Sunday, August 30, 2015

Cerita Rakyat : Merdeka

Tok Hussien berusia 83 tahun. Hari ini dia akan ke rumah anak sulungnya di Kuala Lumpur. Semenjak kematian isterinya, Nek Som, dia tidak lagi menjenguk anak cucunya di sana. Walaupun sudah berusia, kudrat Tok Hussien masih lagi gagah untuk ke sana. Anak saudaranya, Salehuddin akan menghantar Tok Hussien ke sana dengan menaiki kereta.

Anak sulung Tok Hussien bernama Bakar. Dia merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya di sana. Bakar membuka sebuah restoran Nasi Ayam. Resipi yang diwarisi dariapada arwah ibunya. Setiap hari, restoran Bakar akan dikunjungi ramai pelanggan dari pelbagai bangsa. Malah, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah juga pernah singgah makan di restorannya.

Walaupun nama restorannya Nasi Ayam Bakar, namun itu tidak bermakna lauk menu utamanya adalah ayam bakar. Kebiasaannya, lauk ayam di restorannya digoreng ataupun dikukus. Restoran Bakar juga tidak pernah terbakar.

Bakar mempunyai seorang isteri dan tiga orang anak. Kesemua anaknya adalah lelaki yang masing-masing berusia 26 tahun, 23 tahun dan 20 tahun. Anak yang sulung bernama Bakri, yang kedua bernama Fakri dan yang bongsu bernama Zakri. Ketiga-tiga mereka rajin membantu Bakar menguruskan perniagaan, namun gemar bersosial.

Setibanya Tok Hussien di Kuala Lumpur, dia terus singgah ke Restoran Bakar. Ketika itu sudah melepasi waktu Asar. Restoran Bakar akan tutup pada jam 6 petang. Masih ada dua tiga orang pelanggan yang sedang makan. Tok Hussien berpelukan dengan Bakar. Air mata mereka bercucuran seolah-olah sudah sepuluh tahun tidak ketemu. Padahal, Bakar baru sahaja pulang ke kampung pada raya Aidilfitri yang lalu. Itulah kasih sayang dan rindu yang tak terbeli dengan waktu.

Hasrat Tok Hussien untuk bertemu dengan ketiga-tiga orang cucunya tidak kesampaian apabila mereka pulang lebih awal ke rumah untuk membuat persiapan menyambut Hari Kebangsaan. Selepas menutup dan mengemas kedainya, Bakar membawa Tok Hussien pulang ke rumah. Sallehudin pula terus ke Pelabuhan Klang untuk membeli alat ganti kereta terpakai.

Sebaik tiba di rumah Bakar, Zakri sedang menggilap motosikal Rx-Z kepunyaannya. Tok Hussien menegur Zakri yang sedang bersiul-siul riang itu.

"Wah, berkilat motor kamu. Nak ke mana ni Zakri?" Tanya Tok Hussien.

"Malam merdeka ni kan atok, pergi sambut merdeka la. Tengok bunga api kat dataran," balas Zakri penuh semangat.

Tok Hussien hanya menggeleng kecil. Dia kemudiannya masuk ke dalam rumah. Kelihatan Bakri sedang menggosok baju kemeja berwarna-warni. Malah, rambut Bakri juga turut berwarna-warni.

"Amboi, nak ke mana ni Bakri? Rambut pun dah macam ais krim atok tengok," sapa Tok Hussien.

"Malam merdeka ni kan atok. Lepas tengok bunga api di Dataran Merdeka, saya dan kawan-kawan nak ke disko. Ada sambutan merdeka juga di situ," ujar Bakri sambil membetulkan rambutnya yang berwarna-warni itu.

Tok Hussien hanya menggeleng kecil. Dia berlalu ke tingkat atas untuk menukar pakaian. Tiba di tingkat atas, dia melihat Fakri sedang khusyuk membaca buku.

"Rajin cucu atok seorang ni baca buku. Kamu tak keluar sambut merdeka malam ni, Fakri?" Tanya Tok Hussien.

"Malam merdeka ni kan atok, saya tengah baca buku sejarah ni. Malam ni saya nak keluar berdemo supaya Jalur Gemilang digantikan dengan Sang Saka," kata Fakri sambil menunjukkan rupa bendera Sang Saka yang terlukis di buku tersebut.

Tok Hussien menggeleng kecil lagi. Dia terus berlalu ke dalam bilik. Cucu-cucunya dalam bahaya sekarang. Dia berdiri di hadapan cermin selepas membuka bajunya. Perlahan-lahan air matanya menitis menyusuri garis-garis kedut tua di wajahnya.

Selepas waktu makan malam, ketiga-tiga anak Bakar bersiap untuk keluar ke Dataran Merdeka. Masing-masing mempunyai aktiviti dan agenda tersendiri. Tiba-tiba, Tok Hussien rebah. Bakar mengangkat Tok Hussien dan membaringkannya di atas sofa di ruang tamu. Ketiga-tiga cucunya turut berada di situ.

"Ambilkan atok minyak angin, sapukan kat dada atok," pinta Tok Hussien.

Bakri mengambil sebotol minyak angin dan memberikan kepada Fakri. Zakri pula membuka butang kemeja yang dipakai Tok Hussien satu persatu. Mereka bertiga sangat terkejut apabila melihat satu parut sepanjang tujuh inci di dada Tok Hussien. Terdapat juga beberapa kesan parut lain di sekitar badan Tok Hussien.

"Parut apa ni, atok?" Tanya Zakri.

Tok Hussien bangun dan duduk di sofa. Dia menarik nafas panjang sambil mengurut-urut dadanya. Sesekali dia menggentel parut kekal di tubuhnya.

"Ini parut masa atok nak merdekakan Tanah Melayu dulu. Parut berlawan dengan askar Jepun, komunis Bintang Tiga dan askar British. Masa tu, atok muda lagi macam kau orang semua juga. Tapi masa tu semangat berkobar-kobar untuk merdekakan negara. Tak kisah walaupun nyawa atok yang menjadi korban!" Ujar Tok Hussien penuh semangat.

Ketiga-tiga cucunya menundukkan wajah. Mereka mula dihujani rasa bersalah.

"Atok sedih tengok generasi muda macam kamu sekarang. Nak pergi sambut merdeka tapi nak merempit, berdisko dan berdemo. Merdeka apakah kamu? Merdeka bukan sekadar melihat bunga api sahaja, cu. Atok berparut di badan melawan penjajah, kamu berparut di badan kerana merempit? Merdeka apakah kamu?" Sambung Tok Hussien lagi.

"Kamu semua hanya merdeka fizikal sahaja, hakikatnya minda kamu sudah teruk dijajah. Dijajah kuasa luar yang menjanjikan keseronokan. Benar, masa muda masa untuk bergembira. Tapi, bukan begini caranya. Bertaubatlah, cu," kata Tok Hussien lagi.

