Tuesday, July 28, 2015

Kempimpinan Diktator Seekor Ketua Monyet.

Di dalam sebuah hutan hujan tropika yang tebal, tinggal sekumpulan monyet dengan populasi antara 70 ke 80 ekor. Tidaklah dapat diketahui berapa jumlah monyet yang tepat kerana sukar untuk mengira bilangan monyet-monyet ini dek perangai mereka yang sering terkinja-kinja tidak tentu pasal.

Adapun sekumpulan monyet ini telah sepakat untuk memilih ketua mereka yang bernama Johnny. Johnny adalah anak kepada ketua monyet beberapa puluh tahun yang lalu, Johnson. Dek kerana berasa terhutang budi oleh jasa yang dilakukan oleh bapanya terhadap tamadun monyet, sekumpulan monyet ini melantik Johnny menjadi ketua mereka.

Johnny telah memilih seekor penolong untuk membantu ia melaksanakan tanggungjawab memimpin monyet-monyet yang lain. Penolong Johnny bernama Bernard yang kadangkala lembam juga dalam melaksanakan tugas. Walaubagaimanapun, kumpulan monyet ini tetap hidup dalam suasana muhibbah di dalam hutan ini.

Pada suatu hari, Johnny telah keluar ke kawasan kumpulan monyet yang lain untuk melawat tapak pembinaan sarang monyet yang dikatakan sangat strategik untuk membina suatu penempatan baharu. Johnny ditemani oleh pasangannya, Rosemary dan Loews, seekor pakar rundingan. Pemergian mereka ini bagaimanapun tidaklah diketahui oleh Bernard.

Johnny sangat berpuas hati dengan lawatan tersebut. Ia berminat untuk menjadikan tapak lawatannya itu sebagai kawasan baharu bagi penempatan baharu buat kumpulan monyet yang dipimpinnya. Johnny meminta Loews berunding dengan pemilik tanah kawasan tersebut, Franklin yang juga merupakan ketua kepada kumpulan monyet yang lain. Mereka berbincang selama beberapa hari dengan urusan secara sulit.

Akhirnya, persetujuan telah diperolehi. Franklin meminta Johnny membayar kawasan tersebut dengan harga sebanyak 300 tandan pisang emas. Johnny bersetuju untuk membayarnya dalam tempoh 14 bulan dan sekiranya gagal berbuat demikian, kebun-kebun pisang milik kumpulannya akan dirampas. Rosemary pula mencadangkan agar Johnny memberitahu kumpulan monyet yang dipimpinnya bahawa harga kawasan tersebut bernilai 400 tandan pisang emas. Johnny mengangguk.

Setelah beberapa hari berurusan, Bernard mula mengesaki ada sesuatu yang tidak kena setelah melihat hasil pisang emas semakin susut namun tiada pulangan yang setimpal. Bernard melantik monyet kanannya, Kelvin untuk menyiasat perkara ini. Kelvin adalah monyet yang sangat licik dalam hal membongkar rahsia monyet lain.

Setelah beberapa minit sahaja menyiasat, Kelvin berjaya membongkar rahsia sulit tersebut apabila melihat Loews sedang bersuka-ria dengan beberapa ekor monyet betina jalang. Di sekeliling Loews terdapat banyak kulit pisang emas yang berteraburan. Kelvin juga menyamar menjadi monyet betina jalang untuk mendengar perbualan Loews dengan Franklin. Maka bergegaslah Kelvin pulang untuk menyampaikan berita itu kepada Bernard.

Bernard menjadi sangat berang dengan hal tersebut. Ia terus memanggil monyet-monyet yang lain untuk mengadakan perhimpunan tergempar. Ketika itu, Johnny dan Rosemary sedang bercuti di sebuah kebun pisang montel yang terletak kira-kira 30 kilometer dari kawasan penempatan mereka. Maka berkumpullah monyet-monyet yang sedang sibuk menguruskan kebun pisang mereka untuk mendengar ucapan Bernard.

Bernard berdiri di atas sebatang dahan pohon tualang dan memberikan ucapannya. Bernard memberitahu monyet-monyet lain supaya menghentikan sebarang aktiviti berkaitan pisang emas. Bernard meminta agar monyet-monyet lain terus memberikan sokongan terhadap Johnny dan mengesyaki bahawa Loews dan Rosemary telah menipu Johnny berkenaan harga kawasan penempatan baharu mereka.

Adapun selepas pulang dari percutiannya, Johnny mengetahui akan hal ini selepas diberitahu oleh seekor monyet yang merupakan perisik rahsianya. Oleh kerana ia adalah perisik rahsia, maka nama monyet ini akan dirahsiakan juga. Jika tidak, bukanlah perisik rahsia namanya sekiranya namanya didedahkan kepada netizen.

