam ke bahagian 6D,
ia mampu mengubah kehidupan dengan bergaya.
“Moh laa kita berjumpa dengan Tok Anjang” Kata Rosli
bersemangat mengalahkan Pidot. Bingkas dia bangun dari duduknya dan menuju ke
arah motor di luar kedai.
“Errrr….air ni siapa nak bayar ?”
“Kau bayar dulu. Kang kita cerita” Rosli menjerit dari atas
motor “Cepat sikit ! Lincah !”
Kucar-kacir Pidot berlari ke arah meja kaunter untuk
membayar harga air sebelum berlari ke arah Rosli yang sudah siap menunggu di
atas motor di luar kedai.
***
“Begitulah ceritanya Tok Anjang. Itu sebabnya kami berdua ke
mari” Pidot bercakap tentang tujuannya dia dan Rosli datang berjumpa dengan Tok
Anjang - bomoh nombor ekor terkemuka di kampung berhampiran.
Tok Anjang hanya mengangguk mendengar setiap butir bicara
Rosli satu persatu. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu yang langsung tidak
didengari Pidot dan Rosli. Sesekali Tok Anjang menambur kemenyan yang sudah
dihancur halus ke dalam mangkuk berasap di hadapannya. Bau dan asap kemenyan
bertebaran memenuhi ruang tamu rumah Tok Anjang.
“Kamu tahu barang-barang yang aku mahu kan ? Ada bawa ?”
Ujar Tok Anjang dengan mata terpejam.
“Ada Tok, ada. Ni saya dan Rosli dah siapkan semua barang tu”
Jawab Pidot teruja lalu menghulurkan bungkusan kain sebesar komputer riba “Semua
barang ada dalam tu, Tok”
Tok Anjang mengangguk. Bungkusan kain yang diterimanya itu
dibuka dan dikeluarkan satu persatu barang yang berada di dalamnya.
“Keris ni pernah digunakan untuk bunuh orang tak ? Pernah
mandi darah tak ? Kau kena tahu, kalau nak dapatkan nombor yang bagus dan tepat
perkiraannya, senjata yang nak dipuja tu mesti pernah mandi darah, kalau tak
susah aku nak buat kerja” Tanya Tok Anjang.
“Pernah Tok, pernah. Moyang saya pernah membunuh guna keris
tu, Tok. Keris tu keris keturunan, Tok” Jawab Rosli. Pidot disebelahnya
mengiyakan kata-kata Rosli.
Tok Anjang mengangguk.
“Kalau macam tu mari kita mulakan upacara” Tok Anjang
bersuara.
Rintik-rintik peluh mula mengalir di dahi Rosli. Berdebar.
***
“Kau pasti ke tempat tu ada roh tak tenang, orang mati kena
langgar ?!” Tanya Rosli separuh menjerit melawan angin dan bunyi enjin motor.
“Aku pasti. Minggu lepas ada orang mati kena langgar kat tempat
tu, kesan darah pun ada lagi” Jawab Pidot di belakang Rosli.
Jam di tangan Pidot pandang lama. Pukul 4.33 pagi. Waktu
yang sesuai untuk menurut perintah Tok Anjang. Menurut Tok Anjang, buah limau
yang sudah dibaca jampi serapah itu harus dihiris dengan menggunakan keris yang
juga turut dibaca jampi serampah. Kemudiannya air limau itu harus dititiskan
pada tompokan darah supaya roh yang tidak tenang itu menjerit kesakitan.
Apabila roh tidak tenang itu muncul meracau-racau, itulah
masa yang sesuai untuk mereka meminta nombor ekor. Jika roh tidak tenang itu
tidak mahu memberikan nombor ekor seperti yang diminta, mereka boleh
mengugutnya dengan titiskan perahan limau pada tompokkan darah sekali lagi. Mengikut
kata Tok Anjang, perahan air limau pada tompokkan darah sama sakitnya seperti
wanita hendak bersalin, sakit gigi dan luka yang dicuci dengan menggunakan pati
limau.
Motorsikal yang dinaiki Rosli dan Pidot terus meluncur laju
membelah kabus pagi. Preng-Preng-Preng-Preng bunyi ekzos memecah sunyi pagi.
15 minit perjalanan, Rosli dan Pidot tiba di tempat dituju. Keadaan
lengang. Tiada kereta dan motorsikal melalui jalan itu. Sebaik enjin motorsikal
dimatikan, Pidot dan Rosli turun dari motor dan meninjau-ninjau keadaan
sekeliling. Lampu suluh di tanggan Pidot digenggam kemas menyuluh mencari
tempat yang diperkatakan.