Ketiga-tiga cucunya bangun menuju ke bilik masing-masing menukar pakaian. Sesungguhnya mereka telah insaf dengan tazkirah ringkas yang diberikan oleh Tok Hussien itu. Kedengaran bunyi air paip dibuka seperti orang sedang mengambil wudhuk. Juga kedengaran kain sejadah dilibas bagi menghilangkan habuk. Tok Hussien hanya tersenyum. Dia bersyukur.

Bakar menghampiri ayahandanya itu. Perlahan dia berbisik ke telinga Tok Hussien.

"Ayah, itu bukan ke parut sebab jatuh basikal masa nak kejar Arwah Mak yang merajuk dulu? Ayah terbabas masuk kebun salak Lebai Leman kan? Masa tu ayah kantoi main kayu tiga dengan janda anak tiga kat kampung,"

"Kah! Kah! Kah! Kamu diam-diam sudahlah,"

Maka mereka dua beranak pun ketawa sakan sambil menikmati hidangan kopi yang diimport khas dari Brazil. Bakri, Fakri dan Zakri masih lagi beribadat dengan khusyuk.

Wednesday, August 26, 2015

Pukul

Adapun di sebuah kampung yang diberi nama Kampung Selamat, dua orang pemuda yang tidak mempunyai wawasan apatah lagi masa depan, melepak di warung kopi. Entah tokoh mana yang berikan nama Kampung Selamat tiadalah orang ketahui, mungkin Kampung Selamat itu bebas daripada anasir-anasir jahat, menyebabkan nama itu kekal sehingga sekarang lamanya.

Dua orang pemuda itu, Nasir dan Jalal sangat disegani oleh penduduk Kampung Selamat. Hal ini kerana kedua-dua ayah mereka orang kuat dalam kampung itu. Ayah Nasir memegang jawatan ketua kampung manakala ayah Jalal merangkap Tok Imam dalam kampung berkenanan.

Dan begitulah kehidupan, siapa kita dalam masyarakat itu tidak penting, yang pentingnya siapa bapak kita dan apa jawatan mereka yang digalas dalam kehidupan bermasyarat. Jika ada salah satu daripadanya, hidup menjadi mudah kerana memiliki cable kemas dan jika memiliki kedua-duanya, ia merupakan satu bonus.

Nasir orangnya berbadan besar, bengis, mudah baran dan kaki pukul, sama seperti bapanya. Sebut saja Nasir Si Pembelah Angin, terketarlah kepala lutut penduduk kampung ingin mencari gaduh dengannya. Berbeza dengan Nasir, Jalal bertubuh kurus melengkung. Jalal berdamping atau dalam erti kata lain - menjadi kuli batak kepada Nasir kerana Jalal selalu dibuli. Jalal selamat bila berada di bawah lindungi Nasir. 

"Kadang-kadang aku down jugak bila mengenangkan keadaan geng kita ni, Lal. Nama je geng tapi ahli ada dua orang je, kau dan aku je" Di warung port melepak, Nasir meluahkan perasaannya kepada Jalal. Asap rokok dihembus ke langit. Sesekali Nasir membuat bulatan asap rokok sebesar tayar Kancil.

"Dah tu tak ada orang nak join geng kita, nak buat macam mana. Menda ni konsep dia sama jugak macam jodoh, dah kalau tak ada jodoh, terima je laa hakikat. Tak kan nak melawan takdir pulak" Balas Jalal selamba.

"Babi. Sekarang ni, aku ke kau ketua dalam geng ni ?" Soal Nasir geram. Matanya menjengil memandang Jalal.

Bimbang tubuhnya diterajang secara membabi-buta, Jalal hanya tersengih. Hendak menjawab lebih-lebih dia tidak berani. 

Baran Nasir susah dijangka. Jalal ingat lagi, pernah satu ketika, Nasir mengamuk hanya kerana kedai makan yang dikunjunginya di Kuala Rompin tiada jual rokok. Habis tunggang-langgang kedai makan itu dikerja Nasir dan akibatnya, Nasir dan Jalal dipukul secara berjemaah. Nasib baik bapanya orang kuat, dapat juga kes itu diselesaikan dengan menghulur ganti rugi.

"Kau pergilah cari budak-budak baru nak naik. Tarik dia orang ajak masuk geng kita ni. Lepas tu suruh dia orang bayar duit pelindung, baru laa nampak macam kaki pukul yang sebenar. Dah ada duit baru sedap nak enjoyy. Ni nak bayar makan pun kita tak mampu ni" Cadang Nasir. Tangannya ditudingkan ke arah pinggan dan gelas di atas meja.

"Alaaa. Menda ni sama jugak macam cinta. Ada masa, cinta tu tak perlu dicari, sampai masa dan tarikh yang ditetapkan oleh-Nya, cinta tu akan datang sendiri. Kita rilekss je, kalau ada rezeki, ada laa orang datang cari kita, nak masuk dalam geng kita" Jawab Jalal tanpa menoleh ke arah Nasir. Matanya ralit membaca TWEET.

                                                                               BEDEBUK

Sebiji penumbuk singgah di pipi Jalal. Kesemua mata memandang ke arah Jalal yang sedang menggelupur kesakitan.

                                                                                      ***


Setelah dua jam lamanya, Jalal kembali ke warung di mana Nasir sedang menunggu keseorangan. Wajah Nasir sedikit ceria bila terpandang Jalal kembali dengan tidak bertangan kosong.

Seorang remaja dalam linkungan 15 tahun dibawa Jalal mengadap Nasir.

"Ni hah, budak ni nak join kita" Jalal bersuara. 

Di belakang Jalal, remaja itu hanya tersengih-sengih. Gerun melihat Nasir yang berwajah bengis.

Jalal menarik kerusi yang tinggalkan tadi lalu duduk di situ sementara remaja itu masih berdiri kaku di hadapan Nasir dan Jalal. Kepalanya yang benjol akibat ditumbuk Nasir tadi digosok berkali-kali.

"Berikan satu sebab kenapa kau nak join geng aku ?" Nasir bertanya. Nada suaranya ditekankan supaya nampak lebih garang dan tidak berhati perut.

"Errrr......saya nak kena pukul, bang" Remaja itu jawab gugup.

"Tak apa. Kau jangan risau, lepas kau duduk bawah aku, dah jadi geng aku, tak ada siapa lagi berani pukul kau lagi. Aku ni Nasir Si Pembelah Angin tau" Nasir bercakap dalam nada angkuh. Dadanya ditepuk berkali-kali seperti gorila hendak mengamuk kerana anaknya dicuri pemburu haram.

Jalal mengangguk ke arah remaja itu sambil mencium tangannya berkali-kali. Bunyi Cup Cup Cup yang dihasilkan dari ciuman itu jelas kedengaran. 
 
Remaja tersebut hanya berdiam diri. Berdiri kaku tiada respon. 

"Hmmmm. Disebabkan hari ni aku ada masa terluang, jom kau bawa pergi jumpa dengan orang yang nak pukul kau tu. Biar aku ajar dia" 

"Tapi bangg......"

