Sampai sahaja di Terminal Burangsih, saya disapa ulat tiket, pemandu teksi, pemandu pelancong dan entah siapa-siapa. Ada lelaki bercengkerang seperti kura-kura, ada berekor kuda dan bermacam jenis lagi. Saya mengabaikan seorang demi seorang dengan menggeleng kepala dan mengangkat tangan walaupun mereka masih lagi bertanya "Mahu pergi mana? Mahu pergi mana? Mari saya hantarkan".
Saya terus melarikan ke sebuah gerai. Beberapa orang masih lagi mengekori saya dan bertanya soalan yang sama. Saya membeli rokok Dunhill berharga 28000rp dan pemetik api 3000rp. Saya mengambil masa beberapa saat untuk menghadam jumlahnya kerana jumlah itu agak terlalu besar bagi saya dan saya memerlukan sedikit masa untuk mengiranya. Setelah yakin, saya menyerahkan sekeping not 50000rp kepada penjual yang memiliki telinga arnab.
Rokok dibakar. Sebelum saya sempat menyedut nikotin untuk kali kedua, seorang lelaki menyapa saya "Mahu ke mana, mas?".
Lelaki itu memiliki tangan berupa pengepit ketam. Dan ada tatu di bahagian lengannya. Wajahnya nampak tidak menyenangkan dan sesiapa yang memandangnya pasti akan berasa curiga. Walaupun begitu, dia masih mahu kelihatan peramah. Tangannya diletakkan ke belakang seolah-olah dirinya seorang yang budiman.
"Tanya aja. Bukan mahu buat-apa kok" Dia tidak berputus asa.
"Saya nak ke Probolinggo" Saya jawab pendek.
"Waduh" Ketika itu dia tidak lagi kelihatan sopan. Dia kelihatan menjadi kelam-kabut dan nampak bersemangat seolah-olah rohnya baru sahaja meresap masuk ke dalam jasadnya. Dan dia menyambung "Ayuh mas, ayuh. Ke mari. Mengapa tidak dibilang awal-awal. Capek aja berdiri dengan bagasi besarnya. Mari mas, mari. Naiki bas saya"
Dia mengajak saya. Menyuruhnya saya mengikutnya.
"Berapa bayarnya?"
"Enggak usah khuatir, mas. Harganya bisa pas. Lagi hari sudah malam kok. Ayuh mas, saya tunjuk basnya. Mari"
Saya mengekori dari belakang. Di hadapan, lelaki bertangan penyepit ketam itu berjalan sangat laju. Saya fikir jika dia masuk ke dalam pertandingan berjalan di Sukan Olimpik, dia memiliki potensi yang besar untuk menang. Namun masalahnya sukan itu tidak pernah wujud di dalam Sukan Olimpik.
Dua tiga pemuda berwajah serangga seperti lebah, lalat dan kupu-kupu bertanya soalan seperti di atas ketika saya melintasi mereka. Lelaki bertangan ketam cepat-cepat berpatah balik kepada saya apabila melihat orang lain cuba merapatkan diri kepada saya. Ini membuatkan saya terasa diri saya ini tidak ubah seperti artis besar. Artis luar negara yang dikenali satu dunia!
"Mari mas, mari" Pujuk lelaki bertangan ketam.
Saya kembali mengikutnya. Sampai di satu lorong gelap dia berhenti. Saya perhatikan keadaan sekeliling. Orang tidak ramai di lorong itu dan saya mula berasa tidak sedap hati. Saya sudah berkira hendak melarikan diri kerana fikiran sudah dipengaruhi perkara-perkara buruk mengenai lelaki bertangan penyepit ketam.
Saya memperlahankan langkah. Biarpun gelap, saya perhatikan keadaan sekeliling dengan teliti sebelum membuat keputusan untuk menghampirinya atau berpatah semula. Berbelas atau mungkin berpuluh bas diparkir di kawasan itu.
"Itu basnya, mas. Ayuh mas, ayuh" Tangan penyepit ketam dihalakan ke satu arah yang saya tidak nampak kerana terlindung dek badan bas yang diparkir.
Lelaki bertangan penyepit ketam membawa saya ke sebuah bas yang mana di cermin hadapannya di tulis Bali. Di hadapan bas itu, seorang lelaki berkepala kuda menyerahkan buku resit kepada lelaki bertangan penyepit ketam. Mereka bercakap dengan menggunakan bahasa yang tidak saya fahami. Sebelum lelaki berkepala kuda pergi, dia menepuk bahu lelaki bertangan penyepit ketam berkali-kali. Ia kelihatan seperti seorang bapa memuji anaknya kerana lulus dalam peperiksaan dan diakhiri dengan ayat sebegini "Bagus anakku, bagus. Kamu melakukannya dengan begitu baik dan ayat berbangga dengan kamu. Kamu meletakkan maruah ayah di tempat yang sepatutnya"
"Mari mas, naiki basnya" Lelaki bertangan penyepit ketam mempelawa.