“Ni tempat tu, Rosli” ujar Pidot “Tu, darah kering tu ada
lagi tu”
Rosli berlari-lari anak menuju ke arah Pidot. Lampu suluh
dihalakan tepat ditunjuk Pidot. Di tepi jalan berhampiran garis putih, jelas
kelihatan tompokkan hitam darah kering menghiasi garis putih. Walaupun sudah
seminggu kejadian itu berlalu, namun bau hanyir darah masih lagi dapat dibau
mereka berdua.
Bulu roma Pidot dan Rosli berdiri tegak bila mana terbau
hanyir darah. Mereka berpandangan sesama sendiri.
“Cepat laa titis air limau tu, aku tak nak lama-lama kat
sini” Ujar Rosli dengan peluh mengalir laju di dahi.
“Eh, apa aku pulak ? Kau laa titis, tak kan semua aku nak
kena buat ?” Pidot tidak mahu mengalah. Di dalam dirinya ketakutan mula
menguasai diri. Fikirannya mula berfikir negatif, bimbang jika dirinya yang
titiskan air limau itu, roh itu akan mencarinya untuk membalas dendam.
“Kau tak payah takut laa, kalau apa-apa hal kita tanggung
berdua” Rosli cuba menyakinkan “Dah, cepat. Kau tititskan air limau tu, aku
tolong suluh ni”
“Kita buat sama-sama laa, apa-apa hal kita berdua kena. Amacam
?”
“Gampang” Maki Rosli.
Tidak mahu berlama-lama membuang masa kerana emosi ketakutan
mula menjalar menguasai diri, keadaan gelap yang menyeramkan, Roslan pantas
mengeluarkan barang-barang di dalam bungkusan kain yang sudah dijampi Tok
Anjang. Selesai dia memotong limau, keris bermandi darah yang sudah dibaca
jampi itu diberikan kepada Pidot. Pidot juga melakukan perkara yang sama.
“Habis aku kira 1 2 3, kita serentak perah air limau atas
darah ni, ok ?” Cadang Pidot dengan kedudukan mencangkung di hadapan tompokkan
darah.
Rosli mengangguk. 1 2 3….
Serentak mereka berdua memerah limau itu ke atas darah yang
telah kering. Sebaik habis memerah, kedua-dua mereka bangun berdiri dan
memandang keadaan sekeliling dengan perasaan berdebar-debar. Kelajuan jantung mereka
berdetak ketika itu persis baru berjaya berlari mengelilingi padang bola dalam
kiraan 1 minit.
3 minit berlalu, keadaan masih lagi sepi. Kedua-dua mereka
diam tidak berkutik.
30 minit.
1 jam.
“Berapa kau bayar kat Tok Anjang tadi ?”
“RM111, sekali dengan pengeras” Pidot jawab.
“Aku syak kita dah kena lipat (tipu) ni” Balas Rosli. Kini,
perasaan takut mula bertukar ganti dengan perasaan amarah. Tangannya digenggam
kemas. Kepingan kertas kepala Agung mula beterbangan di kotak fikirannya
perlahan-lahan.
“Aku pun rasa macam tu jugak. Dah sejam kita bertenggek kat
sini, rokok pun dah habis, jangankan roh yang tak tenang, roh yang tenang pun
tak muncul ni. Babi punya Tok Anjang !” Maki Pidot sambil menjentik semut hitam
yang bertenggek di buku lalinya.
Thursday, November 5, 2015
Tanpa Tajuk 2
"Pelanggan ini ramai yang bodoh, dia rasa dia saja yang betul. " Kata Alif.
Roslan di hadapannya hanya tersenyum bersetuju dengan pendapat Alif. Dia juga seperti Alif, berniaga di pasar malam dan dia tahu bagaimana perangai pelanggan. Sepanjang dia berniaga 5 tahun di pasar malam, ramai pelanggan bodoh yang selalu datang bertandang. Pelanggan bodoh ini seperti serangga, jarang membeli tetapi sebaliknya hanya datang dengan niat mengusik-usik barang jualan dan jika tidak dilayan seperti seorang Sultan, mereka akan pulang ke rumah dan memuat naik status di Facebook dengan rasa tidak puas hati terhadap peniaga.