Oleh kerana rasa tidak puas hati terhadap Bernard, Johnny telah melakukan kejutan dengan membuat rombakan besar-besaran terhadap tampuk pimpinan kumpulan monyet itu. Kelantangan Bernard akhirnya hanya membawa padah, apabila jawatannya selaku penolong ketua monyet dilucutkan dan diberikan kepada Zealand, bekas monyet tali barut yang acah-acah samseng.

Bernard amat terkejut dengan keputusan Johnny itu. Ia tidak menuduh Johnny menyonglap hasil pisang emas, sebaliknya Bernard mahu agar ketelusan dalam proses jual beli kawasan penempatan baharu yang diuruskan Loews. Namun Johnny tetap berkeras dan menunjukkan penguasaan diktatornya. Di sebalik tirai daun pelepah pisang, Rosemary hanya tersenyum nipis melihat reaksi kecewa Bernard yang dilucutkan jawatan.

Loews pula menghilangkan diri, namun ada maklumat mengatakan yang ia sedang berpeleseran dengan beberapa monyet betina jalang berketurunan Israel di hutan yang lain. Khabarnya, Loews membawa beratus-ratus tandan pisang emas yang dibeli dengan harga murah daripada monyet-monyet etniknya sendiri. Johnny pula merasakan yang dirinya telah berjaya melakukan suatu tindakan yang tepat untuk melantik Zealand sebagai penolong baharu. Zealand tersenyum dan mengenyit mata kepada Rosemary.

Maka dengan perlucutan jawatannya, Bernard pun mengambil keputusan untuk berhijrah ke tempat lain. Ia turut membawa ahli keluarganya dan 4 ekor pengikutnya yang setia termasuk Kelvin. Mereka membina tamadun baharu di tebing sebatang sungai yang airnya mengalir sendu. Sesendu hati Bernard yang amat terluka. 

Loews menghubungi Rosemary selepas mengetahui hal perlucutan jawatan Bernard.  "Hoi, Rosemary. Marilah datang ke tempat aku di Hutan Vegas ni, banyak barang hiasan mewah yang kau boleh beli. Jangan lupa ajak Zealand sekali. Ok, bye. "

Keesokannya, Johnny mendapat surat jemputan dari ketua pemerintah monyet Vegas untuk menghadiri majlis harijadinya. Ia pun berangkat ke sana membawa bersama Rosemary dan Zealand.


"Kau tulis apa dalam surat tu, Zealand?" tanya Rosemary kepada Zealand . "Aku tulis jemputan ke majlis hari jadi untuk ketua, isteri dan penolong," Zealand menjawab. "Kah! Kah! Kah! Kah! Kah! Kah! Kah!" mereka berdua gelak bersama-sama.

Friday, July 24, 2015

Sahak Bukan Superman

Di ruang tamu, Sahak khusyuk menaip di komputer ribanya, jarinya lincah seolah-olah orang sedang asyik menari-nari di atas butang huruf dan nombor. Penat jarinya menaip, Sahak berhenti sejenak mengambil nafas dengan membakar sebatang nikotin sekaligus memberi ruang kepada otaknya untuk terus mencari idea.

Minatnya Sahak terhadap penulisan memang tidak dapat dinafikan oleh kawan-kawannya. Beri saja pen dan kertas jika tiada komputer riba, pasti kertas itu akan dipenuhi dengan lukisan orang lidi dan ayat-ayat falsafah yang entah dari mana Sahak petik. Dan menurut dari sumber yang boleh dipercayai, Sahak pernah mengatakan "Aku rela ke penjara asalkan ada pen dan kertas bersama aku dan yang paling penting sekali, aku boleh keluar masuk penjara bila masa aku suka".

Akan tetapi, sudah menjadi lumrah manusia. Ada baik ada buruknya, ada kacak ada hodohnya, begitu jugalah dengan Sahak. Walaupun penulisan Sahak agak bagus dan agak "deep", Sahak tidak pernah walaupun sekali menghantar karya-karya miliknya ke pihak terbitan buku. Sahak tidak yakin dengan karya-karya yang ditulisnya.

"Sampai bila kau nak menulis untuk diri sendiri, Sahak ?" Mahadi, rakan serumahnya menegur.

Sahak yang asyik menghembus asap rokok berbentuk O terkesima mendengar pertanyaan rakan karibnya. Soalan yang berupa satu pertikaian terhadap sesuatu keputusan.