Dia dahulu naik ke dalam perut bas. Saya mengikutnya. Penumpang tidak ramai semasa saya naik ke dalam perut bas ketika itu. Di kerusi hadapan sebelah kanan, tiga beranak duduk di situ. Sebelah kiri seorang pakcik tua berambut belah tengah. Di belakang pakcik tua, seorang remaja punk yang memiliki hidung penyet. Di sebelah remaja punk, sebelah kanan, belakang tiga beranak, sepasang kasih sedang bersetubuh.
"Ini tempat duduknya" Katanya.
Saya duduk di kerusi yang ditunjukkan. Beg besar saya letakkan di tepi. Lelaki bertangan penyepit ketam bersandar pada kerusi saya duduk.
"Tauhu goreng. Tempe goreng. Tauhu goreng!" Seorang lelaki memakai cermin mata hitam membawa bungkusan menjerit di pintu bas.
"Dua ratus empat puluh lima ribu" Lelaki bertangan penyepit ketam bersuara. Sekeping kertas dihulurkan kepada saya.
Saya mengambilnya. Otak saya cuba menghadam tulisan lelaki bertangan penyepit ketam dan mengira jumlahnya yang perlu saya bayar. Belum sempat saya mengeluarkan iPhone saya untuk mengira jumlahnya ke dalam matawang Malaysia, lelaki bertangan penyepit ketam bersuara.
"Ayuh mas. Usah dibuang masa"
Ketika itu dia tidak lagi nampak seperti seorang yang budiman malah ketika itu dia kelihatan seperti perompak yang sedang memeras ugut mangsanya. Pen dan kertas resit di tangannya kelihatan seperti senjata yang membahayakan nyawa.
"Tauhu goreng! Tauhu goreng! Tempe goreng!" Penjual bercermin mata hitam semakin menghampiri kerusi saya.
"Harganya boleh pas lagi enggak? Mahal bangat ni" Saya cuba minta kurang harga kerana mengikut kaji selidik saya, harga yang perlu dibayar untuk ke Problinggo hanya sekitar 50000rp. Atau paling mahal mungkin mencecah 100000rp.
"Ya iya mas. Harganya sudah pass. Ini.." Tangannya yang berbau busuk seperti ketam buruk itu ditunjukkan di suatu ruang di kertas yang saya pegang "Harga ini termasuk makan, mas. Lagi bas ni punya AC: Aircond. Harga sudah murah kok. Terus aja ke Probolinggo. Enggak ada berhenti. Itu.." Tangan busuk itu dihalakan pula ke belakang bas "Kalau mas mahu kencing, bisa aja dalam tandas itu"
"Mas mahu tempe atau tauhu goreng?" Penjual bercermin mata hitam bertanya kepada saya dan sebelum sempat saya menjawab apa-apa, satu bungkusan kecil terus diletakkan diletakkan di atas riba saya.
Situasi menjadi sedikit kacau bilau. Belum sempat saya selesaikan satu perkara, datang pula satu perkara. Entah silap mata jenis apa yang mereka gunakan saya tidak pasti. Bertalu-talu datangnya. Di belakang lelaki penjual bercermin mata hitam, muncul pula seorang lelaki tidak bertelinga menjual pemetik api. Tidak berkata apa-apa terus lelaki tidak bertelinga itu meletakkan sebungkus pemetik api di atas riba saya.
Kini, saya perlu menyelesaikan tiga perkara sekaligus. Saya sedikit panik.
Saya keluarkan dompet dari dalam beg. Saya mula mengira jumlah yang perlu dibayar kepada lelaki bertangan penyepit ketam. Sama seperti membeli rokok dan pemetik api tadi, saya memerlukan masa untuk menggunakan matawang Rupiah. Disebabkan sedikit panik, saya menyerahkan sekeping not 100000rp kepada lelaki bertangan penyepit ketam.
"Ini belum cukup" Kata lelaki bertangan penyepit ketam. Penjual tidak bertelinga dan penjual bercermin mata hitam memandang saya.
"Tak cukup. Jadinya berapa?" Saya bertanya lalu melihat duit not Rupiah di dalam dompet saya.