"Tak ada tapi-tapi. Ni bukan dalam drama Melayu nak ada tapi-tapi. Kalau aku cakap sekarang, maknanya sekarang. Kau faham ?" Nasir mencelah.

Sebaik saja Nasir habis bercakap, Jalal bingkas bangun dari duduknya. Tidak mahu ditumbuk kali kedua.

 Maka, bergeraklah mereka ke tempat yang dituju. Di sepanjang perjalanan, Nasir sudah berkira-kira, apa-apa hal harus dahulukan dengan sebiji penumbuk ke muka pengacau. Stelah itu baru berbincang elok-elok.

Manakala Jalal pula sudah 2 3 kali berhenti untuk mengikat tali kasut yang dipakainya. Di kotak fikiran Jalal, dia sudah merancang jika Nasir tewas dalam pergelutan, dia akan berlari selaju mungkin. Tali kasut diikat supaya kasutnya tidak tercabut semasa aberlari nanti.

"Tu laa tempatnya, bang" Remaja tu berkata sebaik tiba di tempat yang dituju. Jari telunjuknya tercokeng.

Nasir tergamam. Jalal sudah bersedia hendak berlari menyelamatkan diri.

                                                                                         ***

Di dalam sebuah bangsal buruk, Nasir memukul telur dengan penuh beremosi sambil diselang-selikan dengan senyuman palsu ke arah makcik tua yang sedang mengaul tepung sehingga sebati.

"Untung laa anak ni datang tolong makcik pukulkan telur ni. Nak harapkan si Sahak tu entah bila dia rajin agaknya. Dah laa banyak tempahan kuih makcik nak kena buat ni" Ujar makcik tua.

Nasir tidak menjawab.

"Kau dua orang tunggu situ kejap. Kejap lagi aku dah siap pukul telur ni, kita balik sama-sama. Ok" Nasir separuh menjerit memandang ke arah Jalal dan remaja tersebut yang berada di muka pintu.

Tuesday, August 18, 2015

Dialog Rakyat : Musibah

Tommy dan Hilfiger sedang memancing ikan di sebatang sungai. Beberapa ekor ikan Patin bersaiz sedap dimasak gulai tempoyak berjaya didaratkan. Sambil menunggu ikan yang seterusnya memakan umpan, mereka berbual-bual mengenai musibah yang sedang melanda negara.

Tommy : Banyak juga musibah yang melanda negara sekarang ni, Hilfiger.
Hilfiger : Itulah, aku pun  perasan juga. Kapal terbang hilang, kapal terbang terhempas. Hmm..
Tommy : Kapal minyak pun hilang juga, nasib baik dah jumpa. Bongok punya lanun!
Hilfiger : Agaknya lepas ni kapal apa pula yang dilanda musibah?
Tommy : Mungkin kapal layar orang kaya yang sedang beromen dengan perempuan simpanan di Pulau Langkawi.
Hilfiger : Kah! Kah! Kah!
Tommy : Pasal duit derma 2.6 bilion ni pun kira musibah juga kan?
Hilfiger : Aku rasa musibah juga. Bawa masuk Bangladesh 1.5 juta musibah juga. Ha, lagi?
Tommy : Banyak lagi musibah yang kita tak perasan. Salah satunya teori konspirasi kepada setiap musibah yang berlaku. Mengaitkan kapal terbang dirampas kerana terdapat buah manggis, misalnya. Tak patut betul.
Hilfiger : Juga komen-komen keyboard warrior di Facebook selepas setiap musibah berlaku. Itu pun kira musibah juga. Maknanya, musibah ni berlarutan.
Tommy : Aku bersetuju dengan pendapat kau! ( Memberikan satu tumbukan padu ke udara )
Hilfiger : Ada lagi satu musibah yang kau tak perasan, Tommy.
Tommy : Apa?
Hilfiger : Akademi Fantasia musim baru.

Kring! Bunyi loceng yang dipasang pada hujung joran Tommy berbunyi. Melendut ke bawah batang joran berjenama Seahawk sepanjang enam kaki itu. Setelah bertarung selama 19 minit dengan bantuan mesin berjenama Abu Garcia dengan keupayaan 12+1 ball bearing, seekor ikan Tapah seberat 13 kilogram Berjaya didaratkan.

Sunday, August 16, 2015

Makwe Yang Ingin Bermain Gitar

Di dalam kedai menjual peralatan muzik, Mustaqim bermain gitar dengan gembira. Jarinya lincah menari di atas fret gitar. Walaupun kadang-kadang temponya berterabur ketika mengikut lagu ST-12 // Jangan Pernah Berubah, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat Mustaqim dari terus bermain gitar dengan riak dan angkuh.


Penat bermain gitar, Mustaqim mencapai iPhone miliknya lalu membuka aplikasi Twitter dan men-tweet "Done goreng maut lagu H.I.M // Sweet 666".


"Assalamualaikum, bang" Seorang makwe memberi salam sekaligus meragut ketenangan Mustaqim dari terus membaca tweet meroyan dari kenalannya di dalam Twitter.


Mustaqim terdiam, terpana dan terbata bila menoleh ke arah makwe tersebut. Cantik dan elok paras rupanya, parut di mukanya ditutup elok dengan mekap tebal. Bibir pula dipadankan dengan gincu kaler merah. Rambutnya dikaler dengan beraneka kaler - merah, hitam, perang, ungu. 


"Fuh. Sekali pandang macam Avril Lavigne. Mungkinkah ini bidadari yang baru turun dari Syurga" Mustaqim bercakap dalam hati. Memuji dalam diam. 


"Ya saya. Ada apa ?" Tanpa menjawab salam, Mustaqim terus bertanya.


"Saya nak tanya, sini ada kelas mengajar main gitar tak ? Saya teringin nak main gitar tapi itulah, tak ada orang nak ajar saya" Makwe cantik bercakap dengan suara halus.


Entah dari mana datangnya, secara tiba-tiba Mustaqim dapat merasakan semangat Hang Tuah meresap masuk ke dalam tubuh badannya. Mustaqim rasa bersemangat secara mengejut. 


Bersemangat hendak mengajar orang bermain gitar padahal kalau didengar betul-betul, cara Mustaqim bermain gitar tak adalah power mana pun sebenarnya, macam orang rosak akidah sikit-sikit. Tempo ke laut, kord gitar pegang tak kemas, strumming hanya tahu one two one two.


Tetapi disebabkan yang berdiri di hadapannya seorang makwe cantik, Mustaqim buat-buat handal. Keyakinan itu penting. Terer ke tidak, itu belakang kira.


"Kat sini tak ada mengajar main gitar tapi kalau awak tak kisah, saya boleh mengajar awak secara peribadi sikit-sikit. Errr, maksud saya, saya ajar basic laaa. Tapi kalau awak nak cepat pandai, awak kena ada gitar sendiri. Awak ada gitar ?" Panjang lebar penerangan Mustaqim. 