"Kau jangan salah faham. Maksud aku, bila kau nak hantar karya-karya milik kau ni ke syarikat penerbitan buku ? Bagi orang baca karya kau ? Aku tengok penulisan kau ni boleh pergi jauh ni" Mahadi bersuara lagi, menjelaskan niatnya yang sebenar.

Sahak menarik nafas. Dalam. Lama masa yang diambil untuk menjawab soalan Mahadi.

"Hmmmmm, aku tak yakin dengan penulisan aku" Sahak jawab pendek. Puntung rokok ditenyeh ke bekas abu rokok.

"Apa yang kau tak yakin ? Tatabahasa ? Ayat tak lengkap, berterabur ? Aku baca tengok ok je, tak ada masalah pun"

"Bukan pasal tu. Masalahnya sekarang ni, kat luar sana lagi ramai penulis yang lebih bagus dan power dari aku. Setakat karya aku ni apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan dia orang. Lagi pun aku rasa, aku lebih selesa menulis di blog. Sesiapa pun boleh membaca. Percuma"

"Itulah masalah orang kita ni, belum buat lagi dah rasa down. Kau kena tahu ni, Sahak. Menulis ni macam berniaga juga, penulis atau peniaga mesti kena ada perasaan optimis, kena berani main dengan risiko. Aku tengok ramai je penulis luar sana terlebih syok sendiri, perasan karya bagus tapi tak adalah bagus sangat sebenarnya. Kalau dia orang ada perasaan itu, kau pun patut kena ada perasaan tu. Baru adil. Lagipun kau belum cuba hantar harya kau, mana kau tahu orang tak boleh terima ?" Mahadi berikan pendapat.

"Kita ni dijadikan Tuhan dengan rasa dan perasaan yang berbeza-beza. Tak semua orang suka membaca di blog atau mana-mana laman sosial. Ada sesetengah orang, mereka lebih gemar membaca buku, bau kertas buku tu sendiri kadangkala boleh mengkhayalkan pembaca. Boleh membawa pembaca menghayati setiap ayat yang ditulis penulis" Mahadi sambung lagi.

Sahak terdiam. Sesungguhnya Sahak terkejut dengan pendapat yang diberikan oleh Mahadi, tidak pernah Sahak menyangka yang Mahadi mampu memberikan pendapat yang membina padahal Mahadi bukanlah seorang yang gemar membaca. Hanya kerja bengkel besi dan membaca pula mengikut statik rakyat Malaysia-baca buku bawah 12 buah dalam masa setahun.

"Aku bimbang penulisan aku ni dibayangi penulis-penulis tersohor je, Mahadi. Aku bimbang orang tuduh aku tak ada trademark sendiri dan tiru gaya penulisan orang lain. Benda ni pun kena pandang serius juga, pembaca sekarang bukan bodoh" Sahak meluahkan apa yang terbuku di hati. Wajah Mahadi yang dipenuhi dengan jerawat batu ditenung dalam.

Mahadi senyum. Nyalakan sebatang rokok. Bersembang tanpa ditemani bau nikotin memang menjerutkan perasaan. Mudah mati idea untuk terus bersembang rancak.

"Soal gaya penulisan tu kau tolak je tepi. Kalau dah gaya penulisan kau macam tu, siapa lagi mampu untuk menafikannya ?" Muncung mulut Mahadi hembus asap rokok.

Sahak mengangguk memikirkan ada benarnya kata-kata Mahadi. Seperti Indiana Jones yang baru berjaya mengalahkan musuh dengan libasan cemeti, semangat untuk Sahak terus menulis dan menghantar karyanya ke pihak penerbitan berkobar-kobar bagai api sukan Olimpik. Marak menyala.

"Terima kasih kerana terus bersama aku, Mahadi. Semoga kau terus aman di sana dan selalu dibawah lindungan Tuhan" Sahak bercakap dalam hati sebelum menuju ke bilik air, mengambil wuduk, menunaikan solat sunat dan panjatkan doa agar roh Mahadi dicucuri rahmat.

Thursday, July 23, 2015

Perbualan Malam Raya

Di tengah hiruk-pikuk dan kesibukan orang ramai, 5 anak muda yang punya wawasan duduk melepak  bersembang di kedai mamak tanpa sedikit pun mempedulikan keadaan sekeliling dan mata yang memandang. Walaupun teknologi peradaban dunia semakin canggih, hal ini sedikit pun tidak mengugat mereka dari terus menjaga Ketuanan Malam Melepak dari dibunuh bangsa sendiri.

