Tuesday, June 23, 2015

Daniel Haikal Adam Ke Bazar Ramadhan

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini lebih potensi
Agar dapat ku lalui
Dengan lebih steady

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa pantas berlalu
Benar-benar mencemburui aku
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Wooooooo woooooooooooo

Daniel Haikal Adam menunggang motosikal Suzuki Cup-nya sambil menyanyi-nyanyi kecil melawan arus angin. Suaranya yang dikedap di dalam topi keledar menjadikan suaranya persis suara Amy Mencari masa muda-nuda dahulu. Suara yang bagus, bertenaga, halus dan diminati ramai wanita.

"Silapnya aku tak ada rupa je ni. Kalau aku ada rupa, paling kurang pun mesti aku jadi penyanyi latar belakang" Daniel Haikal Adam bercakap dalam hati. Handle motornya dipegang kemas.

                                                 PRENG PRENG PRENGGGGGGGGG

Motorsikal Suzuki Cup Daniel Haikal Adam  menyusur megah di atas jalan raya menuju ke bazar Ramadhan. Sengaja Daniel Haikal Adam pakai motor Suzuki Cup kerana hanya motor keluaran Suzuki sahaja yang akan mengeluarkan bunyi "Tik Tik Tik Tik Tik" semasa lampu signal diberi. Motor keluaran lain tak ada. Daniel Haikal Adam suka pada bunyi "Tik Tik Tik Tik Tik" itu.

Daniel Haikal Adam tiba ke bazar Ramadhan Taman Kerang ngam-ngam pada masanya, masa orang baru pulang dari kerja. Penuh dan sesak

                                                                                ***
"Ramzan, kau pergi bazar tak karang ? Kalau pergi, mak nak kirim murtabak" Emak Daniel Haikal Adam bertanya ketika Daniel Haikai Adam terbaring menonton drama sinetron Indo.

Ya, nama sebenar Daniel Haikal Adam adalah Ramzan. Di luar rumah, kawan-kawannya memanggilnya dengan panggilan Daniel Haikal Adam tetapi di rumah dan keluarganya, mereka akan memanggilnya dengan panggilan Ramzan.

Mengikut cakap-cakap belakang, ada ura-ura mengatakan yang sebenarnya Ramzan malu dengan nama Ramzan. Nama tak moden. Jadi, kerana itu Ramzan menipu namanya kepada kawan-kawan bukan sekampung dengannya, nama Daniel Haikal Adam.

"Pergi mak. Kejap lagi laa" Daniel Haikal Adam jawab malas. Matanya tertangkap kemas pada potongan badan pelakon sinetron Indo. Mantap.

"Kau ingat ni Ramzan, kalau nak membeli kat bazar Ramadhan tu. make sure kau berjalan sampai hujung gerai dulu lepas tu baru kau patah balik pada titik permulaan. Kau mark dulu makanan menda yang nampak sedap, harga murah, baru kau beli. Kau jangan mudah tertarik dengan taktik perniagaan gerai pertama" Emak Daniel Haikal Adam mengingatkan.

Daniel Haikal Adam diam tak berkutik.

"Kau dengar tak menda mak kabor ni ?!" Emak Daniel Adam baran.

"Baik, mak !" Daniel Haikal Adam balas.

"Bagus. Xoxo" Emak Daniel Haikal Adam steady.

                                                                                   ***
"Berjalan dulu tengok semua gerai, mark makanan menda yang patut dibeli, bandingkan harga makanan gerai lain dengan gerai lain, dapat yang murah, baru beli"

Daniel Haikal Adam ingat pesanan emaknya, akan dia pahatkan pesanan itu ke dalam lubuk hati paling dalam. Sampai mati pun akan Daniel Haikal Adam ingat pesanan itu.

"Hai abang, beli murtabak bang. Satu Rm6 je, bang" Ujar seorang makwe mantap ketika Daniel Haikal Adam baru melangkah masuk ke tapak bazar Ramadhan. Manis orangnya dan memiliki sebentuk bentuk badan yang menarik.

Daniel Haikal Adam tersengih. Pesanan emaknya semakin hilang dalam ingatan.

"Murtabak ayam ada ?" Daniel Haikal Adam berlagak macho.

"Ada, bang. Rm6 je" Makwe mantap senyum meleret sambil main mata.

"Ok, bagi satu" Daniel Haikal Adam tenggelam dalam perasaan sendiri.

"Satu je, bang ? Ambil la dua. abang kacak. Dua rm10, satu makan untuk berbuka, satu lagi makan nak bersahur" Makwe mantap mengedik sikit-sikit.

"Betul juga tu. Kebetulan mak abang memang penggemar murtabak"

Duit merah not rm10 bertukar tangan. Senyuman turut bertukar. Makwe mantap main mata, Daniel Haikal Adam kenyit mata.

Daniel Haikal Adam meneruskan pengembaraan di bazar Ramadhan. Mata melilau pandang ke kiri ke kanan melihat makanan yang dijual. Terteleng-teleng kepala Daniel Haikal Adam, sebiji macam kura-kura keluar dari cengkerang.

Setelah beberapa tapak gerai dilalui, Daniel Haikal Adam terpandang satu gerai yang dihiasi dengan banner siap tulisan besar-besar:

                                       MURTABAK AYAM/DAGING PAK LAH RM3

Daniel Haikal Adam teringat pada pesanan emaknya. Mata Daniel Haikal Adam bertakung dengan airmata. Daniel Haikal Adam rasa nak menangis.

Baju Raya, Ketuanan Melayu, Hang Tuah dan Hipster

Kasmirin menikmati juadah moreh selepas selesai solat sunat terawih di surau. Malam itu, menu agak menyelerakan - mee jawa. Kasmirin menambah sehingga dua kali. Mee jawa adalah makanan kegemarannya selain daripada pengat pisang.Usai menikmati juadah moreh,Kasmirin mencucuh sebatang rokok sambil berbual-bual kosong dengan beberapa jemaah lain di perkarangan surau. Tanpa rasa bersalah kepada agama, mereka menghembus asap rokok. Serentak dengan itu, ozon menjadi nipis, udara menjadi tercemar, kadar nikotin di dalam paru-paru bertambah dan jantung semakin bekerja keras.

Sementelah selesai semuanya, Kasmirin pulang ke rumah dengan hanya berjalan kaki. Jarak surau ke rumahnya sekitar 100 meter sahaja. Dia sempat juga menyapa kanak-kanak yang bermain bunga api sepanjang perjalanan pulang ke rumah. Kasmirin memberikan nasihat kepada sekumpulan kanak-kanak itu agar berhati-hati semasa bermain bunga api. Kasmirin sememangnya seorang pemuda yang prihatin,peramah, dan sosialis. Oleh hal demikian, Kasmirin disenangi oleh penduduk setempat baik yang tua mahupun muda.

Kasmirin tiba di rumah dan meneguk segelas air kosong. Dia mencapai telefon pintarnya untuk melihat sebarang notification yang ada. Kasmirin membuka aplikasi whatsapp messenger. Banyak pesanan yang diterimanya terutama sekali mesej-mesej berantai seperti “sebarkan kepada 30 orang rakan dan kamu akan mendapat manfaat dalam masa 30 hari.”. Sebagai pemuda yang berintelektual, Kasmirin tidak mengendahkan mesej-mesej tersebut. Dia hanya membaca sepintas lalu ibarat masuk mata kanan, keluar mata kiri.

Kasmirin hanya tertarik kepada pesanan mesej yang dihantar oleh kekasihnya, Melati. Melati adalah seorang gadis berusia awal 20-an, berpewatakan menarik dan berkulit putih gebu. Walaubagaimanapun, Kasmirin tidak pernah menyanyikan lagu Putih-Putih Melati untuk kekasihnya itu. Bagi Kasmirin, perkara sedemikian rupa hanyalah akan menjatuhkan martabatnya selaku pemuda yang memegang penuh kepada amanat Wawasan 2020 oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir. Kasmirin membaca pesanan yang dihantar oleh Melati.

“Kasmir, tahun ini kita pakai baju raya sedondon ya. Kalau tahun lepas awak belanja saya, biar tahun ini saya pula yang belanja awak, okay?”

Kasmirin tersenyum membaca pesanan yang dihantar Melati itu. Dia berasa amat terharu. Seumur hidupnya, belum pernah sesiapa membelikannya baju raya selain dari kedua ibu bapanya. Kasmirin juga bersyukur dipertemukan cinta bersama Melati yang bukan jenis pisau cukur. Melati seorang yang amat memahami dan bertimbang rasa. Jika minggu ini Kasmirin belanja Melati makan KFC, minggu hadapan Melati akan belanja Kasmirin makan Pizza Hut. Begitulah ibaratnya cinta yang terjalin dengan tolak ansur dan saling memahami. 

“Baiklah sayang. Awak pilihlah warna apa pun, jangan warna pink sudahlah.”

Kasmirin membalas pesanan Melati itu. Hatinya amat berbunga dan tidak sabar untuk memakai baju raya sedondon bersama kekasihnya. Kasmirin membayangkan yang mereka akan menjadi pasangan ‘Couple of the Aidilfitri’ kelak. Pasti kawan-kawannya akan mengundi mereka berdua sebagai pemenang kepada anugerah tersebut. Kasmirin juga berkira-kira untuk mengupah jurufoto merakamkan aksi mereka berdua yang berpakaian sedondon pada hari raya kelak.

Beberapa hari kemudian, Melati datang ke rumah Kasmirin membawakan persalinan raya yang sudah dibeli. Memandangkan mereka telah biasa membeli-belah pakaian bersama, tidak menjadi masalah untuk Melati memilih pakaian yang sesuai dengan potongan dan saiz badan Kasmirin. Melati meletakkan pakaian raya Kasmirin di dalam sebuah beg kertas berwarna jingga. 