Mereka akan melancarkan boikot terhadap peniaga yang mereka tidak puas hati. Jika perlu dimasukkan ke dalam mana-mana kumpulan, mereka akan masukkan status itu supaya orang lain turut melakukan hal yang sama seperti mereka lakukan atau dalam erti kata lainnya, menghasut. Dan orang-orang yang bebal pula akan lekas saja mempercayai status yang dimuat naik itu tanpa menyelidiknya terlebih dahulu.
Mempercayai berita tanpa usul periksa, mendengar cerita dari sebelah pihak dan melancarkan boikot secara membabi-buta bukanlah kelakukan masyarakat yang berilmu namun sebaliknya hanya menunjukkan bertapa ceteknya tahap pemikiran seseorang itu.
Pernah dahulu, ketika Roslan berniaga seperti biasa menjual barang permainan kanak-kanak, gerainya dikunjungi oleh seorang lelaki. Melihat kucing permainan yang boleh bergerak-gerak dan mengeluarkan suara seperti kucing sebenar, Lelaki itu memanggil anak lelakinya yang ketika itu bersama ibunya berada di berhampiran gerai bersebelahan. Kanak-kanak itu berusia dalam lingkungan 4 tahun mengikut perkiraan Roslan.
Lelaki itu mengambil patung kucing yang diletakkan Roslan di atas meja dan memberikan patung kucing itu kepada anak lelakinya. Anak kecil itu gembira bukan kepalang. Menjerit anak kecil itu sehingga melonjak-lonjak badannya bergembira. Bagi anak kecil seperti itu, seperti kebanyakkan kanak-kanak sama usia dengannya, patung kucing yang boleh mengeluarkan bunyi itu sangat ajaib dan itu miliknya.
Lantas anak kecil itu membawa lari patung kucing itu kepada ibunya yang sedang membeli di gerai bersebelahan. Melihat itu, lelaki itu marahkan anak kecil itu. Ditarik patung kucing itu daripada tangan anak kecil itu namun anak kecil itu cepat caja memeluk patung kucing ditangannya erat-erat. Katanya dalam pelat, itu barang permainannya.
Roslan menggelengkan kepala melihat kejadian itu.
Lelaki itu memukul anak kecil itu dan dirampasnya patung kucing itu sehingga tercarik bulu-bulu halus patung kucing itu. Dengan riak muka yang ketat dan marah, segera lelaki itu memulangkan patung kucing itu kepada Roslan tanpa meminta maaf dan diraut wajahnya sedikit pun tidak menunjukkan rasa bersalah.
Anak kecil itu terus menggelupur berguling-guling di atas tanah kerana barang permainannya telah dirampas.
Ketika itu di dalam hati Roslan timbul rasa kasihan pada anak kecil itu. Tetapi dalam masa yang sama rasa marah mula meresap masuk ke dalam diri. Marah kerana lelaki yang merangkap seorang bapa itu bertindak bodoh, kelakuannya cukup menjengkelkan orang. Dan disebabkannya juga, Roslan menanggung rugi.
Dalam kes ini cukup mudah konsepnya, jika tidak berniat mahu membeli, jangan sesekali cuba menyentuh barang jualan tanpa meminta izin daripada penjual kerana manusia sememangnya tidak tahu apa yang akan terjadi dalam jangka masa 5 minit akan datang. Jika barang jualan yang disentuh itu rosak di tangan pelanggan, seperti kebanyakkan kedai yang tidak mahu menanggung rugi, pelanggan harus dikenakan penalti iaitu membayar separuh harga dari barang itu dan jika kedai yang tidak bertimbang rasa, barang yang rosak itu dikira jual beli dan semestinya dibayar dengan harga penuh.
Hal itu tidaklah merunsingkan Roslan kerana ruginya tidaklah terlalu besar namun yang paling menyakitkan hati, anak kecil yang tidak bersalah itu dipukul bapanya padahal hal itu berpunca daripada bapanya sendiri. Jika bapanya tidak menunjukkan patung kucing itu kepada anak kecilnya, pasti perkara itu tidak terjadi. Tapi apakan daya, manusia ini tidak gemar mencegah dari merawat.
"Tapi kena ingat, Alif. Buruk baik macam mana sekalipun perangai pelanggan, mereka inilah yang memberi kita duit. Dalam berniaga, customers always right. Ingat tu" Kata Roslan setelah menghalau kenangan lama.