"Tak ada. Tu pasal saya tanya , kot kalau abang boleh ajar, saya ajak mak saya beli gitar kat sini. Hihihi" Makwe cantik gelak kecil. Entah menda yang kelakar.


"Saya boleh ajar. Nanti ajak laa mak datang sini beli gitar" Mustaqim bercakap serupa ahli perniagaan minyak terkemuka dunia. 


"Ok laa kalau macam tu. Errr, abang ada bisnes card ? Senang nanti nak kontek kalau apa-apa hal"


"Here we go" Balas Mustaqim dalam bahasa Omputih, bisnes card dihulurkan pada makwe cantik.


"Terima kasih, nanti apa-apa hal saya call balik" Kata makwe cantik sambil berlalu pergi.


Mustaqim balas dengan anggukkan kepala.


Mustaqim memerhatikan belakang makwe cantik kejap atas, kejap bawah. Cara makwe cantik berjalan mengundang fikiran kuning ke dalam kotak fikiran Mustaqim.


Seluar skinny jeans yang dipakai makwe cantik jelas menampakkan punggungnya yang padu. 


"Mantap" Mustaqim geleng kepala.


                                                                                       ***


Mustaqim berbaring di hadapan tv menonton Buletin3, sebuah stesen tv yang banyak menipu, merepek ke perkara yang bukan-bukan dan adakalanya menayangkan hiburan yang acah-acah kelakar.


Walaupun stesen tv itu selalu dimaki hamun, kena mencarut oleh penonton, drama jam 7 tetap mendapat tempat di hati penonton.


Sedang ralit Mustaqim menonton berita propaganda, iPhone miliknya berbunyi menandakan mesej diterima.


                                                                      TRUT TRUTT TRUTTTT


Dengan gaya ular sawa baru lepas melahap seekor kambing, Mustaqim merangkak mencapai iPhone miliknya.  Di skrin, tertera satu mesej yang dihantar dari nombor yang tidak dikenali. Mustaqim buka mesej.


"Salam, bang. Ni saye Shida yang datang kedai abang tanya pasal nak belajar main gitar tuh. Saye ingat tak jadik laa nak belajar main gitar. Mak saye kabor main gitar tu permainan Syaitan"


Mustaqim mengucap panjang.

Kacau

"Aku bukan cakap besar laa, Pidot. Sengaja laa aku nak bagitau kau ni, semalam lepas kita balik dari main snuker tu, aku berlawan dengan jembalang tanah, betul-betul depan kolam Pak Usop tu. Baran betul aku dengan jembalang tanah tu, dahlah perasaan marah aku pasal kalah main snuker tu tak hilang lagi, lepas tu berani pulok jembalang tu usik mengacau aku. Dia ingat dia tu siapa ?"


Di kedai kopi Wak Garip, Rosli bercerita pada kawannya, Pidot. Asap rokok yang dihembus Rosli berkepul-kepul menjulang naik ke udara. Pidot yang tekun mendengar cerita Rosli hanya mengangguk kepala beberapa kali.


Rosli ni kalau hendak dikira ilmu batin, ilmu santau menyantau, memang tidak dinafikan ilmu dia memang power. Kalau dibawa masuk bertanding di Pertandingan Ilmu Hitam Peringkat Dunia, mesti dia boleh merangkul gelaran juara.


Nyaris-nyaris juga Rosli hendak dapat gelaran Pawang di dalam kampung, namun dek kerana kesilapan terlewat bangun pagi ketika Hari Pemilihan Pawang, nama Rosli digugurkan sekaligus digantikan dengan nama Tok Anjang. 


"Power gila kau, Rosli. Siapa menang dalam pergaduhan tu ?" Pidot bertanya.


"Hmmmm. Aku nyaris dah nak menang tapi kau tau laaa, jembalang tanah ni suka main kotor. Minit-minit terakhir tu boleh pulak dia baling pasir dalam mata aku, kalah laa aku" Rosli jawab jujur. Air teh o yang masih berasap dicicip elok ke mulut.


Pidot geleng kepala tanda kasihan, bersimpati dengan nasib yang menimpa Rosli. Pidot tahu, kalah di saat-saat akhir boleh membuatkan mangsa mengalami kemurungan berpanjangan. Pidot pernah lalui dan rasa bagaimana sakitnya kalah di saat-saat terakhir itu - tunang yang dicintai lari bersama kekasih gelap ketika malam akad nikah.


Sedang enak Rosli dan Pidot bersembang Pom Pam Pom Pam serupa orang hilang pedoman, seorang pemuda yang duduk di meja bersebelahan datang menghampiri mereka berdua. Wajahnya barai, rambut kusut tidak bersikat, bawah mata lebam menghitam seperti kebanyakkan orang tidak cukup tidur, misai panjang sebelah akibat tidak trim sekata.


"Bang, saya terdengar perbualan abang tadi. Dengarnya abang ni handal dalam bab berilmu ni, kalau abang tak keberatan, boleh tak abang tolong saya ?" Mamat berserabai bertanya tanpa malu-malu. Laju percakapannya.


"Stop. Kau stop bercakap. Kau jangan cakap apa-apa. Sekilas kambing berlari, aku dah tau mana jantan, mana betina. Masa kau duduk kat meja sebelah tu tadi pun aku dah dapat rasakan apa masalah kau. Kau bertenang, rilekss" Rosli bercakap gaya-gaya bomoh dalam drama Melayu. 


Pidot menganggukkan kepala ke arah mamat barai tanda menyokong keras dengan pendapat Rosli. Matanya mengecil.


"Brader ni power. Hal ilmu hitam, santau orang, semua dalam poket seluar dia je. Brader ni boleh tolong kau tapi itulah, setiap kerja mesti ada pengeras" Pidot menambah secukup rasa.


"Wak Garip, mee goreng basah dua. Milo ais dua !" Rosli menjerit mantap. 


Dua tiga orang pakcik yang berada di dalam kedai memandang ke arah Rosli. Rosli balas pandangan dengan senyuman sehingga menampakkan giginya yang berterabur dan berlapis.


"Jangan risau, bro. Pengeras aku tak banyak, tak payah pulut kuning ayam panggang, kau belanja cawan dan pinggan yang ada atas meja ni pun dah cukup dah. Ouh ya, dan mee goreng basah yang aku baru order tu" Rosli menunjukkan pinggan mangkuk kosong yang berada di atas meja.


Pidot tersengih memandang Rosli. Ibu jari Pidot terangkat kemas menunjukkan tanda bagus. 


"Boleh bang, boleh" Mamat berserabai jawab pendek.


"Kau cerita laaa menda masalah kau" 


"Eh, tadi abang kabor abang dah tau masalah saya ?" Mamat berserabai bertanya.


"Err...Errrr... Aku tau masalah kau tapi aku tak faham. Jadi sekarang ni kau cerita laa apa masalah kau sampai aku faham. Hah, gitu" Rosli beri alasan.


Pidot mengangguk kepala seperti seekor kucing digigit kutu babi. 