“Nah, ambil baju Melayu ni. Pergilah cuba dalam bilik, lepas tu awak keluar ye. Saya nak tengok okay ke tidak.” kata Melati sambil menghulurkan beg kertas berwarna jingga itu. “Baik! Awak tunggu di sini tahu. Kalau haus pergilah ke dapur ambil air dalam peti ais.” balas Kasmirin. “Eh, awak ni Kasmir, kita baru hari ketujuh puasa, lambat lagi nak raya. Huhu.” kata Melati sambil berhuhu. “Hehe, terlupa pula saya. Teruja dengan baju awaklah ni. Hehe.” Kasmirin pula berhehe. Dia pun berlalu meninggalkan Melati dan masuk ke bilik untuk mencuba baju Melayu yang dibeli Melati itu. Adalah tidak sopan untuk dia mencuba baju di hadapan Melati walaupun cinta mereka berdua sudah direstui.

Kasmirin menyarung baju Melayu di hadapan cermin. Kemudian dia menyarungkan seluarnya pula. Akhir sekali, dia memadankan sampin songket yang turut dibeli Melati. Kasmirin melihat dirinya di cermin. Serentak dengan itu dia terus keluar dari bilik dan meluru ke arah Melati. “Awak beli baju yang tak siap lagi ke Melati?” tanya Kasmirin. “Eh, kenapa pula? Itu baju yang sudah siaplah Kasmir.” balas Melati. Kasmirin terpinga-pinga. Dia kemudiannya bertanya lagi. “Tapi, kenapa baju ni tiada lengan, kain pun jarang, poket berwarna-warni dan seluarnya senteng?”. Melati menjawab. “Ha, inilah baju Melayu hipster. Sekarang dah trending tau!”

“Trending kepala kuda awaklah Melati! Dah macam orang terencat akal je rupa pakai macam ni! Dah, jangan nak cakap banyak, sekarang kita keluar pergi beli baju lain. Baju ni awak boleh bagi biri-biri ayah awak tu pakai.”

                                                                      
                                                                       **********

Takkan Melayu hilang di dunia - Laksamana Hang Tuah, Kampung Sungai Duyong, Melaka, 1507. 

Takkan Melayu menjadi hipster di dunia - Zaim Ramli, Kampung Melayu Subang, Selangor, 2015.

Wednesday, June 17, 2015

Harimau Malaya Sakit

Kipas di syiling rumah berputar laju. Di atas sofa empuk yang agak reput terkena air banjir dan dipenuhi dengan cakaran-cakaran kucing, Malik berbaring dengan gaya-gaya model URTV di kolam renang. Matanya berkelip-kelip melihat perlawanan bola sepak di kaca tv, Malaysia lawan Palestin.

Malik bukanlah peminat tegar bola sepak, akan tetapi disebabkan Malik hidup bermasyarakat, Malik ambil tahu sikit-sikit pasal bola sepak Malaysia. Baik dari Liga Monyet ataupun AFC. Lagipun kawan-kawan Malik banyak peminat bola sepak, jadi Malik perlu ambil tahu pasal bola Malaysia supaya nanti tidaklah pula terasa kekok bila melepak bersama kawan-kawan. Ada point juga nak menyampuk.

Malik tahu, hal bola sepak ni jangan dibawa main-main. Ekonomi, politik, sosial, kapitalis, artis kahwin lari, produk makanan kucing, model motor, anak raja, kaki bangku dan tempat untuk maki hamun semua ada dalam bola sepak. Atas dasar itu, Malik ambil tahu pasal bola sepak sikit-sikit.

                                 POW POW POWWWWWWW

Kedua-dua pasukan berbalas serangan. Permainan sengit. Berpeluh-peluh pemain kejar bola.

                                                  GOLLLL

"Gol nasib je tu" Malik sedapkan hati sendiri.

Palestin jaringkan gol pertama. Malik steady lagi berbaring. 

                                                  GOLLLL

"Alah. Ada can lagi ni" Malik buat andaian sendiri.

Palestin jaringkan gol kedua namun Malik terus bertenang. Malik usap kepala anak kucing yang berumur satu bulan disebelahnya, bersama-sama berbaring dengannya melihat perlawanan bola sepak.

                                                  GOLLLL

"Hmmmm" Malik mengeluh pendek.

Gol ketiga Palestin. Malik tak tahu hendak berikan respon apa. Kepala anak kucing yang diberi nama Dayang, diusap laju tak mengikut tempo.

Masa pertama tamat dengan keputusan Malaysia 0-3 Palestin.

                                   PRIT PRIT PRITTTTTTT

Masa kedua dimulakan. Sekali lagi kedua-dua pasukan bermain dengan riang, kejap bola ke atas, kejap bergolek, kejap pass bola macam beruk.

                                                   GOLLLL

"Bodo" Malik baran.

Anak kucing yang dirangkulnya tadi dicampak ke dinding. Berlari tak cukup lantai anak kucing itu berlari menyelinap masuk ke bawah sofa. Bimbang dibunuh oleh Malik agaknya.

                                                  GOLLLL

"Hmmmm, agaknya inilah liku-liku penyokong Harimau Malaya" Malik down

Malik teringat gambar Ahmad Maslan. Gambar Ahmad Maslan memasak nasi goreng dan nasi goreng tersebut dihias dengan hirisan timun yang agak tebal. Nampak comel dan bangang sikit-sikit, sama macam bola sepak Malaysia.

                                                   GOLLLL

"Kahkahkahkahkah" Malik gelak sampai berair mata.

"Pakatan Rakyat dan bola sepak Malaysia ni sama je. Kalau dengar dia orang punya sembang, dunia ni pun dia orang boleh takluk" Malik tumbuk bantal. Twit sikit-sikit terus masuk tidur.

Khairul, Azam Ramadhan dan Palestin

Khairul melihat jam Tag Heuer di pergelangan tangan kirinya. Jam sudah hampir 5 petang. Sudah hampir tiba masa untuk pulang ke rumah selepas seharian bekerja. Khairul mengemas segala dokumen di atas meja. Kemudian, dia shut down komputernya.

Esok hari terakhir bulan Syaaban, Khairul mengambil cuti untuk membuat persediaan menyambut Ramadhan. Sebelum pulang, Khairul berjumpa dengan semua rakan pejabatnya untuk memohon maaf segala salah dan silap. Khairul mahu dirinya suci dan bersih daripada segala dosa menjelang Ramadhan.

Dalam perjalanan pulang, Khairul menanam azam sepanjang bulan Ramadhan yang mendatang. Khairul mahu berhenti merokok, tidak berbelanja mewah, tidak online terlalu lama, tidak mengumpat, khatam al-Quran, memperbanyakkan sedekah dan yang paling mustahak adalah tidak memaki hamun. Khairul mengulangi azam itu di dalam hatinya - tidak memaki hamun.

Tiba di persimpangan rumahnya, sebuah Proton Juara memotong Khairul menggunakan lorong kiri dan terus membelok tanpa memberikan sebarang isyarat baik dari segi elektronik mahupun manual. Khairul amat marah dengan tindakan pemandu Proton Juara tersebut namun dia bersabar dan beristighfar. Astaghfirullahal’azim.

Khairul tiba di rumah dengan selamat. Dia mandi membersihkan diri dan bersiap-siap untuk ke surau. Khairul tiba di surau lebih awal daripada biasa. Dia mengambil al-Quran dan membacanya sehingga masuk waktu Maghrib. Khairul berjaya menghabiskan hampir 3 juzuk pada petang itu.

Selepas waktu Maghrib, Khairul mendengar pula kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Hashim, penceramah bebas yang pandai membuat jenaka. Khairul mendengar kuliah dengan penuh khusyuk dan tawadduq. Dia turut mencatat isi-isi penting kuliah pada buku nota yang dibawanya.

Selepas selesai solat Isyak, Khairul bersalaman dengan semua jemaah. Mereka saling memaafi antara satu sama lain. Khairul turut menyumbangkan sumbangan bernilai lima ratus ringgit kepada tabung surau. Sedekah adalah salah satu daripada tiga perkara yang akan kekal selepas kita meninggal dunia kelak. Dua yang lain adalah anak yang soleh dan ilmu yang bermanfaat.

Khairul tiba di rumah pada jam 9 malam. Dia membuka televisyen siaran 801 Astro Arena. Perlawanan bola sepak di antara Malaysia melawan Palestin sudah 15 minit berlangsung dan Palestin sedang mendahului 1-0. Khairul berfikiran positif dan berharap Malaysia mampu bangkit. “Awal lagi ni, come on Malaysia!” Khairul bermonolog sendirian.

Minit ke 23 Malaysia 0-2 Palestin. “Come on Malaysia. Bangkit!”
Minit ke 41 Malaysia 0-3 Palestin. “Come on! Secon half buat comeback!”
Minit ke 63 Malaysia 0-4 Palestin. “Main bola apa macam ni? Kepala kuda betul!”
Minit ke 75 Malaysia 0-5 Palestin. “Ah, dah serupa setan je main bola!”
Minit ke 85 Malaysia 0-6 Palestin. “Beruk! Gampang! Pundek! ”

Khairul terus menutup televisyen dan mencampakkan remote ke lantai sambil memaki hamun. “Ah, esoklah aku azam semula.”

                                    **************
                   *Viva Palestine * Pray For Gaza*

Tuesday, June 16, 2015

15 Minit Bersama Orang Gila.

Pagi itu pagi yang indah. Bahari(bukan nama sebenar) buka kedai di mana tempatnya bekerja ngam-ngam pukul 10. Tidak lambat dan tidak pula terlalu cepat. Walaupun Bahari sering dipandang serong oleh masyarakat kerana kerjanya yang tidak menjamin masa depan, namun ia sedikit pun tidak mematahkan hati Bahari untuk pergi kerja.