"Kau jangan percaya dengan istilah customers always right. Istilah itu direka oleh pelanggan yang berotak udang untuk mereka berotak udang yang lain supaya mereka ini rasa disanjung tinggi"
Roslan tergelak besar mendengar kata-kata Alif. Tidak tercapai dek akalnya bagaimana Alif boleh berfikir dan berkata-kata sedemikian. Mungkin dari pengalaman lepas ?
"Betul. Aku setuju dengan apa yang kau cakap itu sebab pelanggan itu bukan Tuhan. Dah nama pun manusia, mestilah ada salah. Mana ada manusia yang selalu betul, tidak pernah melakukan kesalahan" Kata Roslan "Tapi kita harus tahu, menjadi satu kesalahan kalau kita bertindak kasar terhadap pelanggan"
"Pelanggan ini sebenarnya ingin menjadi Tuhan. Ingin disanjung tinggi, dipuji-puji dan kalau boleh mahu disembah olah pekerja atau tuan kedai. Dengan berbekalkan istilah customers always right seperti kau katakan tadi, mereka akan masuk ke dalam kedai persis James Bond menang mengalahkan orang jahat yang cuba menakluk dunia. Mereka bongkak dan mendabik dada padahal perkara paling asas dalam kehidupan adalah menghormati orang lain terlebih dahulu sebelum kita dihormati orang. Kalau tidak mustahil Malique Ibrahim boleh cipta lirik, 'masuk ke tempat orang bawa otak bukan pisau'" Alif membebel panjang.
Roslan ketawa lagi. Kali ini ketawanya lebih besar berbanding tadi. Hatinya terasa digeletek dengan kata-kata Alif dan dia sendiri tidak tahu di mana kelakarnya kata-kata Alif itu. Mungkin Alif terlalu serius dengan kata-katanya itu atau perumpaan Alif itu tidak masuk akal. Mana mungkin James Bond boleh disamakan dengan pelanggan ?
Melihat Roslan gelak, Alif turut tergelak walaupun dia sendiri tidak tahu apa yang digelakkkan Roslan.
"Kau selalu jumpa dengan pelanggan macam ni ?" Tanya Roslan. Ketawanya masih tersisa.
"Boleh dikatakan setiap hari. Bezanya teruk atau tidak saja tapi masih juga dalam kategori yang sama, bebal" Jawab Alif
"Paling teruk kau pernah jumpa ?"
"Paling teruk aku pernah jumpa, pelanggan minta beli dengan harga kos" Jawab Alif "Cuba kau bayangkan, kalau beli dengan harga kos apa gunanya berniaga ? Apa gunanya kau kerahkan kudrat kau buka konopi tengah-tengah panas ? Kau pergi Kuala Lumpur ambil stok jualan, kau bayar tol, minyak, tenaga kau dan hasilnya kau dapat sekadar modal, tidak lebih tetapi kurang ?"
"Hahaha. Mana boleh. Berniaga apa-apa pun mesti kena ada untung. Kalau macam itu, baik buat amal jariah"
"Itulah aku cakap pelanggan ini sepatutnya pergi belajar dahulu menghormati orang. Aku cakap ni bukanlah aku nak cakap semua pelanggan berperangai teruk, ada saja yang elok perangainya sampai boleh dibuat berkawan tapi hendak berjumpa yang macam itu, setahun mungkin 2 atau 3 kali" Kata Alif "Lagi pula, ada sesetengah pelanggan mahu kurangkan harga tapi tiada idea, dia boleh pula cakap soal riba. Katanya Nabi pun berniaga tapi tidak mengambil untung lebih"
"Zaman Nabi dahulu lain. Zaman itu tiada kos petrol, pengangkutan, sewa kedai atau upah tenaga kerja. Dan paling penting sekali, mungkin di zaman itu belum wujudnya kapitalis" Kata Roslan "Perkara ini matematiknya mudah, ambil contoh bos kau. Bos kau tetapkan harga itu ini disebabkan mahu membayar sewa kedai, kos barang, pengangkutan dan gaji kau. Kalau semua barang dijual dengan harga kos, alamatnya kau tak bergaji dan bos kau boleh gulung tikar"
"Tapi itulah, ramai yang tidak faham....."
"Alif, tolong tengokkan kedai boleh tak ? Saya nak pergi tandas"
Suara perempuan memotong percakapan Alif. Serentak Roslan dan Alif memandang ke arah muka kedai. Di muka kedai, Rahina seorang perempuan kacukkan Cina-Asli berdiri tersenyum-senyum memandang Alif sebelum pandangannya singgah kepada Roslan.