Ketuanan Malam Melepak sudah lama mereka berlima menjaganya, dari generasi zaman Jepun sehingga kini. Ketuanan Malam Melepak ini harus dijaga sebaik mungkin kerana ianya hanya berlaku setahun sekali. Di mana ketika semua kutu pulang ke kampung halaman tempat membesar setelah penat-lelah bertarung mengumpul harta di kota besar.

Bila melepak dan bersembang secara pukal di malam Ketuanan Malam Melepak, banyak isu yang mereka berlima bualkan. Isu ekonomi, rumahtangga (bagi yang sudah berumahtangga), bentuk badan makwe, hal kampung dan kadang-kalanya meleret sehingga ke isu buah durian dan kebun Jamalludin.

Memetikkan kata pujangga "Persetankan apa yang dibualkan, yang pentingnya apa perasaan ketika berbual. Dan kawan yang bagus adalah kawan yang mampu berbual sehingga jam 5 pagi walaupun perbualan itu berkisarkan simen dan batu-bata"

"Esok apa plan kita wahai sahabat ? Kita nak beraya rumah siapa first ?" Pemuda yang bernama Butang bersuara setelah mereka puas bergelak ketawa mengutuk seekor burung puyuh. Entah bagaimana, mengapa dan kenapa mereka boleh mengutuk seekor burung puyuh pun mereka tidak pasti padahal burung puyuh tidak melakukan sebarang ancaman kepada mereka.

"Aku rasa kita patut mulakan beraya di rumah kau dahulu, Butang. Mak kau masak apa esok ?" Bulat memberi pendapat. Matanya berair akibat banyak ketawa itu dilap dengan menggunakan hujung lengan bajunya. Ketawanya masih tersisa.

Nigga, Jendol dan Kerinting hanya mampu mengangguk kepala tanda setuju dengan pendapat Bulat. Tidak membuat sebarang bantahan.

"Entahlah. Rasanya mak aku masak rendang dan ketupat" Butang balas pertanyaan Bulat.

"Macam inilah kawan-kawan, esok kita mulakan dengan beraya di rumah Butang lepas tu kita semua ke rumah Bulat. Sudah puas ke rumah Bulat, kita serbu rumah Jendol, lepas tu kita ke rumah Kerinting dan akhir sekali, baru ke rumah aku. Macam mana semua ? Setuju ?" Nigga memberi pendapat serupa ketua pengganas ISIS memberikan arahan kepada anak-anak buah.

"Aku ok je" Kerinting jawab sambil melepakan tumbukan padu ke udara.

"Baik. Aku setuju" Jendol bersetuju. Gelas yang berada ditangan dihempas ke lantai.

"Ok guys. Aku ikut je" Butang jawab steady. Kerusi yang diduduknya tadi dicampak ke atas syiling.

"Hitam kata kau, hitam juga kata aku !" Bulat berteriak lantang. Meja makan yang berada di hadapannya dicampak ke kaunter. Terbelah menjadi 2 bahagian kepala mamak akibat terkena meja makan yang dilontar Bulat. Menggelupur 5 saat sebelum menghembuskan nafas tertakhir.

"Ok guys. Ni dah pukul 5 pagi ni. Elok sangatlah kalau kita balik, esok kita nak sembahyang raya. Kita jumpa di masjid lepas tu baru kita ikut rancangan yang aku cadangkan tadi. Amacam ?" Sekali lagi Nigga beri buah pendapat.

"Baik !" Bulat, Kerinting, Jendol dan Butang jawab serentak.

                                                                        1 Syawal. 4.32 petang

"Hah, masuklah. Buat macam rumah sendiri. Nanti makcik kejutkan Nigga. Entah menda nak jadi dengan si Nigga tu, pukul 5 petang pun tak bangun tidur lagi" Makcik Kalsum menggeleng kepala sebelum masuk ke dapur.

"Macam gampang perangai Nigga ni kan. Pagi tadi dia yang paling beria sekali" Butang bersuara perlahan.

Kerinting, Jendol dan Bulat angguk setuju.

Keriangan Hari Raya Datang Lagi

"Assalamualaikum tuan rumah, kami datang nak beraya"

Suara kanak-kanak di luar rumah meragut ketenangan Jeri yang asyik menonton Melodi versi raya di kaca tv. Perasaan malas hendak melayan kanak-kanak yang datang beraya menyelubungi dirinya dan sebetulnya, Jeri tidak mahu terlepas dari melihat Tasha Shila yang bertubuh genit dan molek dari ditemubual oleh skuad Melodi.