Sudah menjadi kewajipan dalam sanubari Bahari, satu jam pertama masuk kerja harus disempurnakan dengan twit sikit-sikit. Hal negara, ekonomi dan sosial juga perlu Bahari ambil tahu walaupun Bahari tidak pernah menyumbangkan apa-apa pada masyarakat.

Bahari khusyuk membaca satu persatu twit melalui iPhone-nya. Twit yang mana Bahari rasa kelakar, Bahari gelak. Mana twit yang hambar, Bahari maki. Tengah sedap Bahari baca twit, ketenangan Bahari diragut oleh seorang mamat.

"Selamat hari raya, bang" Ujar seorang mamat yang rupanya agak barai.

Bahari terkejut. Belum pun puasa dah ada yang mengucapkan selamat hari raya. Tapi disebabkan Bahari ni jenis cool, Bahari senyum dan membalas.

"Ah ya. Selamat hari raya" Bahari sengih.

"Abang jaga diri baik-baik tau. Eh, cantiklah rambut abang. Abang ni betul-betul rockers laaa" Kata mamat barai itu lagi sambil hulur tangan nak bersalam.

Sekali lagi Bahari terkejut. Sepanjang lima tahun Bahari bekerja di sini, belum pernah ada orang suruh Bahari jaga diri baik-baik. Paling sweet, orang belanja Bahari makan je. Suruh jaga diri, tak ada.

"Mental agaknya budak ni" Bahari bercakap dalam hati.

Tangan mamat barai yang dihulur nak bersalam tadi disambut kemas oleh Bahari. Orang dah hulur tangan tak elok pula kalau kita tak bersalam. Lagipun tangan yang menghulur itu lebih baik dari tangan yang menerima.

Tangan mamat barai dan Bahari menjadi satu, kemas genggaman mamat barai menyalam tangan Bahari. Seolah-olah ia meletakkan sebilah harapan di dalamnya.

                   Cuppppppp Cupppppppp Cupppppppppppppppp

Tangan Bahari dicium berkali-kali dengan mamat barai, bunyi yang keluar dari hasil ciuman itu membuatkan Bahari rasa nak menangis.

"Abang jaga diri baik-baik tau. Selamat hari raya, bang" Pesan mamat barai tu sekali lagi sambil berlalu pergi.

Bahari rasa terharu. Sepanjang hidupnya, jarang sekali orang salam cium tangannya, kalau ada pun ketika raya. Itu pun budak-budak sebab nak minta duit raya.

Bahari melihat mamat barai berlalu pergi dengan takungan air jernih di kelopak mata. Tangannya terasa berlendir, melekit-lekit.

"Babi" Bahari menyumpah pendek. Bahari lap air liur mamat barai yang berada ditangannya dengan tisu.

Monday, June 15, 2015

Lazatnya Memakan Daging

Pada suatu petang, Abraham sedang berehat di halaman rumahnya. Isterinya, Catherine menyediakannya secawan kopi campuran berperisa kurma dan beberapa hirisan buah Zaitun yang dipotong nipis. Abraham membaca akhbar tempatan sambil Catherine sedang sibuk menyiram pokok bunga.

Abraham membuka helaian demi helaian akhbar yang dibacanya. Tiba di sisipan hiburan, dia membaca laporan berita dan menggeleng-gelengkan kepalanya. Catherine yang sudah siap menyiram bunga menghampiri Abraham dan duduk di sebelahya.

"You baca berita apa sayang?"
"Dear, you tengoklah artis tempatan, tayang body sana sini."
"Oh, artis perempuan ini bukankah sudah berkahwin?"
"Betul. Sudah ada anak pun. Tapi suaminya macam tak kisah. Apa suaminya tak tahu dia yang kena tanggung dosa isterinya?"
"Itulah, dunia akhir zaman. Pakaian makin singkat, akal pun makin singkat. Syukurlah kita masih mampu berfikir kan sayang?"
"Iya, I berbangga ada isteri macam you, sentiasa berpakaian sopan dan menutup aurat."
"I buat semua tu kerana sayangkan you dan agama kita ni sayang. I love you."

Perbualan mereka terhenti apabila melihat anak gadis jiran mereka, Alice pulang ke rumah. Alice dihantar pulang oleh teman lelakinya, Matthew dengan menaiki motosikal. Mereka memerhatikan gerak-geri Alice sehingga gadis itu masuk ke dalam rumah.

"You nampak anak jiran kita? Pakaian ketat, tidak bertudung dan membonceng motosikal dengan lelaki bukan mahram."
"Iya, apa ibu bapanya tak pernah ajar? Mujur anak kita, Elizabeth tidak begitu."
"Ah, lihat sahajalah ibu bapa nya. Encik Douglas dan Puan Angeline tu, mana pernah ke masjid. Kalau ada pun masa sembahyang raya nanti."
"Agaknya mereka dah terbiasa dengan dosa. Jadi, mereka tak rasa bersalah."

Abraham membuka helaian akhbar yang seterusnya. Kali ini sisipan agama. Dia mengajak Catherine membaca bersama-sama artikel yang ditulis oleh seorang agamawan negara itu. Selepas membaca artikel itu, mereka pun masuk ke dalam rumah, berwuhuk dan melakukan solat taubat.

Artikel itu bertajuk:  Memakan Daging Saudara Sendiri. Dalam artikel itu, penulis turut melampirkan;

Firman Allah swt :
" Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik dengannya. (Oleh sebab itu,patuhilah larangan-larangan tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha penerima taubat, lagi Maha mengasihani"
- (Surah al Hujurat, ayat 12)

Cinta Memang Tak Harus Miliki Dia

Hanya ku mencari 
Rembulan masih ada 
Mungkin seketika
Walau ku bahagia mengejar bayanganmu
Tak mungkin ku beroleh saat indah bersamamu
Hanya aku

Di bawah pohon salak nangka yang berduri tajam, rendang dan berbuah, Zul berbaring sambil menyanyi-nyanyi kecil sambil diiringi petikkan gitar Kapok-nya. Tanpa mengikut tempo lagu yang betul dan hanya mengunakan satu kord saja iaitu kord C, kesumbangan lagu yang dinyanyikan memang tidak dapat disangkal masyarakat. Kehalusan suaranya juga mengakibatkan burung-burung yang tadinya melepak riang di atas dahan-dahan pokok rambutan terbang pergi.

"Kerinduan itu seperti bait-bait hujan terkena pada cermin kereta, jika di-wiper-kan bait-bait hujan itu akan menghilang" Zul berfalsafah sendiri. Gitar Kapok-nya digenggam kemas.

Rindunya pada kekasih bernama Ina sudah tidak dapat dibendung. Sudah seminggu lebih kekasihnya Ina berdiam diri daripadanya. Entah masalah apa yang sedang ditanggung kekasihnya tidak dapat Zul pastikan. Panggilannya tidak dijawab, mesej tidak dibalas dan status Pesbuk pun sudah lama Ina tidak update. Zul merasa bimbang akan hal itu.

Sepanjang Zul berkenalan dengan Ina, belum pernah Ina berdiam diri sedemikian rupa. Entah mati, entah hidup pun Zul tidak tahu. Hendak pergi ke rumah kekasihnya Ina pula, Zul tiada idea atau lebih tepat, Zul tidak di mana terletaknya rumah Ina.

Zul berkenalan dengan Ina pun hanya di dalam telefon, tidak pernah berjumpa secara realiti. Zul percaya cinta itu mampu membutakan yang celik, haq dan batil, jadi kerana itu Zul menerima Ina sebagai kekasihnya dengan hati terbuka walaupun belum pernah melihat wajah Ina.

"Nampaknya gayanya aku kena pergi jumpa Tok Anjang, mungkin Tok Anjang boleh menilik di mana Ina" Zul terbangun dari tempat berbaringannya lalu melepaskan satu tumbukkan padu ke udara. Gitar Kapok-nya dicampak di celah-celah pohon salak nangka.

                                                     ***          
"Hoi Tok Anjang, hoi" Di perkarangan rumah Tok Anjang, tanpa mempedulikan agama, bangsa, cakap-cakap belakang dan negara, Zul sedikit menjerit memanggil nama Tok Anjang tanpa terlebih dahulu memberi salam. Ya, perangai Zul macam syaitan.

Keadaan senyap. Pintu dan tingkap rumah Tok Anjang terkatup rapat seperti menandakan tiada orang di belakang.

"Hmmm, mana pula orang tua ni ? Dah mampus ke menda" Zul cakap perlahan.

Zul perhatikan keadaan di sekeliling rumah Tok Anjang, motor Yamaha Sukan Tok Anjang masih tertongkat elok di bawah rumah. Itu satu petanda yang bagus, menunjukkan Tok Anjang masih berada di persekitaran rumah. Ini kerana jika Tok Anjang hendak ke mana-mana, pasti motor-nya dibawa sekali.

"Tok ooooooooooooo, Tokkkkk" Zul cuba sekali lagi. Kali ini nama Tok ditarik panjang.

"Belakang woi, belakang !" Tok Anjang memanggil.

                               KELETAK KELETAK KELETAK

Zul berlari tak jejak tanah menuju ke belakang rumah Tok Anjang. Larian Zul laju tak terkira, macam burung puyuh. Lariannya menyereng ketepi, sekali pandang macam ketam, dua kali baru nampak Zul.

Tok Anjang berhenti mencangkul tanah bila melihat larian Zul. Sudahlah penat dan dahaga mencangkul tanah, kini Tok Anjang terpaksa pula melihat cara larian Zul yang menjelekkan, makin bertambah rasa meluap. Tok Anjang geleng kepala tiga kali.