Alif mengangguk. Dibangun dari duduknya dan terus berjalan menuju ke muka pintu kedai dan di belakangnya, Roslan juga turut bangun dari duduknya dan mengekori Alif. Dengan senyum-senyum di bibir yang manis, pantas Rahina berjalan menuju ke tandas. Kakinya terkepit-kepit menahan kencing.
"Siapa tu ?" Tanya Roslan.
"Budak kedai sebelah. Kedai kasut Vincci"
Dari kejauhan, Roslan memerhati bentuk badan Rahina denga pandangan yang sukar dimengertikan dan perbualan mereka beralih kepada topik bentuk badan perempuan.
Tuesday, November 3, 2015
Tanpa Tajuk
Sedang Alif melakukan kerja seperti hari-hari yang lepas -
menyusun kasut, seluar dan baju semenjak dia mula bekerja di kedai menjual
pakaian jenama Converse 5 tahun lepas, dia didatangi kawan baiknya, Roslan. Bekerja di kedai Converse ini agak bebas, jika tiada pelanggan ataupun kerja,
boleh saja kawan-kawan datang melepak kerana di kedai ini bosnya jarang berada
di kedai. Hanya sebulan 2 atau 3 kali bosnya datang melihat-lihat keadaan kedai
kerana bosnya cukup mempercayainya.
Roslan pula jika ada kelapangan selalu saja datang bertegek
di kedai tempat Alif bekerja. Datangnya kadang-kadang membawa cerita perihal
semasa keadaan kampung, kadang-kadang hanya berceloteh tentang kerjaya dan ada
masanya pula diajak bersembang tentang hala tuju kehidupan dan ketikanya lagi,
hal bentuk badan perempuan menjadi isu dibualkan.
Hari itu, Roslan berpakaian kemas. Katanya baru pulang dari
menghadiri temuduga di sektor kerajaan. Selama ini Roslan hanya berniaga
sendiri di pasar malam namun demi mencari kestabilan hidup untuk kemudian hari,
Roslan nekad berhenti berniaga kerana berniaga sekarang memerlukan kesabaran
yang tinggi kerana mengikut cakap-cakap belakang, kuasa membeli tidak seperti
dahulu.
Jika dahulu berniaga di pasar malam boleh memberikan
kesenangan hidup namun kini ianya tidak ubah seperti menjerut leher sendiri
jika tidak pandai membuat percaturan. Jika barang makanan yang diniagakan boleh
saja untuk menampung hidup tetapi jika barang kehendak yang diniagakan bukannya
keperluan, agak susah hendak menjual barang itu. Tidak seperti tahun 90an
dahulu, berniaga apa saja di pasar malam pasti membawa keuntungan.
Itu kata Roslan yang selalu bersembang dengan
peniaga-peniaga lebih lama merangkap otai pasar malam. Alif mempercayai hal itu
kerana Roslan sudah cukup lama bercimpung dalam perniagaan pasar malam. Alif
yang tidak tahu menahu tentang perniagaan pasar malam hanya mengganggukkan
kepalanya mendengar cerita Roslan.
“Tahun ni kau dah 28 tahun kan ?” Roslan mengubah topik dari
terus bercerita tentang perniagaan pasar malam. Rasa tidak seronok mula
membuak-buak ke dalam dirinya kerana dirinya saja yang berceloteh dan Alif
hanya mengangguk kepala tanda mengiyakanya. Perbualan akan menjadi tidak
seronok jika hanya sebelah pihak sahaja yang bercerita namun di sebelah pihak
lagi hanya mendiamkan diri. Terasa seperti bersembang dengan pokok. Tiada
reaksi.
“Haah. Cepat betul masa berlalu” Alif balas pertanyaan
Roslan.
“Kau agak bila kau nak kahwin ?”
Alif diam. Alif tidak suka ditanya dengan soalan itu.
Baginya soalan itu terlalu sensitif untuk dirinya. Alif percaya hidup ini
berlandaskan takdir, Tuhan sudah menetapkan takdir hidup seseorang dan manusia
akan terus hidup dengan takdir yang sudah tertulis olehNya. Jika Tuhan tidak
menetapkan itu dalam kehidupannya, sekurang-kurang untuk masa sekarang,
berusaha sekuat mana pun tidak akan tercapai hasrat itu.