"Gini aja. Saya mohon ambil wangnya ya" Lantas lelaki bertangan penyepit ketam mengambil sekeping not 100000rp dan sekeping not 50000rp dari dompet saya.
Saya tidak menyukai perbuatannya itu namun saya tidak membantah.
"Lihat ya. Saya enggak mengambil lebih" Lelaki bertangan penyepit ketam mengira duit saya yang diambil di hadapan saya. Dua keping not 100000rp dan sekeping not 50000rp "Jadi saya pulangkan bakinya 5000rp ya"
Saya mengambil baki itu seperti seorang dungu yang langsung tidak tahu nilai duit. Namun untuk menyedapkan hati sendiri, saya anggap itu perkara biasa. Saya memujuk hati sendiri, kononnya semua orang yang pertama kali ke luar negara pasti akan berasa keliru menggunakan matawang negara yang dijejaki. Namun pujukan itu tidak berjaya menyedapkan hati sendiri.
"Simpan resitnya, mas" Lelaki bertangan penyepit ketam mengingatkan saya sebelum berlalu meninggalkan saya, lelaki tidak bertelinga dan penjual bercermin mata hitam.
"Tempenya mas" Penjual bercermin mata hitam menegur.
"Maaf, mas. Saya sudah kenyang" Saya menipu walaupun ketika itu perut saya sudah memainkan lagu Dondang Sayang. Saya tidak merasa bersalah ketika menipunya kerana makanan itu tidak sesuai dengan selera saya.
Penjual bercermin mata hitam duduk di kerusi seberang saya. Dia nampak kepenatan.
Saya memulangkan pemetik api itu kepada lelaki tidak bertelinga. Mungkin dia faham saya tidak berminat pada barang jualannya. Dia berlalu pergi menuruni tangga bas dan hilang dari pandangan saya. Saya sedikit lega kerana dia tidak memujuk saya membeli barang jualannya.
"Dari mana?"
Saya menoleh penjual bercermin mata hitam lalu menjawab "Dari Malaysia"
"Mahu liburan?"
"Iya. Liburan di Bromo" Saya jawab tenang walaupun saya tidak tahu apa itu liburan.
Dia tersenyum. Senyuman penuh makna.
Penjual bercermin mata hitam itu kelihatan peramah namun saya tidak mempercayainya kerana bila saya melihat senyumannya, senyuman itu seperti mahu menipu. Ya, sebagaimana orang bersembahyang lima waktu hanya sekadar untuk menyakinkan orang lain mempercayai tentang penipuannya.
"Kali pertama ke sini?"
Saya mengangguk sambil menghadiahkan kepadanya satu senyuman yang saya kira satu senyuman paling manis saya ada.
"Maafin ya. Kamu bayar dua ratus empat puluh lima ribu itu untuk ke Probolinggo?"
Saya mengangguk lagi biar pun hati saya tidak senang mendengar pertanyaannya.
"Saya beritahu kamu ya..." Penjual bercermin mata hitam itu bercakap perlahan seolah-olah kami sedang berurus niaga dadah "Di sini pencuri enggak ada tapi penipunya ramai sekali. Itu..." Dia menunjukkan kertas tangan di tangan saya "Harga itu ke Bali, bukannya ke Probolinggo. Mahu ke Probolinggo..harganya sekitar 80000rp aja"
Saya terdiam. Di dalam hati mula menyumpah seranah diselang-selikan dengan berdoa agar lelaki bertangan penyepit ketam itu di humban ke dalam Neraka apabila mati.
"Ya udah. Kamu biarin aja" Penjual bercermin mata hitam menanggalkan cermin matanya. Dilap cermin mata itu menggunakan hujung bajunya dan memakai kembali lalu berkata "Tenang. Kamu ambil yang berkatnya aja, yang tidak berkat biarin dia ambil. Kamu lihat, saya percaya dia sudah menipu ramai orang tapi hidupnya tetap melarat begitu, di waktu sebegini masih mencari orang untuk menipu tapi dirinya tidak juga kaya. Dan esok masih lagi dirinya sebegitu"
Kata-kata penjual bercermin mata hitam saya proses dalam-dalam untuk simpulkan menjadi satu keputusan. Sebelum sempat saya berkata apa-apa, dia bangun lalu menepuk bahu saya dua kali.
"Berapa ini mas?"
"5000 aja"
Saya menyerahkan not 5000rp kepada penjual bercermin mata hitam. Dia mengucapkan terima kasih dan kembali menyambung menjerit "Tauhu goreng! Tempe goreng!" sehingga hilang dari pandangan mata saya.