"Menda kau ni ? Menjerit nama aku tak bagi salam ?" Tok Anjang baran melihat Zul yang kini terpacak di depannya. Cangkul di tangan digenggam kemas.

"Ni Tok, saya ada masalah sikit ni" Zul mengadu.

"Kau ni tak habis dengan masalah. Menda nak jadi laa dengan kau ni, kalau kau tak cari masalah, mesti masalah yang cari kau. Pelik betul aku tengok cara hidup kau. Ni aku nak kabor, kes motor Gamma kau tu, kau tak bayar lagi upah aku tu" Tok Anjang tarik muka.

"Nanti saya bayar laa Tok, ni ada masalah ni. Pasal makwe saya"

"Baik. Aku tolong kau. Kau nak minyak dagu ke menda ?"

"Tak. Saya nak Tok tolong tilikkan kat mana makwe saya berada. Saya bimbang ni Tok, dah seminggu lebih makwe saya berdiam diri. Call tak jawab, mesej tak balas, dalam Pesbuk pun saya dah cari juga, tapi tetap tak jumpa. Ni saya nak minta tolong Tok carikan ni" Zul beri penerangan panjang lebar.

"Hmmmm, makwe kau nama Ina kan ?" Tok Anjang menduga.

Zul kaku. Ilmu batin Tok Anjang memang sukar diduga, baru je bagi penerangan sikir-sikit terus nama kekasihnya diketahui tanpa terlebih dahulu diberitahu.

"Power Tok, power. Macam bomoh dalam drama Melayu, saya belum bagi tahu nama makwe saya, Tok dah tahu. Tak sia-sia Tok jadi bomoh" Zul memuji.

"Gini laa senang cerita. Menda yang aku kabor ni, harap kau dapat bertenang laa. Kau anggap je ia sebagai pengajaran......."

Tok Anjang berhenti bercakap, wajahnya memberi respon yang mendebarkan. Zul gelisah menanti perkhabaran yang bakal diterima. Air jenih mula bertakung di kelopak matanya, rasa sebak. Di fikiran Zul, bermacam-macam perkara buruk yang difikirkan tentang Ina. Matikah Ina ?

"Gini Zul. dua hari yang lepas aku lepak Warung Kak Cah. Masa aku melepak tengah sedap pekena laici kang tu, aku terdengar perbualan Zaim, Amy Donat dengan Amir. Sebenarnya makwe kau yang bernama Ina tu tak wujud, Zaim menyamar sebagai Ina untuk mainkan perasaan kau je. Pendek kata selama ni kau hanya bercinta dengan Zaim sebabnya Ina adalah Zaim dan Zaim adalah Ina" Tok Anjang berkata sambil menepuk belakang Zul.

Hancur hatiku mengenang dikau
Menjadi keping-keping setelah kau pergi
Tinggalkan kasih sayang
Yang pernah singgah antara kita

Lagu Dewa meresap masuk ke dalam hati Zul sebelum Zul menggelupur histeria.

Saturday, June 13, 2015

Amir Melawan Sistem

Petang itu indah seperti biasa, matahari perlahan-lahan turun ke arah Barat bukannya Timur. Burung layang-layang berkicauan terbang dua sejoli, belalang kunyit melompat keriangan, semut gatal berjalan sebaris dengan tenang.

Amir sudah bersiap untuk pergi berjogging di Taman Bandar. Kasut Nike dikaki sudah siap diikat, seluar sukan jenama Adidas tersarung elok, baju Puma gambar kucing kaler hitam siap digosok tersergam molek pada tubuhnya. Sebagai seorang pemuda harapan bangsa dan negara, Amir memang gemar berjogging. Berjogging dapat meningkatkan stamina dan daya tahan pada tubuhnya, berjogging juga latihan asas untuk berlari laju, berlari dari Zombie jika Malaysia diserang Zombie.

Tanpa sebarang halangan dari mana-mana mufti agama, keluarga, rakan taulan, jiran sebelah rumah dan ahli politik, Amir bergerak secara solo memandu kereta menuju ke Taman Bandar. Di dalam perut kereta Saga FL miliknya, Amir menyanyi-nyanyi kecil mengikut lagu-lagu yang berkumandang di radio. Lagu mana yang patut Amir sing along, Amir sing along. Lagu yang mana patut liriknya diubah, Amir ubah secara mengejut. Mana lagu yang vokalnya tinggi, Amir diam tak berkutik. Malas nak tarik.

Sebaik sahaja sampai di Taman Bandar, Amir terus berlari-lari anak untuk memanaskan badan. Sekejap tangannya disilangkan belakang leher, kejap kakinya pula disilangkan ke belakang leher, sekejap Amir berbaring atas rumput usha makwe berjogging.

Amir dah letak target, hari ni nak berjogging habis 3 round. Kalau tak cukup 3 round, Amir tambah lagi 3 round. Biar tubuhnya sihat dan kuat.

"Eh, Amir. Buat apa sini ? Berjogging ke ?" Seorang makwe mantap bertanya secara mengejut. Amir yang ketika itu tengah ralit memerhati makwe pakai legging, kucar-kacir mencari tuan empunya suara.

"Eh, awak rupanya Kalsum. Saya ingatkan puteri bunian mana tegur saya tadi. Hehehe. Haah, saya tengah panaskan badan ni, baru nak berjogging " Amir jawab kemas.

Kalsum ialah bekas teman wanita Amir. Orangnya cantik, bermata nipis seperti daun serai, hidungnya seperti buah jagung terlekat elok di bawah mata, bibirnya umpama buah oren yang dipotong sempurna dan tubuhnya yang mantap mampu mencairkan hati lelaki yang memandang. Bergetar tulang rusuk kiri Amir. Aummmmm.

Namun apakan daya, ajal maut, jodoh pertemuan, Rumi dan Juliet, dosa dan pahala itu ketentuan Tuhan. Disebabkan masalah teknikal dan kurang matang, mereka berpisah dengan cara baik dan beradab.

"Seorang je ke ?" Kalsum bertanya lagi.

"Haah. Saya seorang. Seorang itu lebih baik baik" Amir cuba tarik tali. Senyum.

"Hmmmm, tapi Irwansyah kata berdua itu lebih baik " Kalsum menduga. Senyum.

"Hahahahahaha" Sebaik menghabiskan kata-katanya, Kalsum dan Amir ketawa serentak. Kera di atas pokok juga ikut ketawa melihat mereka berdua.

Azmi Menonton Bola

Di ruang tamu rumahnya, Azmi meniarap secara bergelimpangan di hadapan tv plasma 57 inci yang melekat elok di dinding rumah. Sambil meniarap, kedua-dua kakinya dipanggung ke atas supaya nampak lebih comel bagi mata yang memandang, nampak macam puteri sikit-sikit. Tangannya pula tidak berhenti dari terus menyuap keropok moni ke dalam mulut. Mulutnya mengunyah laju. Krup Krap Krup Krap bunyi keropok dikunyah.

Azmi memang peminat tegar bolasepak Malaysia, baik dari Liga Monyet sampai ke Liga Arus Perdana, semua nama pemain Azmi kenal. Cakap je stadium mana, semua Azmi pernah pergi. Kalau dalam Liga Monyet, Azmi penyokong pasukan Pahang Is Argentina. Semangat kenegerian negeri Pahang memang berkobar-kobar dalam dirinya, darah Tok Gajah.

Dalam Liga Monyet, paling Azmi tak suka, pasukan JDT. Pasukan JDT ni jenis angkuh tak bertempat. Namun walau bagaimana pun, malam itu Azmi terpaksa menyokong pemain dari JDT demi kebahagian manusia sejagat. Perlawanan kelayakkan Piala Dunia, Malaysia lawan Timur Leste.

Kini, sudah 23 minit perlawanan sepak bola bermula di antara Malaysia dan Timur Leste, namun tiada sikit pun petanda yang Malaysia akan menang perlawanan.

"Safee Sali ni elok main takraw je, tak pun jadi penternak ikan patin" Azmi bercakap dalam hati.

Permainan Safee Sali pada malam itu memenag agak down, jangankan peminat bola, kalau Tok Imam yang tengok pun pasti sumpah seranah yang dihamburkan. Main macam budak sekolah.

"Aku cadang nak ajak Safee Sali ni main kutu laaa, apa pendapat kau, Tompok ?" Azmi bertanya kepada kucing kesayangan.

Tomok yang sedang menjilat bulunya sikit pun tak ambil port dengan pertanyaan Azmi.

"Macam babi Safee Sali main, bawa bola macam beruk !" Azmi menyambung kembali mengutuk Safee Sali setelah menyedari Tompok tidak menjawab soalannya.

"Beruk ! Beruk !" Azmi maki lagi. Bantal yang dijadikan tempat mengalas perutnya ditumbuk berkali-kali tanda marah.

Masuk minit yang ke 31, belum ada lagi tanda-tanda Malaysia menguasai perlawanan. Serangan tumpul, penyudah tak ada. Safee Sali hanya berlari atas padang tak tentu hala, bawa bola ke laut, pass bola macam haram.

                                                Pap Pap Pap
                                                           
"GOLLLL !" Azmi terbangun menjerit keriangan.

Untuk meraikan gol yang dijaringkan Safee Sali, Tompok yang sedang menjilat bulunya diterajang Azmi. Melekat Tompak di dinding rumah akibat terkena Tendangan Pemusnah Zuriat itu. Mengigau Tompok kesakitan.

"Hmmm, inilah berkat aku maki Safee Sali tadi. Maki hamun sikit-sikit terus dia jaringkan gol. Mungkin inilah juga yang dinamakan Kedaulatan Maki Hamun" Azmi membuat teori sendiri yang memang sah-sah salah dari hukum agama.