“Entah. Aku tak fikir pun pasal tu” Alif jawab pendek.
“Suka atau tak, kau kena fikir juga pasal tu. Kau buat atau
tidak perkara tu belakang kira tapi yang pentingnya hidup kau ada tjuan. Hidup
ni kalau setakat hidup saja tak bermakna. Hidup ini menjadi sia-sia sebab tak
ada tujuan sebenar untuk hidup, sekadar menjadi seketul daging yang bergerak
saja”
“Aku bukan tak berfikir pasal tu tapi buat masa sekarang aku
tak nak semakkan kepala aku dengan hal macam tu. Lagipun kau pun tahu, nak cari
teman hidup ini bukan semudah mencari baju. Pergi ke kedai macam kau datang ke
sini lepas tu tengok yang mana berkenan, bayar” Bidas Alif “Nak cari teman
hidup ni susah, Roslan. Nak cari yang betul-betul serasi dengan kita, susah
senang ada bersama kita, sependapat dengan kita, aku tak nak nanti aku buat
silap di kemudian hari. Kalau dah berkahwin baru nak rasa menyesal tu dah
terlambat”
“Kau terlampau banyak sangat berfikir ni, Alif. Kalau kau
nak cari yang serasi dengan kau, sependapat dengan kau, aku rasa baik kau
berkahwin saja dengan diri kau sendiri. Sepatutnya nak cari teman hidup kena
berlawanan dengan sikap kau, barulah kehidupan rumahtangga jadi tak hambar”
Alif senyum mendengar kata-kata Roslan. Entah dari mana
Roslan cedok kata-kata berupa nasihat itu tidak diketahui. Hendak dikatakan
dari pengalaman sangatlah mustahil kerana Roslan belum mendirikan rumahtangga
dan tiada pengalaman dalam memenangi hati budi seorang perempuan.
Belum sempat Alif membalas kenyataan Roslan, sepasang
kekasih masuk ke dalam kedai. Alif fikir itu pasangan kekasih kerana pasangan
itu masuk ke dalam kedai dengan berpimpin tangan. Mana mungkin seorang abang
atau adik lelaki sanggup berjalan beriringan berpegang tangan bersama adik atau
kakak perempuannya. Dan jika ada sekalipun keadaan itu, agak sukar dilihat.
Alif berdiri menghormati pelanggan. Perkataan “Hai” Alif
cakap dengan jelas. Senyuman diberikan tanda bersedia memberikan bantuan kepada
pasangan itu jika perlukan apa-apa sebarang bantuan dan pertanyaan. Dan Roslan
masih lagi duduk di kerusi itu. Handphone di dalam poket dikeluarkan dan
menekan aplikasi Twitter.
“Tak ada buat sales ke ?!” Tanya pelanggan lelaki dengan
nada keras. Perempuan disebelahnya membelek-belek kasut di rak.
“Setakat ini tak ada sales lagi. Harga memang macam yang
tertera di barang” Alif tersenyum dengan tangan di belakang. Jika diikutkan hati
hendak saja Alif meninggikan suara seperti pelanggan itu namun memikirkan yang
dirinya masih normal dan waras, nada suaranya masih dikawal elok. Alif tidak
tidak apa puncanya sehingga dirinya ditanya dengan nada suara seperti itu. Atau
mungkin suara pelanggan lelaki itu memang begitu, kasar, tinggi dan tegas. Alif
cuba bersikap positif.
Pelanggan lelaki hanya mencebikkan mukanya “Huh, orang lain
pun berniaga juga tapi boleh saja tawar-menawar”
Alif masih tersenyum. Dipandangnya Roslan yang masih di
kerusi dan Roslan juga turut melakukan hal yang sama – memandang Alif. Sambil tersenyum
melihat Alif diperli, Roslan menggelengkan kepalanya.
“Saya hanya bekerja saja di sini. Bos sudah tetapkan harga, saya tak
boleh buat apa-apa. Lagipun harga mengikut sistem komputer, saya tak boleh
tukar harga sesuka hati sebab komputer itu sudah dikunci dengan kata laluan”
“Kau bagi tahu bos kau. Berniaga bukan macam ni, dalam
berniaga mesti ada tawar-menawar !” Kata pelanggan lelaki “Kena ada tawar-menawar
baru pelanggan datang lagi. Kalau macam ni dia punya berniaga, aku tak rasa pun
yang pelanggan akan datang untuk kali kedua !”
