Thursday, June 4, 2015

Rindu Setengah Gila

Hari ini Kamarul akan pulang ke kampung di Paya Rambutan, Maran. Sudah tujuh bulan dia tidak pulang ke kampung dek kesibukan bekerja di Kuala Lumpur. Kamarul seorang eksekutif di sebuah syarikat insurans tersohor. Masanya banyak dihabiskan dengan berjumpa klien tanpa mengira masa siang dan malam. Kamarul mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dengan menaiki bas sahaja demi menikmati suasana balik kampung yang lebih natural. Perjalanan mungkin akan memakan masa tiga atau empat jam berbanding dua jam sahaja yang diperlukan sekiranya beliau pulang ke kampung dengan menaiki kereta Mitsubishi Lancer GT yang dibeli kira-kira setahun yang lalu. 
Sebaik menaiki tangga bas ekspress Mara Liner, hati Kamarul sangat teruja. Semenjak bekerja dan memiliki kenderaan sendiri ini adalah kali pertama dia menaiki bas untuk pulang ke kampung. Hampir lapan tahun juga dia tidak menaiki bas ekspress. Fikirannya terus terbanyang akan kenangan ketika di zaman menjadi pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia dahulu. Menaiki bas mini untuk ke Kuala Lumpur, berjalan kaki ke Hentian Pekeliling, singgah makan nasi ayam di gerai bersebelahan Sungai Klang, melihat keletah manusia dan pelbagai lagi kenangan yang tak bisa dilupakan. "Ah rindu sungguh saat dahulu," Kamarul bermonolog di dalam hati dan tersenyum sendirian.

Bas Ekpress Mara Liner memulakan perjalanannya tepat jam 12.30 tengah hari. Bas ini akan berhenti di Temerloh jadi Kamarul perlu menaiki bas "ting-tong" untuk ke kampungnya. Sepanjang perjalanan, Kamarul mengulit kenangan-kenangan semasa di zaman kanak-kanak. Suasana dan kehidupan kampung yang amat dirinduinya bagai membelasah seluruh jiwa raganya. Mandi sungai, melastik burung, bermain konda-kondi, mencuri durian di dusun Pak Wahab, memancing haruan, berkhemah di puncak bukit, dan banyak lagi kenangan yang mencakar segenap memori imbas kembali Kamarul. Dia berasa tidak sabar untuk sampai ke kampung dengan secepat mungkin. Jika diikutkan hati, mahu sahaja disuruh pemandu bas itu memandu dengan kelajuan 220 km/j agar lekas tiba di kampung. Namun, masih ada rasional dalam diri Kamarul. Perbuatan sebegitu tidak ubah seperti kelakuan membunuh diri. Kamarul bertabah pada kelajuan 75 km/j yang dipandu oleh pemandu bas tersebut.

3.27 petang. Bas telah tiba di hentian Temerloh. Semua penumpang turun. Kamarul berjabat tangan dengan pemandu bas sambil berkata "Terima kasih kerana membawa saya dan penumpang lain sampai ke destinasi dengan selamat. Terima kasih." Kelihatan pemandu bas agak terkesima dengan ucapan terima kasih Kamarul itu. Mungkin terharu. Kamarul melihat bas ke kampungnya sudah dihidupkan enjin. Ada beberapa penumpang sudah menunggu di dalam. Dia lekas-lekas berjalan bagai seorang atlit pejalan kaki menuju ke arah bas kerana bimbang akan terlepas bas itu. Kamarul tidak mahu menaiki teksi walaupun dia mampu kerana menaiki teksi tidak cukup natural. Tepat jam 3.36 bas itu pun memulakan perjalan ke Maran. Kamarul sungguh teruja. Inilah saat yang dinantikannya. Perjalanan selama 45 minit ini akan melalui sepenuhnya jalan lama. Dia mahu menikmati sepuasnya kehijauan alam semulajadi yang hanya dapat dinikmati di Kuala Lumpur jika ke Zoo Negara.