Azmi menjadi bersemangat tak tentu. Azmi bersemangat nak maki hamun pemain Malysia, biar pemain Malaysia dapat Kedaulatan Maki Hamun seorang sikit. Peluang Malaysia hendak menang perlawanan nampak cerah dan yakin.

Masa pertama tamat dengan Malaysia mendahului Timur Leste, 1-0.

                                                       ***
"Macam bangang. Dengan negara yang baru 10 tahun main bola dan baru merdeka pun boleh seri. Kalau setakat seri 1-1, baik aku je yang main bola wakil Malaysia. Beruk" Azmi maki lagi selepas perlawanan tamat dengan keputusan seri 1-1.

Friday, June 12, 2015

Perbualan 2 Kutu

"Umur baya-baya kau ni sepatutnya dah ada kehidupan sendiri, ada kerjaya, ada harta, anak bini, pendek kata semua lengkap laa senang" Di kedai Kak Wah Laici Kang, Roslan bersuara kepada Hafiz.

Hafiz yang ketika baru saja hendak menyuap laici kang ke dalam mulutnya, tersentak bila dengar kata-kata Roslan. Serta-merta Hafiz menjadi down, keropok lekor yang masih tersisa di dalam mulutnya ditelan laju tanya kunyah. Selera hendak makan laici kang terputus secara mengejut.

Namun, untuk nampak steady di mata Roslan, Hafiz cuba berlagak steady. Walaupun kata-kata Roslan itu membuatkan dirinya menjadi down, Hafiz cuba mengawal emosinya sebaik mungkin.

"Apa maksud kau, Roslan ?" Hafiz bertanya. Laici kang yang masih penuh di dalam mangkuk ditolak ke tepi, gayanya seperti ingin berdebat dengan Roslan.

"Aku cakap ni kau jangan laa terasa. Aku rasa umur kau ni dah menjangkau ke angka 28 tahun tapi cuba kau tengok diri kau, apa yang kau ada sekarang ?" Roslan seolah-olah menyindir.

Hafiz terdiam. Lama masa yang diambilnya untuk menjawab soalan Roslan. Soalan begini harus difikir panjang sebelum diberi jawapan. Silap beri jawapan, pasti dirinya akan dipandang serong oleh Roslan. Pasti Roslan akan mengejeknya dengan ejekkan "Kutu tak berwawasan".

Hafiz ingat lagi masa nak menjawab soalan UPSR dulu. Di atas kertas soalan UPSR dulu ada ungkapan berbunyi "Faham dahulu soalan, baru jawab". Hafiz berpegang kuat pada ungkapan itu.

"Kau nak cakap aku tak berguna pada masyarakat ke ?" Hafiz menjawab soalan Roslan dengan soalan. Tiada jawapan.

"Bukan macam tu maksud aku. Aku kesian tengok kau ni, kerja dah laa tak menjamin masa depan. Makwe pun tak ada. Orang yang sama umur dengan kau semua dah beranak pinak, kerja pun semua mantap. Ada kehidupan sendiri" Roslan bercakap dengan keropok lekor penuh dalam mulut. Air liurnya merecik merata tak tentu hala.

Hafiz memandang air liur Roslan yang terkena pada tangannya. Ada cebisan keropok lekor bercampur dengan dengan air liur Roslan. Hafiz ingin marah tetapi bila mengingatkan kata orang tua-tak elok maki depan makanan, Hafiz diam maki dalam hati.

Hafiz tahu. Punca air liur Roslan merecik keluar kerana gigi Roslan yang berterabur jarang-jarang dan berlapis. Mengikut kata bijak pandai, bila seseorang itu mempunyai gigi yang jarang-jarang dan berterabur, sistem kunyahannya tidak akan mengikut sistem yang betul lalu makanan yang dimakan akan terkeluar semasa makan sambil bercakap.

"Kau yang cakap aku tak ada kerja, tak masa depan, tak ada kehidupan ni, kau apa ada ? Kau pun kerja tunggang-langgang, harta pun tak ada, makwe jauh sekali" Hafiz pulangkan paku serpih.

"Aku lain, kau jangan nak samakan aku dengan kau. Aku berwawasan" Roslan jawab pendek. Keropok dalam mulutnya dikunyah laju tak ikut tempo.

Hafiz tarik nafas dalam-dalam. Laici kang yang tadinya ditolak ke tepi, ditarik kembali di hadapannya. Dikacau-kacau laici kang itu sehingga sebati.

"Mengikut perkiraan aku, umur kau tahun ni dah masuk 32 tahun, Lan. Aku rasa kau patut lebih bimbangkan pasal diri kau sendiri dari kau bimbangkan pasal aku. Umur sebaya kau ni dah banyak yang masuk kubur, kau entah bila lagi agaknya. Cuba kau check balik kehidupan kau, sepanjang kehidupan ni, apa pahala yang kau pernah buat untuk diri kau sendiri ?" 

Roslan terkesima dengan kata-kata Hafiz. Roslan rasa nak menangis.

"Babi kau, babi" Roslan maki pendek.

                                  KAH KAH KAH KAH KAH

Mereka berdua pun ketawa riang sambil diselang-seli-kan dengan makan kerepok lekor bilas laici kang.

Dilema Memilih Pasangan

“ Aku dalam dilema! Aku dalam dilema! Aku dalam dilema! Arggghhh...!!!” jerit Azmi sambil menuruni tangga ke tingkat bawah rumah yang disewanya bersama beberapa orang rakan. Hadi yang sedang khusyuk bermain judi online agak terkejut dengan tindakan Azmi itu yang disifatkannya sebagai tiada fikiran. Menjerit dengan kuat pada waktu pagi sebelum sarapan adalah suatu perkara yang wajib dielakkan.

“Apahal ni? Apahal ni? Apa yang dilema sangat ni woi?“ Hadi bertanya sambil matanya liar memerhatikan tindakan opponent di laptop. “Aku dalam dilema ni Hadi, ada dua wanita yang hadir dalam hidup aku dan aku harus buat keputusan dengan secepat mungkin.” Azmi menerangkan kepada Hadi yang hanya berseluar pendek, tidak berbaju dan sedang meniarap.

“Kau ceritalah kat aku, Azmi. Mana tahu aku boleh tolong. Kalau tak boleh tolong pun, dapat sailang salah seorang makwe kau pun okay juga. Kahkahkah!” kata Hadi sambil ketawa besar. Hilai tawa Hadi tak ubah seperti Mak Lampir, lagenda angker negara seberang. Mereka berdua pun berdialog.

“Boleh ke aku percaya pada kaki judi macam kau ni Hadi?”
“Alah, cerita jelah. Mana tahu aku boleh tolong.”
“Kau stoplah dulu main game judi tu.”
Okay, okay aku stop sekarang.”
“Macam ni Hadi, seumur hidup aku, ini yang pertama pintu hatiku diketuk oleh dua wanita.”
“Wah, hebat juga kau walaupun banyak selulit celah paha tapi ada juga wanita yang berkenan. Habis tu?”
“Itulah, dua-dua punyai ciri selama ini kucari. Berbeza wajah ayunya tetap asli.”
“Orang asli ke makwe kau tu?”
“Dengarlah dulu, tak habis lagi cerita aku.”
“Ha, okay. Teruskan.”
“Masalahnya macam ni. Kalau kupilih di sini, apa kata di sana? Kalau kupilih di sana, di sini akan terluka. Perlukah aku pilih keduanya? Bahagi kasih seadil-adilnya.”
“Kau nak pilih dua-dua? Nak bahagi kasih seadilnya? Kucing kau pun kadang-kadang aku yang bagi makan. Kau pass jelah sorang makwe tu kat aku, Azmi.”
“Kau jangan gelojoh sangat, aku tak habis lagi ni. Sungguh, merasa resah untuk menilai sesuatu yang indah. Namunku ada pepatah yang aku gubah.”
“Sejak bila pula kau pandai gubah pepatah ni? Sejak kau accident patah jari kaki tu ke? Apa pepatah yang kau gubah tu?”
“Di sana hanyalah menanti, sampai bilapun ku tak pasti, berkirim khabar melalui tinta, jarang sekali bertemu muka, namun kutahu dia setia.”
“Yelah kau tahu dia setia, entah-entah kat sana dia tengah syok main cinta dengan Mat Bangla. Habis tu, yang di sini macam mana?”
“Disana mana ada Mat Bangla. Ha, yang disini tetap menunggu, berada jelas dimataku, kasih tak luak terhadap aku, sanggup menunggu kata putusku, sayang ketabahanmu menawanku.”
“Maknanya kau nak pilih yang disini? Tapi sayang nak tinggalkan yang disana? Macam tu ke?”
“Ha, macam tulah Hadi. Pandai pun kau. Aku ingatkan kau pandai berjudi je.”
“Aku berjudi ni sebab aku putus cinta dengan ustazah pilihan. Ah, kau pun tahu. Kau takde terima nota yang ringkas tulisannya ke?”
“Hmm..takde pula aku terima nota apa-apa dari mereka berdua.”
“Boleh aku tahu siapa wanita yang mengetuk pintu hati kau tu?”
“Seganlah aku nak bagi tahu, nanti kau ejek-ejek aku pula.”
“Alah, dengan aku pun nak berkira. Macam baru semalam kenal pula. Padahal dulu mandi pakai spender sama-sama kat paya belakang rumah Badrulhisham Kerinting.”
Okay, okay aku bagitahu. Tapi kau janji kau takkan bagitahu orang lain walaupun abang kesayangan aku, Osman Kidal.”
Alright! Aku janji. Aku janji sumpah setia lagi.”
“Sebenarnya, yang di sana tu nama dia Tasha. Yang di sini pula nama dia Shila.”
“Amboi, macam nama artis pula ye makwe-makwe kau. Tapi mesti tak cantik macam artis kan?”
“Kah! Kah! Kah! Bukan macam artis, tapi memang artis pun. Tadi aku mimpi aku bercinta dengan Tasha Shilla dan Shila Amzah dalam masa yang sama. Aku terjaga masa part kedua-duanya mendesak aku untuk membuat pilihan. Jadi kau rasa yang mana patut aku pilih? Kah! Kah! Kah!”
“Kau pilih setan jelah! Gampang!”