"Assalamualaikum oooo assalamualaikummmmmmmm. Tuan rumah, kami nak beraya niiiiiiiiiii"

Kali ini suara kanak-kanak di luar rumah ditarik lebih panjang dan nyaring. Jika dilihat dari sudut positif, daya tarikan suara itu mampu mengalahkan suara Ziana Zain dan jika dilihat dari sudut negatif, sebiji macam suara monyet mengadu kesakitan dilanggar lori papan.

Mendengar kesungguhan suara kanak-kanak yang hendak beraya, Jeri bangun menuju ke muka pintu dengan bermalas-malasan sambil mengeluh pendek. Bengang.

Di halaman rumah, 5 orang kanak-kanak dalam lingkungan umur darjah 5 hingga darjah 6 tersengih memandang Jeri di muka pintu. 3 lelaki 2 perempuan.

"Kami datang ni nak beraya, pakcik" Seorang dari 5 kanak-kanak bersuara.

Dengar saja perkataan "pakcik" yang dikeluarkan kanak-kanak itu, Jeri tarik muka ketat. Tidak patut betul kanak-kanak itu memanggilnya dengan panggilan "pakcik" padahal boleh saja memanggilnya "abang".

"Hah ya laa. ABANG tahu laa korang datang nak beraya, tak kan pula korang datang sebab nak masuk meminang ABANG" Jeri meningkah. Perkataan "abang" sengaja ditekankan supaya kanak-kanak itu faham maksud yang tersirat dan tersurat.

"Hehehe" 5 orang kanak-kanak tersengih lagi.

"Naik laa" Jeri pelawa ringkas.

Kucar-kacir 5 kanak-kanak membuka kasut yang dipakai setelah dipelawa Jeri. Yang mana tersengih, terus tersengih sambil menanggalkan kasut. Yang mana berbisik, terus berbisik.

"Macam budak kecil, panggil pakcik pun nak tarik muka ketat" Seorang daripada 5 kanak-kanak berbisik pada kawan-kawannya yang lain.

                                                                              ***

"Abang, kami dah nak balik ni" Kanak-kanak paling gempal dalam kumpulan kanak-kanak itu bersuara sambil menggosok perutnya yang bertingkat ditindih lemak. Kawan-kawannya lain tersengih-sengih.

Jeri yang duduk bersandar di kerusi malas memandang ke arah kanak-kanak itu. Ditatapnya raut wajah kanak-kanak itu satu persatu. Melihat dari cara kanak-kanak itu tersengih memandangnya, fahamlah Jeri akan kehendak kanak-kanak itu.

Beraya tapi tak memberi duit raya pada kanak-kanak samalah seperti makan nasi tidak berlauk. Makan tapi tiada kepuasan.

"Kejap" Jeri masuk ke dalam biliknya.

Kanak-kanak yang duduk di ruang tamu mengangguk kepala berkali-kali di antara satu sama lain. Masing-masing tersengih. Sengih seperti watak jahat Sinetron berjaya menipu watak baik.

Jeri keluar dari biliknya dengan memegang beberapa keping angpau berwarna merah. Angpau yang tertulis Gong Xi Fa Cai. Angpau raya Cina milik bos tempat kerjanya.

Di muka pintu, kanak-kanak sudah bersedia hendak menyalam Jeri dan mengucapkan selamat hari raya. Atau sebetulnya menerima duit raya.

"Selamat hari raya, bang" 

"Terima kasih, bang"

Ucapan itu hanya dibalas dengan anggukkan kepala oleh Jeri. Malas hendak berlebih-lebih dengan kanak-kanak.

                                                                             ***

"Cilakanya punya budak, kot iya pun tak nak makan kuih raya, janganlah sorok kuih bawah karpet rumah aku. Ni siapa nak sapu ni, beruk" Jeri maki hamun sambil cekak pinggang memandang kuih-kuih yang berselerakkan di bawah karpet.

Sementara itu, selang beberapa buah rumah dengan rumah Jeri, kelihatan 5 orang kanak-kanak sedang melepak di bawah rambutan.

"Kedekut gila. Rm1 je duit raya" Yang paling gemuk bersuara. 

"Padan muka abang tu. Mengamuk la dia kena menyapu kuih bawah karpet tu"

"Hahahaha" Kelima-lima orang kanak-kanak terus ketawa dengan riang menuju ke rumah yang lain untuk beraya.

Monday, July 20, 2015

Cinta Pandang Pertama di Hari Raya

"Cantik betul cucu Makcik Dayang tu, Azmi," kata Kifli kepada Azmi. "Aku tengok dia pakai baju kebaya kaler Jingga. Menawan sungguh," sambungnya lagi. Azmi hanya mendengar dan mengangguk sambil mencungkil gigi. Masih banyak lebihan dan sisa daging rendang yang lekat di celahan giginya. Azmi menjeling Kifli sambil mengenyit mata sebelah kiri, isyarat yang biasa mereka gunakan jika mahu menjalankan sesuatu rancangan yang menarik.