5.14 petang. Iya, perjalanan memang memakan masa 45 minit. Namun, pemandu bas ini singgah mengisi minyak, membeli rokok dan air bungkus sesuka hati. Kamarul agak bengang, sepatutnya waktu begini dia sudah lepak di pangkin hadapan rumahnya. Kamarul memicit loceng bas selepas melihat papan tanda nama kampungnya. Dia turun di simpang utama kampungnya. Di simpang itu, ada kedai makan Timah Janda, kedai runcit Zamri Zakaria, gerai pisang Paklong Ambok dan bengkel motosikal Yazid. Semuanya kelihatan usang, namun tetap mententeramkan hati Kamarul. Cuma petang itu agak sepi, tidak ramai penduduk kampung yang melakukan kegiatan mereka di simpang utama. "Agaknya ada perlawanan bola sepak di padang," Kamarul meneka dalam hatinya. Dia menggalas beg Deuter seberat 8 kilogram dan berjalan kaki menuju ke rumahnya. Jarak ke rumahnya dari simpang utama kira-kira 1.5 kilometer. Kamarul melalui padang bola, dia agak kehairanan kerana tiada sesiapa pun di situ. Yang ada hanya sekawan lembu sedang asyik meragut rumput. "Ke mana pula semua orang kampung ni? Dah meninggal ke apa?"

"Abang Kamarul!". Kamarul sedikit terperanjat mendengar pekikan suara itu. Kedengaran bagai suara seorang gadis yang masih perawan. Kamarul menoleh ke belakang. "Oh, awak rupanya Samsidar. Abang ingatkan bunian mana tadi," Kamarul cuba berjenaka dengan Samsidar. Samsidar adalah jirannya, berusia 22 tahun, badan kecil molek, kulit sawo matang dan berlesung pipit. "Kenapa tak bagitahu nak balik kampung?" Samsidar bertanya. "Sajalah, nak buat suprise," Kamarul menjawab dengan jawapan tipikal. Mereka berdua ketawa. "Dah besor aok ni Samsidar, geram pulek koi tengok badan kecik molek aok ter, tamboh dengan lesung pipit lagi. Jadi bini koi, nak?" Kamarul berkata pada Samsidar dalam loghat Pahang. Berkata dalam hati. "Jomlah, saya nak balik ke rumah juga ni dari rumah Ina anak Pak Abas. Boleh kita jalan sekali," Samsidar cuba berkata dengan tenang walaupun hatinya berasa kagum dengan ketulan-ketulan otot pada lengan Kamarul. Samsidar juga seperti wanita lain yang punyai hati, perasaan dan nafsu.

"Sebenarnya abang rindu sangat dengan suasana kampung ni, Samsidar. Rindu setengah gila." Kamarul memulakan bicara sebaik mereka mula melangkah. "Abang tak rindu Samsidar?" Samsidar cuba bertanya dalam hati lalu tersipu-sipu sendirian. "Abang rindu nak menghirup udara segar, terjun tiruk di sungai, panjat pokok rambutan depan rumah, raut daun kelapa buat penyapu dan macam-macam lagi, Samsidar," Kamarul meneruskan bicara. "Di Kuala Lumpur tak seronok ke, Bang?" kali ini Samsidar tidak lagi bertanya di dalam hati. "Mana seronok, udara kotor, bising dengan kenderaan, padat dengan manusia." Kamarul menerangkan kepada Samsidar akan keburukan Kuala Lumpur. Samsidar membalas ringkas, "oh, macam tu pula,". "Ke mana semua orang kampung ni Samsidar? Sepi je abang tengok kampung kita ni," Kamarul bertanya akan kehairanannya terhadap kampung yang sepi itu. "Biasalah abang, petang-petang begini orang duduk di rumah sahaja," Samsidar menjawab. "Duduk di rumah sahaja?" Kamarul bertanya sambil menggaru kepala yang tidak gatal. "Iyalah, abang. Petang-petang begini orang kampung kita hanya sibuk di group What'sapp, makcik-makcik pun mengumpat dalam tu je. Nak order goreng pisang pun pakai what'sapp, Kak Junaidah ada buat delivery. Budak lelaki sekarang main bola di rumah Ayob Rahman, ada 5 PS3 di situ, sejam RM2 sahaja. Kalau abang nak mandi sungai, baik tak payah. Belakang rumah Tok Empat Sidek tu ada swimming pool siap dengan papan anjal lagi. Satu kepala RM 1.50 untuk dua jam. Malam hari orang kampung kita lebih suka main Facebook. Ada juga yang main twitter tapi tak ramai sangat. Abang ada instagram? Kalau ada jangan lupa follow saya, Bunga_Sam22 tahu nama saya." Saat itu, Kamarul berasa bagai mahu berlari mengejar bas yang dinaikinya tadi dan pulang ke Kuala Lumpur segera. Rindunya hanyalah rindu setengah gila yang tidak akan terubat.