"Hmmm. Gini bang, sebenarnya saya ni kena kacau. Saya dah tak larat dah bang, tiap-tiap hari saya kena kacau, bang. Hidup saya dah jadi tak menentu, kadang-kadang nak tidur pun tak boleh sebab selalu sangat kena kacau. Ni, abang tengok rambut saya ni, saya nak sikat rambut pun tak sempat, bang. Abang tolong laa saya" Mamat berserabai merayu serupa anak kecil meminta gula-gula.


"Cilaka punya setan ! Aku tahu ni mesti angkara setan laknat nak menyesatkan kita umat manusia ! Setan sengaja kacau kau supaya kau tunduk pada dia !" Rosli baran. Meja makan ditumbuk kecil tanda menahan amarah.


"Kau bawa aku kat mana tempat selalu kau kena kacau tu ! Sekarang !" Rosli menambah lagi.


"Errr.... mee goreng tu tak siap lagi tu. Lepas makan mee goreng, budak ni bayar semua, baru kita pergi. Amacam ?" Pidot bercakap perlahan, berbisik pada Rosli.


Rosli angguk. Tersengih.


                                                                                      ***


"Ni laa tempat saya yang selalu saya kena kacau tu, bang" Kata mamat berserabai. Jari telunjuknya ditunjukkan ke arah sebuah bangsal buruk menanti rebah ke Bumi.


Di tepi bangsal buruk, seorang pakcik tua bongkok sedang memegang sebatang kayu merenung mereka bertiga dengan pandang tajam seperti seekor helang mahu menangkap tikus padi. 


Rosli terkumat-kamit membaca jampi serampah yang mana patut dibaca. Garam dan beras diadun sebati digenggam kemas.


Pidot berdebar. Rintik-rintik peluh mengalir laju di dahi. Sekali-sekala Pidot lap dahi dengan menggunakan lengan baju.


Mamat berserabai buat rilekss.


"Hah, balik pun kau, Leman. Ni siap bawa kawan-kawan ni bagus laa, boleh korang bergotong-royong kacau dodol ni sama-sama. Kayu api, bahan-bahan nak buat dodol ni semua ni abah dah siap potong dah, tinggal kau je nak kacau dodol ni, Leman" Pakcik tua bersuara tersekat-sekat.


Rosli pandang Pidot. Pidot pandang Rosli. Rosli dan Pidot pandang mamat berserabai. Mamat berserabai tersengih.


                                                     DUP DUP DUP DEBUK DUP DUP DEBUK


Esoknya, Wak Garip geleng kepala baca muka pertama Harian Metro.



KUANTAN, Selasa - Dua sahabat ditahan polis kerana mencederakan seorang pengacau dodol bertempat di bangsal buruk pada pukul 4.35 petang semalam. Menurut saksi, kejadian berlaku apabila kedua-dua sahabat itu tidak berpuas hati dengan mangsa kerana memberi maklumat palsu tentang "Kacau". 


Dikatakan mangsa iaitu tukang kacau dodol cuba meminta pertolongan dari kedua-dua sahabat itu namun kerana salah faham, kedua-dua bertindak agresif kerana terasa diri mereka dipermainkan sedemikian rupa.

Friday, August 14, 2015

Dialog Rakyat : Air Anugerah



Mustaqim memberhentikan motosikal betul-betul di hadapan kaki lima kedai kopi Pak Wahab. Dia mencapai akhbar Harian Metro di dalam bakulnya dan terus melangkah ke sebuah meja yang masih kosong. Di sebelah meja itu kelihatan susuk tubuh gempal Asyraf sedang menikmati sarapan pagi Nasi Lemak berlaukkan sambal kerang. 

Mustaqim        : Pak Wahab, bagi teh tarik satu. Kurang manis. Makan macam biasa, Nasi Kerabu.
Pak Wahab      : Okay. ( Sambil menunjukkan isyarat ibu jari )
Mustaqim        : Kau ni Asyraf, control lah sikit makan tu. Badan dah serupa beruang aku tengok.
Asyraf             : Aku macam beruang, kau macam apa? Monyet?
Mustaqim        : Kah! Kah! Kah! Marah ke? Amboi, bergurau sikit tak boleh.
Asyraf            : Ah, kau memang mulut puaka pun. Satu kampung dah kenal. Mustaqim Mulut Puaka!
Mustaqim        : Kah! Kah! Kah! Ni, kau tengok paper hari ni.
Asyraf             : Apa bendanya dalam paper hari ni?
Mustaqim        : Ni ha, kau tengok iklan Air Anugerah Terindah ni. Ada ke patut jual agama macam ni gaya? Kau rasa macam mana?
Asyraf             : Entahlah, aku tak pandai sangat bab agama ni. Kau mintak pendapat Lebai Salleh jela kalau nak tahu.
Mustaqim      : Aku rasa tak patut betul. Air mineral sebotol baru seringgit. Ini air yang dibaca dengan ayat suci dijual dengan harga lima ringgit sebotol. Tak ke menjaja agama namanya tu?
Asyraf             : Kau tanya jelah pendapat Lebai Salleh nanti. Aku tak tahu.
Mustaqim        : Ah, entah-entah Lebai Salleh pun agen air ni juga agaknya.
Asyraf             : Tak baik kau bersangka buruk macam tu.
Mustaqim     : Kah! Kah! Kah! Aku rasa baik dia suruh budak-budak tahfiz tu pergi mengaji kat empangan je. Semua orang dapat rasa air yang dibaca dengan ayat suci ni kan? Tak payah nak jual mahal-mahal sangat. Masukkan aje sekali dalm bil air tu nanti. Kah! Kah! Kah!
Asyraf             : Kalau macam tu, kau jelah pergi mengaji kat empangan. Tak payah nak minta tolong budak tahfiz. Boleh juga kau beramal, cover balik dosa-dosa yang pernah kau buat.
Mustaqim        : Err.. errr… Aku bukan tahfiz laa..!
Asyraf             : Apa salahnya. Baca jelah, bukan nak suruh hafaz pun. Sama juga kan?
Mustaqim        : Err… errr… Aku…
Asyraf             : Aku apanya lagi Mustaqim?
Mustaqim        : Aku ni belum khatam Quran lagi sebenarnya.

Asyraf membayar harga sarapan yang dimakannya itu. Dia turut membayar sarapan Mustaqim.
Sebelum dia berlalu pergi, dia sempat berpesan kepada Mustaqim dalam bentuk pantun ;
                             Paku dulang, paku serpih,
                            Mengata orang, dia yang lebih.