Azmi pun berlalu naik ke atas untuk mandi. Ketika menaiki tangga, dia ketawa berdekah-dekah sambil bernyanyi. “Katanyaaaaa..anggap iniiiiii satu mimpi. Yang datanggggg...sekadarrrrrr...untuk menguuuujiii...Kah! Kah! Kah! Kah! Kah!”. Di tingkah bawah pula, Hadi mencincang-cincang laptopnya menggunakan sabit sambil mencarut dalam beberapa perkataan yang agak kontroversi jika ditulis di sini.

Wednesday, June 10, 2015

Joe Hanya Mampu Merancang

“Tahniah, awak diterima bekerja di sini. Esok, awak boleh mulakan kerja. Kalau boleh datang awal sikit ya, masuk pukul 7 pagi”

Dibawah pokok rambutan belakang rumahnya, Joe berbaring dengan keadaan bibir menguntum senyuman. Senyumannya melebar sehingga ke telinga bila mengingatkan kembali jawapan yang diterimanya semasa temuduga tadi. Tidak pernah terlintas di fikirannya yang dirinya akan bekerja di sebuah syarikat oil and gas terkemuka dunia seperti Petronas. Tidak pernah walaupun sesekali. Nyaris juga Joe nak sujud syukur di dalam bilik temuduga selepas diterima jawapan yang menggembirakan itu namun bimbang dicemuh masyarakat, Joe batalkan niatnya.

“Sujud syukur di atas sejadah rumahnya sendiri lebih baik” Joe bersuara halus.

Ini bukan kali pertama Joe menghadiri temuduga, jika dikumpul dan disusun elok kesemua surat temuduga Joe yang pernah dihadiri Joe, surat-surat temuduga itu boleh disusun mengelilingi Bumi sekaligus cipta rekod dunia. Banyak tidak terkira.

Baik dari sektor kerajaan dan swasta, jawapan yang selalu diterima oleh Joe setiap kali temuduga memang menghampakan. Tiada satu jawapan pun yang dapat membuatkan dirinya boleh melompat bintang. Kalau temuduga di sektor kerajaan harus ada ‘kabel’ atau ‘orang dalam’ atau paling koman pun mesti ada surat sokongan dari mana-mana ahli politik, baru senang hendak diterima. Kalau tak ada kedua-dua itu, bolehlah anggap temuduga itu sebagai mengisi masa lapang. Di sektor swasta pula, kelulusan Joe tak layak untuk dijawat.

Joe tak ada ijazah. Diploma pun tak ada. Master jauh sekali. Joe belajar setakat SPM sahaja, itu pun keputusan SPM cukup-cukup makan untuk Joe meneruskan sisa kehidupan merempuh hari yang akan mendatang.

“Mungkin Tuhan berikan aku kerjaya ini supaya aku dapat mengubah hidup aku menjadi lebih baik” Joe bermain dengan perasaan sendiri sambil berbaring dari kedudukan tadi, tak bergerak.

Joe sudah berkira-kira, selepas dijawat jawatan cashier di Stesen Petronas Bukit Ubi itu mulai esok, Joe nak simpan harta. Gaji pertama Joe nak beli handphone Lenovo. Biarkan murah asalkan boleh berWasap dan Wechat. Handphone Nokia XpressMusic tak ada Wasap dan Wechat, susah nak berhubung dengan rakan-rakan. Nak cari makwe pun susah.

Gaji seterusnya Joe mahu simpan dalam bank. Cukup sampai 7 8 ribu, Joe nak beli kereta wira. Kalau ada duit lebih pula, Joe nak ubah wira tu jadi kereta kebal atau Evo7, biar orang kampung tidak lagi memandang serong pada dirinya.

Joe senyum lagi memikirkan impiannya yang akan bakal terlaksana.

“Ah, cepat betul masa berlalu. Dah pukul 6 petang, ada baiknya aku persiapkan diri untuk bekerja esok. Mengelamun begini tidak akan membuahkan hasil” Joe melihat jam ditangannya.

Berangan atau berhalusinasi itu mungkin menyihatkan, mungkin sebagai terapi untuk mencapai impian dan cita-cita namun jika ianya berlebihan tanpa sebarang usaha, ianya amatlah merugikan. Bisa memakan diri sendiri.

Malam itu Joe tidur awal. Selepas makan malam pukul 8 malam, Joe terus masuk beradu di dalam bilik bujangnya yang berbau hapak. Baju, seluar, tali pinggang dan kasut semua Joe dah siapkan untuk mulakan tugasnya esok hari. Malam itu Joe tidur dalam keadaan tersenyum

                                       KRING KRINGG KRINGGG

Pagi itu, jam loceng yang dibeli Joe beberapa tahun lepas berbunyi riang mengejutkan Joe dari tidur. Joe bangun terpisat-pisat lalu menutup suiz jam loceng dari terus berbunyi. Joe sambung baring.

“Ah, lain kali laa aku pergi temuduga kerja lain.” Joe menarik kembali selimut menutup tubuh badannya.


Monday, June 8, 2015

Roslan Mengharungi Liku Liku Kehidupan Perokok bahagian 2

Di kaca tv, drama Suamiku Siamang Laut sedang ditayangkan. Roslan duduk silang kaki di atas sofa mengadap tv. Roslan tersengih memandang Jefri. Jefri balas pandangan Roslan dengan senyum kambing.

"Kau serius ke nak berhenti merokok ?" Berkepul asap rokok keluar dari mulut Jefri. Roslan menggangguk.

"Berhenti merokok ni susah. Semangat nak kena kuat. Lagi satu, merokok ni tak boleh berhenti mengejut, kena kurangkan hisap rokok je. Kalau kau berhenti merokok secara mengejut, potensi untuk kau kena penyakit asma dan lelah adalah sangat tinggi. Aku bimbangkan kau" Jefri menambah panjang lebar serupa doktor baru lepas merawat pesakit.

"Betul juga cakap kau tu tapi itulah, setiap kali aku dengar batu lighter bergesek, hati aku tak keruan......"

Belum sempat Roslan habis cakap, Jefri menyampuk dengan kata-kata berbaur makian. Lelaki yang beremosi tengok drama Melayu ni memang susah dah nak jumpa sekarang. Lelaki sekarang banyak beralih ke hipster, dah jadi lelaki merepek.

"Babi laa ! Asal cerita Melayu je mesti pasal kahwin paksa. Mesti kisah lelaki kaya, perempuan miskin. Bergaduh sikit-sikit lepas tu bahagia. Buat drama serupa masak maggie !" Jefri marah. Alat kawalan jauh tv nyaris hendak dicampak ke tv.

Marah betul Jefri dengan drama tak berkualiti macam ni. Tak patut betul si emak menyuruh anak perempuannya berkahwin dengan seekor Siamang Laut hanya kerana Siamang Laut ada bisnes sendiri. Manusia mana boleh berkahwin dengan binatang. Jefri mendengus panjang.

"Errr, Jefri, aku minta rokok kau sebatang ya ?" Belum sempat Jefri menjawab, Roslan terlebih dulu mengambil rokok Pall Mall Jefri di atas meja. Dihisapnya rokok itu dalam-dalam. Terpejam mata Roslan menikmati rokok sejuk.

"Perangai kau dengan drama Melayu ni tak ada beza, sama-sama macam beruk. Nak berhenti merokok tapi jangan laa guna alasan tu nak pow rokok aku, cilaka. Hari ni dah 9 batang kau hisap rokok aku, kalau gini tokey babi pun jual kandang woi" Jefri tinggi.

Roslan rasa nak menangis kena sound dengan Jefri.


Azmi dan Saka Kepala Kuda

Sampai sahaja di rumah, Azmi terus meletakkan beg sandangnya di lantai dan terus berbaring di atas sofa. Dia memicit-micit kepala yang terasa berdenyut-denyut. Badannya juga terasa amat berat dan letih. Jam sudah 8.50 malam, dia baru tiba di rumah selepas bekerja lebih masa di pejabat. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia pulang ke rumah lebih awal. Namun, Azmi harus bekerja dengan lebih kuat untuk mengumpul wang hantaran perkahwinannya kelak.


Semenjak dua menjak ini makin kerap pula sakit-sakit badan menyerang Azmi tanpa mengira masa. Badannya terasa amat berat, bagai dipijak suatu objek berketumpatan tinggi, kadangkala terasa bagai terapung-apung terbang di udara melayang entah ke mana. Azmi mulai runsing terhadap penyakit yang dialaminya. 


Sepanjang bulan ini sahaja sudah sebelas kali Azmi ke klinik mengambil ubat. Adakalanya dia mengambil cuti sakit. Setiap kali penyakitnya datang melanda, Azmi terpaksa mengambil masa yang lama untuk naik ke tingkat 5 di rumah pangsapuri yang disewa. Pangsapuri yang tiada lif, hanya ada tangga yang comot dan berbau basi.

"Entah-entah kau kena buatan orang. Atau ada saka yang menumpang dalam badan kau agaknya." Kata Hadi, housemate Azmi tanpa rasa ragu-ragu. Azmi diam. Dalam diam dia memikirkan mungkin juga ada kebenarannya kata-kata Hadi itu. Tapi mustahil pula ada orang yang dengki. Azmi hanya seorang posmen yang membawa amanah masyarakat. Bukannya orang kenamaan, selebriti ataupun atlit sukan berjaya. Hanya posmen biasa.