"Jom kita beraya ke rumah Makcik Dayang," kata Kifli. Azmi terus mencampakkan lidi runcing yang digunakan untuk mencungkil gigi. Dia bingkas bangun dari kerusi yang didukinya lantas menggenggam tangan dan menumbuk ke udara sambil berkata "Jom!". Kifli yang melihat semangat Azmi, terus ketawa dengan bunyian seperti seekor gagak jantan yang mahu memikat gagak betina di musim mengawan.

                                                     " Arkkk... Arkkk... Arkkkkkkkk... "

Mereka berdua tiba di rumah Makcik Dayang. Kifli memberi salam dengan penuh tatasusila, bertajwid dan bermakhraj. Kedengaran seperti salam yang diberi oleh kumpulan Tabligh yang datang rumah ke rumah untuk menyampaikan dakwah pun ada. "Waalaikumussalamwarahmatullahiwabarakatuh. Hah, jemputlah masuk Kifli dan Azmi," Makcik Dayang menjawab salam yang diberi oleh Kifli tanpa sedikitpun nafasnya tersekat-sekat. Mereka pun masuk ke dalam rumah Makcik Dayang dan duduk di atas kerusi sofa yang baharu dibeli di Courts Mammoth. Mampuslah Makcik Dayang bayar hutang sofa lepas raya nanti.

"Ina, kau buatkan air untuk budak berdua ni. Nanti kau layanlah diorang sekejap. Nenek nak sembahyang Zohor sekejap," Kata Makcik Dayang kepada cucunya, Ina. "Baik, nenek." balas Ina ringkas. Kifli yang mendengar suara Ina terus menjadi tidak keruan. Peluh dingin mula bertampi di dahi, degup jantung terasa semakin laju dan darahnya mengalir bagai air yang turun dari puncak bukit securam 17 darjah. "Rilekslah woi, cepat sangat kau ejakulasi ni," Azmi cuba menenangkan Kifli yang sudah kelihatan seperti monyet kepedasan mengunyah cili.

Ina datang membawa satu jag air sirap ais dan dua biji gelas percuma di atas pembelian sabun  basuhan berjenama Daia. Kemudian, Ina mencurah air ke dalam gelas tersebut dengan penuh lemah-lembut. Dia menyinsing sedikit lengan baju kebayanya dan menampakkan kulit lengannya yang putih mulus. Saat itu, Kifli merasakan sedang berada di kayangan bersama permaisuri yang akan menjadi teman sehidup semati. Azmi menyiku lembut pinggang Kifli supaya mengawal perasaannya. Kifli tersedar dari lamunan, lalu mengelap bibirnya yang hampir sahaja menitik air liur.

"Jemputlah makan ye abang berdua. Jangan malu-malu," kata Ina. Kifli tersenyum dan memandang ina tanpa berkelip mata. Ina tertunduk malu dengan pandangan mata Kifli yang kelihatan sungguh bernafsu itu. Wajah Kifli tidaklah sekacak Zul Ariffin, namun dia memiliki sepasang mata yang bundar dan berwarna coklat seperti seekor burung undan. Keunikan itulah yang menjadikan Kifli bisa membuatkan wanita menjadi lemah jika bertentang mata dengannya.

"Awak ni cucu Makcik Dayang yang mana ye? Umur berapa? Macam tak pernah nampak sebelum ni," Kifli membuka bicara setelah melihat Ina masih tertunduk malu sambil memintal-mintal ropol kain alas meja. Ina mendongak dan membalas, "18 tahun. Saya ni anak Dino, yang tinggal di Kuala Lumpur tu, Alah, yang ayah saya kerja askar. Dia bertugas dengan kedutaan Malaysia di India lebih 10 tahun, saya pun ikut ke sana juga,". Serentak dengan itu, Kifli terus bangun, keluar menghidupkan motosikalnya dan terus berlalu pergi dari situ. Azmi yang  sedang asyik makan biskut Almond London terkesima dengan kelakuan Kifli itu.


19 tahun yang lalu...


"Nah ambik kau! Ooh, umur baru 7 tahun dah berani buat macam ni! Nah ambik kau penampar kapit askar jepun ni! Ambik kau!" Dino menampar kanak-kanak lelaki itu dengan kekuatan sederhana untuk tujuan mendidik. Dia memulas-mulas telinga budak lelaki itu sambil mengilas lengannya ke belakang. Marah betul Dino kepada budak lelaki itu. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dilanyak budak itu sampai pengsan. Namun Dino masih memiliki perikemanusiaan.