Alif diam. Tidak mahu menjawab. Sangkaan Alif meleset. Jika tadi
dia cuba bersikap positif terhadap pelanggan lelaki itu, ternyata ianya silap
100%. Pelanggan lelaki itu seorang yang bodoh dan tidak tahu menghormati orang lain.
Tidak angin, ribut dan dikacau oleh sesiapa, tiba-tiba saja hendak marah-marah.
Atau kemungkinan besar pelanggan lelaki itu cuba menaikkan saham diri sendiri
di hadapan perempuan itu.
Sesetengah lelaki akan merasa lebih kool jika meninggikan
suara atau berlagak kuat di hadapan perempuan yang disayangi. Dengan membuat
demikian, dirinya akan dipandang hebat oleh perempuan itu. Jika tidak percaya,
lihat saja orang yang memandu kereta serupa orang gila, pasti akan ada
perempuan di bangku penumpang.
Alif memandang Roslan sekali lagi – tertunduk di kerusi
sambil menekan-nekan skrin di handphone.
“You…I nak try kasut ni” Perempuan itu menunjukkan kasut
yang dipegangnya kepada lelaki itu.
Di dalam hatinya, Alif menyumpah. Bertapa bodohnya perempuan
ini, hendak mencuba kasut tapi meminta izin daripada lelaki itu padahal
sepatutnya dengan dirinya perempuan itu perlu meminta izin kerana dirinya yang
bekerja di kedai itu bukannya lelaki itu. Jadi benarlah ada pepatah Pahang lama
mengatakan selama ini, lelaki yang bodoh diciptakan untuk perempuan bodoh.
Alif bersetuju dengan pepatah itu kerana Alif yakin jika
kedua-dua manusia itu bercantum di ranjang– memasukan penis ke dalam ovari,
ianya mampu menghasilkan genetik yang bebal di masa akan datang. Dan generasi
yang bebal ini akan terus hidup dengan memberi hiburan kepada manusia yang
lebih celik dan terbuka mindanya. Hiburan dengan mempamerkan kebodohan sendiri.
“Boleh duduk di sana” Jari telunjuk Alif dihalakan di kerusi
kosong berhampiran Roslan.
Roslan yang menyedari akan hal itu, tidak mahu
menganggu, terus bangun untuk memberi ruang kepada pasangan itu. Si lelaki
duduk di kerusi yang diduduki Roslan dan perempuan itu duduk di kerusi kosong.
Alif dan Roslan tercegat berdiri.
Perempuan itu menanggalkan kasut yang dipakai dan
menyarungkan kasut Converse berwarna merah. Selesaikan kedua-dua kakinya
memakai kasut dan diikat talinya itu, perempuan itu bangun dan berjalan menuju
ke cermin yang boleh memuatkan seorang dewasa.
Dipusing-pusing badannya ke kiri ke kanan ke balakang
sebelum dia berdiri betul-betul menghadap cermin. Persis sedang mencuba
sepasang gaun pengantin gayanya ketika itu padahal sekarang dia hanya
mencuba sepasang kasut Converse buatan China yang berharga tidak lebih RM200.
“Cantik tak you ?” Tanya si perempuan kepada si lelaki. Dan si
lelaki tersenyum sambil mengangguk.
“Saiz ok tak ?” Tanya Alif.
“Saiz ok” Balas perempuan itu.
“Jadi, awak nak yang ini ?” Tanya Alif lagi. Roslan sudah
keluar kedai, berdiri di depan muka kedai melihat orang lalu-lalang di luar
kedai kerana tidak mahu menganggu urusan jual beli itu sekaligus memberi
keselesaan pasa pelanggan.
Perempuan itu tidak menjawab. Diduduknya kembali di kerusi kosong
dan menanggalkan kasut Converse yang dicubanya itu dan memakai kasut Carlo
Rino-nya kembali. Diberikan kasut Converse itu kepada Alif yang masih tercegat
berdiri.
“Kalau saya nak beli, saya datang lagi nanti” Kata perempuan
itu yang kemudiannya merangkulkan lengan teman lelakinya dan berjalan keluar
kedai.
Di dalam kedai, Alif menggeleng kepalanya beberapa kali dan
di luar kedai pula, Roslan tersengih-sengih memandang Alif yang sedang menahan
baran.
Subscribe to:
Posts (Atom)