Tuesday, August 11, 2015

Antologi Gagalis : Kita Bermula Dari Kegagalan



Antologi Gagalis : Kita Bermula Dari Kegagalan
Sudah tiga hari aku di kampung. Cuti masih berbaki empat hari dan aku sudah mati akal. Mak dan abah keluar ke balai raya, ada wakil rakyat datang mahu memberikan janji-janji palsu. Kawan-kawan pun semua sedang sibuk bekerja. Aku mengelamun sendirian dalam jiwa yang hanyut terkenangkan perkara yang telah lama berlalu. Yang telah jauh.
                Aku mencapai tuala dan mandi. Usai membersihkan badan aku terus bersiap. Mahu ke bandar Kuantan, mencari apa yang boleh dicari. Melihat apa yang boleh dilihat. Sampai sahaja di bandar, aku terlihatkan bangunan Kuantan Parade. Sebuah kompleks membeli-belah pujaan orang Kuantan. Sudah lama tidak menjejak kaki di sini. Aku memberikan isyarat signal ke kiri dan terus membelok ke Kuantan Parade.
                Setelah mendapatkan parkir, aku berjalan masuk ke dalam Kuantan Parade. Tidak banyak yang berubah, masih sama seperti dahulu Cuma sudah tidak kelihatan budak-budak ‘bustand’ yang berpeleseran di situ. Sudah bertaubat barangkali. Aku melangkah malas menaiki tangga dan terus ke kedai buku MBS di tingkat satu. Langkahku terus ke bahagian buku fiksyen.
                Seorang wanita bertudung kelabu sedang khusyuk membelek sebuah novel. Membelek helaian demi helaian. Dia berdiri bertentangan dengan aku. Haruman minyak wangi Dior menusuk deria aku. Bau yang pernah aku kenal. Aku memegang sebuah buku fiksyen, mataku masih tajam memandangnya. Wanita bertudung kelabu itu mungkin perasan dengan tingkah aku, dia mendongak memandang aku perlahan-lahan. Aqilah!
* * * * *      
Ketuk! Ketuk! Ketuk!
Pintu bilik aku diketuk dengan kuat. Aku membuka daun pintu dan terpacul wajah Aizat, classmate aku yang juga Biro Aktiviti Sosial di kampus. Seorang yang berkaca mata berbingkai tebal dan bermisai nipis. Anak jati kelahiran Kedah, bertubuh tinggi lampai dan seorang pemain bola tampar kolej. Sangat merbahaya di hadapan jaring jika diberikan bola tanggung. Pakar spike dengan pukulan ‘paku’ yang selalu mematikan servis pihak lawan. Aku mendongak.
                “Hah, apahal ni? Macam setan je cara ketuk pintu bilik aku. Macam nak runtuh,”
                “Kah! Kah! Kah! Rilekslah woi. Awat dok baran sangat ni? Ada benda sikit nak minta tolong dengan hang ni,”
                “Nak minta tolong apa?”
                “Lagu ni, malam satgi depa nak buat upacara penutup minggu suai kenal. Ada buat baca puisi. Nanti Mat Yed baca puisi hang main gitar, boleh dak?”
                “Pasang jelah mp3 ke, minus one ke, lagi senang,”
                “Tak sempoi buat lagu tu. Kalau hang main gitar baru real,”
                Real apa? Real Madrid? Ada makan free tak?”
                “Ada sate malam ni wei. Hang mesti mau punya kan? Kahkahkah!”
                “Cilaka! Yelah, pukul berapa start?
                “Lapan. Satgi petang dalam pukul 6 hang mai la dewan dulu, boleh practice sat dengan Mat Yed,”
                Okay, okay,”
                “Tenkiu, wei. Jumpa satgi,”
                Aizat berlalu meninggalkan aku. Aku menutup daun pintu, juga menutup buku fiksyen yang baru beberapa helaian dibaca. Aku mencapai gitar kapuk di atas loker. Memetik-metik talinya dan seperti biasa, tuning dahulu.  Malas juga sebenarnya, tapi kasihan pula pada kawan-kawan yang meminta tolong. Tak dapatlah aku nak main bola petang ini, baru terfikir nak cuba crossing bola dengan gaya ‘rabona kick’ Cristiano Ronaldo yang aku lihat di You Tube malam semalam.
                Mat Yed sudah menunggu aku di dewan. Wajahnya nampak kelat. Aku tidak bertanya berapa lama dia menunggu, sebaliknya terus berkata “Jom,” dan dia mengangguk. Memang kami selalu membuat persembahan bersama. Pernah juga mewakili kolej untuk sayembara puisi, dapat tempat ketiga. Okaylah tu. Mat Yed sudah bersedia dengan kertas di tangan. Dia menyuruh aku memainkan lagu instrumental classic. Mat Yed membaca puisi dengan beremosi.

             Aku pegang paksi,
             Ada janji-janji,
Yang kau murkai,
Kau lupai,
Madah-madah berintonasi,
Mengganggu dan menggusari,
Malam-malam sepi,
Noktah bukan terhenti,
Angan bukan mimpi,
Sakit bukan mati,
Aku masih di sini,
Kau masih aku perhati,
Kau yang memungkiri,
Masa-masa yang berlalu pergi,
Tinggal menjadi memori-memori,
Yang merobek dinding hati,
Dan kau pergi lagi,
Tinggalkan aku bergelumang sendiri,
Ke mana kau pergi?
Wahai si pencuri hati,
Aku masih menanti. 