Dino baru saja berkahwin, malam itu adalah malam pertama dia dengan isterinya, Nurmah, anak perempuan Makcik Dayang. Namun kehangatan malam pertamanya terganggu setelah mendengar ada bunyi ranting kayu dipijak berhampiran bilik pengantin di sebelah luar. Kehebatan Dino sebagai seorang askar membolehkannya menangkap si penghendap cilik itu. Dino mencekup seorang budak lelaki yang sedang ralit mengintai di celahan dinding kayu biliknya. "Siapa nama kau?" tanya Dino sambil mencekik belakang tengkuk budak lelaki tersebut. "Kifli. Aduh! Aduh! Saya minta maaf. Saya minta maaf." kata budak lelaki itu merayu-rayu dilepaskan.


Thursday, July 16, 2015

Selamat hari raya.

29 Ramadhan 1420 Hijrah ( Tahun 1999 )

Sekumpulan kanak-kanak sedang sibuk bermain mercun 'plug' (baca:bom plug) buatan sendiri. Mereka menggunakan belerang daripada kepala mancis sebagai bahan api. Selepas puas 'berperang',  mereka ke pinggir kampung di kawasan lereng bukit. Beberapa bungkus karbait dan sebotol besar ( 1.5 Liter ) turut dibawa bersama. Selepas siap semua S.O.P, mereka berperang pula dengan dentuman meriam tanah. Sekumpulan kanak-kanak di lokasi lain kemudian membalas dentuman itu. Dentuman demi dentuman kedengaran pada malam itu sehinggalah kabait yang dibawa telah habis digunakan. Sementara itu, sekumpulan kanak-kanak yang kurang nakal bermain bunga api di halaman rumah yang dilimpahi cahaya pelita minyak tanah. Ada yang mencuri berus periuk berbulu halus di dapur untuk dijadikan bunga api. Sekumpulan remaja usia belasan tahun pula sedang sibuk berbincang aktiviti yang hendak dilakukan pada hari raya esok. Rumah-rumah makwe di kampung sebelah menjadi sasaran. Mereka kemudiannya meggilap motosikal hingga berkilat dengan harapan dapat menarik perhatian makwe-makwe kampung sebelah.

29 Ramadhan 1436 Hijrah ( Tahun 2015 )

Sekumpulan kanak-kanak sedang sibuk meniarap di dalam rumah menghadap gadjet masing-masing. Mereka berperang melalui aplikasi game yang berasaskan 'war'. Sementara itu, sekumpulan remaja usia belasan tahun sedang berkumpul namun tiada suara percakapan yang jelas kedengaran. Mereka hanya tersengih menghadap smart phone sambil berbalas chatting di aplikasi wechat. Untuk aktiviti raya di hari esok masih belum jelas. Mungkin berkunjung di rumah makwe-makwe hasil 'people nearby'.

Selamat hari raya aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

Sunday, July 5, 2015

Liku-Liku Roslan Mengharungi Puasa

Selesai saja berbuka puasa dengan ala kadar dan lebih kurang, Roslan berbaring di ruang tamu rumah sewanya sambil menonton Buletin 3. Jefri di atas sofa menyandar kekenyangan sambil menghisap rokok.

Mulut yang masih terasa gulai ayam tidak patut dibiarkan lama-lama, harus disegerakan dengan menghisap rokok. Itu petua turun menurun yang dititikkan beratkan oleh Jefri.

Di kaca tv, seorang wartawan sedang menemuramah seorang pakar motivasi.

"Sempena hari raya yang bakal tiba tidak lama lagi, apa cadangan tuan dalam langkah kita sebagai rakyat untuk berjimat cermat ?" Tenang dan bersahaja wartawan melontarkan soalan.

"Pertama sekali, kita harus berfikir dua kali untuk membeli sesuatu barang. Asingkan mana kehendak dan keperluan. Jangan terburu-buru membeli sesuatu. Dan yang keduanya, rancang kewangan sebaik mungkin. Jangan tengok apa orang nak pakai, kita pun nak pakai tapi itu di luar kemampuan kita. Bila kita ada kesedaran macam tu, insyaAllah, hidup kita diberkati" Pakar motivasi jawab kemas dengan hanya satu nafas.

Roslan yang sedang enak berbaring mengangguk bersetuju dengan buah pendapat yang diberikan pakar motivasi itu. Jarang sekali Roslan menonton rancangan berilmiah sebegini, disebabkan bulan ramadhan yang penuh berakoh, Roslan kurang menonton Youjizz dan memilih rancangan berilmiah untuk santapan minda.