Azmi mencapai smartphone lalu meng'google' tanda-tanda tubuh dimasuki saka. Azmi mula bimbang apabila segala sakit yang dialaminya mempunyai persamaan dengan apa yang dibacanya di internet. Dia mula runsing dan mahu mencari jalan penyelesaian. Ketika sedang berfikir Azmi teringatkan tentang Pak Anjang Mokhtar, dukun handal di kampungnya. 


"Aku nak balik kampung malam ni juga. Esok aku emergency leave." Kata Azmi kepada Hadi yang sedang ralit bermain judi online. Azmi lekas-lekas mandi dan bersiap. Usai sahaja semuanya, dia terus menghidupkan kereta Proton Wira turbo 1.8 Gsr lalu terus memecut laju ke kampungnya yang terletak di Kuantan. Hadi masih lagi ralit berjudi.


Azmi tiba di kampung jam 12.15 tengah malam. Itu bukan masa yang sesuai untuk berjumpa Pak Anjang Mokhtar. Kalau pergi juga pada waktu ini, mahu dilibas penyapu lidi ke belakang badan Azmi. Jadi, Azmi memutuskan untuk berjumpa dukun handal itu keesokan pagi sahaja. Azmi menghirup secawan teh halia sebelum tidur. Badannya masih terasa berat.


Esok paginya, Azmi mandi dan bersarapan karipap tiga ketul di gerai Shukri Kojet. Usai sahaja sarapan dia terus bergegas ke rumah Pak Anjang Mokhtar. Shukri Kojet menggeleng-geleng apabila melihat Azmi yang kelam-kabut tadi. Dia berkata kepada pelanggan lain "Nak mampuih ka apa si Azmi tu?". Pelanggan-pelanggan hanya mengangguk dan meneruskan sarapan sambil mengumpat. 


Azmi tiba di rumah Pak Anjang Mokhtar dan terus memberikan salam. Salamnya disahut oleb isteri Pak Anjang. "Masuklah dulu, Pak Anjang kau tengah memerut tu. Pagi tadi minum teh Mahkota Dewa dan roti jala. Itu yang sakit perut agaknya." Kata isteri Pak Anjang Mokhtar sambil ketawa menutup mulut. Azmi hanya ketawa kecil. Itu tidak cukup kelakar baginya.


"Hah, apahal kau datang pagi-pagi ni Azmi? Nak berubat atau nak jemput kenduri?" Kata Pak Anjang sebaik keluar dari tandas. Dia masih memakai tuala dan tidak berbaju. "Saya sakit-sakit badan ni Pak Anjang Mokhtar, dukun handal. Eh, tersebut nama penuh dan nama timangan pula. Maafkan saya." Azmi cuba mengcover line sambil memegang belakang badannya. "Kau tunggu sekejap, aku nak pakai baju dan ambil kemenyan." Balas Pak Anjang Mokhtar, dukun handal.


"Sakit di mana? Di sini?" Tanya Pak Anjang sambil memegang belakang badan Azmi. "Bukan di situ saja, seluruh badan terasa sakit Pak Anjang." Azmi menjawab. Pak Anjang menunjukkan muka kehairanan dengan jawapan Azmi itu.


"Seluruh badan? Kau biar betul Azmi."


"Betul. Takkan saya nak tipu pula."


"Kau rasa macam mana sakitnya?"


"Saya rasa badan ni berat semacam. Berjalan sikit dan termengah-mengah. Kalau naik ke rumah di tingkat lima tu lagilah teruk."


"Ini bukan sebarang saka ni Azmi, payah ni aku nak halau saka ni."


"Iya ke Pak Anjang? Dulu masa saya mula-muka kerja posmen di KL tak pernah pun rasa macam ni. Baru-baru ni saja kerap rasa macam ni. Dari mana datangnya saka ni?"


"Dari diri kau sendiri, Azmi. Diri kau sendiri! Diri kau!"


"Hah, saya tak pernah bela saka pun. Keluarga saya pun tiada saka warisan. Kat KL pun saya tak pernah mengamalkan ilmu hitam Pak Anjang."


"Ini namanya saka kepala kuda kau."


"Kepala kuda? Saka apa tu?"


"Iya, kepala kuda kaulah Azmi. Tiga bulan lepas kau balik kampung kenduri si Iwan Kenduk. Kau ingat?"


"Ya, ingat. Saya jumpa Pak Anjang masa tu."


"Bagus kalau kau ingat. Masa tu kau berborak dengan aku. Aku rasa masa tu badan kau taklah gemuk macam sekarang. Dalam anggaran 75 kilogram masa tu. Tapi sekarang aku tengok kau dah macam badak sumbu. Cuba kau timbang berat kau di mesin penimbang aku tu."


"108 kilogram Pak Anjang. Ini mesti berat saka yang menumpang tu kan?"


"Saka menumpang kepala kuda kau! Semalam masa kau on the way balik kampung, Hadi call aku. Dia bagitahu setiap hari kau melantak Burger King kat Kolumpo tu. Time kerja pun kau boleh makan burger lagi sambil hantar surat. Sehari sampai tiga biji burger kau bedal kata Hadi. Itu saka yang kau cakap? Saka kepala kuda kau! Kepala kuda kau!" 


Sementelah dengan itu, Azmi terus bangkit dan meluru keluar. Dia pulang ke rumah sambil berjogging. Azmi juga nekad untuk pulang ke Kuala Lumpur sambil berjogging. Pak Majid yang tua pun boleh, takkan lelaki muda seperti dia tak boleh, ye dak?


Kata orang, kalau disampuk saka jangan pergi menunggang kuda.

Sunday, June 7, 2015

Roslan Mengharungi Liku Liku Kehidupan Perokok

Roslan gelisah. Kejap dia ke dapur, kejap dia pergi lepak di ruang tamu, kejap melepak di atas peti ais, kejap dia berbaring sambil letak tangan atas dahi. Seperti cacing kepanasan, keadaannya ketika itu serupa perempuan baru diceraikan suami dengan talak tiga. Fikirannya gelisah tak tentu hala tuju.

Rambut Roslan yang keras dan kasar serupa berus dawai dibiarkan tidak bersikat, bajunya di letakkan di atas bahu dan hanya berseluar pendek ke hulu ke hilir di dalam rumah. Kawan serumah Roslan iaitu Jefri hanya mampu menggelengkan kepala sebanyak 3 kali bila melihat keadaan Roslan yang agak barai.

"Kau ni kenapa ? Ke hulu ke hilir tak tentu arah ni ? Naik menyampah pulak aku tengok gaya kau macam ni" Jefri hilang sabar.

"Aduh. Kau ni langsung tak memahami jiwa rockers. Aku gelisah ni" Jawab Roslan sambil mengeluh di dahi.

Jefri yang tadinya sedang rilekss menonton tv, mengalih pandangannya ke arah Roslan tegak berdiri. Matanya sekejap mengecil, sekejap besar memandang Roslan dengan gaya pandangan serong serupa melihat orang gila masuk ke dalam bank.

"Kau kabor kat aku, menda masalah kau ni ? Teruk sangat dah aku tengok kau ni" Jefri bersuara simpati. Sedih juga hati dia sikit-sikit bila tengok keadaan Roslan yang tak terurus begitu. Sebagai kawan perantau, sudah menjadi tanggungjawab dia untuk menjaga akhlak Roslan jika akidahnya terpesong.

"Hmmm, aku nak tunaikan azam aku ni" Roslan jawab pendek. Tak ada mood sangat gayanya.

"Bagus Lan, bagus. Aku doakan kau berjaya" Jefri seolah-olah mengejek.

Jefri mengambil kotak rokok yang diletakkan di atas meja bersebelahannya. Keluarkan sebatang rokok dan letakkan rokok yang belum dibakar itu ke bibirnya yang hitam. Roslan telan air liur melihat rokok yang tercokeng di bibir Jefri.

                                                  Krek Krek Krek

Jefri nyalakan lighternya untuk membakar rokok. Dengar saja batu lighter bergesek, Roslan bertambah menjadi tak senang duduk. Gelisahnya makin bertambah. Mukanya pucat memandang asap rokok yang dihembus Jefri. Jefri tersengih.

"Ahh, mampuslah. Tahun depan laa aku tunaikan azam berhenti merokok. Apa-apa hal, bak sini rokok kau sebatang"

                                                          ***

Mereka berdua pun hisap rokok dengan riang. Asap rokok menjulang naik menemani gelak tawa Jefri mengutuk Roslan.

"Berhenti merokok my ass" Getus hati kecil Jefri.

Diganggu Puaka Watson Nyambek

"Hoi!"
Ah, puaka mana pula yang hoi tengah-tengah malam ni. Sudahlah aku kejap lagi kena lalu kawasan tanah kubur. Aku langsung tak menoleh ke kiri, kanan mahupun belakang. Aku terus sahaja mara ke hadapan. Aku melajukan lagi langkah kaki. Sekarang kelajuan aku bagaikan seorang atlit pejalan kaki peringkat MSSD. Kira-kira dalam 39 meter lagi aku akan melalui tanah kubur. Nak balik ke rumah aku inilah satu-satunya jalan yang paling dekat. Kalau nak patah balik ikut jalan satu lagi, aku kena berjalan 4 kilometer. Aku bukan atlit pejalan kaki mahu berjalan sejauh itu. Aku hanya mahu membawa pulang ubat nyamuk ke rumah bukannya pingat emas,perak atau gangsa.

Ketika semakin hampir ke kawasan tanah kubur, suara misteri itu bersorak lagi. Kali ini dua kali. "Hoi! Hoi!". Aku mula berasa tidak sedap hati dan berdebar-debar. Peluh mula beranak di dahi jendulku. Puaka mana pula agaknya yang mahu mengusik aku. Sekali lagi aku tidak mempedulikan suara misteri itu. Kali ini aku berjalan lebih laju. Bagai berlari anak pun iya juga. Terasa masih jauh pula rumah aku walaupun jaraknya dengan tanah kubur hanya 163 meter.