                “Woi, mana kau dapat sajak ni? Tak guna betul!” kata aku meninggi suara kepada Mat Yed. “Kah! Kah! Kah! Dalam buku yang aku pinjam kat kau minggu lepas. Ada terselit kertas dengan puisi tulisan tangan. Power juga kau punya puisi cinta ni, Iqram,”. Aku hanya menggeleng-geleng kepala. Malu pun ada juga sebenarnya. Belum pernah puisi aku dibacakan orang lain. Biasanya aku akan tulis dalam kertas dan simpan untuk koleksi sendiri sahaja. Tak pernah dihantar untuk menyertai mana-mana pertandingan.
                Malam ini aku di pentas, disaksikan dengan ratusan pelajar-pelajar baharu, juga yang lama. Tiba giliran kami untuk membuat persembahan. Entah mengapa, aku merasakan debaran yang tidak pernah aku alami sebelum ini. Mungkin sudah ketahuan yang Mat Yed akan membaca puisi hasil tangan aku sendiri. Aku cuba bertenang dengan membaca selawat berulang kali. Peluh-peluh jantan halus mula keluar di dahi saat Mat Yed memberikan isyarat untuk aku memulakan petikan gitar.
                Aku merasakan Mat Yed membacakan puisi ini dengan terlalu perlahan. Aku cuba fokus, sambil mata mengalihkan pandangan ke arah audiens. Mata terus tepat memandang ke arah seorang pelajar wanita di barisan ketiga kerusi. Dia duduk di hujung sekali dan pandangannya tajam ke arah aku. Aku terus mengalihkan pandangan, tunduk memandang tali gitar.
                Tepuk! Tepuk! Tepuk!
                Audiens memberikan tepukan yang gemuruh. Mat Yed mengucapkan terima kasih. Sempat juga dia berucap memberitahu yang dia membaca puisi karya aku tadi. Aku mengusung gitar turun dari pentas dan terus mencapai sapu tangan, mengelap peluh jantan yang degil. Debaran di atas pentas sudah mulai reda. Aku beransur pulih. Aku mengintai dari luar dewan ke arah gadis tadi. Dia sedang berbual dengan rakan sebelahnya. Aku perhatikan wajahnya. Cantik.
                “Wei! Dok usha apa tu?” Aizat mencucuk pinggang aku membuatkan aku terperanjat. Mujurlah aku tidak melatah, jika tidak mungkin gitar ini sudah singgah ke kepala Aizat. “Takde usha siapa-siapa pun,” balas aku. Aizat ketawa terbahak-bahak. Entah apa yang lucu pun aku tidak tahu. Aku mengambil kerusi dan duduk di luar dewan sahaja. Mencari posisi yang sesuai untuk melihat gadis tadi tanpa sebarang lindungan objek pejal.
                Tamat sudah upacara penutup program suai kenal. Sekarang majlis yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan pelajar. Kesemua sebenarnya. Majlis jamuan. Sudah panjang barisan yang beratur untuk mengambil makanan. Aku mengambil air terlebih dahulu membasahkan tekak yang dahaga. Kehausan dek kerana debaran sewaktu orang lain membacakan karya aku.
                Ketika menghirup air dari gelas polisterin, aku ternampak kelibat gadis tadi. Dia juga seperti aku, tidak beratur mengambil makanan hanya mengambil segelas air bersama seorang lagi kawannya. Aku terus leka memerhatikan tingkahnya. Dia duduk di sebuah kerusi di luar perkarangan dewan, tidak jauh dari aku. Mungkin dua puluh langkah. Kemudian, dia berpaling ke arah aku. Dia tersenyum. “Ah, dia perasan pula,”
                “Wei, kalau hang berkenan kat dia, pergilah tegoq. Satgi melepaih, hang juga hat melopong.  Gentle jaa, Iqram,” sekali lagi aku kantoi dengan Aizat. Aku hanya memandang Aizat, senyum dan menggeleng-geleng kepala. “Okay, kalau hang tak mau pi, biaq aku yang bagi tau kat dia, hang nak minta nombot handphone dia. Aku pi la ni juga,” Aizat menyambung, aku terus menarik lengannya. “Kau jangan buat gila,” kata aku.
                “Kalau lagu tu aku suruh Mat Yed pi bagi kertas hat hang tulis puisi tu kat dia. Mat Yedddd!” Aizat memekik. Mat Yed tiba dan menunjukkan kertas puisi aku di tangannya. Dia mengacah-acah untuk berjalan ke arah gadis itu. “Woi, jangan woi!” aku melarang Mat Yed. Aku bangun dari kerusi. “Okay, okay, aku pergi kat dia. Korang berdua boleh pergi mati sekarang,” balas aku dan disambut dengan hilai tawa Aizat dan Mat Yed.
                Entah mengapa, kaki aku dikurniakan kekuatan untuk pergi ke arah gadis itu dalam keadaan jantung yang berdebar, tidak stabil denyutannya, aku menghampiri gadis itu. “Tak makan ke?” pertanyaan pertama aku memulakan bicara. Entah betul atau silap cara aku menegur ini, aku tidak tahu. “Assalamualaikum, tengah ramai lagi beratur,” balas gadis itu. Nampaknya cara aku silap untuk menegur buat kali pertama. “Waalaikumussalam,” aku tersipu, dia tersenyum. Manis!
                “Sedap persembahan awak tadi. Puisi pun boleh tahan,” belum sempat aku memikirkan soalan untuk seterusnya dia membuka bicara lagi. Aku tersenyum dan memerhatikan name tag yang dipakainya. Nurul Aqilah. “Terima kasih, Nurul Aqilah,” aku membalas. “Biasa-biasa je tu. Persembahan tangkap muat,” sambungku lagi. Dia tersenyum memegang name tag yang dipakai. “Kalau bukan persembahan tangkap muat, mesti lagi bagus kan?” kata Aqilah. “Entahlah, mungkin iya, mungkin tidak,” balas aku.
                “Orang dah kurang beratur tu, jom kita pergi ambil makanan,” aku tak tahu bagaimana aku boleh mempelawa Aqilah. Mungkin sudah kehabisan idea untuk berbicara soal lain. Aqilah memandang kawannya di sebelah dan mengangguk. “Jom,” katanya. Saat itu, aku rasa bagaikan seorang pemenang. Aku memandang Aizat dan Mat Yed, melemparkan senyuman nipis dan mengangkat tangan menunjukkan isyarat menyuapkan makanan ke dalam mulu sebagai tanda mengajak mereka makan bersama.
                Aku, Aizat, Mat Yed, Aqilah dan kawannya, Fatin makan bersama-sama malam itu. Banyak perkara yang dibualkan kami seolah-olah telah lama berkenalan. Entah mengapa, kemesraan itu cepat benar terjalin dalam maasa yang singkat. Mungkin menyedari yang masing-masing berada di bawah satu payung yang sama. Esok lusa akan berjumpa lagi.
                Kemesraan itu terus terjalin antara kami semua. Semakin hari semakin baik perhubungan. Aku semakin berminat untuk menyertai program-program yang dianjurkan kampus. Minat aku hanya apabila Aqilah turut serta terlibat. Hari demi hari berlalu dan hubungan kami bertambah rapat walaupun belum bergelar ‘kekasih rasmi’ dan belum pernah salah seorang daripada kami mengucapkan I love You baik dalam nyata mahupun maya. Tetapi aku cukup senang dengan Aqilah. Bahagia.
                Sejujurnya aku harus akui yang aku mencintai Aqilah. Tetapi mulut berat untuk mengungkapkannya. Hanya hati yang tahu. Tahukah dia? Sampai bila aku harus memendam perasaan? Biarlah, aku lebih selesa begini. Mungkin Aqilah juga begitu kerana aku tidak pernah melihat dia merasa tidak selesa bersama dengan aku. Dia tidak pernah menyakiti aku dan membuatkan aku merasa kurang senang. Cuma aku berasa rindu jika tidak bertemu dengan dia dalam sehari. Semoga dia juga begitu.