Jefri di atas sofa sudah tidak sedarkan diri. Letih bertarung dengan gulai ayam agaknya.

"Apa pendapat tuan dengan isu kenaikan tol dan minyak sempena hari raya yang bakal tiba ini ? Adakah ini satu beban untuk rakyat ?" Sekali lagi wartawan bertanya dengan bersahaja.

"Oh, isu kenaikan tol dan harga minyak ni sebenarnya tidak membebankan rakyat. Ianya menunjukkan yang negara kita sedang meningkat maju. Seperti saya katakan tadi, kita patut berjimat cermat. Kalau rasa tol dan minyak mahal, jangan balik beraya di kampung. Beraya saja di tempat kerja" Dengan tenang, pakar motivasi menjawab serupa orang hilang akal.

                         Pelepow

Tv yang tadinya ditonton Roslan terbelah menjadi 2 bahagian sebaik sahaja Roslan mengeluarkan Tendangan Tanpa Bayang tepat di kaca tv.

"Asal bangang je mesti menteri, asal bangang je mesti orang kuat kerajaan" Roslan bercakap dalam hati. Roslan rasa nak riot depan rumah.

Sementara itu, Jefri masih lagi tidak sedarkan diri. Letih bertarung dengan gulai ayam agaknya.

Rosli Cuba Melawan Kejahatan

Bunyi motor yang kedengaran di halaman rumah meragut ketenangan Rosli yang sedang enak berbaring menonton rancangan Ketuk-Ketuk Ramadhan. Rosli kenal akan bunyi motor yang sumbang lagi memeritkan telinga itu. Itu bunyi motor kawan karibnya, Azhar.

Dengan keadaan yang malas serupa ular sawa baru lepas makan seekor kambing, Rosli bangun dari tempatnya berbaring dan menuju ke pintu rumah.

"Menda kau ni tersengih-sengih ?" Rosli bersandar di muka pintu. Suaranya perlahan menegur Azhar yang sedang tersengih-sengih di halaman rumahnya. 

"Jom" Azhar sengih lagi.

"Aduh. Aku nak tengok Ketuk-Ketuk Ramadhan ni, nak tengok Sheila Rusly. Lagipun aku puasa hari ni" Rosli bercakap perlahan lagi gaya orang tak ada mood.

"Alaaa, kejap je. Teman aku kejap, habis sebatang kita balik laa" Di atas motornya, Azhar buat muka kesian serupa anak kecil tak dapat gula-gula.

Rosli geleng kepala. Kalau diikutkan hati, nak je Rosli beri Tamparan Balik Kuang tepat di mulut Azhar. Beri berbuih mulut Azhar, dapat juga pengajaran sikit-sikit.

"Kejap. Aku ambik baju" Kata Rosli sambil beransur masuk ke dalam rumah.

Di perkarangan rumah Rosli, Azhar masih lagi tersengih-sengih di atas motor-nya. 

                               ***

"Kau ni menda nak jadi ? Dah tua bangka pun malas nak puasa. Dah tu nak hisap rokok pun ajak aku. Aduhh" Rosli bersuara lemah sambil mengeluh.

Asap rokok yang dihembus Azhar menjulang naik ke udara. Asap rokok yang ditarik ke dalam paru-paru, Azhar biarkan lama sebelum hembus keluar. Azhar menghayati setiap sedutan asap rokok.

Di atas motor-nya, Azhar merenung Rosli yang duduk mencangkung sambil bermain dengan kerengga yang melintasnya di hadapannya. 

"Saja laa ajak kau. Hisap rokok ni tak sedap hisap sorang-sorang, kena hisap berteman baru ada kick" Azhar jawab steady.

"Masalahnya kau ajak aku ni. Aku dahlah puasa, lepas tu kau buat rilekss je hisap rokok depan aku. Langsung tak respek kawan-kawan. Tu belum soal pahala lagi tu, menyembunyikan kemungkaran ni pun boleh mengurangkan pahala puasa tau" Rosli bercakap serupa Imam Muda. Tenang dan bergaya. 

"Eh, aku ada murtabak ayam, kau nak ? Air tebu pun ada ni" Azhar pelawa.

               Pap Pap Pap Pap

"Sedap juga murtabak ayam ni, bukan calang-calang murtabak ni. Air tebu tu pun sedap juga, real betul rasa tebu dia tu. Pandai betul siapa yang perah air tebu ni, ya" Kata Rosli sambil mencungkil sisa murtabak di celah gigi.

Di atas motor, Azhar mengangguk tanda bersetuju.