Kepantasan kaki aku melangkah di samping jantung yang berdebar bagai nak gugur membuatkan aku berjaya menempuh tanah kubur dalam tempoh hanya 11.48 saat. Aku terasa bagai mahu mencabar Watson Nyambek satu hari nanti. Selepas beberapa langkah, aku sudah dapat melihat lampu jalan di hadapan rumahku. Dari jauh aku melihat mak melambai-lambai tangan seolah-olah menunjukkan ada sesuatu di belakang. Aku kaget.

"Hoi! Tunggu! Hoi!" Suara misteri itu berbunyi kali ketiga. Sementelah dengan itu, aku terus menyinsing kaki seluar trek ke paras betis dan berlari. Kali ini benar-benar aku merasakan aku lebih pantas daripada Watson Nyambek. Sasaran aku hanya satu, Mak. Sebagai seorang ibu, pastilah Mak akan melindungi aku dari segala puaka yang cuba mengganggu aku. Dan aku berjaya. Aku berjaya tiba dan terus memeluk Mak.

Impak kelajuan maksima itu, jantung aku berdegup 180 kali per minit. Aku masih memeluk Mak dengan erat. Mak mengusap-usap peluh di dahiku. Tiba-tiba aku kedengaran tapak kaki seseorang semakin menghampiri kami. Jantung aku terasa bagai nak pecah dan kaki bagai terapung di udara. Mujurlah, ada Mak. Tapi aku tidak menoleh ke belakang. Mak cukup steady. Inilah ibu yang terhebat, sanggup melawan puaka demi anaknya!

"Apahal kau lari macam nampak setan ni, Ayub? Ini, tembakau rokok abah kau tertinggal tadi kat kaunter. Karang marah pula abah kau. Sekali dengan baki pun kau tinggal," Aku menoleh dan melihat Pak Manan taukey kedai runcit mengurut-urut dadanya. Dia kelihatan mengah.

"Saya nak jadi atlit lumba lari macam Watson Nyambek, Pak Manan," aku menjawab dan terus berlalu masuk ke dalam rumah dengan perasaan yang sangat bangsat kurasakan.



Sehingga ke hari ini rekod 100 meter Watson Nyambek  masih belum berjaya dipecahkan. (10.30 saat)



Friday, June 5, 2015

Dan Bila Esok

Walau raga kita terpisah jauh
Namun hati kita selalu dekat
Bila kau rindu pejamkan matamu dan rasakan a a aa aaakuuu
Kekuatan cinta kita takkan pernah rapuh
Terhapus ruang dan waktu
Percayakan kesetiaan ini
Pada ketulusan a a aa aaihiteru

Dilumurkan minyak rambut tancho pada rambut. Sambil menyanyi-nyanyi kecil, Zaim menyikat rambutnya pada sikatan belahan tepi. Menyikatkan rambut belah tepi ini sudah lama Zaim praktikkan, semenjak Zaim menyedari dahinya serupa padang golf. Luas, rata dan penuh misteri.

"Hmmmmm. Kacak juga aku ni rupanya. Silapnya dahi je jendol ni, kalau tak sebiji macam Harun Aziz" Dihadapan cermin, Zaim berkata dalam hati.

Hari itu Zaim ada temu janji bersama teman wanitanya. Rasa rindu yang datang bertandang ini tidak patut dibiarkan menggunung dalam hati, harus cepat dibunuh perasaan rindu itu secepat mungkin. Dan jika rindu itu satu dosa, pastilah Zaim orang pertama yang akan ke Neraka.

Setelah yakin dengan gaya, wajah dan pakaiannya, Zaim yakin melangkah keluar dari apartmennya tingkat 71. Dengan baju t-shirt kolar Polo yang kolarnya dibiarkan berdiri tegak untuk menutup belakang leher, seluar Levis straight cut dan kasut hitam muncung tajam depan, Zaim melangkah dengan yakin.

Zaim menuju ke kereta kebal miliknya dengan langkah yang mantap. Dengan angin yang steady, tidak terlalu kuat dan tidaklah pula terlalu perlahan, hembusan angin secukup rasa yang meniup tubuh badannya cukup menghidupkan suasana.

Zaim masuk ke dalam perut kereta kebal miliknya lalu menghidupkannya. Sengaja Zaim memilih untuk memandu kereta kebal ini pergi berdating supaya senang untuk dipandu atas jalan raya. Kalau ada kereta lain yang cuba berkurang ajar, Zaim lenyek atau tembak saja kereta itu.

                                      VROM VROOM VROOOMMM

Kereta kebal yang dipandu Zaim megah menyusur jalan raya menuju ke rumah teman wanitanya.

"Rindu, aku datang !" Zaim berteriak di dalam perut kereta kebal.

                                                            ***

"Kita nak pergi mana ?" Di dalam perut kereta kebal, Azah, teman wanita Zaim bertanya.

"Ikut you laaa, i follow je" Zaim jawap tiru skrip drama Melayu.

"Eh, i ikut you je. Mana you nak pergi, i ok je" Azah jawap romantik.

"Hari ni hari you, you cakap je nak pergi mana, i bawakan. You jump i jump" Zaim tak nak kalah berlagak romantik. Ayat cerita Titanic digunakannya.

"I tak ada idea nak pergi mana-mana. You bawa pergi mana-mana pun i ikut je, i tak kisah" Azah sedikit tertekan.

"Eh, you cakap laa nak pergi mana. Jangan malu-malu, i ok je sayang" Zaim masih lagi acah-acah romantik.

"Hmmmm, i ikut you je. I tak tahu nak pergi mana" Azah mengeluh.

                                                           ***

Selepas kejadian "Ikut awak laaa, ikut awak laa, ikut awak" itu, walaupun perit untuk diterima, Zaim dan Azah berpisah dengan cara baik walaupun ada sedikit kata-kata berbaur carutan.

Malik Gila Bella

Lilin diri takkan padam,
Seandainya engkau adalah sumbunya,
Kaulah puteri kudambakan,
Bidadari syurga jelmaan dunia,
Akan kujaga,
Seluruh jiwaku,
Biarlah karam berdua,
Asal kau tak terlepas,
Dari genggaman ku,
Biar kulamar,
Sahih diri mu menjadi ratu,
Beradu dalam perlukan ku,
Kejora ku bersatu.

"Celaka! Macam mana aku boleh layan lagu jiwang pula malam ni," Malik bermonolog sendirian sambil memaki hamun diri sendiri. "Sebagai punk rocker aku tak patut dengar lagu begini. Celaka sungguh!" Dia menyambung lagi perbuatan mengeji diri sendiri. Malik terus menutup radio. Dia berbaring menghadap siling bilik tidurnya. Kipas siling berpusing pada kelajuan maksimum. Malik meletakkan lengannya ke atas dahi. Sudah dinihari,namun matanya masih degil seiring dengan otak yang terfikirkan seseorang. Iya, sesorang.

"Bella," Malik terkenang-kenang akan manusia bernama Bella. Pekerja di kedai The Body Shop di shopping complex yang sama dengan tempat Malik bekerja. Malik di tingkat satu menjual peralatan muzik dan Bella di aras bawah. Petang tadi Malik singgah di situ membeli deodorant. Walaupun seorang punk rocker, bau ketiak tetap perlu dijaga dan diselenggara dengan baik. Bau yang tengik boleh mengundang musibat kepada agama, bangsa, negara dan diri sendiri. Ketika mahu membayar deodorant yang dibeli, Malik berurusan dengan Bella di kaunter. Saat itu Malik mula menjadi tidak ketahuan. Lenggok badan yang manja, potongan badan persis peragawati, mata berwarna koko, kulit putih gebu dan senyuman yang menggoda. Ketika itu Malik mencuri lihat name tag yang dipakai Bella. Dari situlah Malik mengetahui nama Bella. “RM 13.90 semua ya, encik,” Bella memberitahu Malik jumlah yang perlu dibayar. Malik menghulurkan not RM 20 sambil berkata dalam hati “Ini duitnya, sayang.”. Malik berlalu dengan hati dan perasaan yang berbunga.

Malik nekad. Esok dia mahu ke kedai itu lagi. Kali ini dia mahu meminta nombor telefon Bella. Malik memikirkan apakah cara yang paling sesuai. “Esok aku nak beli perfume lah,” bisik hatinya. Keesokannya, Malik sungguh bersemangat untuk ke tempat kerja. Dia sudah mula terbayang detik-detik indah ketika keluar dating bersama Bella. Menonton wayang, makan popcorn bersama, satu gelas dua straw dan berpimpin tangan di taman bunga. “Pergi mati sama punk rockers!” Malik bagai bernekad untuk sehidup semati dengan Bella dan meninggalkan perjuangan anarkinya selama ini.

Pada waktu rehat, Malik bergegas ke kedai The Body Shop. Dia mengambil sebotol perfume dan terus ke kaunter. Bella sedang berurusan dengan seorang pelanggan wanita. Malik beratur di belakang wanita itu sambil matanya tajam memerhatikan name tag Bella. Malik dapat melihat dengan jelas pada name tag Bella ada tertulis nombor kad pengenalan. Malik mencuri baca untuk mengetahui tarikh lahir Bella. Akan datang boleh juga dia belikan hadiah pada hari jadi Bella. Malik membaca nombor kad pengenalan Bella dalam hati “871204-06-527...5!”. Serentak dengan itu, Malik terus mencampakkan botol perfume yang diambilnya tadi dan terus berlari pecut keluar dari kedai itu. “Gampang! Gampang! Gampang!” maki hamun Malik sambil berlari.