Wednesday, June 3, 2015

Roslan Mengeratkan Silaturrahim

Di dalam bilik yang kusam dan berbau, Roslan berbaring di atas tilamnya yang hapak. Serupa hero dalam kebanyakkan drama melayu yang sedang mengalami masalah kewangan, Roslan meletakkan tangan kanan di atas dahi. Kipas di syiling direnungnya tajam.

"Aku harus mengumpul balik kawan-kawan lama aku. No telefon dan persahabatan yang sudah lama terjalin ini tidak patut dibiarkan begitu saja, ikatan persahabatan ini harus diikat kemas-kemas" Getus hati kecil Roslan.

"Ahhhh, aku harus melakukan sesuatu" Tambah hati kecilnya lagi.

Sambil berbaring, Roslan mengambil smartphone jenama Lenovo bersebelahan dengan tilamnya. Laju ibu jari tangan Roslan bergerak di atas skrin smartphonenya. Terus dibuka aplikasi Wasap dan buat satu group Wasap "1988 Bersatu".

Tidak sampai 23 minit, Roslan siap menambah kesemua kawan-kawannya ke dalam group Wasap yang baru dicipta. Roslan tersenyum sendirian. Usahanya untuk mengeratkan silaturrahim sesama insan berjalan lancar tanpa mengalami sebarang masalah walaupun handphone yang dipakai berjenama murah, taraf-taraf budak sekolah.

                                                         TING TINGG

Satu mesej masuk ke dalam group Wasap yang baru diciptanya tadi.

"Woi Lan, kau kerja mana sekarang ? Dah kahwin ke belum ?"

Dalam kiraan 7 saat. 7 6 5 4 3 2 1

                                                   Lan Rockers Left Group

Kami Dan Janji Melayu

"Macam mana dengan perancangan kita nak pergi pulau ni ? Semua dah stanby duit, cuti dan tenaga ke belaka ?" 

Masa ni tahun 2009, Zaim bertanya bertindak sebagai incas untuk rombongan bercuti ke pulau yang bakal kami pergi nanti. Rombangan bercuti ke pulau ni memang dah lama kami rancangkan, dari awal tahun lagi kami dah bincangkan pasal ni. Mengikut perhitungan hari, minggu, bulan dan tahun, kalau tak ada aral melintang bulan 12 ni kami pergi.

"Aku steady" Jawap Abrar 

"Aku on je" Saya garu leher

"Bereh. Aku tak ada hal" Amir jawab lancar

"Hitam kata korang, hitam jugak laa kata aku" Amy Donut jawab kemas serupa ahli falsafah

"Bagus. Macam ni laa aku nak, lincah dan bersepakat. Lagipun masa kita bujang ni laa nak enjoyy, nanti dah kahwin ada anak bini susah dah kita nak luangkan masa bersama" Panjang lebar Zaim bercakap.

Di kedai mamak, kami berbincang hal-hal apa yang patut kami bincang masa tu. Apa yang patut kami bawa, berapa duit nak kena stanby, mohon cuti awal sikit, semua tu kami berbincang bersama-sama.

Zaim kerja di Klang. Abrar pemandu kapal terbang. Amy Donut kerja jalan-jalan pusing dunia. Amir steady kerja melilau tak tentu hala dan saya kerja memikul pelepah kelapa sawit. Jarang kami dapat mengadakan perbicangan serupa ni sebab masing-masing ada komitmen.