                Hubungan kami terus mesra. Banyak perkara yang dikongsikan bersama, tiada sengketa. Masa berlalu laju. Semester sudah tiba di penghujungnya. Peperiksaan akhir akan tiba beberapa hari sahaja lagi. Ketika ini kami sudah jarang bertemu, lebih banyak berhubung melalui SMS. Iya, aku sedar ini semester aku yang terakhir, dan Aqilah pula semester pertama. Selepas aku tamat belajar, entah bila kami akan bertemu lagi. Atau mungkin tidak akan bertemu lagi selepas ini. Tak mungkin.
                Selepas tamat peperiksaan, aku mengajak Aqilah berjumpa di bandar. Barang-barang semua sudah aku kemas, hanya menunggu masa untuk pulang. Kami duduk di sebuah kerusi di sebuah taman. Tempat yang terlalu klise buat pasangan yang bercinta. Itu saja pilihan yang ada. Kami berbual-bual tentang perkara-perkara yang ringan untuk dibincangkan.
                “Awak belajar baik-baik ya lepas ni, jangan kecewakan ibu dan bapa awak,”
                “Awak pun sama, lepas ni kalau sudah dapat kerja, kerjalah baik-baik juga,”
                “Lepas ni, tak tahu bila pula kita boleh jumpa,”
                “Kenapa? Awak dah tak nak jumpa saya lagi ke?”
               “Bukan macam itu, maksud saya kita dah tak boleh berjumpa dengan kerap seperti sebelum-sebelum ini,”
                “Insya-Allah, kalau ada rezeki kita akan berjumpa juga nanti, saya pun masih lama lagi di sini,”
                “Saya doakan awak berjaya. Jangan lupakan saya nanti, okay?
                “Amin. Saya takkan lupakan awaklah, budak seniman,”
                Aku bersalaman dengan semua kawan. Perasaan sebak ada terasa saat berpelukan dengan Aizat dan Mat Yed. Banyak kenangan yang terpaksa aku tinggalkan walaupun berat hati. Kawan-kawan yang banyak memberi semangat, dorongan, gurau senda dan segalanya. Selamat tinggal sahabat, semoga kita berjumpa lagi. Selamat tinggal Aqilah, bukan untuk selamanya.
Enam bulan berlalu, aku masih belum mendapat sebarang tawaran kerja. Sekadar membuat kerja-kerja sambilan di kampung yang tidak seberapa upahnya. Dapatlah untuk membeli prepaid untuk aku terus berhubung dengan Aqilah. Dia baik-baik sahaja di sana katanya. Jika ada kelapangan, aku akan ke cyber cafe untuk berhubung dengan Aqilah menggunakan Yahoo Mesenger atau Skype. Aku mengadu kepadanya susah untuk mencari kerja. Dia minta aku bersabar dan terus berusaha, jangan lupa bersolat hajat dan berdoa. Baik, Aqilah!
                Aku akhirnya mendapat tawaran kerja jauh di Utara tanah air. Meninggalkan kampung halaman di Pantai Timur, meninggalkan Aqilah di Selatan tanah air. Hari demi hari yang berlalu, bulan demi bulan yang berlalu. Aku merasakan hubungan kami semakin renggang, semakin jauh sebagaimana jarak terpisah. Tidak lagi kerap berhubung. Aku sibuk bekerja dan dia sibuk belajar. Dan hari-hari aku mula merasakan kekosongan. Kesunyian.
                Jiwa yang kesunyian dan didatangi pula seseorang yang mahu berdamping. Tidak berdaya untuk menolak. Tiada upaya untuk menidakkannya. Kehadiran sesorang yang aku harapkan mampu mengisi kekosongan hati. Kekosongan yang sengaja aku ciptakan sendiri. Menjauhkan diri dengan jarak, menjarakkan diri dengan berdiam. Tiada lagi perkhabaran tentang Aqilah. Tiada rasa bersalah bagi aku kerana kami tidak pernah bergelar kekasih secara rasmi. Tiada declare apa-apa. Egois.
                Namun, bayangan Aqilah tetap muncul setiap kali aku menjalinkan hubungan yang serius dengan seseorang. Lama kelamaan hubungan itu terhenti begitu sahaja. Bukan sekali, malah berkali-kali. Aku gagal untuk tidak membandingkan mereka dengan Aqilah yang pernah aku kenali. Aku gagal untuk meyakini mereka lebih baik daripada Aqilah. Dan aku gagal untuk tidak dibayangi Aqilah. Mungkin balasan di atas kegagalan aku sendiri. Gagal mengungkapkan kata aku cinta padamu dan gagal menjaga perasaan cinta itu sebaik-baiknya.
                Bertahun-tahun aku hidup dalam kegagalan ini. Bertahun-tahun juga aku cuba mengatasi kegagalan ini. Namun masih tidak berjaya. Aqilah langsung tidak aku tahu khabar berita. Jika dinilai pada waktu, sudah dua tahun dia tamat belajar. Mungkin sudah bekerja, mungkin sudah berkahwin dan mungkin sudah menjadi ibu. Segala kemungkinan itulah yang membuatkan aku gagal menemui kekuatan untuk mencari dan menghubungi Aqilah. Jiwa diburu rasa bersalah dan penyesalan. Biarlah.
                                                                                * * * * *
                Aku terus pergi ke arah Aqilah. Dia tersenyum mesra. Senyuman yang masih sama seperti dahulu. Senyuman yang aku terlalu rindu. “Awak apa khabar Aqilah? Buat apa kat Kuantan ni?” tanya aku. “Alhamdulillah, sihat. Awak? Nampak makin kurus sekarang. Datang ke rumah kakak saya di Indera Mahkota,” dia menjawab. “Tak sangka boleh berjumpa di sini lepas 7 tahun,” kata aku. “6 tahun 9 bulan sebenarnya Iqram kita tak berjumpa,” jawab Aqilah.
                Aku terdiam dengan jawapan itu. Bersalah. Aqilah juga membisu, wajahnya tertunduk ke lantai bagai menyimpan kata-kata yang hendak diucapkan lagi. Amarah atau mungkin dendam. “Maafkan saya,” aku cuba menenangkan Aqilah. “It’s okay. Benda dah lama berlalu. Saya dah lupakan semua. Saya tak berdendam dengan awak dan awak tak perlu rasa bersalah, Iqram,” jawapan Aqilah yang membuatkan aku berasa tidak selesa sebenarnya. Dia sudah lupakan semua. Semua itu aku.
                “Umi! Umi!” jeritan kecil seorang kanak-kanak perempuan lingkungan umur 4 tahun mengejutkan aku. Dia meluru ke arah Aqilah dan memegang tangan Aqilah. “Umi, Dhia nak buku ni boleh?” tanya budak kecil yang comel itu sambil menunjukkan sebuah buku mewarna. “Boleh sayang, nanti Umi belikan ya,” jawab Aqilah. Aku tersenyum melihat keletah anak kecil itu. Kemungkinan yang telah lama aku fikirkan benar-benar terjadi. “Tahniah, Aqilah!” kata aku di dalam hati.
                “Berapa tahun umur anak awak ni, Aqilah?” aku bertanya sambil memegang pipi budak comel itu. “4 tahun 7 bulan,” jawab Aqilah, ringkas. “Mana ayahnya?” tanya aku lagi. “Ayah? Ayah dia di rumah. Iqram, ini anak kakak saya. Anak-anak buah saya semuanya panggil saya Umi,” jawab Aqilah. Aku tersenyum, tertunduk tersipu. “Saya belum kahwin lagi, Iqram. Awak?” sambung Aqilah sambil bertanya. “Saya? Belum juga. Belum cuba meminang sesiapa lagi. Boleh saya meminang awak?” jawab aku dan mengajukan soalan cepumas. “Belum cuba belum tahu. Kalau nak tahu cubalah dahulu,” jawab Aqilah menjeling mesra. Jelingan yang selalu aku rindukan.