Kalau ikut selera saya, saya nak pergi bercuti kat Pulau Hawaii. Dengar kabor kat Pulau Hawaii ramai makwe yang pakai bikini diperbuat daripada kulit kerang. Teringin juga saya nak pergi tapi memandangkan saya hanya kerja pikul kelapa sawit, saya batalkan niat tu. Pasport pun saya tak ada ni.

Amy Donut dan Abrar kalau boleh nak pergi Pulau Redang je. Jimat katanya. Amir nak Pulau Tioman, nak tengok biawak. Zaim nak pergi Pulau Pangkor. Taste dia orang ni memang saya tak boleh pergi sangat, jenis taste rendah. Langsung tak ada nilai-nilai jati diri.

Setelah berbincang secara runcit-runcit dan bermalas-malasan, kami bersepakat pergi ke Pulau Pangkor. Undi dan perbincangan tamat pada malam itu.

"PANGKOR, KAMI DATANG !" Masing-masing berteriak dalam hati, agaknya.


                                                               ***
Zaim dah berkahwin, dah ada anak seorang. Abrar pun sama pun macam Zaim. Amy Donut dan Amir entah mana pergi agaknya. Perbincangan malam tu jadi sia-sia bilamana sampai je masa nak pergi, mesti ada ahli rombongan yang akan kabor gini "Eh, kita pergi tahun depan je laaaa"

Roslan Dan Erti Kehidupan

Roslan ralit menonton cerita Power Rangers di kaca tv sambil menghisap rokok. Tangan kanan disilang ke belakang kepala supaya boleh dijadikan bantal, baru sedap sikit nak berbaring. Di tangan kirinya pula tercokeng rokok U2 yang tinggal separruh, asap rokok menjulang naik.

"Hmmmm, raksasa dalam cerita ni tak pernah habis. Dah kena bunuh pun boleh hidup balik. Power Rangers pun sama bangang, tiap-tiap minggu buat menda yang sama. Bunuh raksasa, raksasa bertukar jadi besar, Power Rangers menjerit panggil robot binatang, robot binatang bergabung menjadi robot power lepas tu bunuh raksasa balik........." 

Roslan berhenti sekejap berfikir pasal Power Rangers. Seperti orang yang berfikir tentang masa depan, Roslan tenung rokok U2 yang masih berbaki separuh di tangan kirinya dalam-dalam. Asap rokok berbentuk 'O' keluar dari hidungnya.

"Ouh. Hidup ni sentiasa berulang, setiap hari buat menda yang sama. Hari ni pergi kerja, esok pun pergi." Roslan bercakap dalam hati sambil menjentik puntung rokok keluar tingkap.

Tuesday, June 2, 2015

Selamat Datang Ke Kuala Lumpur

(Cerpen ini mengambil bahagian dalam pertandingan certot 100 patah perkataan anjuran Buku Fixi.)

Orang tua berkopiah putih itu berpakaian agak lusuh. Dia menghampiri dan duduk di kerusi sebelah aku. Suasana hening di Hentian Puduraya ini.

"Pergi mana?"

"Subang Jaya,"

"Naik teksi sahajalah,"

"Tunggu siang, naik bas,"

"Muka anak nampak runsing. Banyak masalah?"

Aku diam seribu bahasa. Kenal pun tidak, mahu soal siasat lebih-lebih pula. Aku tertidur di kerusi itu.

"Hon! Hon! Hon!"

6.52 pagi. Deruan kenderaan memecahkan hening pagi. Aku menggosok-gosok mata lalu terpandang satu nota kecil di kerusi sebelah. Aku membaca nota itu.

"Selamat datang ke Kuala Lumpur, kota dusta."

Aku meraba dompet di poket seluar. Tiada.

"Cilaka punya orang tua!"

Aku bertanya kepada sekuriti warganegara Nepal itu tentang orang tua berkopiah putih itu. Dia menjawab "Saya tara tahu, ini pagi juga baru masuk kerja,".

Monday, June 1, 2015

Memandangkan blog ini baru sahaja dibangunkan, maka tiada cerpen sebelum tidur akan dipublishkan dalam masa yang terdekat ini.kerja-kerja membaik pulih dan juga mengupgradekan blog ini akan dilakukan dengan kadar segera. sebarang kesulitan adalah untuk masa depan bangsa,negara & agama.